WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PIALA MALAYSIA 2009: KIJANG MELOMPAT TINGGI

Cengkaman Kelantan dipersada kumpulan E saingan Piala Malaysia 2009 kian kukuh apabila berjaya menundukkan Kedah dengan jaringan 1-0 di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Terima kasih kepada Indra Putra Mahayudin apabila sepakan percuma lencongnya pada minit ke-49 menjunam rendah ke sebelah kiri pintu gol menewaskan sama sekali Helmi Eliza Elias yang tidak terjangkau bola tersebut untuk memberikan satu-satunya gol pada perlawanan ini.

Kelantan yang menurunkan kesebelasan sama ketika menewaskan Penang tempoh hari tidak menunggu lama untuk melancarkan gerakan ke kubu Kedah apabila Khalid Jamlus berjaya melepaskan sepakan kencang dari kawasan Kedah tetapi sepakan tersebut terus ke dakapan Helmi Eliza mengecewakan 30 ribu penyokong yang membanjiri Stadium.

Kedah juga kadangkala melakukan serangan berbahaya ke kubu Kelantan tetapi kebanyakan bola yang sepatutnya menerjah jaring gagal disudahkan ke dalam gawang. Peluang terbaik mereka untuk berada di depan pada minit ke-27 apabila Afif Amirudin melepaskan rembatan dari jarak dekat tetapi bola tersebut berjaya dikeluarkan pemain pertahanan Kelantan diatas garisan gol.

Kedah sekali lagi memberikan ancaman kepada Kelantan apabila bola lintangan pemain winger mereka gagal disambung Badrol Bakhtiar walaupun ketika itu Halim Napi sudahpun tertewas. Selang beberapa minit kemudian, Kedah sekali lagi mencemaskan Kelantan apabila bola sepakan percuma jarak jauh dari Badrol memaksa Halim melayangkan badan menepis keluar bola tersebut.

Kelantan juga harus berterima kasih kepada Nazrol Erwan Makmor dan Farisham Ismail yang terpaksa bertungkus lumus mengawal benteng dari ditembusi pemain lawan terutamanya melalui ancaman Badrol Baktiar dan pemain wingernya yang digelar Paklong.

Kelantan yang terdesak kerana kerap diserang mula mengatur serangan melalui Norfarhan Mohamad, Khalid Jamlus dan Che Hishamudin tetapi kesemua percubaan mereka berjaya diselamatkan penjaga gol dan ada juga tersasar jauh keluar dari kawasan perlawanan.

Ketika wisel penamat hampir dibunyikan, Kedah berjaya mendapat peluang untuk menjaringkan gol hasil tandukan Fauzi Shaari yang mendapat hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol tetapi tandukan tersebut sempat dikuis keluar Halim Napi memberi kelegaan kepada penyokong dan B Sathianathan yang kelihatan tidak senang duduk di bangku pemain.

Bersambung babak kedua, Kelantan mengatur serangan pantas ke kubu Kedah yang dikawal kapten pasukan, Victor Andrag. Hasilnya, Kelantan berjaya memperoleh sepakan percuma dari luar kotak penalti apabila Che Hishamudin dijatuhkan pemain pertahanan Kedah 25 meter dari kotak penalti menyebabkan pengadil perlawanan, Abu bakar Mohd Nor tidak teragak-agak membunyikan wisel.

Sepakan percuma yang diambil Indra Putra pada minit ke-49 akhirnya menggamatkan stadium apabila sepakan lencongnya terus menerjah jaring menewaskan Helmi Eliza walaupun kelihatan seakan-akan mampu diselamatkan penjaga gol Kedah itu.

Selepas gol tersebut, Kelantan terus melancarkan beberapa serangan untuk mencari gol kedua tetapi kesemuanya gagal disudahkan dengan berkesan. Untuk menambahkan sengat, Kelantan mengeluarkan Che Hishamudin digantikan dengan Ailim fahmi dan Daudsu Jamaludin digantikan dengan Rizal fahmi. Kemasukan mereka berdua tidak mampu menambahkan nafsu Kelantan di bahagian depan untuk mencari gol malahan kelihatan Kelantan pula diserang hebat pemain Kedah yang ingin menjaringkan gol penyamaan.

Kedah juga mampu melancarkan serangan berbahaya ke kubu Kelantan tetapi kehebatan pemain pertahanan tuan rumah berjaya mengekang serangan demi serangan yang diatur menyebabkan Azrai Khor terpaksa melakukan dua pertukaran bagi membantu jentera tengah mengatur percubaan ke kubu Kelantan.

Beberapa minit sebelum masa tamat, Kelantan mengeluarkan Khalid Jamlus digantikan dengan Norhisam Hasan bagi mengukuhkan bahagian tengah. Percaturan tersebut hampir mengundang padah apabila Kedah berjaya melakukan tiga percubaan saat-saat akhir memaksa Halim Napi melayangkan tubuh menepis percubaan tersebut.

Setelah tambahan masa empat minit, pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat menggembirakan puluhan ribu penyokong Kelantan yang menanti penuh debar wisel dibunyikan.

THE CARAVAN OF PRIDE - FULL MOVIE ON AFTERMATH OF KARBALA [ENGLISH SUB]



UDA JADI AGEN PERUBAHAN MELAYU

Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang ditubuhkan pada 12 November 1971 tidak pernah lari dari misinya untuk membantu orang Melayu di negara ini namun itu bukan bermakna kaum lain dianaktirikan, kata Pengarah Urusannya, Datuk Jaafar Abu Hassan.

Beliau berkata, seiring dengan objektif penubuhannya, UDA dilihat sebagai agen perubahan kepada orang Melayu dan misi serta visi itu tetap selari sehingga kini. Berdepan dengan pelbagai perubahan serta keputusan kerajaan meletakkan UDA Holdings Bhd. di bawah Kementerian Kewangan merupakan satu langkah yang dilihat wajar bagi menjadikan entiti perniagaan itu sebagai agen perubahan kepada orang Melayu.

Tegasnya, kewujudan UDA bukan semata-mata untuk menjadi pemaju perumahan atau pemilik kepada kompleks komersial serta menjaga kepentingan orang Melayu tetapi kaum lain juga turut diberi peluang.

"Mungkin disebabkan nama UDA yang menyebabkan kaum lain merasakan dipinggirkan namun pada hakikatnya kita turut memberi peluang kepada mereka juga," katanya. Menurut Jaafar, kemampuan dan hak milik orang Melayu masih menjadi keutamaan UDA khususnya jika pada projek-projek perumahan mampu milik dan mewah serta lot-lot perniagaan di kawasan-kawasan strategik.

Beliau berkata, isu kemampuan dan hak milik menjadi perkara amat sensitif ketika ini khususnya bagi bumiputera namun itu tidak menghalang UDA untuk menjadi agen perubahan bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Jaafar menolak tanggapan bahawa UDA hanya mementingkan orang Melayu kerana dasar syarikat itu juga memberi penekanan kepada bangsa lain lebih-lebih lagi dalam pemilikan dan hak milik.

Beliau memberi contoh ketika ini, usahawan bumiputera hanya menguasai kira-kira 19.7 peratus ruang niaga di kompleks-kompleks membeli belah manakala selebihnya kaum lain. Oleh sebab itu tidak timbul pertikaian peranan UDA untuk memberi 'keistimewaan' syarikat itu bagi membolehkan kaum bumiputera turut sama menikmati dan berkongsi kekayaan di negara ini.

"Untuk menjadi agen perubahan, kami perlu mengambil pendekatan menang-menang agar semua kaum dapat merasa dan menikmati perubahan yang akan dilakukan terutamanya di dalam landskap perniagaan," katanya.

Dalam aspek komersial ujarnya, UDA amat mementingkan kepada peningkatan dan kemajuan serta kejayaan usahawan apabila mereka menyewa lot-lot kedai yang dimiliki UDA. Sebagai contoh, Exit Policy yang diperkenalkan oleh UDA kepada penyewa di BB Plaza hanya untuk tempoh 10 tahun sahaja dan dalam tempoh itu mereka perlu berusaha untuk berjaya dan membina jenama serta produk yang dijual.

Apabila cukup tempoh tersebut penyewa harus memberi laluan kepada orang lain bagi menyewa lot-lot kedai mereka dan perlu mencari tempat atau tapak baru bagi meneruskan kesinambungan perniagaan.

"Polisi ini bukan untuk menyekat pintu rezeki penyewa tapi kita nak bagi peluang sama rata kepada orang lain untuk merasa persekitaran perniagaan di BB Plaza dan kita tahu jika UDA tidak berbuat begitu, peniaga bumiputera tidak akan merasa, lagipun dalam tempoh 10 tahun kita merasakan seseorang peniaga sudah mampu untuk berdikari dan survive untuk perniagaan mereka," katanya.

Selain itu, UDA juga merancang untuk mengambil alih mana-mana kompleks membeli belah bagi diuruskan serta memberi kadar sewa yang berpatutan - kadar sewa yang mungkin tidak dinikmati oleh mana-mana penyewa jika menyewa di kawasan-kawasan strategik. Ia boleh dilakukan menerusi dua cara iaitu UDA mengambilalih kompleks-kompleks membeli belah besar dan memberi subsidi kepada penyewa bumiputera atau menerusi pertumbuhan dalaman.

Sementara itu, dalam pemilikan hartanah pula, Jaafar berkata, fungsi dan peranan UDA masih tidak berubah sebagaimana di awal penubuhannya.

Dalam aspek pemilikan hartanah misalnya, UDA Holdings memberi peluang kepada orang Melayu memiliki unit-unit rumah dan bangunan komersial menerusi projek pembangunan hartanah di seluruh negara antaranya di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu, jelas beliau.

Dengan memiliki 12 kompleks perniagaan antaranya Kompleks Pertama dan BB Plaza di Kuala Lumpur, Plaza Angsana (Johor Bahru) serta Greentown Mall (Ipoh) telah memberi peluang kepada usahawan bumiputera memasarkan produk keluaran mereka di premis dan lot kedai yang ditawarkan.

Usaha itu juga diteruskan dengan melibatkan usahawan Melayu dalam sektor perniagaan apabila UDA Holdings kini giat membuka bandar-bandar baru seperti Bandar UDA Utama, Bandar Baru UDA dan Pusat Bandar Tampoi di Johor, Bandar Tun Hussein Onn (Kuala Lumpur) dan Taman Pauh Jaya di Pulau Pinang.

Tambah Jaafar, menerusi projek pembangunan perumahan, UDA Holdings memberi peluang kepada bumiputera memiliki unit-unit rumah pelbagai jenis mengikut kemampuan di kawasan strategik pada harga yang berpatutan. Katanya, UDA kini mempunyai kira-kira 340 hektar bank tanah di mana beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk tujuan pembangunan.

Jaafar berkata, tugas untuk memajukan ekonomi bumiputera hanya dapat dilakukan apabila pihaknya dapat menyediakan ruang dan tempat berniaga, khususnya di kawasan bandar kepada orang Melayu selain menyediakan pemilikan hartanah yang mampu dimiliki.

KUPAS KELAPA LEBIH PANTAS GUNA MESIN

Kaedah tradisional mengupas kelapa secara ringkas yang diamalkan oleh petani dengan mengunakan parang, cangkul dan besi pengupas kelapa telah menyekat produktiviti. Petani dibayar RM50 untuk setiap 1,000 kelapa yang telah dikupas dan RM35 untuk penuaian buah kelapa di ladang. Jika petani memperoleh buah kelapa dari ladangnya, ia dibayar sebanyak RM240 untuk setiap 1,000 buah kelapa yang belum dikupas.

Oleh sebab masalah yang dihadapi oleh petani dan juga kekurangan buruh untuk mengupas kelapa, maka sebuah mesin baru telah direka bentuk oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengupas kelapa.

Mesin ini menggunakan enjin berkuasa lima kuasa kuda yang menjana pam hidraulik. Pam tersebut seterusnya akan memindahkan tenaga kepada dua aci bergigi yang mempunyai 33 gigi pada setiap aci.

Kedua-dua aci diletakkan dalam keadaan selari pada kedudukan 45 darjah dari tapak mesin. Kedua-duanya akan berputar dalam keadaan arah yang berlawanan untuk menanggalkan sabut serta mengasingkannya daripada tempurung kelapa.

Kedudukan kerangka telah dibentuk untuk memudahkan kelapa dan sabut diasingkan secara graviti iaitu sabut akan jatuh pada sebelah dalam dan kelapa yang telah ditanggalkan sabutnya akan jatuh pada sebelah luar secara automatik.

Mesin ini boleh dikendalikan oleh seorang operator yang tugasnya adalah untuk memasukkan kelapa ke dalam mesin. Mesin ini dapat mengupas kelapa pada kadar tujuh hingga lapan saat sebiji iaitu bersamaan dengan anggaran 350 biji untuk sejam.

Tahap efektif pengendalian mesin ini ialah 92.5 peratus untuk kelapa tua dan 90 peratus untuk kelapa yang sudah matang (kulit kelapa hijau).

Mesin ini mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kelebihannya tersendiri, berlainan dengan mesin yang yang telah digunakan di ladang-ladang masa kini. Senang dibawa dan dipindahkan ke mana-mana kerana mesin ini tidak menggunakan kuasa elektrik. Kos penyelenggaraan yang rendah dan boleh didapati dari bengkel tempatan. Boleh dikendalikan secara berterusan. Dilengkapi dengan lengan pemegang keselamatan untuk menghentikan mesin pada masa kecemasan. Dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk melindungi operator daripada kemalangan.

Mesin ini amat berguna kepada petani, peladang dan kilang memproses kelapa. Ia dapat beroperasi dengan kadar yang lebih cepat dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

Penggunaan mesin ini dijangka dapat menambahkan pendapatan petani melalui penjualan kelapa kerana petani tidak perlu lagi menanggung kos bagi mengupas kelapa yang sebelum ini dilakukan oleh pihak lain.

Proses pengupasan kelapa boleh dipusatkan di suatu tempat pengumpulan yang dapat menguruskan pengupasan kelapa. Di samping itu, sabut kelapa juga dapat diuruskan dengan lebih cekap dengan cara memprosesnya kepada produk yang berguna.

Mesin ini mempunyai potensi bagi kilang memproses kelapa dan pusat pengumpulan bahan kelapa. Mesin ini juga dapat meningkatkan pendapatan petani menerusi penjualan kelapa yang telah dikupas kepada pusat pembelian kelapa. Petani juga tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja untuk mengupas kelapa.

SURAH MARYAM by VAHID NAZARIAN

PIALA MALAYSIA 2009 : PULAU PINANG 1-2 KELANTAN

Dua gol jaringan Indra Putra Mahayudin dan Khalid Jamlus memberikan Kelantan tiga mata berharga di laman lawan. Kelantan dengan bergaya sekali membuka langkah kanan apabila berjaya menundukkan Pulau Pinang di Stadium Bandraya dengan jaringan 2-1.

Kelantan ketinggalan satu gol pada babak pertama, apabila Pulau Pinang berjaya menjaringkan gol melalui M Prakash yang menewaskan Halim Napi. Gol berpunca daripada satu sepakan sudut yang diperolehi oleh Pulau Pinang.

Babak kedua, gol yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila Kelantan melakukan satu pertukaran memasukkan Che Hishamudin mengantikan Ezrie Shafizie pada minit ke-61 dan hasilnya, dalam masa empat minit selepas itu, gerakan dan segala permainan pemain Kelantan mula agresif dan pantas.

Melihat permainan semakin pantas, Indra yang berjaya melarikan bola dari pertahanan lawan dijatuhkan didalam kotak penalti. Indra yang mengambil sepakan tersebut berjaya menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-65 menggamatkan hampir kira-kira 200 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Lapan minit kemudian, giliran Khalid Jamlus pula menjaringkan gol apabila mendapat hantaran dari luar kotak penalti. Khalid yang tidak dicabar terus menolak bola ke gawang untuk gol kedua Kelantan pada minit ke-73.

Gol tersebut membuatkan penyokong Kelantan melonjak kegembiraan menyebabkan beberapa dari penyokong lawan melakukan tindakan luar kawalan lalu menyebabkan pergaduhan. Polis bertindak pantas dengan mengasingkan semua penyokong Kelantan ke satu sudut yang jauh dari penyokong Pulau Pinang.


KELANTAN ARAH PASAR RAYA DI TUTUP 1 SYAWAL

Semua pasar raya di seluruh Kelantan tidak dibenarkan beroperasi pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama bermula tahun ini.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan serta aduan pelbagai pihak.

"Walaupun tahun lepas kita membenarkan ia beroperasi bermula jam 11 pagi hingga 10 malam, namun berikutan beberapa aduan termasuk pekerja, kerajaan negeri terpaksa mengarah operasi perniagaan ditutup pada hari raya pertama. Tahun lepas kita beri peluang sebagai percubaan, namun memandangkan banyak perkara yang berlaku jadi kerajaan negeri menarik balik kebenaran yang diberi," katanya.

Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidilftiri sepatutnya dihormati semua pihak.

Takiyuddin memberitahu antara rugutan diterima di mana majikan tidak mematuhi janji membayar gaji dua kali ganda. Selain itu kakitangan bukan Islam juga mengadu kerana tidak dapat bercuti pada hari cuti umum.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, semua pemilik premis perniagaan yang ingin menggunakan papan iklan baru mesti mematuhi sepenuhnya Undang-Undang Kecil Iklan Pindaan 2007. Peraturan itu mewajibkan tulisan jawi mesti digunakan dalam saiz yang sama besar atau lebih besar berbanding bahasa lain.

Selain itu, kedudukan tulisan jawi hendaklah diletakkan di bahagian atas.

"Tulisan jawi hendaklah diutamakan dalam papan iklan di mana ia hendaklah digunakan dengan tulisan yang lebih besar," katanya.

Manakala papan iklan yang tidak mempunyai tulisan jawi perlu meletakkan tulisan jawi menggunakan pelekat bermula 1 Januari 2010

KENANGAN AIDILFITRI PIMPINAN PAS

Mengacah meriam buluh dan bergasak mengumpul duit raya walaupun 10 sen cuma antara rakaman kehidupan yang tidak dilupakan mereka yang kini sudah bergelar pemimpin. Hakikatnya mereka juga orang biasa, yang punyai memori Aidilfitri sama seperti yang lain.

Seperti AJK PAS Pusat, Haji Mohammad Sabu, yang ketika kanak-kanaknya terpaksa memakai baju sekolah sebagai baju raya kerana kemiskinan. Namun dalam serba kedaifan, mampu kumpul duit raya yang banyak lantas ke pekan berhampiran untuk menonton wayang. Walaupun tika itu comot dan tidak bersikat, jauh sekali anak gadis jatuh minat namun baginya Syawal cukup seronok dan mengujakan.

Bagi Presiden Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) dan bekas AJK PAS, Mazlan Aliman pula, tidak dapat dilupakan zaman kecilnya ketika demam dan sakit di bulan Ramadan. Apa tidaknya, malu terasa apabila neneknya mengikat tali kasut di lehernya, sebagai petua mengelak muntah dan bayangkan apabila rakan-rakan menziarah. Tebal mukanya.

Lain pula kenakalan zaman budak-budak Bendahari PAS, Pusat Dr Hatta Ramli terasa begitu berselera dan hampir berbuka puasa hanya semata-mata kerana melihat kerak kuih sepit.

Begitu juga 'kerajinan' Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar bermain mercun dan 'melawan' meriam buluh paling kuat tanpa menghirau bahaya dan sering mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah ketika zaman remajanya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula tidak lupa kesusahan yang dilaluinya sehingga tidak mampu membeli baju raya untuk isteri tercinta dan istimewanya, kini isteri beliau masih menerima tempahan menjahit baju raya walaupun Salahuddin bergelar Ahli Parlimen.

Bagi Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamarudin Jaffar menceritakan pengalamannya kerana tuntutan masa dan pengajian memaksanya berhari raya di asrama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak tingkatan satu dari tahun 1964 sehinggalah 1970.

"Kami beraya di rumah guru-guru dan warden, walaupun terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah yang cukup jauh dan penat, kami tetap seronok dan semangat Raya itu ada. Zaman itu cuti pendek. Tak dapat untuk balik kampung," katanya yang juga berhari raya selama menuntut di United Kingdom. Beliau yang menganggotai Persatuan Pelajar Islam London pernah menganjurkan solat Hari Raya di Malaysian Hall dan dan melahirkan rasa pilu bila kedua-dua ayah bonda telah pergi kerahmatullah ketika menuntut di UK. Kini beliau beraya bersama keluarga dan seorang cucu yang menjadi teman hiburnya.

Zaman kecilnya sama seperti yang lain, berjalan mengutip duit raya walaupun setiap rumah kadarnya sejumlah 10 sen cuma. "10 sen boleh membeli bukan setakat ais krim tetapi macam-macam lagi. Dulu saya main meriam buluh pakai karbait tetapi taklah sampai putus tangan seperti sekarang ini. Dulu cerita putus-putus ni tak da...," katanya yang kini seorang Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau bersyukur kerana berpeluang berbuka puasa, bertarawikh dan solat subuh bersama penduduk di sekitar Parlimen Tumpat walaupun tidak dapat memenuhi semua jemputan kerana mempunyai 4 Dun dan kawasan yang cukup luas. Sungguhpun begitu ketua-ketua kampung dan pimpinan peringkat cawangan dapat beliau raikan. Kali ini beliau akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan isterinya uzur dan akan memaklumkan kepada umum, Rumah Terbukanya di Tumpat.

"Saya ucapkan Salam Aidilfitri dan mahu rakyat menyambut hari lebaran dengan mendekatkan diri kepada Allah di samping memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat. Saya menyeru umat Islam akan terus bersama perjuangan Islam dan bersama PAS sebagai harapan rakyat untuk alternatif yang baru...dan parti ini mampu mengisi harapan rakyat itu," jelasnya.

Seiring dan senada ucapan itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali juga turut merakamkan Selamat Hari Raya kepada semua pendokong dan ahli PAS kerana telah menjalani proses pentarbiyahan dalam bulan ujian penuh berkah ini

"Manfaatkan Ramadan dan Syawal yang menjelma dan jangan lupa tanggungjawab sebagai pejuang Islam di samping menjaga etika jemaah Islam. Menjadikan diri contoh Islam yang baik dan jangan lupa perjuangan yang terdekat ini di Bagan Pinang," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Wahid Endut yang berkongsi cerita, beliau menghadapi 'masalah' untuk pusing dan jelajah seluruh masjid di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai 36 buah masjid termasuk DUN Wakaf Mempelam yang ada 15 buah masjid kesemuanya.

Adakalanya sukar untuk memenuhi jemputan Iftar berbuka puasa dan solat tarawikh di masjid terbabit yang terlalu banyak dan mengambil sikap 'first come-first serve' iaitu mana yang menjemput lebih awal, itulah yang dipenuhi terlebih dahulu.

"Ada juga yang merajuk ... kata tahun lepas YB dah ke sana, bila nak datang sini pula... saya faham mereka sayang kepada wakil rakyat tetapi terpaksa mohon maaf," katanya sambil bergurau tentang tubuh fizikalnya yang semakin sihat di bulan Ramadan ini.

"Bulan Puasa ini terasa makin sihat kerana makan pun sedikit dan mana seluar yang ketat dah boleh pakai," katanya sesekali ketawa.

Beliau akan berhari raya di Seberang Baruh di Dun Wakaf Mempelam dan terpaksa 'menangguhkan' konsep rumah terbuka kerana lazimnya di Terengganu pada Hari Raya kedua, jemputan kenduri kahwin dan kesyukuran terlalu banyak sekaligus sukar untuk beliau membuat rumah terbuka kepada umum kerana perlu memenuhi jemputan.

"Selamat Hari Raya kepada para pengundi dan rakyat yang saya wakili di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Wakaf Mempeleam. Kita selepas ini bukan sahaja nak menghadapi Hari Raya tetapi pilihan raya. Oleh itu, bersedialah untuk bekerja keras selain bergembira di Hari Raya," katanya yang akan ke Negeri Sembilan esok bersama Presiden PAS untuk persiapan menghadapi pilihan raya DUN Bagan Pinang.

Lain pula cerita Mantan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin tentang pengalaman manisnya ketika Ramadan tahun lalu. Pengalaman paling manis ialah ketika menjadi Menteri Besar Perak di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat sewaktu menganjurkan Majlis Iftar dan solat tarawikh di Dataran Bandaraya Ipoh.

"Cukup menyemarak Ramadan itu bilamana penduduk dan rakyat Perak berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah bandar Ipoh sambil menjamu selera juadah berbuka yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri. Seronok melihat orang bukan Islam, Mat-mat rempit, kutu rayau, remaja yang bersidai, lepak sampai bawa makwe datang berbuka sekali lepas itu mereka pun cabut...," katanya ketawa.

Beliau menjelaskan setiap hari di bulan puasa, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah lebih 500 bungkusan makanan percuma kepada orang ramai yang datang berbuka puasa dan di samping itu, beliau turut diundang menjadi imam solat tarawikh dan menyampaikan tazkirah.

"Dalam bulan Ramadan, saya cuba penuhi jemputan di masjid-masjid di seluruh Perak. Hanya awal-awal dulu berbuka bersama keluarga selebihnya bersama rakyat di Perak. Alhamdulillah stamina, Allah izinkan kekuatan diberikan untuk menjelajah. Saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Perak, pendokong Islam dan PAS dan Salam Bubar DUN Perak !" katanya yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang.

Biarpun sudah seminggu Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi demam dan berehat di rumah, namun beliau tetap gagah bercerita kepada Harakahdaily imbauan kenangan lama menyambut Aidilfitri di rantauan orang selama 10 tahun.

Ketika itu beliau melanjutkan pelajaran di Syria dan Mesir, dan hanya pada tahun 1997, kembali ke tanahair meraikan bersama keluarga dirindu. Berbeza di negara timur tengah ini, katanya orang Arab berpesta hanya pada bulan Ramadan dan menjalani kehidupan seperti biasa dan 'sepi' kembali tatkala masuk hari raya kedua.

"Kenangan paling indah, apabila keluarga hantar kuih-kuih raya kepada kami di sini dan bila sampai semuanya sudah hancur... dan serdak kuih dan biskut raya itulah nikmat yang kami rasai di hari raya. Mana tidaknya, kuih raya ini berada dalam sebulan atau tiga minggu perjalanan sebelum sampai ke tangan kami.." katanya dengan nada yang serak akibat demam.

Sementara itu beliau menyeru pendokong gerakan Islam dan PAS agar benar-benar terima dan menghayati "Madrasah Ramadan" atau "University of Ramadan" supaya menjadi mujahid yang bertaqwa. Pesannya bahawa kemenangan Islam itu pasti sebagai pernah dicapai oleh generasi terdahulu dan umat Islam mesti menang daripada ideologi yang dicipta oleh manusia.

"Jiwa yang menang, belenggu daripada sebarang ideologi yang kufur. Dengan kedatangan Syawal, lebih meningkatkan kualiti diri di samping memburu kemenangan Islam," jelasnya.

Bagi Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah, kenangan paling indah apabila melihat anak-anaknya seramai 10 orang bergembira di Hari Raya di samping menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

"Alhamdullilah, yang bongsu 6 tahun pun puasa penuh. Sungguhpun nak kejut sahur mereka merupakan satu perjuangan, tapi saya tetap gembira," katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat 'ganjaran hadiah' kepada anak-anaknya itu. Saya tanamkan kesedaran puasa kepada mereka dan mereka pun tak tanya ganjaran sebab akhirnya menjelang Syawal memang ada hadiah dan duit raya untuk mereka yang saya berikan," katanya yang akan berhari Raya di rumah mentua di Klang dan Pahang selepas itu.

Beliau juga turut memperuntukkan sejumlah duit raya untuk 'tetamu-tetamu kecil' yang bertandang ke rumahnya kelak kerana menjadi satu kepuasan melihat si kecil dan kanak-kanak gembira pada hari tersebut apatah lagi apabila mendapat duit raya.

Mencuit hati adalah soalan-soalan lazim yang ditanya oleh anak-anaknya yang sama seperti kanak-kanak lain antaranya "Berapa hari lagi nak puasa?" dan "Nak raya di mana?", yang katanya tidak pernah berubah biarpun saban tahun menyambut Ramadan dan Syawal.

"Saya beli juga baju-baju raya dan bunga api kat anak-anak saya yang kecil ni, sebab nak tengok mereka riang. Ada masa kita kena 'give and take' juga supaya mereka akan sentiasa mendengar cakap kita," katanya.

Sambil mengucapkan Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada muslimat seluruh negara khusnya pendokong PAS dan Pakatan Rakyat agar segala amalan baik di Bulan Ramadan diteruskan untuk memantapkan jiwa dan iman masing-masing.

"Banyakkan berdoa di akhir Ramadan dan di Hari Raya kerana waktu itu sangat mustajab dan jangan lupa doakan kemenangan kita di Bagan Pinang akan datang di samping berkerja keras ke arahnya," katanya.

Bagi yang muslimat ingin bertamu ke rumahnya pada Hari Raya atau hari berikutnya, Ustazah Nuridah dengan senang hati menyisipkan nombor telefonnya untuk dihubungi untuk memastikan sama ada beliau ada di rumah atau sebaliknya.

"Tidak mengapa, insya-allah beri nombor telepon saya ini, 013-9205012. Telefon dulu kalau nak datang. Maaf Zahir Batin kepada semua," katanya dengan ramah dan mengakhiri perbualan.

SBM DAPAT KONTRAK RM 4.2 BILION

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, SBM Malaysia Sdn. Bhd., telah memenangi kontrak bernilai AS$1.2 bilion (RM4.2 bilion) untuk membekalkan kapal penyimpanan dan punggahan terapung (FPSO).

Kontrak itu diberikan pemegangnya, syarikat yang disenaraikan di Amsterdam, SBM Offshore bagi pihak syarikat yang tersenarai di Amerika Syarikat, Noble Energy Inc, yang membangunkan projek minyak dan gas tengah laut di blok 1 Medan Minyak Aseng di Equatorial Guinea, Afrika Tengah.

Pengarah Asia Tenggara SBM Offshore, Ivan Replumaz berkata, SBM Malaysia akan mengendalikan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pengurusan projek, yang dijangka mula beroperasi pada 2012 itu. FPSO Aseng akan memproses 80,000 tong minyak sehari dan mempunyai kemudahan suntikan air dan gas, kata Replumaz hari ini.

Ditanya mengenai projek itu, beliau berkata, SBM Malaysia akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 200 jurutera dan pereka dari Malaysia. SBM Malaysia kini mempunyai 300 orang pekerja, dengan 90 peratus daripadanya rakyat Malaysia, katanya.

SBM Malaysia juga membida beberapa projek di Indonesia, Vietnam, Malaysia, Brazil, Amerika Syarikat dan Angola. Rangkaian produk syarikat itu termasuk sistem FPSO, Sistem Penyimpanan Punggahan Terapung (FSO) dan semua jenis sistem tambatan (perairan cetek hingga laut dalam).

Kesemua produk dijual atau disewakan bergantung kepada keperluan pelanggan.

EXIM BANK LULUSKAN PEMBIAYAAN RM 4 BILION

Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank) menyasarkan kelulusan pembiayaan projek luar negara bernilai RM4 bilion pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Adissadikin Ali berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kelulusan sebanyak RM1.2 bilion pada separuh pertama tahun ini.

‘‘Setakat ini, kami menerima banyak permohonan pembiayaan di sebalik keadaan ekonomi tidak menentu. Kami percaya dapat meluluskan sehingga RM4 bilion pada akhir tahun ini. Sebanyak 60 peratus daripada permohonan itu adalah sektor pembinaan di lebih 27 negara dan kebanyakan projek-projek itu adalah di rantau Asia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Seminar Kemudahan Jaminan Luar Negara Exim (EOGF) di sini hari ini.

Seminar itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Ir. Jamilus Hussein. Hadir sama Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Ng Kee Leen dan Pengarah Kanan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Susila Devi.

Sementara itu, Adissadikin berkata, Exim Bank sentiasa menggalakkan bank-bank komersial untuk meningkatkan permohonan EOGF kerana dana jaminan itu masih belum diagihkan sepenuhnya.

‘‘Setakat ini, Exim Bank hanya mengagihkan sebanyak RM250 juta dana EOGF yang bernilai sebanyak RM1 bilion. Bagi pihak Exim Bank, kami akan meningkatkan kesedaran mengenai produk itu dan kami juga telah mengadakan perbincangan dengan bank-bank komersial untuk meneroka dana ini,’’ jelasnya.

Selain itu, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menambah bilangan bank-bank komersial yang boleh menyertai EOGF dengan bank-bank asing yang ditubuhkan di Malaysia.

EOGF yang disediakan dengan dana berjumlah RM1.0 bilion ditubuhkan oleh BNM untuk menyokong strategi kerajaan untuk mengembangkan akses pembiayaan kepada kontraktor tempatan bagi mendapatkan projek di luar negara. Ia diperkenalkan pada tahun 2006, skim tersebut bertujuan membantu bank-bank komersial untuk memberi pinjaman bagi projek luar.

Sementara itu, Jamilus berkata, CIDB akan meneruskan usaha menggalakkan kontraktor tempatan untuk menembusi pasaran luar negara.

‘‘Misi kami yang seterusnya dengan kerjasama Matrade adalah meninjau pasaran seperti Uganda, Zambia dan Maldives pada tahun hadapan,’’ katanya.

LIMA TAHANAN ISA DI BEBASKAN

Kerajaan semalam mengumumkan pembebasan terhadap lima tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 di bawah penggantungan perintah tahanan (PPT).

Kesemua tahanan tersebut sebelum ini ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping kerana terlibat dalam kegiatan militan membabitkan kumpulan Jemaah Islamiah (JI).

Mereka adalah Mohd. Nasir Ismail, 35, dari Kota Bharu, Kelantan; Mat Sah Mohd. Satray, 46, dari Ampang Jaya, Selangor dan Dr. Abdullah Daud, 55, dari Nusa Jaya, Johor.

Selain itu, turut dibebaskan adalah dua beradik kembar iaitu Ahmad Kamil Md. Hanapiah, 31, dan Muhammad Amir Md. Hanapiah, 31, dari Pahang.

Kelima-lima individu tersebut dibebaskan setelah memberi respon positif ketika menjalani program pemulihan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan telah insaf di atas penglibatan lampau mereka yang memudaratkan keselamatan negara.

LULUSAN STAM DI IKTIRAF MASUK IPTA

Lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diterima untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berikutan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengiktiraf peperiksaan itu setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, katanya, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelaras kurikulum pengajian Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Agama serta Fardhu Ain (KAFA) bagi mengelak pertindihan.

"Jawatankuasa yang dibentuk diberi tanggungjawab untuk meneliti antara lain (soal) mengelak pertindihan termasuk berkaitan kurikulum pembelajaran pengajian Islam yang sedang dilaksanakan sekarang dan apa yang terkandung di bawah KAFA.

"Ini termasuk soal tenaga pengajar dan kelayakan guru yang mengajar, soal pensijilan dan akreditasi, selain meneliti soal infrastruktur, kelengkapan pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam sama ada di sekolah kebangsaan atau di KAFA sendiri,'' katanya.

RAWATAN ALTERNATIF UNTUK SERANGAN JANTUNG

Penghidap sakit dada akibat serangan jantung (angina) kini boleh mendapatkan rawatan alternatif yang tidak memberi kesan sampingan berbanding rawatan sebelum ini.

Rawatan terbaru itu menggunakan ubat Coralan mengandungi ramuan aktif ivabradine yang bertindak mengurangkan kadar denyutan jantung dalam seminit dan pada masa yang sama merendahkan kadar oksigen yang diperlukan jantung.

Pengambilan ubat baru itu, kata pakar kardiologi, Dr. Choo Gim Hooi dapat membantu mengurangkan serangan angina kerana Coralan mempunyai sifat antiiskema yang kuat dan amat berkesan.

"Ia juga mampu meningkatkan aliran darah ke jantung semasa bersenam tanpa kesakitan akibat angina. Ubat Coralan menawarkan keberkesanan seperti rawatan antiangina yang lain seperti penghalang beta dan penghalang aliran kalsium tanpa kesan sampingan," katanya.

LESEN FRANCAISOR MENIPU AKAN DIBATALKAN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran keras tidak akan teragak-agak membatalkan lesen francaisor jika terbukti mereka berniat menipu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KPDNKK akan mengambil tindakan mahkamah berdasarkan Akta Francaisor 1998 di mana sesiapa yang didapati bersalah boleh dihukum penjara.

"Terdapat beberapa aduan mengenai francaisor yang tukar syarat dan dasar mengikut sesuka hati mereka tanpa merujuk KPDNKK. Ini kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 40 francaisi yang mempunyai masalah dengan francaisor masing-masing di kementeriannya di sini semalam.

Pada pertemuan itu francaisi terbabit mendakwa terdapat penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh francaisor sehingga menyebabkan kerugian di kalangan mereka.

Ismail berkata, pihaknya juga mendapat aduan mengenai segelintir francaisor yang cuba mengubah syarat perjanjian dan polisi sesuka hati tanpa merujuk kepada Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK.

KEMBAR SIAM AFGHANISTAN BERJAYA DIPISAHKAN

KUNDUZ - Sepasukan doktor Afghanistan berjaya memisahkan bayi lelaki yang melekat pada kembarnya yang tidak mempunyai kepala dalam satu pembedahan di sebuah hospital di sini lewat malam kelmarin.

Seorang doktor yang terlibat dalam pembedahan itu, Dr. Homayoun Khamoosh berkata, bayi yang dilahirkan di Kunduz pada Khamis lalu itu masih hidup manakala kembarnya yang tiada kepala berjaya dipisahkan.

"Kembar bayi itu yang bercantum dengannya sudah meninggal dunia setelah menunjukkan beberapa pergerakan buat seketika beberapa hari lalu," katanya.

Kembarnya itu mempunyai kaki dan tangan tetapi tiada kepala.

Ibu kepada bayi itu ialah seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang sebelum ini sudah melahirkan empat anak normal.

HAMPER EKSKLUSIF DELINUR

Keindahan seni bungkusan hamper dengan kepelbagaian reka bentuk dan corak pasti menambat hati semua pelanggan yang melihatnya. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang gemar memberi buah tangan kepada teman-teman dan keluarga tersayang.

Bagi yang tidak mempunyai banyak masa mahupun kreativiti untuk menghasilkan cenderamata sendiri, anda tidak perlu khuatir kerana di pasaran terdapat banyak pilihan. Biskut raya bukan sahaja dibungkus cantik, malah bentuk dan rasanya juga sedap serta menyelerakan. Hari ini, terdapat ramai pembuat hamper berlumba-lumba menghasilkan hamper Hari Raya Aidilfitri.

Norma Abdullah, 47, juga tidak terkecuali. Menariknya, hamper beliau diisi dengan biskut raya yang dihasilkannya sendiri.

Keindahan seni hamper dan rasa biskut buatan sendiri yang lazat menjadikan hamper wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu mendapat tempahan daripada golongan kenamaan termasuklah kerabat diraja dan tokoh-tokoh korporat.

"Setiap tahun, jumlah pembeli hamper saya bertambah. Malah sebelum Ramadan lagi, saya dan beberapa pekerja sudah mula sibuk membuat persiapan awal," kata pemilik syarikat Delinur Gift & Hamper itu di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Menurut Norma, beliau sentiasa memerah idea untuk memastikan setiap rekaan pada tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Norma juga sentiasa menghasilkan lakaran sendiri, selain turut mengambil kira cita rasa para pelanggannya.

Bermula dengan menjual biskut raya sejak tujuh tahun lalu, Norma akhirnya mengambil keputusan untuk membuat hamper secara sepenuh masa. Apatah lagi, pulangan yang diperolehnya berlipat kali ganda berbanding menjual biskut raya."Kira-kira tiga tahun lalu, saya mula membuat hamper. Di dalamnya, saya isi dengan biskut raya buatan sendiri. Kini, selain menjual biskut raya, saya turut menerima tempahan hamper,'' katanya.

Tidak cukup dengan itu, Norma juga tidak kisah mengelilingi dunia untuk mencari acuan biskut raya dan bekas-bekas hamper yang menarik. Norma pernah mendapatkan hamper kulit dan kayu dari China, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Menurutnya, selain bekas dan hiasan yang menarik, penghasilan biskut raya yang enak juga tidak harus diketepikan.

Katanya, biskut coklat seperti hazeline square, havana dan snow almond sering menjadi pilihan pelanggan kerana bentuk dan rasanya yang enak. Biskut tradisional pula terdiri daripada tart nanas, popiah pedas dan pelbagai pilihan kerepek.

Bagaimana dengan harga? Harga setiap hamper bergantung pada isi kandungan, bekas, saiz dan kesukaran menggubahnya. Ia boleh didapati pada harga antara RM80 hingga RM500 bagi satu hamper.

Kepada yang berminat untuk membuat tempahan hamper, sila hubungi Norma di talian 012-337 5375 atau 012-213 3077 atau layari laman web www.giftdelinur.com

PHARMANIAGA MAHU LAHIRKAN BANYAK VENDOR

Setelah berjaya melahirkan 11 vendor tempatan dan kebanyakan disenarai di Bursa Malaysia, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), mahu menggiatkan lagi usaha tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam tempoh itu, Pharmaniaga, syarikat penjagaan kesihatan bersepadu di Malaysia, berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya 10 vendor baru untuk membekal dan memenuhi keperluannya, kata Pengarah Urusannya, Mohamad Abdullah.


Antara syarikat vendor yang berjaya dilahirkan melalui program anak angkat sebelum ini ialah CCM Duopharma, Idaman Pharma Sdn. Bhd., Medidata Sdn Bhd, Chemical Industries (Malaya) Sdn. Bhd., e-Eureka Sdn. Bhd., Supplier (Drug) Leo Pharma dan Suria Medik Sdn Bhd.

Mohamad berkata, dalam program sebegini, vendor kelahiran Pharmaniaga diharap dapat memberikan semangat baru kepada para pembekal sedia ada untuk membangunkan perniagaan lebih berkualiti yang akan turut memanfaatkan.

''Malah ramai vendor kini berpuas hati dengan program ini selepas kita menukar perancangan untuk menjelaskan bayaran setiap perkhidmatan mereka dipendekkan berbanding 90 hari sebelum ini,'' katanya.

Pharmaniaga diwujudkan atas dasar penswastaan bagi membantu Kementerian Kesihatan khasnya di dalam mendapatkan perolehan, stok, penghantaran dan pembangunan vendor bagi kerja-kerja berkaitan perubatan dan peralatan hospital di negara ini. Menurut Mohamad, antara kunci utama kepada keberkesanan perancangan itu ialah dengan kejayaan membangunkan industri farmaseutikal tempatan.

Selain itu Pharmaniaga juga telah berjaya meningkatkan industri perubatan tempatan dengan menghasilkan ubat-ubat generik dan tidak lagi terlalu bergantung kepada ubatan import. Buat masa ini, Pharmaniaga hanya mengilang enam peratus atau 37 daripada 570 produk yang dipasarkan oleh syarikat itu di bawah APPL, manakala selebihnya oleh 83 pembekal lain.

''Dengan pengalaman hampir selama 15 tahun, kita telah banyak membantu kerajaan menjimatkan kos yang berkaitan industri ini," katanya.

Mohamad memberitahu, Pharmaniaga kini sedang menghabiskan baki-baki kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan sejak 15 tahun lalu dan kini sedang dalam perundingan agar kontrak baru dilanjutkan.

Sebagai pemegang konsesi berkaitan katanya, pembekalan dan perolehan perubatan banyak syarikat telah menerima faedah dari kontrak yang diberikan. Beliau memberitahu, Pharmaniaga menjalankan perniagaannya berdasarkan kepada tiga teras utama iaitu logistik, farmaseutikal generik dan memasang peralatan perubatan.

Sebagai pemegang konsesi logistik untuk kerajaan ia dikendalikan oleh Pharmaniaga Logistik Sdn. Bhd., dan sebagai agen perolehan, syarikat itu membekalkan lebih kurang 570 barangan kepada Kementerian Kesihatan di 1,400 buah hospital, klinik dan klinik desa milik kerajaan. Namun sejak tahun lalu, Pharmaniaga Logistik hanya membekalkan sekitar 15 peratus daripada 570 barangan yang diberikan oleh kerajaan untuk diedarkan.

Selain bidang logistik, Pharmaniaga juga turut memfokuskan kepada perubatan generik yang mana ubat-ubatan yang tamat tempoh hayatnya di pasaran akan dikeluarkan semula menerusi label baru. Mohamad menjelaskan, setiap ubat yang dikeluarkan akan dikawal oleh pengeluarnya daripada tarikh penghasilannya untuk tempoh 20 tahun sebelum boleh diambil oleh pengeluar lain dan dijual menggunakan jenama lain.

"Ubat-ubat asal atau 'inovator' juga sudah menghampiri tarikh luput, sekali gus memberi peluang kepada pengeluar ubat generik untuk mendapat hak pengeluaran ubat generik baru," ujarnya.

Pharmaniaga melihat perubatan generik merupakan bidang perniagaan yang lumayan berikutan dan ketika ini lebih 150 produk berkaitan sedang dibangunkan di kilangnya di Bangi.

"Pharmaniaga mengunjurkan perolehan berjumlah RM7.16 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pelancaran sekurang-kurangnya 14 ubat generik setahun mulai tahun depan," katanya.

Bercakap tentang perluasan operasinya di seberang laut, Mohamad berkata, Pharmaniaga telah mengenal pasti Vietnam sebagai perintis kepada penerokaan penjualan produk farmaseutikalnya di kawasan Indochina. Mohamad berkata, pihaknya yang membuka pejabat jualannya di negara itu, melihat potensi untuk perniagaan farmaseutikal berkembang adalah positif.

"Kawasan Indochina seperti Vietnam, Myanmar, Laos, Kemboja dan negara-negara berdekatan amat berpotensi untuk dijadikan pasaran baru kami malah dijangka menjadi pemacu baru pertumbuhan aktiviti eksport syarikat," katanya.

MUADZ [AMRULLAH - BAITUL MAQDIS]

EMPAYAR KASUT BATA

SONJA BATA pernah terkilan apabila impiannya untuk bergelar arkitek terpaksa diketepikan demi membantu suaminya, Thomas J. Bata menguruskan empayar kasut jenama Bata, 63 tahun dahulu. Namun, jika ditanya, apa yang penting dalam hidupnya sekarang, dengan senyuman manis beliau menjawab, Bata.

"Bata adalah segala-galanya bagi saya. Bermula sebagai perniagaan keluarga yang dimulakan oleh bapa mertua, tradisi itu masih diteruskan dan saya bangga anak-anak saya kini semuanya memilih untuk bersama Bata," ujar Sonja yang datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai satu jenama kasut antarabangsa, Bata gemilang dalam kelasnya yang tersendiri. Bata yang bertapak sejak tahun 1894 itu boleh dikategorikan sebagai antara jenama kasut tertua di dunia. Bersama menyambung legasi jenama Bata selepas kematian bapa mertuanya, Tomas Bata pada tahun 1932, laluan yang perlu ditempuh tidak mudah.

Melihat kegigihan suaminya yang terpaksa berhijrah ke Kanada dan memulakan Bata sekali lagi selepas penaklukan komunis di Republik Czech, Sonja turut menyimpan azam untuk meletakkan Bata sebagai jenama kasut mampu milik bertaraf global.

"Setelah mengenali Bata, saya mula jatuh cinta dengan kasut buatannya. Sewaktu berkunjung ke kilangnya, saya sangat teruja melihat begitu banyak kasut yang cantik rekaannya sehinggakan saya pernah memakai kesemua jenis kasut Bata yang ada di pasaran, daripada yang mempunyai rekaan ringkas, sederhana mahupun yang pelik, semuanya saya sudah cuba," katanya.

Selain terlibat dengan perusahaan kasut Bata, Sonja yang mengakui tidak pernah mempunyai masa lapang ini turut aktif dalam pelbagai badan kebajikan pendidikan, kesihatan dan alam sekitar.

"Walaupun ramai yang mengatakan saya perlu berehat pada usia emas ini, saya lebih senang berjumpa dengan orang dan berkongsi apa yang kita miliki dengan masyarakat serta penghuni alam yang lain. Bagi saya, tiada ruginya jika kita berkongsi apa yang kita miliki dengan orang lain. Saya percaya jika kita saling membantu, hidup kita akan lebih dirahmati. Dengan menawarkan pelbagai jenis kasut pada harga yang berpatutan dan mampu milik, saya percaya Bata mempunyai kelompok pelanggan setianya yang tersendiri walaupun industri kasut semakin banyak pesaing," ujar Sonja yang juga pengasas dan Pengerusi Muzium Kasut Bata di Toronto.

Sonja tidak menafikan ada yang menimbulkan soal kualiti kasut Bata disebabkan harganya yang murah. Namun katanya, di sebalik semua itu jualan Bata terus meningkat setiap tahun.

"Soal harga bukan isu yang perlu diperbesarkan dan ia tidak mewakili kualiti produk yang kami keluarkan. Hasrat Bata ialah untuk memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk memiliki kasut yang selesa," katanya.

Jenama Bata mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 1933 dan kini mempunyai 213 cawangan kedai di seluruh negara. Mengikut perancangan jangka panjang, 10 buah lagi kedai akan dibuka di beberapa lokasi strategik tahun ini. Biarpun nama Bata telah dikenali di lebih 50 negara, wanita ini mengakui turut menyarung kasut daripada jenama lain.

"Walaupun saya mengusahakan perniagaan kasut Bata, saya juga membeli dan memakai kasut daripada jenama lain. Malah saya pernah memiliki kasut kesayangan yang bukan daripada jenama Bata. Menjadi sebahagian daripada industri ini, saya perlu menggunakan kasut pesaing kerana dari situ kita boleh nampak kelemahan atau kekurangan produk yang kita keluarkan," katanya.

Ditanya mengenai ikatan antara Bata dan Malaysia, Sonja menjawab: "Saya bangga kerana kasut Bata pernah menjadi jenama kasut nombor satu di Malaysia ketika negara ini belum merdeka lagi. Mungkin ada pengguna kasut Bata kini menjadi orang terkenal di negara ini.

"Biar apa pun majlisnya, sama ada sambutan hari lebaran ataupun kembali ke sekolah, Bata menyediakan semuanya untuk anda," katanya.

PIL MULTIVITAMIN BAWA KEBURUKAN

Pengambilan pil multivitamin di kalangan jutaan penduduk dunia adalah langkah sia-sia kerana ia sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada kesihatan.

Menurut bekas penasihat pemakanan kerajaan Britain, Brian Ratcliffe, sejumlah RM3.6 bilion dihabiskan dalam pengambilan multivitamin setiap tahun yang sebenarnya sihat dan tidak memerlukan pil tersebut.

Jelasnya lagi, antara keburukan pengambilan pil tersebut seperti minyak ikan sebagai multivitamin ialah ia mampu meningkatkan fenomena tulang rapuh pada masa akan datang kerana pengambilan vitamin A secara berlebihan tanpa disedari.

Kebanyakan pengguna mengambil pil multivitamin kerana kebimbangan tidak berasas terhadap kesihatan mereka serta dipengaruhi oleh iklan pihak farmasi.

RABUN DEKAT vs RABUN JAUH

Rabun antara masalah penglihatan yang paling biasa berlaku kepada semua peringkat umur dalam masyarakat. Kini, masalah rabun juga sering dialami kanak-kanak sebelum tibanya usia persekolahan lagi. Pun begitu, tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu memperbaiki tahap penglihatan.

Terdapat dua jenis masalah rabun iaitu rabun jauh dan rabun dekat.

Rabun jauh ialah keadaan di mana seseorang tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas, tetapi dapat melihat objek dekat dengan jelas.

Perkara sebaliknya berlaku pada individu yang mengalami rabun dekat iaitu objek yang dekat kelihatan kabur, tetapi objek jauh pula boleh dilihat dengan jelas.

Beberapa gejala kanak- kanak yang mengalami rabun jauh dapat dikesan dengan mudah. Selalunya mereka akan membaca buku pada jarak dekat dan apabila melihat objek yang jauh, seperti televisyen, mereka akan mengecilkan kedua-dua mata supaya objek itu kelihatan lebih jelas.

Setakat ini, tiada teori tepat mengenai punca berlakunya rabun jauh. Bagaimanapun, faktor keturunan mempunyai pengaruh terhadap berlakunya rabun jauh. Kemungkinan seorang anak yang ibu bapanya menghidap rabun jauh untuk mengalami masalah sama ialah 40 peratus.

Ada teori mengatakan, rabun jauh berlaku jika seseorang gemar membaca pada jarak dekat. Sesetengah pakar lain pula mengatakan, kerana rabun jauhlah seseorang itu membaca pada jarak dekat. Rabun jauh bukan sejenis kecacatan. Sebenarnya struktur mata orang yang rabun jauh adalah normal.

Apa yang berlaku ialah, biji mata mereka lebih besar dan panjang berbanding orang yang tidak rabun. Imej yang masuk ke dalam mata tidak dapat difokus dengan tepat ke atas retina, tetapi terfokus pada kedudukan di depan retina.

Situasi ini dapat diumpamakan dengan perbezaan manusia berambut lurus dan berambut kerinting, ada yang bercermin mata dan ada yang tidak bercermin mata. Tahap kerabunan tidak bertukar atau bertambah akibat cermin mata selalu dipakai. Sebenarnya, sama ada cermin mata dipakai atau tidak, tahap kerabunan akan meningkat setiap enam bulan di mana kuasa cermin mata harus ditukar.

Ini satu proses semula jadi yang dialami individu yang rabun. Penambahan tahap kerabunan berlaku sehinggalah individu berkenaan mencapai usia dewasa iaitu apabila meningkat umur 18 hingga 25 tahun. Oleh itu, adalah penting memastikan kanak-kanak rabun memakai cermin mata untuk memberi keselesaan dan menentukan mereka dapat melihat sejelas mungkin di sekolah.

Faktor pemakanan tertentu memainkan peranan dalam tahap kesihatan mata. Tidak dapat dinafikan, vitamin A diperlukan dalam proses biokimia di dalam retina mata. Namun, ini tidak bererti vitamin A dapat mengubat kerabunan, seperti mana dilakukan kebanyakan ibu yang memberi anak mereka makan sayur lobak merah dengan harapan masalah kerabunan itu akan hilang. Ini merupakan satu usaha yang tidak memberi manfaat.

Kaedah rawatan paling mudah untuk masalah rabun adalah melalui penggunaan cermin mata. Kaedah lain pula ialah menggunakan kanta lekap yang diletakkan di atas lapisan kornea. Rawatan terbaru ialah rawatan laser atau lasik yang memberi seseorang itu keyakinan dan tidak perlu memakai cermin mata.

Sebilangan daripada mereka yang rabun mungkin mengalami komplikasi kelekangan lapisan retina. Ini berlaku apabila retina lekang daripada lapisan koroid, menyebabkan gangguan fungsi retina dan menyebabkan buta jika tidak dirawat. Kelekangan retina boleh berlaku kepada seseorang yang rabun jauh. Pesakit mungkin akan mengalami kehilangan penglihatan di medan penglihatan sebelah bawah.

Presbiopia adalah sejenis masalah rabun yang berlaku apabila seseorang itu dapat melihat objek yang jauh dengan baik, tetapi tidak dapat membaca dengan baik. Ia biasanya berlaku pada seseorang yang mencapai umur lebih 40 tahun.

Ini disebabkan proses pengerasan kapsul kanta yang menyebabkan pengurangan pergerakan kapsul kanta ketika melihat objek. Dalam keadaan seseorang ingin memfokus pada objek yang dekat, kapsul tersebut harus mengendur untuk menjadikan kanta itu lebih cembung. Apabila berlaku pengerasan, proses ini sukar dilakukan dan keupayaan mata melihat objek yang dekat berkurangan. Masalah ini perlu diatasi dengan memakai cermin mata untuk membaca yang harus ditukar setiap dua tahun.

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu menghidap presbiopia, kekaburan dekat berlaku pada kedua-dua mata dan ketajaman objek itu menjadi lebih jelas apabila objek dijauhkan sedikit. Masalah ini juga tidak seharusnya disalahfahamkan dengan masalah katarak mata, terutamanya bagi mereka yang melebihi umur 40 tahun.

Penghidap katarak menghadapi kesukaran melihat objek jauh. Seseorang yang menghidap katarak tidak dapat melihat objek jauh dengan jelas dan objek tersebut masih kelihatan kabur walaupun dengan memakai cermin mata.

Apabila seseorang itu rabun dekat, otot mata mereka harus bekerja kuat untuk memfokuskan objek ke atas retina. Jika usaha ini terlalu kuat, akan terjadi tanda seperti kekaburan, sakit di atas kening dan mata yang selalu letih dan berair, terutama selepas membuat kerja yang menggunakan penglihatan dekat seperti menjahit dan membaca. Kanak-kanak yang rabun dekat berkemungkinan mempunyai daya tumpuan yang singkat. Mereka juga mungkin menjadi juling.

Apakah kaitan di antara rabun dekat dan presbiopia? Mereka yang bermasalah rabun dekat atau hiperopia menghidapi presbiopia pada umur lebih muda iaitu sebelum 40 tahun berbanding mereka yang tiada masalah ini.

Seperti rabun jauh, rabun dekat juga dapat dirawat dengan memakai cermin mata atau kanta lekap. Kadang kala, sebilangan kanak-kanak yang menghidap rabun dekat dapat memulihkan masalah kejulingan mata selepas memakai cermin mata.

PAS KE INDONESIA BANTU PULIHKAN HUBUNGAN

Pemimpin PAS berkunjung ke kedutaan Indonesia hari ini (14 September) dalam usaha untuk membantu meredakan ketegangan antara rakyat kedua-dua negara. Kehadiran Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub telah disambut baik oleh Timbalan Duta Indonesia, Tatang Razak.

Pertemuan yang diatur oleh Alex Ong, Koordiantir Migrant Care, sebuah NGO yang menjaga hal ehwal pekerja Indonesia di sini itu turut disertai oleh Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat. Salahuddin dan rombongan memasuki kedutaan Indonesia kira-kira jam 12 tengahari sebentar tadi dan keluar dari bangunan tersebut jam 1.20 petang.

Menurut Salahuddin, pertemuan selama 40 minit itu membincangkan beberapa isu yang membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Jelasnya, PAS sangat prihatin terhadap isu antara kedua negara yang telah mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat dan pelajar Malaysia di Indonesia.

"Rakyat Malaysia di Indonesia sentiasa diselubungi perasaan ketakutan dan bimbang ancaman keselamatan mereka," kata Salahuddin. Beliau berkata, pihak Kedutaan Indonesia telah memberi jaminan keselamatan akan dikawal serta mengatakan bahawa undang-undang di Indonesia akan menjaminkan rakyat Malaysia akan dijaga.

Pertemuan itu juga digunakan kesempatan oleh kedua-dua pihak untuk membincangkan beberapa isu yang tertangguh selama ini.

PAS akan bertindak lebih agresif lagi selepas ini bagi mendesak kerajaan menyelesaikan isu terbabit.

Selain daripada itu, isu pembantu rumah juga telah dibincangkan terutamanya mengenai cuti dan juga hak memegang pasport. Sebelum ini timbul aduan mengenai majikan yang telah memegang pasport pembantu rumah.

Timbalan Duta Indonesia, Tantang Razak menjelaskan kepada Salahuddin, kata sepakat harus diselesaikan segera bagi menyegerakan sebarang tindakan. Menurutnya lagi, bukan semua pembantu rumah yang menimbulkan masalah, tetapi ada juga yang rajin dan taat kepada majikan mereka.

Salahuddin menjelaskan bahawa apa yang penting ialah isu kemanusiaan diutamakan demi untuk menjaga hubungan dua hala selama ini. PAS, katanya, akan terus mendesak kerajaan supaya menangani segera isu yang tertangguh di sidang Parlimen akan datang.

IKBN BACHOK ANJUR MAJLIS KHATAM QURAN

TANGOK- Majlis khatam al-Quran yang diadakan setiap tahun oleh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok bukan sahaja mampu melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang tertentu malah mampu menjadikan mereka lebih bersahsiah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan, Saari Salleh berkata, setiap kali tibanya Ramadan, khatam al-Quran dijalankan di semua IKBN seluruh negara.

“Ia adalah salah satu usaha kementerian bagi melahirkan belia yang mempunyai kemahiran dan diri dilengkapi dengan sahsiah yang sempurna sebagai seorang muslim. Dengan pengisian yang dilakukan diharap dapat membina pelajar berkualiti bukan sahaja dari segi kemahiran, juga mampu berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat,” katanya selepas Majlis Khatam al-Quran Rakan Muda Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Peringkat IKBN Bachok.

Beliau berkata, ilmu yang diterapkan semasa belajar di IKBN juga diharap dapat membantu mereka mempelajari perkara asas seperti tidak melupakan solat dan mengaji al-Quran. Menurutnya, ia diterapkan semasa belajar di institusi itu sebagai proses persediaan pelajar apabila berada dalam alam pekerjaan dan tidak melupakan melakukan perkara asas sebagai muslim walaupun sibuk bekerja.

Saari berkata, dengan pengisian ilmu keagamaan, ia mampu menjadi benteng kepada pelajar apabila mereka bergelar ketua keluarga dan mempunyai anak-anak kelak melalui kaedah solat yang betul.

Katanya, dengan program khatam al-Quran pelajar diharap menjadi pekerja yang berkemahiran, juga tidak mengetepikan soal keagamaan untuk menjadi generasi yang baik pada masa hadapan.

FENOMENA PELIK : AIR MATA DARAH

Calvinno Inman, Twinkle Dwivedi dan Rashida Khatoon tidak mengenali satu sama lain, tetapi remaja dari India dan Amerika Syarikat ini berkongsi satu masalah penuh misteri yang membingungkan ramai iaitu mereka mengalirkan air mata darah.

Inman, dari Tennessee, menjadi ‘mangsa’ terbaru masalah misteri itu dan penderitaannya itu menjadi perhatian ramai selepas dilaporkan media antarabangsa, akhir bulan lalu. Remaja lelaki berusia 15 tahun itu dikatakan tidak dapat mengawal mengalirkan air mata darah sehingga tiga kali sehari dan berlanjutan selama 15 minit sehingga sejam!

Ketika ramai kagum dengan keadaan dirinya, tetapi tidak ramai yang menyedari masalah itu jelas mengganggu kehidupan Inman. Malah, beliau sering disindir rakan-rakannya yang melabelkannya sebagai kerasukan atau kesakitan setiap kali air mata darahnya mengalir.

“Kadang-kadang saya dapat rasakan ia keluar, sama seperti air mata. Saya berasakan mata saya berair. Kadang-kadang, mata saya terlalu sakit seolah-olah mahu tercabut,” katanya.

Ibu Inman, Tammy Mynatt, yang bimbang dengan keadaan itu berkata, beliau sudah membawa anaknya menjalani pemeriksaan MRI, imbasan CAT dan ultra bunyi serta mengadakan temujanji dengan pakar. Sayangnya, di negara maju seperti Amerika sekali pun, tiada seorang doktor yang dapat mengenal pasti punca keadaan Inman. Malah golongan pakar perubatan turut bingung dengan keadaan itu.

Mynatt menceritakan detik-detik bagaimana beliau menghubungi talian 911 apabila kali pertama anaknya menitiskan air mata darah itu.

“Perkara paling menakutkan dalam hidup saya ialah apabila beliau memandang dan bertanya, ‘Mak, apakah saya akan mati?’ Pertanyaan itu amat menusuk hati kerana sebagai ibu saya cuma mampu memerhatikan tanpa mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Pakar Oftalmologi, Dr Rex Hamilton, berkata remaja itu mungkin menderita keadaan yang digelar Haemolacria atau ringkasnya ‘air mata darah.’

“Ia cuma perkataan menggambarkan manifestasi air mata darah. Ia tidak menyebut apa-apa mengenai puncanya dan terjadi satu dalam sejuta orang,” katanya.

Tidak kurang pula yang mengaitkan masalah itu dengan kecacatan saluran air mata dan ketumbuhan dalam otak, biarpun ia kekal andaian kerana tiada sebarang bukti perubatan bagi menyokongnya.

Apa yang pasti, keadaan Inman menyamai penderitaan ditanggung Rashida Khatoon, remaja dari Patna, di timur laut India. Seperti juga di Amerika, pakar perubatan India juga tidak mempunyai sebarang jawapan di atas penderitaan gadis itu.

“Saya tidak berasa sakit apabila titisan air mata darah itu keluar. Tetapi tergamam juga melihatkan air mata darah yang mengalir dan bukannya tangisan biasa,” kata Rashida.

Jika Inman dituduh kerasukan, Rashida sebaliknya dipandang mulia penganut Hindu yang menganggap dirinya satu keramat. Mereka sanggup ke rumahnya untuk mendapatkan restu serta memberi hadiah kepada Rashida dan keluarganya.

Seorang lagi remaja India, Twinkle Dwivedi, 13, pula kehilangan darah menerusi kulitnya, termasuk mata tanpa mengalami luka atau calar.

Malah dia terpaksa menjalani pemindahan darah apabila ia keluar menerusi mata, hidung, garis rambut, leher dan tapak kaki. Ada kalanya, keadaannya teruk apabila bangun dengan keseluruhan tubuhnya diselaputi darah kering. Penderitaan Dwivedi sebaliknya dipandang serong oleh penduduk kampung yang percayakan beliau disumpah dan menjerit kata-kata menghina gadis itu.

Keluarganya yang bimbang sudah mendapatkan bantuan daripada ramai doktor selain pemimpin agama pelbagai agama tetapi menemui jalan buntu.

“Saya amat terdesak untuk membantu anak saya. Kami tidak percayakan perkara tahyul tetapi amat terdesak. Kami sudah ke kuil, masjid, gereja tetapi tiada apa dapat menyembuhkan anak saya,” kata ibunya, Nandani, 42.

Pakar perubatan India kini percaya keadaan Dwivedi adalah versi teruk masalah platelet darah yang jarang berlaku dan tidak dapat mencari penawar.

Di Malaysia juga tidak terkecuali digemparkan berita hampir sama kira-kira 24 tahun lalu apabila akhbar melaporkan kanak-kanak yang ketika itu berusia 10 tahun, Yogalingam, dari Perak, mengeluarkan benang daripada matanya.

Selama hampir dua minggu, gumpalan benang berterusan keluar menerusi matanya yang memaksanya ditahan di hospital lebih 10 hari. Kesengsaraan Yogalingam bermula dengan rasa gatal dan sakit pada matanya terutama di kelopak mata kanan. Ibunya, Letchumi, yang cemas dengan keadaan itu segera membawa Yogalingam ke hospital Ipoh. Doktor menemui gumpalan hitam pekat di kelopak mata Yogalingam dan apabila ia dikeluarkan hasilnya amat membingungkan doktor kerana ia adalah seutas benang.

Menurut doktor yang merawatnya, lebih 80 gumpal benang ditarik daripada mata kanan kanak-kanak berkenaan dan panjangnya mencecah enam hingga lapan sentimeter. Ia terus menjadi misteri apabila kajian di Makmal Direktorat Kimia Jabatan Kesihatan Malaysia, mengesahkan benang asli itu daripada serat kapas.

Tidak kurang menariknya kejadian aneh pada 2007 mengenai kemampuan gadis Melaka, Siti Suhana Saadon, mengeluarkan beratus-ratus bebola kecil berbentuk kristal dan permata pelbagai warna menerusi ibu jari kirinya. Sekumpulan pakar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melakukan kajian, mengesyaki bebola kecil warna jernih seperti kristal, guli dan hirisan kaca yang keluar daripada ibu jari kaki kiri gadis berkenaan hasil tindak balas enzim dan toksik dalam tubuhnya.

Namakan ia apa saja - misteri, aneh atau pelik tetapi bagi umat Islam, keadaan itu tidak sepatutnya menghairankan sebaliknya menjadi sumber kekaguman kepada kebesaran kuasa Allah.

Apakah mungkin kejadian air mata darah itu dibuat-buat? Atau mungkinkah ini disebabkan virus tertentu yang menyebabkan pendarahan berlaku?

Namun, bagi Pengerusi Persatuan Oftamologikal Malaysia, Prof Dr Muhaya Mohamad, beliau bersetuju dengan pandangan pakar antarabangsa yang kejadian tangisan darah ini sememangnya satu misteri perubatan yang belum terungkai lagi, biarpun dunia menyaksikan pelbagai perkembangan teknologi perubatan serba canggih.

Ini kerana hakikatnya, biar cerdik mana dan pencapaian manusia, masih ada bidang yang belum dapat diterokai kemampuan akal dan tinggal fenomena aneh yang tiada jawapannya.

“Secara jujurnya, saya katakan keadaan itu adalah satu misteri kerana saya tidak pernah berdepan perkara itu sepanjang 18 tahun menjadi pakar mata. Saya memandangnya sebagai tanda kebesaran Allah SWT. Manusia, walaupun berkelayakan sebagai doktor tidak dapat menandingi kuasa Allah SWT. Ilmu kita amat terbatas sedangkan kuasa-Nya tidak terhad.”

Ditanya sama ada dia sendiri pernah berdepan pengalaman merawat pesakit menghidap masalah misteri ini, Dr Muhaya berkata, jika ada pun, ia membabitkan virus sakit mata.

“Kes pernah dikendalikan membabitkan air mata berwarna agak merah jambu yang disebabkan virus sakit mata. Simptomnya membabitkan mata bengkak dan membran yang apabila dibuang menyebabkan warna air mata berubah. Tetapi belum pernah saya berdepan dengan pesakit mengalirkan air mata darah. Jika pesakit menghadapi masalah platelet darah kurang sekalipun, pendarahan berlaku pada retina dan dia tidak akan mengalirkan air mata darah,” katanya.

Justeru, Dr Muhaya berkata, kejadian air mata darah itu sememangnya satu misteri.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk memberi penjelasan mengenai kes ini. Ia satu misteri bagi saya tetapi kita tidak boleh terus mengatakan ia dibuat-buat kerana keadaan itu mungkin satu petunjuk Allah SWT. Sekali lagi saya tegaskan kita manusia jangan sombong kerana pengetahuan kita amat terhad. Perkara seperti ini pun sudah cukup membingungkan kita,” katanya.

SUMBER

ANTARA KES KEMATIAN TRAGIS HARTAWAN DUNIA

Dodi al-Fayed, pewaris hartawan Mesir, Mohammed al-Fayed maut dalam nahas bersama kekasihnya, Puteri Diana pada 1997.

Christine Onassis, anak perempuan dan pewaris tunggal hartawan perkapalan Greek Aristotle Onassis cuba bunuh diri dua kali tetapi mati pada usia 37 tahun kerana serangan jantung selepas pembedahan buang lemak.

Edoardo Agnelli, anak lelaki tunggal Gianni Agnelli dan pewaris empayar perniagaan Fiat, bunuh diri dengan terjun dari jambatan di Turin.

Putera Mahkota Nepal, Dipendra membunuh ibu bapanya, Raja Birendra dan Permaisuri Aishwarya serta tujuh kerabat diraja lain, termasuk adik-adiknya pada 1 Jun, 2001 kerana cintanya terhalang.

CARI REZEKI DENGAN CARA YANG BAIK

Usaha mencari rezeki dan kekayaan dunia, menuntut kudrat dan akal manusia. Jika tidak, manakan wujud perumpamaan lama 'rezeki tidak datang bergolek.'

Malangnya, ada segelintir masyarakat memilih jalan pintas dan terlalu taksub dengan kepercayaan dan amalan lama seperti pelaris perniagaan yang menggunakan sihir dan alat seperti tangkal, wang kertas tertentu serta batu geliga. Ada juga penyebar cerita mendakwa wujudnya penunggu atau jin diletakkan di restoran tertentu yang kononnya ‘menggamit’ pengunjung bertandang.

Belum lagi dicampur dakwaan mengaitkan penggunaan wang kertas RM1 bernombor siri awal dan ekor nombor 99 sebagai pelaris dan pendinding diri. Bagi menambah mujarab, wang kertas itu dihiasi sebaris ayat suci al-Quran yang didakwa juga berperanan sebagai pelaris.

Apa juga cara dan kaedah yang menjadi amalan segelintir peniaga yang inginkan untung, penggunaan bomoh atau pawang membekalkan tangkal atau azimat, terus menjadi buah mulut biarpun diketahui perbuatan mempercayai amalan sedemikian adalah haram kerana mengundang syirik.

Seorang pengamal perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, mengakui masih meneruskan petua tradisi berlandaskan amalan lama sebagai usaha membantu pelanggannya yang berdepan masalah perniagaan.

“Sebenarnya penentu larisnya jualan itu terletak pada diri sendiri. Kebanyakan yang datang bertemu saya adalah pemilik kedai makan. Nasihat saya kepada mereka adalah mereka perlu ada tukang masak yang handal. Namun saya tidak nafikan, azimat seperti kain geliga dan bacaan surah tertentu juga menjadi sebahagian usaha membantu mereka. Ini seperti kepercayaan lama yang mendakwa menyimpan kain tertentu boleh menambah rezeki,” katanya.

Menurut kepercayaan lama, kain geliga terhasil apabila seseorang terserempak ular yang sedang mengawan dan lantas dicampakkan kain ke atas ular itu. Kain itu didakwa boleh memberi rezeki. Enggan mendedahkan proses dilakukannya, Zulkifli mengakui mereka yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi tujuan pelaris perniagaan diberikan ayat tertentu.

“Mereka cuma perlu memohon kepada Allah SWT mengenai apa yang diharapkan kemudian memulakan langkah pertama dengan kaki kanan sebagai mengambil berkat.”

Tidak kurang juga yang berpegang kepercayaan kononnya bulu burung cenderawasih sebagai pelaris. Berikutan itu, tidak hairanlah harga bulu ini boleh mencecah ribuan ringgit. Begitu juga harga burung cenderawasih yang mati atau masih hidup, juga dijual pada harga puluhan ribu ringgit, seekor.

Sementara itu penceramah bebas, Mohd Fauzi Mustaffa, mendakwa pelaris perniagaan sememangnya digunakan secara meluas di kalangan masyarakat yang berniaga dan ingin melariskan jualan mereka.

“Pelaris perniagaan ini biasanya membabitkan penggunaan barangan tertentu sama ada secara tradisional iaitu bomoh. Bagaimanapun, berjumpa bomoh hanya kerana jualannya tidak bagus, makanan tidak sedap tetapi apabila ada sihir dilakukan bomoh membuatkan orang bertumpu di kedainya, adalah dilarang dan sememangnya haram bagi agama Islam.

“Selain itu, ada juga pelaris kedai dibuat menggunakan objek, gambar rajah, azimat atau tangkal. Perhatikan warung atau gerai makan yang meletakkan dalam bingkai, huruf tertentu dalam petak yang digabung seakan-akan menyamai ayat suci al-Quran atau doa tertentu tetapi tidak difahami langsung. Ia juga mungkin sejenis pelaris. Tanpa disedari, bingkai berkenaan boleh menyebabkan syirik kerana kita percaya ia boleh mendatangkan pulangan lumayan sedangkan yang memberikan rezeki kepada umat manusia adalah Allah SWT,” katanya.

Penggunaan pelaris, kata Mohd Fauzi, adalah dilarang kerana boleh mendatangkan syirik walau dengan niat sekadar satu usaha semata-mata.

“Sesiapa yang menggunakan pelaris dengan niat untuk kebaikan perniagaan dan diri sendiri, sebenarnya membabitkan orang lain juga iaitu apabila peniaga yang terpalit, boleh kerugian dan membawa muflis. Tindakan menjahanamkan usaha orang lain juga dilarang Islam. Apa dikesali, ada yang sanggup menggunakan santau dan sihir lain disebabkan hasad dengki,” katanya.

Mohd Fauzi yang juga pengamal perubatan Islam di salah satu pusat di Bangi, juga mendakwa pernah berdepan situasi pelik apabila didatangi seorang peniaga pasar malam yang mengadu gerainya langsung tiada pelanggan.

“Katanya, walaupun orang ramai lalu lalang, tetapi mereka melintas dan langsung seperti tidak pedulikan kewujudan gerainya. Keadaan itu memaksa saya sendiri ke sana. Rupa-rupanya gerai individu itu disihir mereka yang dengki sehinggakan kehadirannya lenyap dari pandangan mata orang ramai,” katanya.

"Perbuatan itu sememangnya diharamkan dan ia juga satu perbuatan syirik selagi pengamalnya tidak bertaubat. Tiada keuntungan peribadi atau duniawi yang sedikit tetapi akhirnya kita masuk ke neraka hanya kerana kita percaya cara itu dapat membantu melariskan jualan melebihi kuasa Allah SWT."

Menurutnya, mengamalkan pelaris perniagaan yang sesat, meninggalkan kesan buruk kepada pengamalnya.

TOMATO CAMERON HIGHLAND PILIHAN UTAMA

Tomato dan bunga kekwa Cameron Highlands diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi, pembekal dan pengeluar dari tanah tinggi mensyaratkan supaya pesanan dua produk pertanian itu dibuat setahun lebih awal daripada tarikh penghantaran.

Difahamkan, benih tomato Momotaro berasal dari Jepun mendapat permintaan tinggi di pasaran negara matahari terbit itu sendiri selepas Hong Kong, Thailand dan Singapura.

Penanaman tomato paling mudah, malah permintaan daripada pasaran luar negara juga tinggi terutama untuk spesies Momotaro dan tomato ceri. Petani di Jepun tidak menanam tomato daripada spesis Momotaro kerana hasilnya tidak setanding Momotaro Cameron Highlands yang ditanam menggunakan tanah kompos bercampur hampas sawit.

Sebagai contoh, benih Momotaro dijual agak mahal iaitu RM1 sebiji tetapi hasil jualannya memang lumayan kerana harga pasaran luar negara untuk spesies itu saja boleh mencecah RM10 sekilogram berbanding tomato biasa sekitar RM2.40 sekilogram.

Bagi penggemar tomato, anda pasti tertanya-tanya bagaimana rasanya tomato Momotaro. Saiznya yang sederhana besar berwarna merah sungguh enak. Rasanya yang lemak manis lebih menyamai rasa buah menyebabkan ia lebih sesuai dimakan mentah atau dijadikan salad.

Tomato spesies Belanda pula mendapat permintaan tinggi daripada pasaran tempatan kerana rasanya yang masam dan sesuai untuk masakan.

Sayuran tanah tinggi mendapat sambutan baik di pasaran Hong Kong, malah harganya juga berkali ganda lebih mahal berbanding sayuran kualiti sama. Disebabkan kualiti sayuran yang baik terutama tomato, ada pengedar di Hong Kong menggelarkan tomato Momotaro sebagai tomato Cameron.

Di Hong Kong, sawi kebiasaannya dijual pada harga RM60 sekilogram manakala ubi kentang RM40 sekilogram.

Jangan pula anda terkejut di Cameron Highlands ada ladang kekwa yang diuruskan oleh warga Jepun. Uniknya, syarikat Classic Jepun yang bertempat di Ringlet itu hanya menerima tempahan kekwa untuk pasaran Jepun saja.

Pengurusnya, F Nishimori berkata, walaupun kilangnya memproses kira-kira 300 tangkai kekwa pelbagai spesis sehari, namun ia masih tidak mampu menampung permintaan pasaran yang kadangkala sepuluh kali ganda banyak berbanding pengeluaran.

“Di Jepun, permintaan paling tinggi diterima pada Mac, Ogos, September dan Disember terutama untuk spesies Crysanthemum. Sama seperti masyarakat Cina, orang Jepun menggunakan kekwa untuk pelbagai upacara keagamaan dan juga ketika kematian,” katanya.

Disebabkan permintaan yang terlalu tinggi, Nishimaro berkata, bunga kekwa untuk eksport ke Jepun perlu dipesan lebih awal sekurang-kurangnya setahun sebelum penghantaran kerana kaedah penanaman kekwa berkualiti eksport memerlukan tempoh penanaman yang panjang.

Malah, bagi menghasilkan kekwa bercabang sempurna, Classic Jepun menggunakan kaedah pancaran cahaya lampu selama 30 hingga 40 hari dan secara keseluruhannya, proses penanaman bunga kekwa yang benar-benar sesuai untuk dieksport selama tiga bulan setengah.

Untuk penghantaran, Classic Jepun memilih kaedah penghantaran menggunakan kapal laut kerana kosnya yang jauh lebih murah iaitu RM15,000 untuk 400 kotak, manakala penghantaran melalui kapal terbang ialah RM60,000 bagi jumlah sama.

KELANTAN TEWASKAN PATTANI

Kota Bharu - Tiga jaringan dari Khalid Jamlus, Norfarhan Muhamad dan Nidzad Ayub membantu Kelantan menumpaskan Pattani dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Kelantan yang menurunkan barisan bayangan yang akan membarisi skuad utama Piala Malaysia tidak lama lagi tidak menunggu lama untuk mendahului lawan apabila Khalid Jamlus yang tidak dikawal didalam kotak penalti menggunakan peluang tersebut untuk menanduk masuk hantaran sepakan penjuru oleh Ezrie Shafizie pada minit ke-5.

Tersentak dengan jaringan tidak disangka-sangka, pemain Pattani melakukan serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan apabila hasil kesilapan Farisham yang tidak mengeluarkan bola dengan kemas dari kawasan pintu gol memberikan satu peluang keemasan kepada pemain Pattani melakukan percubaan ke gawang dalam situasi satu sama satu dengan Kharul Fahmi.

Menyedari diasak hebat pemain lawan, Kelantan mengubah corak serangan dengan melakukan larian pantas Zamri untuk mencari gol dan percaturan tersebut hampir membuahkan hasil apabila dua kali bola lintangan dari sebelah kiri Zamri berjaya menembusi benteng Pattani tetapi dua percubaan Khalid meliar keatas gawang lawan.

Sehinggalah pada minit ke-29, hasil satu serangan balas dari kawasan tengah, Indra yang keseorangan menolak cantik kepada Nor Farhan yang berjaya menggelecek dua pemain pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menolak leret ke gawang yang terbuka luas memberikan gol kedua kepada Kelantan.

Kelantan yang selesa didepan melakukan pertukaran mengeluarkan Farisham dan mengantikannya dengan Sarudi Aziz. Pertukaran tersebut memberi padah apabila Sarudi melakukan kesilapan mudah sebelum menjatuhkan pemain lawan didalam kotak membuatkan pengadil bertugas tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Pattani pada minit ke-39. Pemain pertahanan Pattani yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Kharul Fahmi untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, Kelantan yang mengeluarkan hampir keseluruhan pemain mengatur serangan ke kubu lawan menerusi gandingan Ailim dan Nidzad Ayub.

Gandingan ini hampir memecahkan kubu pertahanan pelawat tetapi akibat salah faham, bola yang sepatutnya menerjah jaring gagal disudahkan mengakibatkan hampir 1000 peminat yang hadir kecewa dan mencemuh mereka berdua.

Mungkin menyedari sikap penonton yang mula melemparkan kata-kata cemuhan, hasil satu hantaran dari Tuan Hafizi kedalam kotak penalti Pattani, Ailim yang tidak dikawal menolak bola kepada Nidzad sebelum disempurnakan untuk memberikan gol ketiga buat Kelantan pada minit ke67.

Selepas gol tersebut, Pattani juga ada membuat percubaan ke pintu gawang Kelantan tetapi ketangkasan Halim Napi menyelamatkan 3 percubaan bahaya seakan-akan tonik buat skuad kedua Kijang mengawal permainan sebelum wisel penamat dibunyikan untuk memberikan kemenangan kepada skuad The Red Warriors.

Fakta :

  • Keseluruhan permainan Kelantan masih lagi belum memuaskan hati. Masih ada lagi beberapa kesilapan dilakukan pemain utama yang boleh mengundang padah kepada pasukan.
  • Beberapa pemain dilabel penumpang didalam skuad Kelantan kerana menampilkan persembahan buruk.
  • Norhisham Hassan masih belum lagi mampu mengeluarkan sentuhan ajaib menyebabkannya dikeluarkan setelah 20 minit separuh masa pertama.
  • Nazrul Erwan Makmor yang bermain selama 75 minit dilihat menggunakan peluang yang diberikan dengan menampilkan persembahan cemerlang mengekang asakan pemain penyerang Pattani.
  • Butler menurunkan hampir kesemua pemain kecuali Che Hishamudin, Mat Chah dan beberapa pemain yang kurang cergas.
  • Beberapa pemain skuad piala Presiden melakukan penampilan pertama dalam skuad senior.
LAIN-LAIN BERITA

KES KEGANASAN KOMUNIS BINTANG TIGA


  • Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

    Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah.

    Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

  • Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

    Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak.

    Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

  • Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

    Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

  • Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

    Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

  • Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

    Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

  • Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

    Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

  • Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

    Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

  • Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

    150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

  • Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

    Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

  • Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

    Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

  • Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

    Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

    Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

  • Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)

    Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.
  • KHASIATDAN KELEBIHAN BUAH KURMA

    Ia baik untuk diet, malah kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan. Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi.

    Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765.

    Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

    Pengusaha kurma terkemuka di negara ini, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata setiap tahun permintaan terhadap kurma meningkat dan biasanya syarikatnya membawa masuk kira-kira 3,000 hingga 4,000 tan dari beberapa negara seperti Iran, Iraq, Mesir, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.

    Beliau yang juga pemilik dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, berkata biasanya stok dibawa masuk dua bulan sebelum Ramadan bagi memudahkan urusan pemasaran dan pengagihan kepada pemborong dan wakil jualan di seluruh negara.

    “Syarikat kami bukan hanya membawa masuk kurma untuk pasaran tempatan, tetapi juga menjadi pembekal utama untuk pasaran di Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

    Tahun ini, gudang kami yang lebih besar baru dibuka, jadi jumlah stok lebih banyak berbanding pada tahun sebelumnya,” katanya.

    Beliau menjelaskan harga kurma bagi sambutan Ramadan kali ini meningkat sedikit, namun beliau masih mengekalkan harga untuk pasaran tempatan dengan kadar lama.

    “Ada beberapa negara pembekal kurma menjual lebih mahal dari tahun lalu tetapi untuk pasaran Malaysia kita masih mengekalkan harganya. Namun, beberapa bekalan kurma segar yang banyak dijual seperti tahun lalu tidak dapat dipasarkan tahun ini kerana bekalan berkurangan. Musim menuai kurma biasanya pada September dan Oktober. Jadi, tahun ini kita kurangkan membawa masuk kurma segar kerana kos membawanya menggunakan kargo udara mahal. Kita jangka stok baru yang lebih segar akan sampai awal September nanti,” katanya yang menguasai 50 peratus pasaran kurma di negara ini.

    Penolong Pengarah, Bahagian Zat Makanan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Surainee Wahab, berkata kurma atau nama botani Phoenix dactylifera mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, kalsium, vitamin B1, vitamin B2, beta karotena serta niasin.

    “Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal. Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral. "

    Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.

    “Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu mengehadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain,” katanya.

    Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.

    Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain.

    Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin. Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

    Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

    Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.

    Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak. Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.

    Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ). Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering.

    Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.

    Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.

    Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

    Malah, kini kurma menjadi bahan utama dalam hamper yang dihadiahkan kepada kawan-kawan, kenalan, saudara mara serta rakan niaga terutama menjelang Ramadan.

    AYAM MUTIARA MAMPU MENJANA PENDAPATAN

    Kita mungkin biasa mendengar Ayam Kampung, Serama dan Belanda. Tetapi tidak ramai yang mengenali sejenis lagi ayam yang tidak kurang hebatnya iaitu Ayam Mutiara atau Api-Api.

    Hebatnya ayam yang berasal dari benua Afrika ini bukan kerana bentuk fizikalnya kelabu berbintik putih dan bertanduk kecil atau kerana kokokan yang nyaring hingga layak digelar ‘polis ladang’ termasuk menghalau ular, tetapi kerana nilai komersialnya yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.

    Di negara Barat misalnya, juadah ayam mutiara yang beratnya boleh mencecah 1.6 kilogram ini, amat popular kerana baik untuk kesihatan, sekali gus menjadikan harganya tinggi. Tidak kurang dakwaan yang mengaitkan telurnya mampu meningkatkan hubungan kelamin.

    Menyedari kehebatannya serta nilai komersialnya baik sebagai haiwan ternakan dan makanan yang mendapat permintaan restoran dan hotel, dua sahabat, Kapten (B) Kamarulzaman Bachik dan Mohammad Zulkiffly A Rahman, berganding tenaga mengusahakan ternakan ayam ini menerusi ladang milik bapa saudara Kamarulzaman yang mereka namakan Z & Z Llittlefarm di Kajang, Selangor.

    “Semuanya bermula pada 2005 dan pada awalnya, kami memelihara dua ekor ayam yang cuma berperanan sebagai penjaga kebun. Ini disebabkan ayam mutiara ini sememangnya diketahui sebagai pengawal haiwan perosak secara semula jadi. Bagaimanapun, menyedari keunikan dan pasaran yang baik baginya, kami menternak lima ekor dan kini jumlahnya induknya mencecah 100 ekor, termasuk 10 jantan,” kata Kamarulzaman, anak kelahiran Melaka yang juga pemilik syarikat ESI Agrotech, ini.

    Katanya, ayam mutiara ini juga mudah dijaga kerana kurang makan, cuma masalahnya, ia suka bertelur di tempat tersembunyi seperti di kawasan semak.

    Zulkiffly pula berkata, harga induk ayam mutiara Z & Z Littlefarm ini dijual kira-kira RM80 seekor yang disifatkan lebih murah berbanding di kedai haiwan peliharaan yang menjual pada harga RM130 seekor.

    Harganya itu jauh lebih tinggi berbanding ayam daging yang dijual kira-kira RM25 seekor, sekali gus menjadikan ayam mutiara ini layak dijadikan sumber pendapatan yang agak lumayan.

    “Harganya subjektif bergantung kepada penawaran dan permintaan di pasaran. Dulu cuma RM35 seekor kerana tak banyak permintaan. Alhamdulillah, permintaan agak memberangsangkan kerana kami tidak putus-putus menerima permintaan. Malah, tidak menang tangan dibuatnya untuk memenuhi permintaan. Senarai menunggu pula mencecah kira-kira 30 ekor pada satu-satu masa,” kata Zulkiffly.

    Permintaan tinggi itu menyebabkan dua sahabat ini turut memiliki kemudahan penetasan telur ayam mutiara ini. Seekor ayam mutiara betina mampu bertelur sehingga 30 biji pada satu-satu masa dan tempoh matangnya pula sembilan bulan ke atas atau satu hingga satu setengah tahun ke atas. Tempoh pengeraman menggunakan mesin inkubator khas, ini adalah 28 hari.

    “Menariknya, kita tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan pun sudah boleh dijual,” kata Kamarulzaman.

    Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Haiwan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zukifli Idrus, berkata ayam mutiara ini boleh disifatkan sebagai produktif serta tahan lasak berbanding ayam daging biasa.

    “Ia mula bertelur selepas berusia setahun manakala ayam daging pula bertelur apabila ia mencecah usia 20 minggu. Tetapi ayam mutiara ini sebaliknya mampu bertelur sehingga tujuh tahun lamanya. Oleh itu kita boleh katakan antara keunikan ayam mutiara ini adalah tempoh kemampuannya bertelur,” katanya.

    Keunikan lain ayam mutiara ini, kata Dr Zulkifli adalah ia lebih tahan lasak dalam keadaan cuaca panas.

    “Ayam mutiara ini memang tahan lasak disebabkan asal usulnya dari Afrika Barat yang bercuaca panas. Ayam daging sebaliknya tidak tahan panas dan boleh mati.”

    Ini katanya, berkait rapat dengan faktor genetik ayam daging yang sudah diubah suai berikutan kedudukannya sebagai ternakan komersial.

    “Pengubahsuaian itu menjadikan ayam daging ‘lemah’ kerana keutamaannya ialah untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat.”

    Faktor itu juga kata Dr Zulkifli, turut menjadikan ayam daging lebih tinggi kolesterol kerana kandungan lemaknya yang banyak berbanding ayam mutiara.

    “Daging ayam mutiara sebaliknya diketahui lebih sihat dan rendah kolesterol jika dibanding dengan ayam daging. Bagi setiap 100 gram misalnya, lemak dalam ayam mutiara cuma dua gram manakala ayam daging, enam gram. Ini menunjukkan kandungan lemak ayam daging itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada ayam mutiara," katanya.

    SUMBER