WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PHARMANIAGA MAHU LAHIRKAN BANYAK VENDOR

Setelah berjaya melahirkan 11 vendor tempatan dan kebanyakan disenarai di Bursa Malaysia, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), mahu menggiatkan lagi usaha tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam tempoh itu, Pharmaniaga, syarikat penjagaan kesihatan bersepadu di Malaysia, berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya 10 vendor baru untuk membekal dan memenuhi keperluannya, kata Pengarah Urusannya, Mohamad Abdullah.


Antara syarikat vendor yang berjaya dilahirkan melalui program anak angkat sebelum ini ialah CCM Duopharma, Idaman Pharma Sdn. Bhd., Medidata Sdn Bhd, Chemical Industries (Malaya) Sdn. Bhd., e-Eureka Sdn. Bhd., Supplier (Drug) Leo Pharma dan Suria Medik Sdn Bhd.

Mohamad berkata, dalam program sebegini, vendor kelahiran Pharmaniaga diharap dapat memberikan semangat baru kepada para pembekal sedia ada untuk membangunkan perniagaan lebih berkualiti yang akan turut memanfaatkan.

''Malah ramai vendor kini berpuas hati dengan program ini selepas kita menukar perancangan untuk menjelaskan bayaran setiap perkhidmatan mereka dipendekkan berbanding 90 hari sebelum ini,'' katanya.

Pharmaniaga diwujudkan atas dasar penswastaan bagi membantu Kementerian Kesihatan khasnya di dalam mendapatkan perolehan, stok, penghantaran dan pembangunan vendor bagi kerja-kerja berkaitan perubatan dan peralatan hospital di negara ini. Menurut Mohamad, antara kunci utama kepada keberkesanan perancangan itu ialah dengan kejayaan membangunkan industri farmaseutikal tempatan.

Selain itu Pharmaniaga juga telah berjaya meningkatkan industri perubatan tempatan dengan menghasilkan ubat-ubat generik dan tidak lagi terlalu bergantung kepada ubatan import. Buat masa ini, Pharmaniaga hanya mengilang enam peratus atau 37 daripada 570 produk yang dipasarkan oleh syarikat itu di bawah APPL, manakala selebihnya oleh 83 pembekal lain.

''Dengan pengalaman hampir selama 15 tahun, kita telah banyak membantu kerajaan menjimatkan kos yang berkaitan industri ini," katanya.

Mohamad memberitahu, Pharmaniaga kini sedang menghabiskan baki-baki kontrak yang dianugerahkan oleh kerajaan sejak 15 tahun lalu dan kini sedang dalam perundingan agar kontrak baru dilanjutkan.

Sebagai pemegang konsesi berkaitan katanya, pembekalan dan perolehan perubatan banyak syarikat telah menerima faedah dari kontrak yang diberikan. Beliau memberitahu, Pharmaniaga menjalankan perniagaannya berdasarkan kepada tiga teras utama iaitu logistik, farmaseutikal generik dan memasang peralatan perubatan.

Sebagai pemegang konsesi logistik untuk kerajaan ia dikendalikan oleh Pharmaniaga Logistik Sdn. Bhd., dan sebagai agen perolehan, syarikat itu membekalkan lebih kurang 570 barangan kepada Kementerian Kesihatan di 1,400 buah hospital, klinik dan klinik desa milik kerajaan. Namun sejak tahun lalu, Pharmaniaga Logistik hanya membekalkan sekitar 15 peratus daripada 570 barangan yang diberikan oleh kerajaan untuk diedarkan.

Selain bidang logistik, Pharmaniaga juga turut memfokuskan kepada perubatan generik yang mana ubat-ubatan yang tamat tempoh hayatnya di pasaran akan dikeluarkan semula menerusi label baru. Mohamad menjelaskan, setiap ubat yang dikeluarkan akan dikawal oleh pengeluarnya daripada tarikh penghasilannya untuk tempoh 20 tahun sebelum boleh diambil oleh pengeluar lain dan dijual menggunakan jenama lain.

"Ubat-ubat asal atau 'inovator' juga sudah menghampiri tarikh luput, sekali gus memberi peluang kepada pengeluar ubat generik untuk mendapat hak pengeluaran ubat generik baru," ujarnya.

Pharmaniaga melihat perubatan generik merupakan bidang perniagaan yang lumayan berikutan dan ketika ini lebih 150 produk berkaitan sedang dibangunkan di kilangnya di Bangi.

"Pharmaniaga mengunjurkan perolehan berjumlah RM7.16 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pelancaran sekurang-kurangnya 14 ubat generik setahun mulai tahun depan," katanya.

Bercakap tentang perluasan operasinya di seberang laut, Mohamad berkata, Pharmaniaga telah mengenal pasti Vietnam sebagai perintis kepada penerokaan penjualan produk farmaseutikalnya di kawasan Indochina. Mohamad berkata, pihaknya yang membuka pejabat jualannya di negara itu, melihat potensi untuk perniagaan farmaseutikal berkembang adalah positif.

"Kawasan Indochina seperti Vietnam, Myanmar, Laos, Kemboja dan negara-negara berdekatan amat berpotensi untuk dijadikan pasaran baru kami malah dijangka menjadi pemacu baru pertumbuhan aktiviti eksport syarikat," katanya.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.