WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

AGROBANK SEDIA RM1B UNTUK PKS

AgroBank memperuntukkan dana hampir RM1 bilion untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) khususnya yang terbabit dalam bidang pertanian, malah hampir 70 peratus pendapatan diperoleh bank itu datang daripada segmen berkenaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said berkata, AgroBank menawarkan pelbagai pinjaman yang kebanyakannya untuk segmen PKS dan mendapat pembiayaan antaranya dari kerajaan serta Kementerian Kewangan.

“Antara pinjaman ditawarkan adalah Fund For Food (3F) yang menjurus kepada pengusaha pertanian dengan penyediaan tawaran mencecah RM500 juta. Purata pinjaman diberikan untuk setiap pemohon RM20,000, namun pinjaman minimum ditawarkan serendah RM2,000,” katanya.

Menurutnya, AgroBank memberi lebih tumpuan kepada segmen pinjaman rendah, malah memfokuskan kepada industri pertanian.

“Penyumbang utama kepada pendapatan keseluruhan bank daripada segmen pinjaman rendah khususnya bidang pertanian kerana dianggap sebagai segmen penting untuk Agrobank,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, AgroBank juga menetapkan untuk bertukar status kepada perbankan Islam menjelang 2015.

“Bagaimanapun, sejak 14 tahun lalu, kami sudah menawarkan produk bercirikan perbankan Islam kerana secara tidak langsung memudahkan urusan pertukaran menjelang tempoh ditetapkan kelak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tempoh diberikan agak panjang, namun dirasakan sesuai kerana proses pertukaran membabitkan duti setem.

“Untuk menukar kepada status Perbankan Islam daripada konvensional, kita perlu membayar duti setem yang agak tinggi. Namun, disebabkan kami sudah memulakan produk Perbankan Islam sejak beberapa tahun lalu, maka proses pertukaran itu dijangka lebih mudah,” katanya.

REMAJA 16 TAHUN JADI JUTAWAN MUDA

Seorang remaja sekolah di Britain, Christian Owens mencipta sejarah apabila dia berjaya memperoleh kekayaan £1 juta (RM4.9 juta) dalam usia 16 tahun selepas memulakan perniagaannya dua tahun lalu.

Dia yang berasal dari Corby, Northamptonshire di sini mula menjalankan bisnes dengan duit poket sendiri pada usia 14 tahun apabila melancarkan laman web Mac Box Bundle yang menjana perolehan £700,000 (RM3.5 juta).

Owens kemudian menubuhkan syarikat iklan menerusi Internet, Branchr pada 2009 yang memperoleh £500,000 (RM2.5 juta) tahun lalu dan kini turut dilanggani firma bidaan ternama, William Hill serta laman sosial MySpace.

Walaupun sibuk, dia hanya aktif selepas waktu persekolahan dan hari hujung minggu namun Owens kini mampu menggaji lapan pekerja, semuanya orang dewasa serta merancang membuka dua cawangan tahun depan.

Dia yang kini tinggal bersama bapanya yang merupakan pekerja kilang, Julian, 50, dan ibunya, Alison, 43, setiausaha sebuah syarikat, mendapat idea menjadi jutawan muda daripada kisah kejayaan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs.

ASID LEMAK UNTUK WANITA HAMIL

Asid Dokosaheksanoik (DHA) dijumpai dengan jumlah yang banyak dalam otak dan sistem saraf. Memandangkan asid lemak omega-3 tidak dapat dihasilkan badan, diet yang kaya dengan omega-3 adalah penting untuk memastikan proses tumbesaran dan perkembangan yang baik.

Kajian mendapati DHA terkumpul dalam otak janin semasa kehamilan dan berterusan sepanjang beberapa tahun terawal kehidupan. Pengambilan DHA yang tinggi semasa kehamilan menjurus kepada tahap DHA yang lebih tinggi di kalangan bayi semasa kelahiran dan merangsang perkembangan kognitif, daya tumpuan, kualiti pergerakan dan ketajaman penglihatan dari peringkat bayi hingga usia persekolahan.

Pakar dari The International Society for the Study of Fatty Acids and Lipids (ISSFAL) mengesyorkan wanita hamil dan menyusu mengambil sekurang-kurangnya 300mg DHA setiap hari. Penyusuan ibu secara berterusan akan memindahkan LCP ibu kepada bayi melalui susu ibu. Dengan itu, para ibu seharusnya mengekalkan pengambilan DHA semasa tempoh penyusuan. Manakala wanita yang kekurangan DHA lebih berkecenderungan untuk mengalami kemurungan selepas bersalin.

TEKNIK MENYIMPAN SUSU IBU

Sekiranya memerah susu di tempat kerja, sebaik-baiknya simpan perahan susu ibu di dalam peti sejuk. Jika di tempat anda bekerja tidak ada peti sejuk, bolehlah disimpan dengan menggunakan cara ini:

Guna kotak 'piknik' yang boleh memuatkan bahan penyejuk (cooling element) dan sekurang-kurangnya dua botol susu. Ini adalah antara kaedah terbaik demi memastikan perahan susu ibu sentiasa sejuk sebelum tiba di rumah. Gunakan termos air panas yang diubahsuai supaya ia sejuk.

Mula dengan memasukkan ketulan-ketulan ais ke dalamnya beberapa hari sebelum anda mula bekerja. Isikan juga ketulan ais sebelum dibawa ke tempat bekerja. Buangkan semua ketulan ais sebelum isi perahan susu ibu. Cara ini lebih mudah daripada berulang-alik ke rumah untuk menyusukan bayi.

Ibu perlu memerah susu 1 - 2 kali di tempat kerja untuk di bawa balik. Perahan susu ibu boleh disimpan di dalam peti sejuk sebaik tiba di rumah untuk keperluan esok hari. Jika menggunakan termos yang berisi ketulan ais, pastikan bila anda memerah kali kedua/ketiga, perahan susu ibu mesti disejukkan terlebih dulu sebelum dicampur dengna perhan susu ibu sebelumnya.

Bekas sesuai untuk menyimpan perahan susu ibu.

Bekas atau botol plastik yang boleh tahan beku dan panas.

Botol susu berukuran 120 ml.

Perahan susu ibu yang disimpan dalam peti sejuk dua pintu sebaik-baiknya dihabiskan dalam masa dua minggu. Letakkan bekas-bekas yang berisi PSI ke tempat penyejuk (chiller) rak pertama - bukan di rak di tepi pintu. (Tahan 24 jam).

CARA MENANAM KURMA

Menanam pokok kurma terbahagi kepada dua iaitu:

A) Menanam pokok kurma dari anak kurma.

Pokok pokok kurma dewasa kebiasaannya akan mengeluarkan anak-anak kurma di pangkal pokok dan jumlahnya bergantung kepada umur pokok dewasa. Anak-anak pokok kurma ini boleh dipisahkan daripada batang pokok kurma dewasa dan ditanam di tempat lain. Kerja-kerja memisahkan anak kurma amat rumit dan jika tidak dilakukan dengan cermat akan merosakkan anak kurma dan juga pokok kurma dewasa.

Menurut sesetengah pendapat mengatakan 70 peratus anak-anak pokok kurma yang tumbuh dari pokok dewasa adalah baka pokok betina dan boleh menghasilkan buah. Manakala 80 peratus baka pokok yang tumbuh dari biji adalah pokok jantan. Anak-anak pokok kurma yang telah dipisahkan dari pokok kurma mestilah dibekalkan dengan cukup air. Ini kerana kebanyakan akar anak-anak kurma ini telah terputus.

Cara yang terbaik merawat akar-akar anak kurma ini ialah dengan membalut akar yang terputus itu dengan guni basah. Cara lain ialah dengan merendam sebahagian pangkal anak-anak kurma ini dalam air sehingga akar-akar baru tumbuh.

Sekiranya memilih untuk menanam anak-anak kurma sebaik sahaja dipisahkan, adalah sangat perlu menyiram dua kali sehari dengan kadar air yang cukup. Pastikan tanah sekitar anak kur yang bar ditanam lembap selama antara dua dan tiga bulan.

B) Menanam kurma menggunakan biji.

Biji-biji kurma mudah didapati selepas memakan buah kurma kering. Ia diasingkan bagi tujuan penyemaian. Kita boleh menentukan jenis-jenis kurma yang popular yang biasa dibawa pulang dari tanah Arab ialah ajwah dan ambar.

Rahsia pendebungaan

Pokok kurma mempunyai jantina iaitu pokok jantan dan pokok betina. Kedua-dua jantina menghasilkan bunga.

Tahukah anda bahawa bunga-bunga kurma tidak menghasilkan bau dan rasa?

Oleh kerana itu, serangga dan lebah tidak membantu di dalam proses pendebungaan pokok kurma. Pencantuman bunga jantan dan bunga betina harus dilakukan dengan bantuan manusia menggunakan tangan. Bunga-bunga kurma jantan boleh diambil dan disimpan di dalam penyejuk dalam tempoh setahun sekiranya pokok-pokok kurma betina belum menghasilkan bunga. Proses pendebungaan boleh dilakukan dari dari tiga hingga 30 hari setelah bunga-bunga betina keluar dari mayang pokok.

Proses membuat debunga daripada bunga jantan

1.Membuang kelopak mayang kurma bermula dari atas ke bawah. Mayang pokok kurma jantan biasanya tertutup bagi mengelakkan tiupan angin atau serangga. Kemudian letakkan bunga kurma jantan tadi di atas rak yang kering.
2 Setelah pengeringan bunga kurma jantan selesai, goyangkanlah bunga kurma jantan tadi bagi mendapatkan debunga kurma jantan.
3. Bunga-bunga kurma jantan dibahagikan kepada dua bahagian. Sepohon bunga kurma jantan boleh mendebungakan 40 hingga 50 pokok kurma betina.
4.Setelah proses pendebungan siap maka bunga kurma ini hendaklah dijarakkan bagi menghasilkan buah kurma yang besar. Bilah bunga yang rapat hanya menghasilkan buah yang banyak tapi saiznya kecil.

HAMPAS TEBU TAPIS UDARA TERCEMAR

Tebu atau nama saintifiknya Saccharum Officinarum adalah tanaman utama yang digunakan untuk menghasilkan gula. Dalam proses membuat gula, hasil sampingan (buangan) yang terhasil dipanggil sugarcane dregs atau hampas tebu.

Bahan buangan ini tergolong dalam kelas karbon yang diaktifkan.

Karbon ini mempunyai liang mikro yang berupaya menyerap gas dari bahan bakar petroleum (petrol fuel gases) yang dihasilkan daripada kenderaan bermotor yang berbahaya kepada orang ramai.

Hampas tebu yang tidak mempunyai nilai komersial dimasukkan ke dalam botol air mineral yang diguna semula dan gas yang mengandungi bahan pencemar disalurkan ke dalam botol tersebut.

Objektif kajian ini adalah untuk mengukur keberkesanan hampas tebu dalam menyerap partikel pencemaran dari udara.

Hasil daripada kajian ini menunjukkan bahawa karbon yang diaktifkan dalam hampas tebu mampu menurunkan jumlah karbon monoksida dalam udara sebanyak 74.51 peratus , nitrus oksida sebanyak 29.35 peratus dan hidrokarbon yang tidak terbakar sebanyak 58.07 peratus

Keputusan ini menunjukkan bahawa bahan buangan dari proses pembuatan gula boleh digunakan dalam usaha mengurangkan pencemaran udara.

COTU [LORD OF RAMADAN]

DULU MINAT HERBA, KINI JUAL POKOK KURMA

Menyedari potensi besar tanaman pokok kurma, seorang guru matematik, Mohd. Rahof Abdul, 48, di Kampung Tehel Bemban, Melaka nekad mengeluarkan benih anak pokok kurma untuk dijual secara komersial sejak tiga tahun lalu.

Berbekalkan sedikit modal, dia mula menanam 1,200 benih pokok kurma sebagai permulaan di tapak semaian yang terletak bersebelahan rumahnya dengan keluasan sekitar separuh gelanggang badminton. Ternyata, kegigihannya ternyata tidak sia-sia bahkan memberi pulangan lumayan apabila hasil jualan anak-anak pokoknya mendapat sambutan menggalakkan.

Ia dijual kepada orang ramai dengan harga sekitar RM250 sepokok bergantung kepada saiz dan usia. Mohd. Rahof memberitahu, permintaan tinggi terhadap pokok tersebut menyebabkan kini hanya tinggal kira-kira 300 anak pokok kurma yang masih boleh dijual.

‘‘Daripada 300 anak pokok itu, sebanyak 250 adalah jenis baka Tunisia manakala baki 50 lagi dari jenis Ajwa yang berusia antara enam bulan hingga dua tahun setengah,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau memilih untuk menjual anak pokok dalam polibeg kerana lebih mudah berbanding menjual pokok kurma dewasa yang harganya lebih mahal dan lebih sukar untuk dipindahkan. Dengan cara itu, pembeli boleh menjaga sendiri dan melihatnya membesar sehingga mencecah usia dewasa. Jika dijaga dengan baik mengikut kaedah pendebungaan yang betul maka ia mulai mengeluarkan buah ketika berusia antara lima hingga tujuh tahun.

Mengimbas semula bagimana timbul minat terhadap anak pokok kurma, Rahof berkata, beliau asalnya gemar menanam pokok herba. Bagaimanapun selepas menyaksikan sendiri sebuah syarikat kontraktor berjaya menjual sebatang pokok kurma dengan harga RM2,000 kepada sebuah resort di Melaka untuk dijadikan hiasan, minatnya mula timbul. Katanya, hasrat untuk membuka tapak semaian anak pokok kurma semakin membuak-buak apabila berkunjung ke Madinah dan Mekah.

‘‘Di Madinah kita boleh lihat hotel menjadikan pohon kurma sebagai hiasan, ia bertambah cantik bila disapu syalek. Selain itu, di sana juga kita boleh lihat pokok kurma sungguh cantik dijadikan hiasan di kaki lima jalan raya,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Jasin.

Maka sekembali di tanah air, dia melihat terdapat ruang dan peluang yang luas untuk rakyat negara ini menceburi bidang penanaman pokok kurma secara komersial khususnya bagi masyarakat Islam yang amat dekat kehidupan mereka dengan kurma. Lebih-lebih lagi, katanya, pohon kurma bukan sahaja disebut beberapa kali dalam al-Quran tetapi juga terbukti terlalu mempunyai banyak khasiat.

Bagi tujuan hiasan, keindahan pokok kurma tidak dapat dinafikan lagi untuk dijadikan hiasan bagi menggantikan pokok palma atau kelapa sawit atau tanaman biasa lain. Ini kerana, katanya, ia akan lebih menampakkan imej Islam dan mempunyai nilai estetika yang tinggi dan menenangkan khususnya untuk lokasi seperti masjid, surau, pusat Islam, universiti, lokasi awam dan sebagainya.

Selain itu, debunga kurma juga boleh digunakan bagi meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki untuk pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata.

Allah s.w.t menjadikan buah kurma cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tiada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau.

Allah pelihara dan memuliakannya manakala pokok kurma mesti disenyawakan oleh tangan manusia. Di Madinah hanya orang Arab sahaja yang sanggup memanjat dan turun naik ke atas pokok kurma untuk melakukan pencantuman ini.

‘‘Pendebungaan secara manual oleh manusia dengan mengambil debunga jantan lalu diketuk ke mayang pokok betina,” kata Mohd. Rahof.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan anak pokok kurma boleh menghubungi beliau di 013-6476591 atau emel di rahofmra@yahoo.com.my.

ICMIC MAHU LATIH LEBIH RAMAI PAKAR TEMPATAN

Syarikat pengeluar cip antarabangsa, IC Microsystem Sdn. Bhd. (ICmic) mahu melatih lebih ramai pereka litar bersepadu (IC design) tempatan bagi mengembangkan industri pembuatan cip elektronik di negara ini.

Malah, pada waktu ini, kos untuk menggunakan seorang tenaga pakar dalam bidang berkenaan adalah RM2 juta seorang. Setakat ini, ICmic mempunyai 14 kakitangan mahir dalam mereka bentuk litar bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Munir berkata, di Malaysia, bilangan kakitangan yang pakar dalam litar bersepadu tidak ramai dan ia perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.

"Setakat ini, daripada 14 tenaga pakar kami, 70 peratus daripadanya merupakan tenaga tempatan. Jika boleh, kami mahu melatih lebih ramai pakar litar bersepadu di kalangan masyarakat tempatan bagi membuktikan keupayaan rakyat Malaysia dalam industri semikonduktor,'' katanya.

Di ICmic, menurut Abdul Rashid, menawarkan program perantis untuk golongan yang baru menamatkan pengajian. Setakat ini, katanya, syarikat mempunyai lebih 210 perantis dan tidak semua daripada mereka berkelayakan untuk mereka bentuk cip.

Menurut beliau, setiap perantis memerlukan masa hampir tiga tahun untuk mencapai status mahir dan pakar dalam industri.

"Hanya 20 peratus daripada 210 perantis kami boleh mereka bentuk pembuatan cip manakala yang lain dalam proses pembelajaran. Golongan graduan yang berkemahiran dari sudut praktikalnya kurang berbanding di Amerika Syarikat (AS). Di AS, syarikat-syarikat dalam industri semikonduktor banyak. Malah, mahasiswa kejuruteraan di negara itu bebas dan mudah menjalankan praktikal di syarikat-syarikat tersebut,'' ujarnya.

Tambah Abdul Rashid, sistem pendidikan tinggi di negara ini terutamanya dalam bidang kejuruteraan amat baik, namun terdapat sedikit kelemahan dari sudut praktikalnya.

Ketika ditanya mengenai profail dirinya, Abdul Rashid berkata, beliau memulakan kerjayanya di ICmic pada 2001 yang lalu. Namun, sebelum itu, beliau telah berkhidmat dan mendapatkan pengalaman di Motorola Malaysia selama 11 tahun dalam pelbagai jawatan kejuruteraan. Sewaktu berkhidmat di Motorola, beliau sudah beraspirasi untuk meneroka pasaran rekaan litar bersepadu tempatan dan mencipta 100 peratus harta intelek tempatan.

11,631 SYARIKAT DITUTUP DALAM TEMPOH 6 BULAN

Sebanyak 11,631 buah syarikat berdaftar di Malaysia 'gulung tikar' dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mengatasi jumlah keseluruhan tahun lepas sebanyak 11,409 buah syarikat.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 10,879 buah syarikat dinyah senarai di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965 yang melibatkan garis panduan syarikat tidak beroperasi, 737 buah ditutup secara sukarela dan 15 lagi melibatkan syarikat asing.

Jika angka ini diambil kira, dijangkakan jumlah keseluruhan syarikat yang ditutup pada tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan mungkin menghampiri rekod tertinggi sebanyak 27,913 buah yang dicatatkan pada tahun 2008.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rokiah Mohd. Noor berkata, pihaknya mengenalpasti tiga punca utama syarikat ditutup iaitu disabit kesalahan di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965, secara sukarela dan arahan daripada mahkamah.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dilakukan SSM, kebanyakan syarikat terpaksa ditutup akibat melanggar peraturan seperti gagal menghantar penyata laporan tahunan dan tidak aktif selama beberapa tahun.

"Sebelum sesebuah syarikat ditamatkan, mereka akan diberikan notis dan gazet sebanyak dua kali sebagai amaran. Jika tiada sebarang maklum balas daripada syarikat yang berkenaan, SSM berkuasa menyah senarai syarikat mereka.”

Rokiah turut menafikan bahawa peningkatan jumlah penutupan syarikat pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlarutan sejak tahun lepas. Beliau berkata, jumlah tersebut adalah perkara biasa dan penutupan syarikat disebabkan faktor kegagalan syarikat baharu bertahan khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Setiap tahun syarikat yang berdaftar di bawah SSM sentiasa meningkat dan faktor inilah yang menyebabkan syarikat yang gagal juga meningkat. Mereka gagal bukan disebabkan faktor ekonomi semasa tetapi adalah disebabkan masalah dalaman individu atau syarikat tersebut,'' ujarnya.

Katanya, jumlah syarikat besar 'gulung tikar' adalah perkara biasa dan tidak wajar jika perkara tersebut dikaitkan dengan kegawatan ekonomi semata-mata. Tambahnya lagi, tindakan SSM mengemaskini laporan tahunan setiap syarikat juga menjadi faktor semakin banyak syarikat tidak aktif ditutup.

"Contohnya pada tahun 2008, sebanyak 27,913 buah syarikat disahkan ditutup setelah SSM menjalankan 'Ops Bersih' sejak akhir 2007. Sejak 2002, sebanyak 100,763 buah syarikat telah dinyah senarai,'' jelasnya.

Sehingga Jun 2010, sebanyak 905,539 syarikat berdaftar dengan SSM yang masih aktif dan 901,196 daripadanya adalah syarikat tempatan manakala 4,343 adalah syarikat asing. Daripada jumlah tersebut PKS menyumbang 99.2 peratus daripadanya dan hanya kira-kira 1,000 buah syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat senaraian awam.