WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

CARI REZEKI DENGAN CARA YANG BAIK

Usaha mencari rezeki dan kekayaan dunia, menuntut kudrat dan akal manusia. Jika tidak, manakan wujud perumpamaan lama 'rezeki tidak datang bergolek.'

Malangnya, ada segelintir masyarakat memilih jalan pintas dan terlalu taksub dengan kepercayaan dan amalan lama seperti pelaris perniagaan yang menggunakan sihir dan alat seperti tangkal, wang kertas tertentu serta batu geliga. Ada juga penyebar cerita mendakwa wujudnya penunggu atau jin diletakkan di restoran tertentu yang kononnya ‘menggamit’ pengunjung bertandang.

Belum lagi dicampur dakwaan mengaitkan penggunaan wang kertas RM1 bernombor siri awal dan ekor nombor 99 sebagai pelaris dan pendinding diri. Bagi menambah mujarab, wang kertas itu dihiasi sebaris ayat suci al-Quran yang didakwa juga berperanan sebagai pelaris.

Apa juga cara dan kaedah yang menjadi amalan segelintir peniaga yang inginkan untung, penggunaan bomoh atau pawang membekalkan tangkal atau azimat, terus menjadi buah mulut biarpun diketahui perbuatan mempercayai amalan sedemikian adalah haram kerana mengundang syirik.

Seorang pengamal perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, mengakui masih meneruskan petua tradisi berlandaskan amalan lama sebagai usaha membantu pelanggannya yang berdepan masalah perniagaan.

“Sebenarnya penentu larisnya jualan itu terletak pada diri sendiri. Kebanyakan yang datang bertemu saya adalah pemilik kedai makan. Nasihat saya kepada mereka adalah mereka perlu ada tukang masak yang handal. Namun saya tidak nafikan, azimat seperti kain geliga dan bacaan surah tertentu juga menjadi sebahagian usaha membantu mereka. Ini seperti kepercayaan lama yang mendakwa menyimpan kain tertentu boleh menambah rezeki,” katanya.

Menurut kepercayaan lama, kain geliga terhasil apabila seseorang terserempak ular yang sedang mengawan dan lantas dicampakkan kain ke atas ular itu. Kain itu didakwa boleh memberi rezeki. Enggan mendedahkan proses dilakukannya, Zulkifli mengakui mereka yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi tujuan pelaris perniagaan diberikan ayat tertentu.

“Mereka cuma perlu memohon kepada Allah SWT mengenai apa yang diharapkan kemudian memulakan langkah pertama dengan kaki kanan sebagai mengambil berkat.”

Tidak kurang juga yang berpegang kepercayaan kononnya bulu burung cenderawasih sebagai pelaris. Berikutan itu, tidak hairanlah harga bulu ini boleh mencecah ribuan ringgit. Begitu juga harga burung cenderawasih yang mati atau masih hidup, juga dijual pada harga puluhan ribu ringgit, seekor.

Sementara itu penceramah bebas, Mohd Fauzi Mustaffa, mendakwa pelaris perniagaan sememangnya digunakan secara meluas di kalangan masyarakat yang berniaga dan ingin melariskan jualan mereka.

“Pelaris perniagaan ini biasanya membabitkan penggunaan barangan tertentu sama ada secara tradisional iaitu bomoh. Bagaimanapun, berjumpa bomoh hanya kerana jualannya tidak bagus, makanan tidak sedap tetapi apabila ada sihir dilakukan bomoh membuatkan orang bertumpu di kedainya, adalah dilarang dan sememangnya haram bagi agama Islam.

“Selain itu, ada juga pelaris kedai dibuat menggunakan objek, gambar rajah, azimat atau tangkal. Perhatikan warung atau gerai makan yang meletakkan dalam bingkai, huruf tertentu dalam petak yang digabung seakan-akan menyamai ayat suci al-Quran atau doa tertentu tetapi tidak difahami langsung. Ia juga mungkin sejenis pelaris. Tanpa disedari, bingkai berkenaan boleh menyebabkan syirik kerana kita percaya ia boleh mendatangkan pulangan lumayan sedangkan yang memberikan rezeki kepada umat manusia adalah Allah SWT,” katanya.

Penggunaan pelaris, kata Mohd Fauzi, adalah dilarang kerana boleh mendatangkan syirik walau dengan niat sekadar satu usaha semata-mata.

“Sesiapa yang menggunakan pelaris dengan niat untuk kebaikan perniagaan dan diri sendiri, sebenarnya membabitkan orang lain juga iaitu apabila peniaga yang terpalit, boleh kerugian dan membawa muflis. Tindakan menjahanamkan usaha orang lain juga dilarang Islam. Apa dikesali, ada yang sanggup menggunakan santau dan sihir lain disebabkan hasad dengki,” katanya.

Mohd Fauzi yang juga pengamal perubatan Islam di salah satu pusat di Bangi, juga mendakwa pernah berdepan situasi pelik apabila didatangi seorang peniaga pasar malam yang mengadu gerainya langsung tiada pelanggan.

“Katanya, walaupun orang ramai lalu lalang, tetapi mereka melintas dan langsung seperti tidak pedulikan kewujudan gerainya. Keadaan itu memaksa saya sendiri ke sana. Rupa-rupanya gerai individu itu disihir mereka yang dengki sehinggakan kehadirannya lenyap dari pandangan mata orang ramai,” katanya.

"Perbuatan itu sememangnya diharamkan dan ia juga satu perbuatan syirik selagi pengamalnya tidak bertaubat. Tiada keuntungan peribadi atau duniawi yang sedikit tetapi akhirnya kita masuk ke neraka hanya kerana kita percaya cara itu dapat membantu melariskan jualan melebihi kuasa Allah SWT."

Menurutnya, mengamalkan pelaris perniagaan yang sesat, meninggalkan kesan buruk kepada pengamalnya.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.