WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

CSL SEDIA BIASISWA RM10 J IKUTI DIPLOMA DI UTM

PENGELUAR telefon bimbit tempatan, Kumpulan Syarikat CSL (CSL) menyediakan biasiswa RM10 juta untuk pelajar mengikuti Diploma Eksekutif Perniagaan Runcit dan Pengurusan Teknologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Naib Pengerusi Eksekutif CSL, Megat Radzman Megat Khairuddin, berkata pemberian biasiswa itu bertujuan menambah bilangan usahawan Bumiputera dalam perniagaan alat telekomunikasi di negara ini.

Sambil menjelaskan jumlah Bumiputera terbabit dalam perniagaan itu ketika ini terlalu sedikit, beliau berkata program dengan kerjasama UTM itu akan dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam tempoh terdekat. "Setiap pelajar akan menerima elaun kira-kira RM800 bagi setiap sesi pengajian sepanjang tiga tahun mereka mengikuti diploma berkenaan.

"Setelah tamat pengajian, usahawan ini boleh membuka premis perniagaan sendiri atau berkhidmat dengan syarikat kami," katanya selepas merasmikan kedai alat telekomunikasi CSL di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.

Megat Radzman berkata, pihaknya menyasarkan 1,000 usahawan Bumiputera dalam perniagaan itu dapat dilahirkan menjelang 2010 di seluruh negara selaras usaha meningkatkan prestasi ekonomi syarikat. Katanya, perniagaan seumpama itu memerlukan komitmen dan rangkaian kukuh untuk berjaya dan ia boleh dilakukan jika bilangan usahawan Bumiputera sudah bertambah, selain minat seseorang untuk menceburi perniagaan itu.

"Kami mahu lebih ramai Bumiputera menjalankan perniagaan alat telekomunikasi ini, bukan menjadi pembeli atau pelanggan saja," katanya.

MAVERIC SYSTEMS LABUR RM3.5 J OPERASI SULUNG

MAVERIC Systems, syarikat pengujian perisian bebas ketiga terbesar India, akan melabur AS$1 juta (RM3.5 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk melancarkan operasi sulungnya di Malaysia, mulai bulan depan.

Selepas meneroka pelbagai pasaran di rantau Asia Pasifik, Maveric memilih Malaysia sebagai pasaran luar negara seterusnya untuk mengembangkan operasi syarikat itu. Pengarahnya, P Venkatesh, berkata tumpuan pelaburannya adalah membabitkan aktiviti perisian dalam sektor perbankan, insurans dan sektor awam.

"Pengalaman kami terbabit dalam perbankan Islam di Asia Barat, akan membantu kami untuk meneroka sektor berkenaan di Malaysia yang sedang mengalami pertumbuhan pesat pada kadar 35 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Selepas kejayaan meneroka pasaran Arab Saudi sejak enam bulan lalu, kami berharap pengembangan pasaran ke Malaysia akan membantu kami mencapai sasaran pertumbuhan 30 peratus bagi tahun kewangan semasa," katanya dalam kenyataan menerusi laman webnya. Katanya, beliau yakin dengan perkhidmatan ujian Protokol Internet (IP) yang unik dimiliki kumpulan itu, akan membolehkan ia menarik pelanggan di Malaysia.

Syarikat itu menetapkan sasaran pendapatan sederhana AS$2 juta (RM7 juta) daripada operasinya di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Venkatesh berkata, secara keseluruhan pihaknya mensasarkan keuntungan AS$2.75 juta (RM9.6 juta) daripada operasinya di rantau Asia Pasifik.

Susulan pelaburannya dalam pengujian perisian di negara ini, Maveric menjalin kerjasama dengan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) untuk melatih bakat tempatan sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan sumber manusia jangka panjangnya. Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Naib Presiden Jabatan Industri dan Kajian Akademik MUST, Dr Ahmad Ibrahim berkata, menerusi langkah itu, Maveric dan MUST akan merangka program pengajian jangka pendek dan bengkel latihan pengujian perisian dalam sektor perbankan Islam dan takaful.

Selain itu, Maveric bercadang untuk mengadakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama MUST secara berperingkat.

Katanya, menerusi program pengajian jangka pendek dan bengkel, MUST mensasar untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pengujian perisian, khususnya dalam industri perbankan dan insurans.

"MUST kini sedang meneroka kemungkinan untuk menawarkan program sarjana dalam bidang pengujian perisian khusus dengan pengkhususan dalam sektor perbankan Islam," kata Ahmad.

SULAIMAN MAHBOB PENGERUSI MIDA

TAN Sri Sulaiman Mahbob dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) yang baru, berkuat kuasa esok.

Beliau menggantikan Tan Sri Zainal Abidin Sulong yang bersara hari ini selepas berkhidmat selama 21 tahun setengah di Mida, iaitu tempoh perkhidmatan pengerusi paling lama di agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu. Sulaiman mempunyai pengalaman luas dan berkhidmat dengan kerajaan lebih 38 tahun dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, sebelum bersara daripada jawatan itu pada 17 Jun lalu.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Ketua Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika krisis kewangan 1997/98.

Sementara itu, Sulaiman berkata, Mida telah merekodkan pencapaian terbaik, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian. Sehubungan itu, katanya, beliau yakin agensi itu akan terus mengekalkan prestasi cemerlang berkenaan.

"Saya akan berusaha meneruskan pencapaian terbaik itu menerusi piawaian yang dibangunkan oleh pengerusi Mida yang terdahulu," katanya pada majlis serah tugas di Kuala Lumpur. Hadir sama, Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Mida, Datuk Jalilah Baba.

TAS OFFSHORE RAIH KONTRAK BINA 30 KAPAL

SYARIKAT pembinaan kapal bagi pasaran eksport, TAS Offshore Bhd, mempunyai kontrak dalam tangan bernilai RM350 juta, yang mampu menampung perniagaannya sehingga 2011.

Timbalan Pengarah Urusannya, Simon Lau Choo Chin, berkata berdasarkan kontrak yang diraihnya itu, syarikat secara keseluruhannya akan membina kira-kira 30 kapal untuk tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, syarikat yang hampir 90 peratus perniagaannya berasaskan eksport, menyediakan perkhidmatan bagi pelanggan antarabangsa merangkumi pelbagai sektor, terutama industri minyak dan gas (O&G) serta perlombongan. "Pelanggan utama kami adalah dari Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Indonesia dan Singapura," katanya pada sidang media sempena penyenaraian sulung saham syarikat itu di Papan Utama Bursa Malaysia, Khamis lalu.

Saham syarikat itu dibuka pada 94.5 sen berbanding harga tawaran awal permulaan (IPO) 90 sen untuk premium sebanyak 4.5 sen, dengan 61,540 unit bertukar tangan.

Saham itu mengakhiri dagangan pada 87 sen selepas mencecah harga tertinggi 99 sen dan paling rendah 87 sen, sambil menyaksikan 746,397 unit saham didagangkan. IPO TAS Offshore sebanyak 9.0 juta saham sebelum ini telah terlebih langganan sebanyak 19.47 kali.

Mengulas harga pembukaan itu, Lau berkata, pihaknya gembira dan berpuas hati dengan sambutan pelabur terhadap saham syarikat, di sebalik suasana pasaran yang kurang menggalakkan.

Beliau menambah, penyenaraian saham di Papan Utama Bursa Malaysia, akan membolehkan TAS Offshore, meraih pendapatan sebanyak RM69.3 juta yang akan digunakan bagi peluasan operasinya yang sedia ada, bagi modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

Katanya, sebahagian pendapatan daripada penyenaraian itu dijangka digunakan bagi pembelian kelengkapan dan jentera seperti kren gantri serta menaikkan taraf limbungan bagi menambah baik prasarana dan kecekapan operasi. Syarikat itu yang beroperasi dari Sungai Bidut di Sibu, Sarawak mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan bot tunda sepanjang 23 hingga 60 meter, kapal tunda dan bekalan tunda pengendalian sauh, tongkang, feri dan bot kerja, telah membina lebih 150 bot dan kapal bagi pasaran dalam dan luar negara.

"Kami mempunyai kemampuan membina purata 23 unit kapal dan bot setahun," katanya sambil menambah limbungan itu kini beroperasi dengan kapasiti penuh.

UNTUNG KUB LEBIH TINGGI

30 OGOS - KUB Malaysia Bhd. mencatatkan untung sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM34.17 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2009, berbanding dengan RM5.84 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehannya naik kepada RM182.56 juta daripada RM181.43 juta sebelumnya.

MANTRADE SASAR PENGIMPORT DUNIA

30 OGOS - Setelah 10 tahun bertapak di China dan Hong Kong, syarikat pengurus pembelian barangan Bumiputera, Malay Associates Nego-Trade (Mantrade) kini bertambah yakin mampu muncul sebagai pengimport utama barangan China di peringkat antarabangsa. Malah, sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, Mantrade telah menguruskan pembelian barangan China untuk dieksport ke seluruh dunia dengan urus niaga mencecah RM1 bilion.

Syarikat bumiputra itu kini mempunyai pelanggan di lebih 100 negara dengan bidang tugasnya mengendalikan pembelian barangan buatan China secara borong dan runcit di China secara bersepadu sebelum dieksport ke serata dunia termasuk melalui perkhidmatan pintu ke pintu.

Ditanya tentang sasaran untuk menjadi pengimport utama dunia, Pengurus Besarnya, Mohd. Daaie Mohd. Heffney, 24 yang mampu bertutur dalam bahasa mandarin berkata, tempoh yang ditetapkan adalah setahun daripada sekarang. ''Kami mula membuka pejabat cawangan di beberapa bahagian dunia sebagai salah satu perluasan pengaruh perniagaan. ''Pada masa ini, kami mempunyai pejabat cawangan di Indonesia, Thailand, Vietnam, beberapa buah negara Asia Barat, United Kingdom dan beberapa buah negara Eropah yang lain,'' kata beliau.

Mohd. Daaie berkata, kebanyakan pejabat cawangan juga akan menjalankan operasi penuh mulai tahun depan sebagai langkah awal meluaskan pengaruh perniagaan Mantrade di seluruh dunia. Beliau berkata, keupayaan Mantrade untuk mula berkembang di seluruh dunia adalah berteraskan hasil kepercayaan penuh pihak pentadbir dan pengurusan dari wilayah Guangzhou, China untuk menjalankan aktiviti import dan eksport.

Guangzhou merupakan wilayah yang aktif dalam menjalankan aktiviti perindustrian dan pembuatan. "Kami berjaya membina keyakinan perniagaan selain mendapat kepercayaan daripada pentadbir wilayah Guangzhou walaupun kami bukan berbangsa Cina. "Di China, pengeluar barangan tidak mengamalkan sentimen perkauman sebaliknya menitikberatkan perniagaan yang memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak. "Hasilnya, kami mampu membeli produk dan barangan dari wilayah itu dan beberapa wilayah China yang lain dengan kadar yang amat murah, menepati spesifikasi serta memberi nilai yang amat kompetitif,'' katanya .

Mantrade juga membuka pejabat cawangannya di Malaysia sekitar Oktober tahun lalu dan sehingga kini mempunyai kira-kira 12 kakitangan di sini. Syarikat itu menjalankan aktiviti mengimport pelbagai jenis barangan meliputi elektrik dan elektronik, mesin, perabot, alatan tulis dan bahan binaan dari China.

Di Malaysia, pihak berkenaan dikatakan menerima 9,000 tempahan barangan setiap bulan menerusi dalam talian Internet. Mantrade turut menerima para pelanggan yang menggunakan konsep berkunjung terus ke pejabatnya. Kebanyakan pelanggan Mantrade di Malaysia terdiri daripada kalangan usahawan berjaya, kontraktor Bumiputera yang menerima surat tawaran (LO), tender kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, kilang-kilang dan industri sokongannya, syarikat pemaju hartanah, pemborong serta pengusaha kecil dan sederhana (PKS). Ditanya mengenai prestasi jualan dan dagangan di negara ini yang baru memulakan operasi tahun lalu, Mohd. Daaie menganggarkan jualan lebih RM100 juta mampu dicatat bagi setiap suku tahun perniagaan.

Katanya, ia merupakan satu permulaan yang baik memandangkan permintaan barangan China dari kalangan usahawan dan PKS sentiasa tinggi di negara ini. Menyorot kembali pembabitannya dalam penubuhan Mantrade di China dan Hong Kong, Mohd. Daaie berkata, penubuhannya adalah hasil inisiatif beberapa bekas kakitangan konsulat Malaysia di China lebih 10 tahun lalu yang juga merupakan rakan kongsi syarikat. "Beberapa rakan kongsi yang menjadi pengasas kepada Mantrade kini menetap di China, sekali gus memudahkan aktiviti perniagaan di antara kedua-dua negara dan China dengan negara-negara lain di dunia,'' kata beliau.

Malah, pihaknya hanya menjalankan dagangan secara tunai. Mohd. Daaie mengakui kegawatan ekonomi semasa turut memberi kesan kepada Mantrade apabila pada sepanjang tahun ini pihaknya mengalami kemerosotan sebanyak 50 peratus tetapi keadaan itu dijangka pulih sepenuhnya suku pertama tahun depan.

LION GROUP RUGI

30 OGOS – Lion Industries Corporation Bhd. mencatatkan kerugian sebelum cukai RM67.511 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2009, berbanding dengan keuntungan pracukai RM486.995 juta di dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan turun kepada RM988.132 juta daripada RM2.178 bilion sebelum ini.

UNTUNG BONIA RM6.19 JUTA

30 OGOS - Bonia Corporation Bhd. mencatatkan keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2009 meningkat kepada RM6.19 juta daripada RM4.82 juta dalam tempoh yang sama sebelum ini.

Perolehannya meningkat kepada RM74.52 juta daripada RM73.43.

SINGER CARI USAHAWAN BARU

SINGER (Malaysia) Sdn. Bhd. (SINGER), syarikat pengedar, pemasar dan penyedia pembiayaan produk perkakasan rumah, menyasarkan untuk menambah 500 buah cawangan jualan menerusi Program Keusahawanan SINGER dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurut Pengarah Urusannya, Yeap Dein Wah, program yang telah diperkenalkan sejak tahun 1980-an itu kini dibuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebagai usaha memberi peluang perniagaan kepada mereka yang berminat. "Melalui unjuran pertambahan tersebut, kami menjangkakan kira-kira 1,000 cawangan jualan SINGER dibuka menerusi program ini," katanya.

Mengulas lanjut, Dein Wah memberitahu, modal keperluan untuk menyertai program berkenaan ialah sebanyak RM10,000 dan pelaburan tambahan sebanyak RM30,000 dalam bentuk stok. Pemohon juga perlu memiliki ruang kedai sendiri atau mampu membeli atau menyewa lokasi yang bersesuaian.

Menurutnya, peserta yang berjaya dipilih menyertai program itu akan diberi latihan mengenai bidang peruncitan dan pengurusan yang komprehensif bagi membolehkan perjalanan perniagaan mereka berjalan lancar.

SILAT MALAYSIA DI NATIONAL GEOGRAPHIC

SETELAH penerbitan dokumentari Becoming A King dan Smart Tunnel berjaya ditayangkan di 166 buah negara pada tahun lalu menerusi saluran National Geographic Channel International, kini sebuah lagi karya, Fight Masters: Silat bakal menjunjung nama Malaysia ke persada dunia.

Fight Masters : Silat merupakan salah satu daripada dua penerbitan di bawah projek dokumentari Malaysia To The World 2 hasil kerjasama berterusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan National Geographic.

Dengan kejayaan Becoming A KingSmart Tunnel yang bersiaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa itu membuatkan dokumentari Fight Masters: Silat bakal mengulangi sejarah sama. Ditambah subjek seni silat gayong yang dibentangkan dengan indah, maka dokumentari yang diarahkan oleh anak tempatan, Justin Ong itu terlihat sebagai sebuah naskhah istimewa untuk ditonton oleh khalayak terutama bangsa asing.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, dia menganggap kolaborasi dua hala di antara Finas dan National Geographic itu memberikan banyak kebaikan dalam mengenengahkan dokumentari tempatan kepada pihak luar. "Dokumentari tidak dinafikan menjadi medium terpenting bagi perkembangan dan pemahaman budaya sesuatu bangsa yang merentasi setiap sempadan dunia. "Penayangan dokumentari seperti Fight Masters: Silat dan yang lainnya sebelum ini di saluran National Geographic diharap mampu membangunkan industri dokumentari Malaysia," katanya.

"Dokumentari Fight Masters: Silat ini berperanan sebagai visual atau gambaran sebenar tentang seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berabad lamanya. "Dalam waktu sama, dokumentari ini juga dapat memperlihatkan uniknya silat gayong selain kung fu dan taekwando yang sering dipaparkan di kaca televisyen sebelum ini. "Lantaran itu, saya percaya dokumentari Fight Masters: Silat ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton oleh khalayak yang pelbagai," jelasnya penuh bersemangat.

Dokumentari Fight Masters: Silat yang mengambil waktu selama setahun untuk disudahkan sebelum ditayangkan di kaca televisyen seluruh dunia itu menampilkan jalan cerita tersendiri dan pastinya mampu memukau setiap mata yang menontonnya.

Dokumentari berkenaan menceritakan mengenai seorang tentera Amerika Syarikat, Joel Champ, 32, yang menghabiskan masa selama 14 tahun mengkaji dan mempelajari silat gayong bagi mendapatkan tali pinggang hitam dengan tiga garisan. Jejaka tinggi lampai itu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum dia mencapai impian yang dihajati untuk bergelar pesilat seni gayong yang bertauliah.

UMAT ISLAM BELANJA RM1.7 B UNTUK BERBUKA, HARI RAYA

Sekurang-kurangnya RM1.7 bilion dibelanjakan umat Islam sepanjang Ramadan bagi membeli keperluan berbuka dan membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Angka itu berdasarkan anggaran purata perbelanjaan RM100 bagi setiap individu Islam di negara ini yang kini mencecah kira-kira 16 juta orang, sama ada kos itu dikeluarkan individu terbabit atau pembelian kelengkapan untuk mereka ditanggung pihak lain melalui aktiviti amal jariah.

Perbelanjaan untuk Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin pulih hasil pelbagai program rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.

Profesor Ekonomi, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata rakyat akan berbelanja lebih sedikit untuk Aidilfitri kali ini kerana keadaan ekonomi semakin baik, selain pengguna tidak mempunyai bebanan lain selain persiapan hari raya.

Katanya, tahun lalu, sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Oktober dikira sudah hampir penghujung tahun yang mana duit disimpan untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan persekolahan anak-anak.

"Tahun ini, agak berbeza sedikit kerana pengguna semakin yakin dengan perkembangan ekonomi negara yang dalam proses pemulihan, selain banyak simpanan akibat kebimbangan mengenai krisis ekonomi yang melanda negara sejak akhir tahun lalu. "Oleh kerana sesi persekolahan masih berjalan dan sesi baru lambat lagi iaitu kira-kira tiga bulan lagi, ramai yang akan berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu," katanya.

Prof Mohd Fauzi yang juga Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perbelanjaan pengguna petanda yang baik untuk ekonomi negara terutama kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi menjangkakan sambutan Aidilfitri kali ini sederhana berikutan majoriti penganut Islam dijangka berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang belum begitu stabil ketika ini.

"Pengguna dijangka membuat persiapan secara `ala kadar' dan wang dikeluarkan hanya untuk perkara perlu - mungkin untuk sepasang pakaian baru, manakala kuih muih pula dibeli sekadar 'cukup syarat'," kata Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah, berkata umat Islam perlu berbelanja dengan berhemah bukan saja ketika membuat persiapan hari raya, tetapi juga pada hari biasa lain.

"Janganlah berlebih-lebih sangat berbelanja walaupun hari raya memang untuk kita meraikannya selepas berpuasa. Sambutlah Aidilfitri dengan sederhana, tidak perlul terlalu ghairah hingga sanggup berhutang," katanya.

DASAR SUKAN NEGARA BAKAL MENGGUNAKAN MODUL AS

Dasar Sukan Negara (DSN) yang baru akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet, 8 September ini bagi membolehkan modul sukan negara yang selama ini banyak bergantung kepada kerajaan berubah menjadi satu industri yang menjana pendapatan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata cadangan perubahan itu antara langkah yang diambil oleh kementerian untuk mengemaskinikan Dasar Sukan Negara dalam usaha meningkatkan pencapaian atlit dan sukan di negara ini.

"Antara perkara yang akan dikemaskinikan ialah tentang tuntutan semasa bagi memenuhi keperluan sukan dalam konteks generasi baru yang selama ini kita lebih tumpukan bagaimana mewujudkan infrastruktur dan budaya sukan di kalangan masyarakat dan juga untuk memperoleh pencapaian tertinggi dari segi pencapaian pingat.

"Tetapi kita tidak pernah bincang peranan sukan sebagai sebagai industri, bagaimana ia boleh melahirkan peluang pekerjaan, memberi pendapatan dan pembabitan sektor swasta dalam sukan kita," katanya.

Beliau berkata, di Amerika Syarikat, walaupun tanpa bantuan dan campur tangan kerajaan, industri sukan di negara itu mampu memberikan pendapatan sebanyak AS$1 trilion setahun dan pendapatan jualan tiket sebanyak AS$300 juta setahun.

Keadaan itu disebabkan semua pihak di negara tersebut melihat sektor sukan sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan menyebabkan pihak yang terbabit berusaha keras untuk melahirkan atlit dan pasukan yang kuat. "Manchester United sendiri disenarai dalam Bursa Saham London dan mereka bukannya kuat kerana kerajaan tolong dan perkara inilah yang akan kita rasakan perlu dijadikan contoh.

"Perubahan perlu dilakukan sama ada segalanya bergantung kepada kerajaan ataupun melihat ia sebagai industri yang boleh beri keuntungan dan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

FAKTA MENARIK

• Sinaran kosmik daripada bintang-bintang yang berlanggar boleh menghasilkan bahan berbahaya kepada muka bumi. Saintis mendakwa sinaran itu yang juga dikenali sebagai radiasi boleh menyebabkan hidupan pupus dan menghasilkan spesis baru melalui proses mutasi (perubahan genetik).

• Apabila seseorang bercakap, secara purata 300 titisan air liur akan keluar dalam tempoh seminit iaitu kira-kira 2.5 titisan bagi satu perkataan.

• Dalam secawan kopi terdapat lebih daripada 1,000 jenis bahan kimia.

• Orang yang menggunakan tangan kanan hidup sembilan tahun lebih lama daripada mereka yang kidal.

• Secara purata seseorang menghabiskan masa selama 2 tahun bergayut di telefon sepanjang hayatnya.

• Secara purata, seseorang minum 8,000 gelen air sepanjang hidupnya.

• Di serata dunia, yo-yo adalah sejenis permainan tetapi di Filipina, ia merupakan senjata merbahaya.

• Hanya terdapat empat buah negara di dunia bermula dengan abjad D iaitu Denmark, Dominica, Djibouti dan Republik Dominica.

• Setiap tahun, Selat Inggeris yang memisahkan England dan Perancis melebar sebanyak 300 milimeter.

• Nama semua benua bermula dan berakhir dengan abjad yang sama iaitu huruf A.

• Manusia hanya menggunakan 10 peratus daripada otaknya untuk berfikir; selebihnya untuk aktiviti lain atau mencetuskan pergerakan luar kawal.

• Ketika bersin, semua organ dalam badan tidak berfungsi termasuk jantung.

• Kerosakan otak akan berlaku jika suhu badan meningkat melebihi 41 darjah Celcius.

• Badak air mampu berlari lebih pantas daripada manusia.

• Ngauman singa boleh kedengaran sejauh tiga kilometer.

• Tiram boleh mengubah jantinanya beberapa kali sepanjang hayatnya.

• Dianggarkan 80 peratus haiwan di muka bumi adalah serangga.

• Ratu anai-anai boleh hidup selama 500 tahun dan menghasilkan 30,000 telur setiap hari.

• Andai kesemua bungkah air batu, dianggarkan 23 juta kilometer padu, di dunia cair pada satu ketika, kandungan air lautan meningkat 1.7 peratus.

• Peningkatan yang sedikit ini bagaimanapun menaikkan paras air sehingga 60 meter daripada yang sediada. Jika ini berlaku, sebahagian besar tanah daratan di dunia akan berubah menjadi lautan.

• Jambatan gantung dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Jepun dikatakan paling panjang di dunia. Berukuran 124 meter panjang dan 4 meter lebar, bahagian tengah bersambung untuk memudahkan ia diangkat apabila kapal lalu di bawahnya. Kos pembinaan adalah lebih murah daripada membuat terowong bawah laut.

• Sungai Huang Ho digelar sebagai Sungai Derita kerana kerap meragut ratusan juta nyawa apabila banjir setiap tahun.

• Tempat paling sejuk di dunia bukanlah di Kutub Utara atau Kutub Selatan tetapi Verkovank, Siberia dengan suhu serendah 100 darjah di bawah paras beku pernah dicatitkan.

• Tempat paling sejuk di dunia bukanlah di Kutub Utara atau Kutub Selatan tetapi Verkovank, Siberia dengan suhu serendah 100 darjah di bawah paras beku pernah dicatitkan.

• Tikus kasturi, mamalia paling kecil didunia makan empat kali lebih berat badannya dalam masa 36 jam.

• Kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa mempelajari tentang kehidupan melalui media terutamanya televisyen. Secara purata seorang kanak-kanak menghabiskan kira-kira 28 jam seminggu menonton televisyen, dua kali ganda lebih banyak daripada masa mereka di sekolah.

• Bahan buangan atau najis daripada seekor ayam sepanjang hayatnya boleh membekalkan tenaga elektrik yang cukup untuk menyalakan sebiji lampu mentol berkuasa 100 watt selama lima jam.

• Ayam juga akan menghasilkan telur yang lebih besar jika hari sentiasa siang.

• Jantina kura-kura boleh dikenalpasti berdasarkan bunyi yang dihasilkan. Kura-kura jantan mengeluarkan bunyi garau sementara betina menghasilkan bunyi yang berdesir.

• Jika anda menjerit selama lapan tahun, 7 bulan dan 6 hari, anda boleh menghasilkan tenaga yang cukup untuk memanaskan secawan kopi.

• Pada tahun 1848, Air Terjun Niagara berhenti mengalir apabila bongkah ais menghalang Sungai Niagara daripada mengalir ke arah air terjun ini.

• Buaya tidak boleh menjelir dan menggerakkan lidahnya kerana organ itu melekat pada lelangit.

• Batu karang yang terbesar pernah dikeluarkan daripada pesakit ialah seberat 1.36 kilogram.

• Ikan haruan dapat mengesan 27,000 jenis bau, sekali gus menjadikannya haiwan yang paling sensitif deria baunya.

• Kanggaru yang hanya di Australia sebenarnya tidak boleh melompat jika ekornya tidak menyentuh bumi. Ekornya bertindak sebagai topang semasa haiwan itu melompat.

• Kebanyakan produk yang berada di pasaran masa kini mempunyai `bar code' bagi memudahkan proses pembayaran. Sebenarnya produk pertama yang mempunyai `bar code' adalah `chewing gum' Wrigleys.

• Semua planet di angkasa bergerak mengelilingi matahari mengikut pusingan jam kecuali Venus yang melawan jam.

• Jika usus kecil seseorang manusia dileraikan, panjangnya boleh menjangkau sehingga empat atau lima kali ganda ketinggian orang itu.

• Haiwan yang paling banyak di muka bumi adalah semut. Nisbahnya adalah satu juta bagi setiap orang.

• Tanduk atau sumbu badak bukan berasal daripada tulang-belulang tetapi terjadi daripada bulu-bulunya yang berkumpul dan mengeras.

• Anda perlu memanjat sebanyak 1,792 anak tangga untuk tiba ke puncak Menara Eiffel.

• Seoul adalah ibu negeri Korea . Dalam bahasa ibundanya, Seoul bermakna `ibu negara'.

• Jika ikan jerung membuka mulut dalam tempoh masa yang lama, ia akan mati lemas kerana air akan masuk ke dalam mulutnya.

• Olympus Mons yang terletak di planet Marikh merupakan gunung berapi paling besar dalam sistem solar.

• Menurut kajian, purata setiap kita mengucapkan 30,000 perkataan sehari dan mengambil masa 3 setengah jam sehari untuk bercakap.

• Drama pertama yang dipentaskan adalah karya seniman Mesir pada tahun 3200 Sebelum Masehi, lebih 5,000 tahun lalu. Skrip drama yang dijumpai oleh seorang arkelogi di Luxor pada 1895 ditulis atas tumbuhan papyrus dan masih tersimpan hingga kini.

MUHAMMAD HUSEIN THABATA'I - TAHFIZ CILIK IRAN

ROKOK : RAKYAT MALAYSIA BELANJA RM15 J SEHARI

Walaupun penggunaan tembakau di negara maju sudah berkurangan, keadaan sebaliknya berlaku di negara membangun. Contoh di Malaysia apabila statistik menunjukkan ketagihan merokok di kalangan rakyatnya yang berumur 15 tahun dan ke atas terus meningkat daripada 21 peratus pada 1985 kepada 31 peratus pada 2000.

Persatuan Perubatan Malaysia bertajuk “Action on Smoking and Health” melaporkan terdapat kira-kira 3.5 juta perokok di negara ini. Separuh daripada mereka menghisap rokok hampir 10 batang sehari.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM15 juta sehari untuk rokok dan dalam masa setahun, mencecah sehingga RM6 bilion. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia.

Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan merokok dan penagihan tembakau yang lain bertanggungjawab terhadap satu kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia - kira-kira 5 juta kematian setahun.

Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok individu, tabiat merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang. Antara contoh yang perlu diberi perhatian adalah seperti di bawah :

• Satu kajian yang dijalankan di kalangan 5,000 lelaki Cina menunjukkan bahawa 60 peratus daripada mereka yang merokok lebih daripada sekotak sehari berkemungkinan mengalami disfungsi ereksi atau ‘mati pucuk’ berbanding mereka yang tidak pernah merokok.

• Wanita yang merokok lebih berkemungkinan mengalami kesukaran untuk mengandung, komplikasi ketika hamil dan risiko keguguran yang lebih tinggi.

• Satu kajian dijalankan di Pusat Biologi Perinatal di California menemui bukti bahawa wanita yang terus merokok ketika hamil memberi kesan negatif pada jantung janin.

• Menurut kajian yang dijalankan di Finland mendapati asap daripada rokok boleh merosakkan fungsi arteri kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika, Circulation, membabitkan 400 kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun.

Selain itu, asap daripada rokok juga menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan dan masalah telinga. Serangan penyakit itu lebih teruk dan kerap di kalangan kanak-kanak yang menghidap asma. Semua ini menunjukkan kesan rokok bukan terbatas kepada generasi semasa, tetapi harus ditanggung oleh generasi yang akan datang. Malah, WHO menganggarkan bahawa ketagihan tembakau akan membunuh kira-kira 10 juta orang setahun menjelang 2020, dengan 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.

Sungguhpun pelbagai usaha dilakukan di seluruh negara oleh kerajaan dan pakar penjagaan kesihatan profesional, ketagihan tembakau (sebahagian besarnya dalam bentuk rokok) di negara ini tetap pada angka yang membimbangkan.

Memang tidak dapat dinafikan amat sukar bagi kebanyakan orang untuk berhenti merokok kerana ia bukan ketagihan fizikal semata-mata. Walaupun nikotin adalah punca utama ketagihan rokok, tabiat menghisap rokok juga satu ritual atau amalan psikologi dan emosi bagi kebanyakan perokok.

Namun, ada cara yang berkesan untuk membantu perokok menghentikan tabiat merokok. Ia dengan menggabungkan rawatan seperti terapi penggantian nikotin (NRT) dan perubahan gaya hidup. Apa yang utama kesungguhan dan keazaman untuk berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha menghentikan tabiat merokok, sila ke laman web


KASABIAN PEJUANG SOSIALIS

KASABIAN, sebuah band yang bertapak di Leicester, United Kingdom dan dianggotai oleh empat jejaka bukan sekadar hadir kerana mahu menyebarkan muzik kecintaan mereka. Tom Meighan, Sergio Pizzorno, Iian Mathews dan Chris Edwards memberikan mesej berunsurkan sosialis dalam setiap lagu mereka.

Lihat sahaja nama band itu yang merujuk kepada seorang wanita muda hamil yang kemudian mati dalam satu kemalangan. Wanita itu bernama Linda Kasabian.

Teruja dengan penerimaan peminat Malaysia yang hadir di MTV World Stage di Sunway Lagoon baru-baru ini, Sergio menceritakan bahawa mereka akan berlepas ke Austria untuk sebuah gig di sana.

Kasabian dijadualkan muncul dengan sebuah album baru menjelang tahun hadapan selepas kemunculan album ketiga, West Ryder Pauper Lunatic Asylum awal 2008 lalu. "Kami masih dalam perancangan untuk album seterusnya tahun depan," ujar Sergio yang teringin berkolaborasi dengan band Zuess, setelah mengundang aktres, Rosario Dawson muncul dalam album ketiga mereka . "Rosario ialah seorang yang sangat menarik dan kami rasa seronok dapat berduet dengan seorang yang fantastik sepertinya," tutur Sergio yang mesra dipanggil Serge.

Berlainan ideologi namun disatukan dalam sebuah album, menerusi album ketiga mereka ini, Kasabian berkolaborasi dengan Dan The Automator, produser hip hop yang pernah terlibat dengan album Gorillaz.

Ditanya tentang kerjasama dengan seorang produser hip hop untuk sebuah band altenatif rock, Serge menjelaskan terdapat persamaan dalam dunia mereka. "Saya melihat terdapat hubungan antara hip hop dan rock. Kelainan dalam dunia masing-masing boleh menghasilkan satu kesesuaian yang menarik," ucapnya.

Mengagumi Tony Benn sebagai hero sosialis mereka, Sergio menjelaskan dia dan ahli bandnya sudah tidak membaca sebarang rebiu oleh pihak luar tentang album atau muzik mereka. "Hanya pada album pertama tetapi selepas itu saya tidak mahu memikirkan sangat tentang apa yang mereka mahu kritik atau puji. Tidak bagus untuk kami. Kami tidak mahu memikirkan apa yang mereka mahu katakan."

Gitaris berusia 29 tahun ini kemudian menjelaskan bahawa judul album ketiga mereka diambil daripada sebuah rumah sakit jiwa namun mereka belum pernah melawat tempat tersebut.

RESPON NIK AZIZ TERHADAP MAJLIS FATWA YANG MENDAKWA BELIAU MENYELEWENG

KELANTAN PERLUAS TAZKIRAH GUNA STESEN RADIO

KOTA BHARU, 28 OGOS: Kerajaan negeri Kelantan dengan jalinan kerjasama sebuah stesen radio swasta, Manis FM telah mengadakan program tazkirah yang disiarkan melalui setesen radio tersebut bermula awal Ramadhan lalu hingga ke hujung bulan puasa ini. Ianya sebgai usaha kerajaan negeri menyebar luaskan dakwah kepada masyarakat khasnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dapat mengikuti siaran itu.

Menurut Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan negeri Kelantan Abdul Rahman Yunus, tazkirah akan disampaikan oleh pimpinan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Ustaz Nasruddin Daud, Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan negeri dan juga Ketua Polis Negeri.

Siaran tazkirah tersebut dapat diikuti setiap hari sepanjang Ramadhan pada jam 7.30 pagi, 2.00 petang, 4.00 petang dan 7.05 petang pada frekuensi 90.6 MHz di Kelantan, 102.00 MHz di Terengganu dan 95.1 MHz di Pahang.

Abdul Rahman juga berkata sebelum ini siaran tazkirah tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya melibatkan Menteri Besar Kelantan sendiri apabila pihak Urusetia kerajaan negeri menerima panggilan talipon dari seluruh negeri. "Saya berharap penduduk di negeri ini mengambil kesempatan untuk mendengar program tazkirah yang disampaikan oleh pimpinan kerajaan negeri sempena bulan Ramadhan ini," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, seramai 60 warga miskin Kota Bharu telah dipilih oleh Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kota Darulnaim untuk menerima sumbangan RM100 setiap orang bagi meringankan beban sempena bulan Ramadhan.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut Ir.Mohd Ariff Fahmi Abdul Rahman ketika ditemui di majlis Perasmian Sambutan Ihya Ramadhan peringkat Kompleks Kerajaan negeri Kelantan berkata, seperti di tahun-tahun lepas, masjid yang terletak dipinggir pagar komplek kerajaan negeri tersebut akan menyediakan program tazkirah pada setiap hari bermula jam 12 tengahari dan berharap kakitangan kerajaan dapat mengambil menafaat tersebut.

Perasmian Ihya Ramadhan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat,turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato'Aiseri Ilias,Pegawai Kewangan Negeri Mohd Faudzi Mat Jusoh, Exco negeri,Wakil-Wakil Rakyat, Ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri dan swata.

Dato'Aiseri Ilias ketika berucap berkata kakitangan kerajaan dari peringkat tinggi hingga bawah seharusnya memainkan peranan penting dalam masyarakat setempat iaitu seperti melibatkan diri dengan aktiviti masjid maupun masyarakat tempatan. "Saya yakin kakitangan kerajaan negeri Kelantan dapat melakukan aktiviti harian yang baik kerana mereka ini juga sedikit sebanyak mempunyai pengaruh dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu Tuan Guru semasa menyampaikan tazkirah pertamanya berharap pada tahun ini rakyat negeri ini dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan meraikan Al-Quran kerana Al-Quran telah diturunkan pada bulan yang mulia ini. "Kita sering menyambut puja umur (hari lahir) manusia seperti isteri,anak-anak kita, Pemimpin Negara kita juga sambut hari kelahiran Nabi Muhammad saw, oleh itu bulan Ramadhan ini kita pakat-pakat (ramai-ramai) sambut kedatangan Al-Quran iaitu dengan membacanya seberapa banyak yang boleh,bertaddarus maupun mentafsirkannya," kata beliau.

Beliau juga berharap perubahan perlu diadakan di setiap masjid negeri ini iaitu dengan menyediakan imam-imam atau penceramah agama dari pelbagai kaum seperti kaum Tionghua dan India. "Kalaulah kaum ini juga diterima sebagai penceramah di masjid-masjid, nescaya kita akan lebih memahami masalah kaum mereka dan ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama kaum di negeri ini," katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata tanggapan orang ramai yang mengatakan bulan Ramadhan hanya untuk berpuasa sahaja perlu dikikis kerana Ramadhan meliputi pelbagai program yang sudah diatur oleh Allah swt seperti setiap amalan dilipat gandakan ganjarannya, perbanyakkan sedekah, melakukan amalan solat sunat, membaca Al-Quran dan pelbagai lagi perkara yang berfaedah.

Bagi memperkemaskan lagi institusi masjid, beliau berkata jawatankuasa Masjid perlu menjemput rakan-rakan dari kaum lain yang belum Islam seperti di majlis sambutan Maulidurrasul,Israk Mikraj,Sambutan Awal Muharram yang sering diadakan di masjid. "Mereka ini memerlukan pendedahan yang sebenarnya terhadap kemurnian agama Islam yang tidak mengamalkan sebarang keganasan, bila mereka ada bersama, mereka akan dapat melihat dengan jelas keadaan yang sebenar berlaku di masjid,Masjid bukan hanya tempat bersembahyang semata-mata,"katanya lagi.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 300 orang termasuk dari masyarakat India dan Tioghua.

NIKMAT PUASA, CAHAYA HIDAYAH BAGI SAUDARA BARU

KUALA LUMPUR, 29 OGOS : Walaupun baru memeluk agama Islam 26 hari lalu, dia mampu berpuasa penuh sejak Ramadhan bermula. Ini merupakan pertama kali, tidak perit atau pedih malah baginya pengalaman menjalani ibadah itu cukup menyeronokkan!

Azman Yap Abdullah, 32 sentiasa tersenyum dan ceria. Tiada raut keletihan atau kerut di wajahnya. Sungguhpun agak malu-malu bercerita pada awalnya, tetapi bersemangat sekali mengungkap pengalaman berpuasa, satu-satu ibadah yang dijalankan tanpa banyak tanya.

Sejak hari pertama sehingga kini, masih berpuasa tanpa tangguh. Tidak sekerat-sekerat atau separuh hari tetapi penuh, sehingga menjelang waktu berbuka. "Saya tidak merasa susah, sakit ataupun pedih perut. Semuanya baik dan ianya cukup menyeronokkan!"

Menceritakan pengalaman, kata Azman dia bersahur beberapa minit sebelum masuk waktu subuh hanya dengan menjamah beberapa biji kurma, seperti yang disunnah oleh Rasullulah s.a.w. "Saya buka puasa pun makan kurma juga. Kemudian cari nasi atau makan di KFC. Ada masa saya berbuka dengan cornflakes atau coco crunch," katanya.

Itu perasaan yang diluahkan Azman yang diberi peluang Allah SWT bertemu dengan insan yang mendapat cahaya hidayah 2 Ogos lalu, lalu mengucapkan kalimah syahadah di Hidayah Centre Pusat Komuniti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dekat sini. Dia mula mengenali agama indah ini sejak 3 bulan lalu, melalui sahabatnya yang juga merupakan saudara baru. Sahabatnya itu, turut menghadiahkan al-Quran terjemahan bahasa melayu untuk dia lebih mengenali dan memahami agama Allah itu.

"Saya baca terjemahan melayu sebab tak berapa pandai bahasa inggeris. Dari situ, saya mula percaya, bahawa agama Islam ini adalah agama yang baik,"jelasnya dengan tenang. Masih bertatih dan belajar, dia mengakui baru solat hanya sekali sahaja tetapi terus mendapat bimbingan dua orang ustaz daripada JIM dikenali sebagai Johan dan Abdul Rahim. Azman merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa, sejak sembilan tahun lalu. Dia mengajar Bahasa Melayu, Mandarin dan Sains untuk pelajar sekolah rendah di Jalan Klang Lama.

Katanya dia masih menyembunyikan keIslamannya daripada ibunya untuk sementara waktu kerana tahu akan reaksi negatif yang bakal diterima. "Lambat laun, saya akan beritahu juga...cuma perlahan-lahanlah. Tak mau mak saya marah..."katanya masih tersenyum dengan sinar cahaya di wajahnya.

Ditanya tentang tip kuat semangat untuk berpuasa dan petua untuk orang yang punya 'banyak alasan' untuk culas melakukan ibadah itu, Azman menjawab ringkas tetapi tajam. "Di belakang rumah kami, ada juga orang Islam makan di restoran Cina waktu bulan puasa. "Bagi saya, hati mesti baik dan jangan lupa, Tuhan ada tengok kita."

Setelah berkongsi rasa dengan Azman, beralih pula kepada Siti Aisyah Tresa, 38 yang memeluk agama Islam sejak 1993 di Melaka. Sambil matanya mula berkaca, hampir tumpah air mata, Siti menceritakan detik-detik awal mula menyintai dan menaruh minat kepada agama Islam. "Saya bekerja kilang dan tinggal di asrama di Johor. Ketika itu saya begitu tertarik melihat kawan sebilik yang sentiasa mengerjakan sembahyang.

"Tiap kali waktu azan, dia akan terus bersiap-siap untuk sembahyang. Saya tengok dia sembahyang, buat hati saya cukup tenang dan saya jadi minat sangat untuk tahu agama kawan saya itu,"kata Siti. Katanya kerana terlalu minat, adakala bila di kampung, dia akan sembahyang sendiri-sendiri meniru gerak gaya kawannya itu. Namun, setelah masuk agama Islam, cabaran hebat diterima apabila ditentang hebat oleh kaum keluarga yang masih menganut Kristian. Selama hampir enam tahun, dia melalui tekanan dan asakan hebat.

Tetapi selama itu jugalah, dia tabahkan hati dan tidak terputus hubungan dengan kaum keluarga malah secara rutin, setiap sebulan sekali akan pulang ke kampungnya di Kg Layang-Layang, Johor.

"Selama enam tahun, biar apa pun keluarga buat dan beri tekanan, saya cekalkan hati balik juga bertemu mereka sebulan sekali. Alhamdulillah, kini mereka sudah boleh menerima saya dan hubungan masih baik seperti sediakala. Syukur kepada tuhan," katanya cuba menahan sebak

Kini Siti yang mempunyai dua cahaya mata bahagia bersama suami dikasihi, Khaidir Maidin dan merindui sahabatnya Zainab yang rajin solat itu, yang kini sudah terputus hubungan sejak sekian lamanya. Siti memberitahu, pengalaman berpuasa bukanlah sesuatu yang asing dan menjalani seperti biasa sama seperti umat Islam yang lain. Beliau juga menolak tanggapan bahawa saudara baru sepertinya, sering diabaikan kebajikan dan disisihkan daripada masyarakat Islam. "Saya sentiasa rasa diperlukan. Tak pernah saudara seagama menyisih saya malah merekalah yang banyak membantu tatkala saya menghadapi kesulitan.

Siti sempat menyuntik semangat kepada rakan-rakan saudara baru baik yang sudah lama atau yang masih baru memeluk agama Islam agar terus istiqamah bersama agama tercinta ini. "Walau apa pun berlaku, teruslah bersama agama Islam. Percayalah, setiap kesusahan yang dihadapi, ada jalan penyelesaian yang diberikan oleh Allah...percayalah, saya juga pernah melaluinya."

Turut mencuri perhatian ialah seorang saudara baru yang berasal daripada Afnka yng dikenali sebagai Hilal Abdullah, bakal melanjutkan pelajaran di Kanada dalam masa terdekat. Cuma kisah pilu Hilal yang berasal dari satu kawasan bernama Brundi, ialah kedua-dua ibu bapanya mati dibunuh kerana berhasrat memeluk agama Islam. Sebenarnya insan-insan bertuah ini antara 11 orang saudara baru yang temui di Hidayah Centre, Pusat Komuniti JIM, petang semalam.

Hidayah Centre adalah sebuah institusi di bawah JIM yang ditubuhkan sejak 2005, berperanan sebagai pusat sokongan kepada saudara baru membawa tema hidayah yang menarik perhatian iaitu "Saudara baru, Saudara Kita"

Objektif penubuhannya adalah untuk memberi penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat.

Semalam, Hidayah Centre mengadakan sidang media Majlis Pelancaran Buka Puasa yang dihadiri saudara-saudara baru yang kelihatan begitu ceria tetapi malu-malu dan tersipu bilamana lensa kamera menyorot wajah bercahaya mereka. Sebelum sidang media dimulakan oleh jurucakap Hidayah Centre,Joannes Lukas yang juga seorang saudara baru, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada saudara-saudara baru yang hadir.

Ketika ditanya tentang aduan, masalah dan antara kekangan yang dihadapi oleh saudara baru, Joannes menjelaskan ianya terbahagi kepada beberapa perkara antara yang utama ialah ancaman daripada keluarga dan ketiadaan pekerjaan. "Bila ada ancaman, maka kita berusaha sediakan penempatan dan penginapan sementara kepada mereka. "Bagi yang tiada pekerjaan kerana terpaksa berpindah atau disishkan, kita mempunyai jaringan dengan NGO Islam dan syarikat yang bersedia memberi peluang pekerjaan bagi saudara baru ini,"katanya.

Setakat ini Hidayah Centre telah beroperasi di 14 cawangan di sembilan buah negeri manakala sejumlah 432 saudara baru yang berdaftar dengan pusat ini. Bagi meneruskan pengoperasian dan untuk memberi bantuan kepada saudara-saudara baru, Hidayah Care akan menganjurkan Program Majlis Berbuka Puasa pada 12 September ini, di Putrajaya.

Menurut Pengarah Program Nasiruddin Tahir majlis itu bertujuan bagi mengutip dana melalui tajaan meja makan ataupun sumbangan syarikat, kumpulan atau individu yang berasa terpanggil untuk membantu saudara baru.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Joannes Lukas atau Rosmawati Zainal di 03-41053159 atau 03-41089669.

Moga sudi membantu dan meringankan beban saudara baru yang juga saudara kita.

TRADEWINDS BELI 53.76% BERNAS

KUALA LUMPUR 28 OGOS - Tradewinds (M) Bhd. (Tradewinds) hari ini mengumumkan cadangan pembelian 53.76 peratus ekuiti kepentingan di dalam Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) pada harga RM525.99 juta. Pembelian itu juga melibatkan 31.52 peratus kepentingan Bernas yang dipegang oleh Wang Tak Company Ltd.(Wang Tak), kata Pengerusi Tradewinds, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan dalam kenyataannya.

Syed Abdul Jabbar berkata, Tradewinds telah memeterai perjanjian jualan saham (SSA) bersyarat untuk memiliki 31.52 peratus kepentingan Bernas dari Wang Tak Company Limited pada harga RM2.08 sesaham dengan nilai RM308.42 juta. ''Perjanjian yang sama juga dimeterai Tradewinds untuk membeli 22.24 peratus saham Bernas daripada Gandingan Bersepadu Sdn. Bhd. (GBSB) pada harga RM2.08 sesaham dengan nilai RM217.566 juta,'' tambah beliau.

Syed Abdul Jabbar berkata, pembelian daripada GBSB dibuat mengikut pelaksanaan dividend-in-specie saham Bernas oleh anak syarikat GBSB iaitu Budaya Generasi (M) Sdn. Bhd., pemegang saham utama Bernas. GBSB merupakan pihak yang bertindak bersama-sama Tradewinds dalam pembelian ini. Cadangan pembelian berkenaan yang tidak saling bersyarat dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku keempat tahun ini.

Beliau menambah, Tradewinds yang akan membiayai cadangan pembelian saham itu melalui pinjaman bank, juga perlu membuat dua tawaran am mandatori (MGO) untuk membeli baki saham Bernas yang tidak dimilikinya.

Cadangan pembelian itu bertujuan memastikan bekalan makanan negara diuruskan oleh syarikat Malaysia. Tradewinds merupakan pemain utama dalam industri pertanian dengan aktiviti utamanya dalah penapisan gula dan pengeluaran minyak kelapa sawit, manakala Bernas terlibat mengimport dan membekalkan beras di Malaysia. ''Pembelian itu membolehkan Tradewinds meneroka secara langsung dan tidak langsung ke dalam rangkaian pemasaran dan agihan Bernas, selain dapat berkongsi gudang dan kemudahan pengangkutan bagi memastikan kecekapan operasi,'' jelasnya.

Beliau menjelaskan cadangan yang menyaksikan syarikat-syarikat itu mempunyai permodalan pasaran RM3 bilion apabila selesai, dilakukan demi kepentingan negara selain membolehkan wujudnya sinergi perniagaan dengan menghapuskan pertindihan sumber, menawarkan penjimatan kos dan meningkatkan keupayaan berdasarkan infrastruktur sedia ada.

Maybank Investment Bank Bhd. akan dilantik sebagai penasihat utama kepada pengambil alihan, sementara HwangDBS Investment Bank Bhd. dilantik sebagai penasihat bebas kepada pengambil alihan saham Bernas daripada GBSB. Cadangan pembelian itu dan MGO masih tertakluk kelulusan pihak berkuasa dan para pemegang sahamnya. Cadangan pembelian oleh Tradewinds menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa sebuah syarikat bumiputera akan mengambil alih ekuiti saham Bernas menerusi pegangan ekuiti sehingga 70 peratus.

Bernas menjadi perhatian baru-baru ini berikutan terdapat laporan yang menyatakan Wan Tak dari Hong Kong telah menguasai saham Bernas sebanyak 31 peratus melalui pasaran terbuka. Pembelian itu menimbulkan kebimbangan tanpa asas di kalangan orang ramai bahawa penguasaan pihak asing dalam Bernas akan menjejaskan pembekalan beras negara.

IDRIS JALA DILANTIK SEBAGAI MENTERI

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Seri Idris Jala, dilantik sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan di Putrajaya semalam, berkata Idris juga dilantik sebagai Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), sebuah badan baru yang ditubuhkan bagi memantau dan mengawal pelaksanaan inisiatif Indeks Prestasi Utama (KPI) peringkat nasional dan menteri.

Najib berkata, beliau memaklumkan kepada kabinet mengenai pelantikan Idris pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya pagi semalam dan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Idris akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.

Sebagai Ketua Eksekutif Pemandu, Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi peringkat menteri. "Sementara itu, Koh akan meneruskan tugas beliau dalam merangka dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA)," katanya.

Susulan itu, Koh akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemandu yang akan dianggotai Ketua Setiausaha Negara serta beberapa pegawai kanan lain.

Idris pula akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalamannya di Shell dan MAS serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan Persekutuan.

"Idris, yang akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pemandu, bakal bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI) dan menasihat di KRA peringkat menteri (M-KRAs) dan M-KPI.

"Beliau akan melapor kepada Koh mengenai isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM," katanya.

"Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara."

Sementara itu, sumber berkata, Pemandu dijangka mula beroperasi pada Disember ini untuk memantau dan menilai KPI peringkat nasional dan menteri.

"Ia adalah sebuah unit besar di bawah JPM yang bakal dianggotai beberapa tokoh pengurusan GLC dan pegawai daripada pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan.

"Unit berkenaan pada awalnya dijangka dibentuk pada April tahun depan, bagaimanapun penubuhannya dipercepatkan bagi memenuhi hasrat kerajaan dalam meningkatkan prestasi selaras dengan slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Idris dipilih berdasarkan pengalamannya menerapkan KPI ketika mengetuai MAS."

Berikutan pelantikan itu, Idris akan melepaskan jawatan yang disandang dalam syarikat penerbangan berkenaan dan tempatnya dijangka diambilalih oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan MAS, Datuk Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

MAS pula enggan mengulas mengenai perkara itu dan dijangka membuat pengumuman berasingan mengenai pelantikan Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif barunya, hari ini.

Idris dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS pada Disember 2005 selepas syarikat itu mengalami kerugian terbesar dalam sejarahnya. Pada 1 Disember lalu, kontrak perkhidmatan Idris dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun sehingga 30 November 2011 susulan prestasi beliau yang memberangsangkan.

Idris berjaya memulihkan MAS dalam tempoh kurang dua tahun, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan dengan mencatatkan keuntungan lebih RM851 juta pada 2007.

Sebelum menyertai MAS, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah pengarah urusan Shell MDS (Malaysia) dan naib presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).

Antara 2000 dan 2002, Idris adalah naib presiden, pemasaran runcit, Shell International.

Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan yang mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

Antara 1998 dan 2000, Idris adalah pengarah urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di negara itu. Idris adalah lulusan ijazah Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.

PAK LAH DILANTIK PENGERUSI IKIM

PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuatkuasa 1 September ini.

Abdullah yang juga lulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya, akan menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang memutuskan untuk melepaskan jawatan berkenaan.

"IKIM di bawah kepimpinan Tun Abdullah akan terus menjadi satu institusi yang berjaya dalam merangka dan melaksanakan aktiviti untuk meningkatkan kefahaman Islam."

SEMINAR BIOMAS UNTUK PENGELUARAN BIOFUEL

MALAYSIA mempunyai potensi yang tinggi untuk memainkan peranan yang penting dalam pengeluaran biofuel dan produk-produk lain seperti bio komposit, kertas dan pulpa serta baja bio daripada sisa-sisa buangan pertanian.

Ini termasuk 17 juta tan (tandan kelapa sawit kosong); 4.5 juta tan (batang kelapa sawit) dan 1.35 juta tan (jerami padi) yang dihasilkan setiap tahun.

Pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memajukan teknologi inovatif pengeluaran produk-produk biomas telah dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pusat-pusat penyelidikan lain dijangka akan dipertingkatkan lagi di masa hadapan.

Untuk mengetahui penemuan-penemuan penyelidikan berkaitan pengunaan biomas serta mengkaji potensi pengunaan bahan mentah ini, sertailah Seminar Biomas Untuk Biofuel Produk Nilai Tambah yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini di The Saujana Kuala Lumpur, Jalan Lapangan Terbang Subang.

Menurut Pegawai Media FRIM, Toh An Nee, seminar bertema Ke Arah Penggunaan Biomas Yang Lebih Efisien itu dianjurkan bersama oleh FRIM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang potensi pengunaan biomas, menyediakan forum untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan serta berkongsi penemuan-penemuan penyelidikan terkini dengan sektor swasta, pihak industri, penggubal polisi serta para penyelidik.

Selain itu, satu pameran juga akan diadakan untuk mempamerkan produk-produk, teknologi terbaru serta perkhidmatan yang berkaitan.

Untuk pertanyaan atau pendaftaran, sila hubungi Dr. Wan Asma Ibrahim atau Rafidah Jalil (03-62797311 / 7367 / 7280), e-mel: sbbvap09@frim.gov.my atau layari laman web


PERHEBATKAN PENYELIDIKAN KHASIAT LINTAH

KETIKA penternak lintah berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan, ramai juga yang ragu-ragu dengan bidang penternakan haiwan eksotik yang semakin popular itu. Ada yang mendakwa sukar untuk dipasarkan dan tidak mempunyai kilang untuk memproses lintah sebagai produk hiliran.

Semua ini tidak mematikan semangat sekumpulan penternak lintah untuk mewujudkan Persatuan Usahawan Industri Lintah Malaysia (Pelintah) bagi memajukan industri lintah negara. Pelintah yang ditubuhkan pada November tahun lalu telah mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama pada Mac tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mahadzir Md Zin berkata, buat masa ini Pelintah mempunyai lebih 350 orang ahli yang terdiri daripada penternak, pemborong, pengusaha dan peruncit. "Buat masa ini, Pelintah menyasarkan mempunyai ahli sehingga 10,000 pentenak. "Pelintah juga merupakan persatuan yang diiktiraf di bawah Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

Beliau menerangkan terdapat lebih 600 spesies lintah di seluruh dunia tetapi antara tiga yang terbaik terdapat di negara ini.

Terdapat dua spesies lintah tempatan yang mendapat pasaran dunia iaitu lintah hijau dan lintah perang. Bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan lintah, Pelintah sedang cuba mendapatkan dana bagi tujuan penyelidikan. Ini bagi memastikan produk yang dihasilkan menepati dan diiktiraf oleh semua masyarakat tempatan dan secara global. Sehingga kini lintah banyak digunakan dalam perkhidmatan terapi, produk kecantikan, bahan anti-penuaan dan rawatan alternatif seperti bekam.

Mahadzir berkata, bekam dan terapi lintah telah lama digunakan di luar negara dan buat masa ini Pelintah telah mula membuat penghantaran lintah ke luar negara bagi tujuan terapi. Buat masa ini, Pelintah dalam perancangan menjalankan kajian dengan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi terapi perubatan serta klinikal. Misalnya kajian mengenai lintah untuk menyembuhkan luka selepas pembedahan kecil, kosmetik serta dalam bidang pertanian.

"Kajian menunjukkan lintah mempunyai banyak hormon berguna serta 16 jenis enzim yang berguna," katanya.

Bagi penternak persendirian yang berminat mendapatkan maklumat mengenai Pelintah, boleh melayari laman web atau e-mel kepada admin@pelintah.ws

JATUH BANGUN SEORANG PENTERNAK UDANG

MENGALAMI kerugian pada tahun pertama pembabitannya dalam bidang penternakan air tawar atau akuakultur tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk terus melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa menoleh ke belakang.

Berpegang kepada prinsip tidak mahu mengaku kalah, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat untuk terus maju. Dengan sokongan padu daripada ahli keluarga serta rakan-rakan rapat menjadikan dia seorang yang gigih dalam setiap apa yang diusahakannya.

''Saya memulakan projek ternakan udang harimau ini sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 tanpa pinjaman atau bantuan daripada mana-mana institusi kewangan," jelasnya. Pada awal pembabitannya, Najee Muddin berkongsi bersama seorang rakan tetapi selepas mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, dia tidak pernah putus asa dan yakin dalam setiap apa yang diusahakannya.

Kegagalan lalu dijadikan sebagai penguat semangat dan sokongan daripada keluarga yang tidak putus-putus menjadikannya begitu tabah meski jauh di sudut hati dia berasa agak kecewa. Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang, Batu Pahat, Johor kira-kira tujuh tahun lalu.

Najee Muddin memulakan ternakan udang dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu. Kini dia mempunyai enam buah kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Menurutnya, benih anak udang diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu. Setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan pada awal pembabitannya dulu.

''Dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya ketika ditemui kolam ternakan udangnya baru-baru ini. Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya terutama dari segi harga udang yang ada turun naiknya.

Tetapi pada tahun ini, apabila harga udang harimau agak tinggi beliau turut menternak udang putih yang mendapat permintaan di pasaran dengan harga pasaran yang lebih rendah tetapi permintaannya tinggi. Dia yang mulanya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Bermula dari situ, kemahiran dalam menternak udang dapat diketahui dari semasa ke semasa. Ini menjadikan Najee Muddin yakin dan bersemangat dalam apa yang diusahakan agar kerugian dan pengalaman pahit yang dilaluinya di awal pembabitan dalam ternakan udang dapat ditebus sekali gus menjadikan dirinya seorang yang tidak mudah mengalah. Tambahnya lagi, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, Najee Muddin dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor pada tahun lalu juga mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan. Kini Najee Muddin telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd. dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Tambahnya, dia telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Tanjung Manis Halal Park Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang harimau, udang putih dan ikan kerapu. ''Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh pajakan selama 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 billion," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau juga akan mengusahakan makanan frozen berasaskan udang dan ikan dan akan di eksport ke luar negara khusus untuk mereka yang beragama Islam. Katanya lagi, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci telah pun dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini katanya, sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur memandangkan produk halal Malaysia yang akan dihasilkannya adalah dari Zon Halal Park. Justeru katanya, dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang serta halal, ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan yang halal tanpa rasa ragu.

Bagi Najee Muddin ia merupakan cabaran baru baginya dalam melebarkan sayap syarikat untuk menjadi penternak udang dan ikan yang terbesar serta mengeksport makanan sejuk beku yang halal ke luar negara dengan kualiti yang terjamin.

ZAMZUREE BANGKIT SELEPAS KECUNDANG

MEMANG ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu. Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

''Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh," katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan. Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

''Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali. ''Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula. "Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan," katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India. Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

''Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna," katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan. Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan. Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang. Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran. Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam. Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Seorang pembeli dari Cheras, Selangor, Mokhtar Ahmad, 35, ketika ditemui di ladang berkenaan berkata beliau sering berurusan dengan syarikat berkenaan disebabkan bekalan lembunya lebih segar. "Kedatangan saya hari ini untuk membeli lapan ekor lembu bagi bekalan bulan Ramadan," katanya.

REZEKI BAULU MAHANUM

SEBUAH motosikal berhenti di bengkel menghasilkan baulu dan mengambil beberapa bungkus baulu dan wang beralih tangan. Terpegun seketika melihat kaedah pemasaran tanpa perlu menjaja di gerai atau menghantar produk ke kedai.

"Biasanya lebih ramai yang suka datang sendiri untuk membeli baulu di sini. "Cara ini lebih mudah dan saya tidak perlu mengeluarkan belanja menyewa tapak jualan," kata Mahanum Mhd Shah, 48. Bengkel baulunya terletak di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Segalanya bermula kerana pendapatan suami yang tidak seberapa menyebabkan beliau tidak hanya leka dengan tujuh orang anaknya yang mula meningkat remaja tetapi mula terfikir untuk membantu bagi meringankan beban suami. Memikirkan keluarga yang memerlukan perbelanjaan tambahan, Mahanum terfikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Beliau mula dengan menjual nasi lemak dan burger di depan rumah kerana Mahanum masih boleh menjaga ibu yang sakit dan beliau kemudian beralih membuat baulu semasa musim perayaan.

Bermodalkan RM200 hingga RM300, Mahanum membeli peralatan asas seperti acuan baulu dan dapur serta bahan mentah seperti tepung, gula dan telur. "Pada mulanya saya usahakan membuat baulu menggunakan dapur arang dan secara kecil-kecilan untuk di jual pada jiran-jiran sekitar sini," katanya. Ibu kepada tujuh orang anak yang gigih mengusahakan baulu di dapur rumah di kemudiannya beralih ke beranda rumahnya apabila permintaan terhadap baulunya semakin menggalakkan.

Tidak pernah mengenal erti putus asa, Mahanum meneruskan usahanya tanpa bantuan sesiapa sehinggalah seorang rakannya Zainon Ariffin membawanya ke Jabatan Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat. "Di sana saya mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian di Kalumpang selama empat hari mengenai baulu dan kek secara moden," katanya. Semasa kursus di Jabatan Pertanian, beliau mempelajari cara mempelbagai produk baulunya seperti baulu ikan emas emas bersaiz besar dan sederhana.

Selain itu, Mahanum juga menghasilkan baulu dengan menambah perisa seperti kapucino, pandan, coklat rice, oren dan strawberi serta muffin, kek gula hangus dan baulu kemboja Melihatkan usaha dan semangatnya menghasilkan pelbagai produk serta pasaran yang amat menggalakkan semasa musim perayaan Jabatan Pertanian memberikan bantuan dalam bentuk ketuhar dan pembinaan bengkelnya.

Buat masa ini dengan bantuan Jabatan Pertanian, Mahanum dapat menghasilkan 4,000 biji baulu biasa sehari. Apa yang uniknya Mahanum tidak perlu mencari pasaran sebaliknya pelanggan yang datang mencarinya, malah baulunya telah dibawa hingga Jepun dan Jordan oleh anak jiran yang belajar dan bekerja di sana. Baulu yang dihasilkan memang menarik kerana lebih garing daripada biasa dan tahan lebih lama.

Sebagai perniagaan keluarga, Mahanum dibantu oleh anak-anaknya terutama semasa cuti sekolah. Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mahanum tidak mengabaikan pelajaran anak-anak memandangkan tiga orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala empat lagi masih bersekolah.

Mereka yang berminat mendapatkan baulu hasil tangan Mahanum boleh datang sendiri ke premisnya di Lot A Bakery Enterprise di Kampung Sungai Masin atau hubungi beliau di 013-2263423 atau e-mel: anum6212@yahoo.com

SHEIKH YASIR ABDUS SAMAD - SURAH MARYAM

PENGKHIANATAN UMNO TERHADAP ORANG MELAYU

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.
2. Melemahkan sistem kehakiman negara.
3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.
4. Memperkenalkan PPSMI : menghapuskan bahasa Melayu.
5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.
6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.
7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.
8. Persempadanan semula pilihanraya pada 2002 : mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.
9. Menafikan hak royalti minyak rakyat Kelantan.
10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.
11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100 peratus oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.
12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby,Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.
13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Datuk Harussani mengeluarkan kenyataan bahawa 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.
14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.
15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.
16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.
17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuan asalnyanya adalah untuk membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputera.

THE WANS [POP NASYID INDIE ROCK BAND] - TEMAN SEJATI