WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

TAS OFFSHORE RAIH KONTRAK BINA 30 KAPAL

SYARIKAT pembinaan kapal bagi pasaran eksport, TAS Offshore Bhd, mempunyai kontrak dalam tangan bernilai RM350 juta, yang mampu menampung perniagaannya sehingga 2011.

Timbalan Pengarah Urusannya, Simon Lau Choo Chin, berkata berdasarkan kontrak yang diraihnya itu, syarikat secara keseluruhannya akan membina kira-kira 30 kapal untuk tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, syarikat yang hampir 90 peratus perniagaannya berasaskan eksport, menyediakan perkhidmatan bagi pelanggan antarabangsa merangkumi pelbagai sektor, terutama industri minyak dan gas (O&G) serta perlombongan. "Pelanggan utama kami adalah dari Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Indonesia dan Singapura," katanya pada sidang media sempena penyenaraian sulung saham syarikat itu di Papan Utama Bursa Malaysia, Khamis lalu.

Saham syarikat itu dibuka pada 94.5 sen berbanding harga tawaran awal permulaan (IPO) 90 sen untuk premium sebanyak 4.5 sen, dengan 61,540 unit bertukar tangan.

Saham itu mengakhiri dagangan pada 87 sen selepas mencecah harga tertinggi 99 sen dan paling rendah 87 sen, sambil menyaksikan 746,397 unit saham didagangkan. IPO TAS Offshore sebanyak 9.0 juta saham sebelum ini telah terlebih langganan sebanyak 19.47 kali.

Mengulas harga pembukaan itu, Lau berkata, pihaknya gembira dan berpuas hati dengan sambutan pelabur terhadap saham syarikat, di sebalik suasana pasaran yang kurang menggalakkan.

Beliau menambah, penyenaraian saham di Papan Utama Bursa Malaysia, akan membolehkan TAS Offshore, meraih pendapatan sebanyak RM69.3 juta yang akan digunakan bagi peluasan operasinya yang sedia ada, bagi modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

Katanya, sebahagian pendapatan daripada penyenaraian itu dijangka digunakan bagi pembelian kelengkapan dan jentera seperti kren gantri serta menaikkan taraf limbungan bagi menambah baik prasarana dan kecekapan operasi. Syarikat itu yang beroperasi dari Sungai Bidut di Sibu, Sarawak mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan bot tunda sepanjang 23 hingga 60 meter, kapal tunda dan bekalan tunda pengendalian sauh, tongkang, feri dan bot kerja, telah membina lebih 150 bot dan kapal bagi pasaran dalam dan luar negara.

"Kami mempunyai kemampuan membina purata 23 unit kapal dan bot setahun," katanya sambil menambah limbungan itu kini beroperasi dengan kapasiti penuh.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.