WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

TRADEWINDS BELI 53.76% BERNAS

KUALA LUMPUR 28 OGOS - Tradewinds (M) Bhd. (Tradewinds) hari ini mengumumkan cadangan pembelian 53.76 peratus ekuiti kepentingan di dalam Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) pada harga RM525.99 juta. Pembelian itu juga melibatkan 31.52 peratus kepentingan Bernas yang dipegang oleh Wang Tak Company Ltd.(Wang Tak), kata Pengerusi Tradewinds, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan dalam kenyataannya.

Syed Abdul Jabbar berkata, Tradewinds telah memeterai perjanjian jualan saham (SSA) bersyarat untuk memiliki 31.52 peratus kepentingan Bernas dari Wang Tak Company Limited pada harga RM2.08 sesaham dengan nilai RM308.42 juta. ''Perjanjian yang sama juga dimeterai Tradewinds untuk membeli 22.24 peratus saham Bernas daripada Gandingan Bersepadu Sdn. Bhd. (GBSB) pada harga RM2.08 sesaham dengan nilai RM217.566 juta,'' tambah beliau.

Syed Abdul Jabbar berkata, pembelian daripada GBSB dibuat mengikut pelaksanaan dividend-in-specie saham Bernas oleh anak syarikat GBSB iaitu Budaya Generasi (M) Sdn. Bhd., pemegang saham utama Bernas. GBSB merupakan pihak yang bertindak bersama-sama Tradewinds dalam pembelian ini. Cadangan pembelian berkenaan yang tidak saling bersyarat dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku keempat tahun ini.

Beliau menambah, Tradewinds yang akan membiayai cadangan pembelian saham itu melalui pinjaman bank, juga perlu membuat dua tawaran am mandatori (MGO) untuk membeli baki saham Bernas yang tidak dimilikinya.

Cadangan pembelian itu bertujuan memastikan bekalan makanan negara diuruskan oleh syarikat Malaysia. Tradewinds merupakan pemain utama dalam industri pertanian dengan aktiviti utamanya dalah penapisan gula dan pengeluaran minyak kelapa sawit, manakala Bernas terlibat mengimport dan membekalkan beras di Malaysia. ''Pembelian itu membolehkan Tradewinds meneroka secara langsung dan tidak langsung ke dalam rangkaian pemasaran dan agihan Bernas, selain dapat berkongsi gudang dan kemudahan pengangkutan bagi memastikan kecekapan operasi,'' jelasnya.

Beliau menjelaskan cadangan yang menyaksikan syarikat-syarikat itu mempunyai permodalan pasaran RM3 bilion apabila selesai, dilakukan demi kepentingan negara selain membolehkan wujudnya sinergi perniagaan dengan menghapuskan pertindihan sumber, menawarkan penjimatan kos dan meningkatkan keupayaan berdasarkan infrastruktur sedia ada.

Maybank Investment Bank Bhd. akan dilantik sebagai penasihat utama kepada pengambil alihan, sementara HwangDBS Investment Bank Bhd. dilantik sebagai penasihat bebas kepada pengambil alihan saham Bernas daripada GBSB. Cadangan pembelian itu dan MGO masih tertakluk kelulusan pihak berkuasa dan para pemegang sahamnya. Cadangan pembelian oleh Tradewinds menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa sebuah syarikat bumiputera akan mengambil alih ekuiti saham Bernas menerusi pegangan ekuiti sehingga 70 peratus.

Bernas menjadi perhatian baru-baru ini berikutan terdapat laporan yang menyatakan Wan Tak dari Hong Kong telah menguasai saham Bernas sebanyak 31 peratus melalui pasaran terbuka. Pembelian itu menimbulkan kebimbangan tanpa asas di kalangan orang ramai bahawa penguasaan pihak asing dalam Bernas akan menjejaskan pembekalan beras negara.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.