WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

MANTRADE SASAR PENGIMPORT DUNIA

30 OGOS - Setelah 10 tahun bertapak di China dan Hong Kong, syarikat pengurus pembelian barangan Bumiputera, Malay Associates Nego-Trade (Mantrade) kini bertambah yakin mampu muncul sebagai pengimport utama barangan China di peringkat antarabangsa. Malah, sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, Mantrade telah menguruskan pembelian barangan China untuk dieksport ke seluruh dunia dengan urus niaga mencecah RM1 bilion.

Syarikat bumiputra itu kini mempunyai pelanggan di lebih 100 negara dengan bidang tugasnya mengendalikan pembelian barangan buatan China secara borong dan runcit di China secara bersepadu sebelum dieksport ke serata dunia termasuk melalui perkhidmatan pintu ke pintu.

Ditanya tentang sasaran untuk menjadi pengimport utama dunia, Pengurus Besarnya, Mohd. Daaie Mohd. Heffney, 24 yang mampu bertutur dalam bahasa mandarin berkata, tempoh yang ditetapkan adalah setahun daripada sekarang. ''Kami mula membuka pejabat cawangan di beberapa bahagian dunia sebagai salah satu perluasan pengaruh perniagaan. ''Pada masa ini, kami mempunyai pejabat cawangan di Indonesia, Thailand, Vietnam, beberapa buah negara Asia Barat, United Kingdom dan beberapa buah negara Eropah yang lain,'' kata beliau.

Mohd. Daaie berkata, kebanyakan pejabat cawangan juga akan menjalankan operasi penuh mulai tahun depan sebagai langkah awal meluaskan pengaruh perniagaan Mantrade di seluruh dunia. Beliau berkata, keupayaan Mantrade untuk mula berkembang di seluruh dunia adalah berteraskan hasil kepercayaan penuh pihak pentadbir dan pengurusan dari wilayah Guangzhou, China untuk menjalankan aktiviti import dan eksport.

Guangzhou merupakan wilayah yang aktif dalam menjalankan aktiviti perindustrian dan pembuatan. "Kami berjaya membina keyakinan perniagaan selain mendapat kepercayaan daripada pentadbir wilayah Guangzhou walaupun kami bukan berbangsa Cina. "Di China, pengeluar barangan tidak mengamalkan sentimen perkauman sebaliknya menitikberatkan perniagaan yang memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak. "Hasilnya, kami mampu membeli produk dan barangan dari wilayah itu dan beberapa wilayah China yang lain dengan kadar yang amat murah, menepati spesifikasi serta memberi nilai yang amat kompetitif,'' katanya .

Mantrade juga membuka pejabat cawangannya di Malaysia sekitar Oktober tahun lalu dan sehingga kini mempunyai kira-kira 12 kakitangan di sini. Syarikat itu menjalankan aktiviti mengimport pelbagai jenis barangan meliputi elektrik dan elektronik, mesin, perabot, alatan tulis dan bahan binaan dari China.

Di Malaysia, pihak berkenaan dikatakan menerima 9,000 tempahan barangan setiap bulan menerusi dalam talian Internet. Mantrade turut menerima para pelanggan yang menggunakan konsep berkunjung terus ke pejabatnya. Kebanyakan pelanggan Mantrade di Malaysia terdiri daripada kalangan usahawan berjaya, kontraktor Bumiputera yang menerima surat tawaran (LO), tender kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, kilang-kilang dan industri sokongannya, syarikat pemaju hartanah, pemborong serta pengusaha kecil dan sederhana (PKS). Ditanya mengenai prestasi jualan dan dagangan di negara ini yang baru memulakan operasi tahun lalu, Mohd. Daaie menganggarkan jualan lebih RM100 juta mampu dicatat bagi setiap suku tahun perniagaan.

Katanya, ia merupakan satu permulaan yang baik memandangkan permintaan barangan China dari kalangan usahawan dan PKS sentiasa tinggi di negara ini. Menyorot kembali pembabitannya dalam penubuhan Mantrade di China dan Hong Kong, Mohd. Daaie berkata, penubuhannya adalah hasil inisiatif beberapa bekas kakitangan konsulat Malaysia di China lebih 10 tahun lalu yang juga merupakan rakan kongsi syarikat. "Beberapa rakan kongsi yang menjadi pengasas kepada Mantrade kini menetap di China, sekali gus memudahkan aktiviti perniagaan di antara kedua-dua negara dan China dengan negara-negara lain di dunia,'' kata beliau.

Malah, pihaknya hanya menjalankan dagangan secara tunai. Mohd. Daaie mengakui kegawatan ekonomi semasa turut memberi kesan kepada Mantrade apabila pada sepanjang tahun ini pihaknya mengalami kemerosotan sebanyak 50 peratus tetapi keadaan itu dijangka pulih sepenuhnya suku pertama tahun depan.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.