WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PASAR TANI SISWAZAH

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bekerjasama untuk menubuhkan sebuah program yang dikenali sebagai Pasar Tani Siswazah.

Bertujuan untuk melahirkan lebih ramai graduan menceburi bidang perniagaan pada masa hadapan, pasar tani ini telah memulakan operasinya yang pertama pada 31 Januari yang lalu di Taman Bullion Mewah, Batu Muda, Selayang.

Seramai 42 pelajar dan graduan daripada beberapa universiti tempatan seperti UniKL, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipilih untuk menyertai program itu dengan menjual pelbagai produk seperti makanan dan berasaskan industri kecil dan sederhana tempatan.

Pengarah Kanan (Pembangunan Usahawan) FAMA, Abd. Wahid Mat Radzi berkata, pelaksanaan Pasar Tani Siswazah yang julung-julung kali diadakan di negara ini bertujuan mengubah persepsi pelajar dan graduan dalam bidang perniagaan.

"Selama ini mungkin ramai yang menganggap berniaga di pasar tani sebagai pekerjaan kelas kedua, sedangkan hakikatnya ia mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan dan tidak terhad jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pada masa yang sama, mereka akan lebih berdikari dan mampu mencari pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada corak 'makan gaji' semata-mata selepas menamatkan pengajian. Dengan ilmu yang telah dipelajari, mereka boleh mempraktikkannya untuk menghasilkan produk-produk baru yang sesuai atau mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Tambah Abd. Wahid, konsep sedemikian akan diperluaskan di seluruh negara pada masa hadapan dengan tumpuannya di kawasan yang berdekatan dengan universiti atau kolej.

"Perniagaan ini tidak memerlukan modal yang tinggi kerana caj yang dikenakan hanyalah RM580 untuk peralatan seperti kanopi, alas meja, apron, topi dan baju T serta RM7 untuk caj tapak perniagaan. Konsep yang diperkenalkan di pasar tani ini ialah 50-50, iaitu gabungan antara golongan siswazah bersama-sama peniaga biasa yang mempunyai pengalaman berniaga di pasar-pasar tani lain sebelum ini," ujarnya.

Abd. Wahid menjelaskan, pelajar yang terpilih menyertai program itu perlu menjalani kursus sehari yang disediakan FAMA berhubung etika dan tatacara perniagaan yang betul.

"Jika mereka menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi, dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi kita akan hantar mereka menjalani kursus tahap kedua yang akan diadakan di Institut Latihan FAMA di Port Dickson. Mereka akan diberi mentor iaitu para usahawan pasar tani yang telah berjaya bagi mempelajari tip-tip dan panduan menguruskan perniagaan. Malah FAMA juga akan membantu mereka untuk mencari modal dan mengembangkan perniagaan sehingga ke tahap yang lebih tinggi seperti konsep karavan atau pasar mini pada masa hadapan," katanya.

Katanya, daripada 17,250 peserta pasar tani di seluruh negara, seramai 2,000 daripadanya merupakan graduan yang menjalankan perniagaan secara tetap dan sampingan.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan seramai 250 graduan dapat dilahirkan melalui konsep yang dilaksanakan," katanya.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.