WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

THE STROKES [IZE OF THE WORLD]

MARDI CIPTA KIT KESAN BAKTERIA MAKANAN

Keracunan makanan biasanya berlaku akibat pencemaran bakteria berbahaya dan salah satunya adalah Salmonella. Salmonella merupakan salah satu genera patogenik yang penting dalam pencemaran makanan dan penyakit.

Pelbagai jenis produk makanan terutama unggas dan daging merupakan sumber penting dalam jangkitan Salmonella pada manusia. Di negara ini jangkitan Salmonella telah menjadi endemik dan penyumbang kepada penyakit yang disebabkan oleh pencemaran makanan.

Disebabkan makanan merupakan bahagian penting dalam kehidupan manusia maka keselamatannya perlu diberikan perhatian. Makanan merupakan pembawa kepada kebanyakan penyakit berjangkit.

Justeru, penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan kit pengesanan pantas atau diagnosis bagi mengesan Salmonella.

Pengawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Noor Azlina Masdor berjaya menghasilkan kit ujian pakai buang immuno dot-blot Salmonella berasaskan kepada tindakbalas antibodi-antigen.

"Ini merupakan alternatif kepada ujian plat ELISA dan didapati lebih sensitif berbanding kaedah pengkulturan konvensional dan plat ELISA," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Setiap ujian direka khusus bagi jalur kawalan positif (+) dan jalur kawalan negatif (-) dan tiga replikasi jalur ujian pada kertas nitroselulos.
Dalam kehadiran Salmonella, satu titik berwarna biru akan muncul pada jalur ujian (T) serta jalur kawalan positif (+).

Semua prosedur ujian dapat diselesaikan antara satu hingga satu setengah jam dan boleh mengesan Salmonella dengan bacaan paling rendah 1-5 CFU bagi 25 gram (g) sampel makanan.
Ujian berkenaan, jelas Noor Azlina, merupakan versi ELISA yang dimudahkan dan boleh digunakan tanpa peralatan khusus.

"Kit ini berdasarkan kepada gambaran visual tindakbalas antibodi-antigen Salmonella. Rekaan baru ini direka secara inovatif dan sesuai digunakan sebagai kit diagnosis pantas," katanya.

Kit ujian Salmonella berkenaan adalah ringkas, pantas dan mampu dibeli oleh usahawan memandangkan tiada pembaca ELISA diperlukan. Ia juga boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan dimusnahkan selepas digunakan. Kit berkenaan juga boleh digunakan secara 'in-situ' dan ujian lapangan serta tidak memerlukan pekerja yang berpengalaman untuk mengendalikannya.

Noor Azlina berkata, kit yang dihasilkan di MARDI lebih murah berbanding kaedah konvensional manakala ujian strip juga agak mahal memandangkan kos yuran dan pengangkutan.

"Kit ini berpotensi digunakan dalam industri unggas bagi penilaian pencemaran Salmonella bagi kawalan kualiti. Selain itu ia juga sesuai digunakan oleh pengguna untuk memilih makanan yang berkhasiat dan tidak tercemar," katanya.

Kit berkenaan menerima Pingat Emas dan Anugerah Paling Inovatif semasa Pameran Innobio 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JUS JAGUNG RAMUAN SENDIRI

Sebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (IKS), AgroGate Enterprise cuba menghasilkan produk jus jagung segar yang sedia untuk diminum. Menurut Pengurus Besarnya, Fuad Yunus, beliau mencipta minuman itu kerana ingin mencari kelainan dalam penghasilan produk hiliran berasaskan jagung.

"Pada tahun 2007, syarikat kami telah memulakan tanaman jagung manis Varieti 926 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan seluas 30 ekar. Sejak mula ditanam, kami telah membekalkan jagung-jagung ini kepada penduduk kampung dan syarikat-syarikat yang ingin membelinya secara kelompok,'' katanya.

Tambahan pula, pada setiap musim, ladangnya akan menghasilkan 20 hingga 30 peratus jagung yang tidak mengikut piawai pasaran sangat sesuai digunakan sebagai bahan mentah jus itu. Jus jagung di bawah penjenamaan Jagcorn itu disediakan di kilangnya yang terletak Kuala Langat, Selangor.

"Ketika ini, jus ini disediakan secara manual bermula dengan proses peleraian jagung, bancuhan ramuan, pembungkusan dan menampal pelekat dengan bantuan seramai 10 orang kakitangan. Menerusi cara itu, kapasiti pengeluarannya adalah sangat rendah di mana kita hanya mampu menghasilkan sebanyak 1,200 botol sehari dengan dengan harga borong RM1.30 sebotol,'' jelasnya.

Menarik mengenai jus ini, ramuannya telah dicipta sendiri menerusi perbincangan kalangan pengurusan syarikat. Selain itu, mesin-mesin yang digunakan melerai jagung, membancuh dan membungkus juga dicipta sendiri menggunakan idea daripada pihak pengurusan.

Pembuatannya pada peringkat awal melibatkan proses meleraikan jagung daripada tongkol untuk menghasilkan stok sebelum dikisar dan dimasak bersama ramuan campuran tanpa bahan pengawet. Jus jagung yang telah dibotolkan juga akan mengandungi serpihan kecil biji-biji jagung untuk memberi lebih kenikmatan ketika meminumnya. Menceritakan mengenai pasaran produk tersebut, beliau memberitahu, ketika ini, jus tersebut hanya diedarkan mengikut permintaan.

"Kita merancang untuk memperluaskan rangkaian pasaran produk ini sehingga memasuki pasar raya satu hari nanti. Buat masa ini, kita bakal memulakan penjualan di Pasar Tani terpilih sekitar Selangor,'' katanya.

Dari segi bantuan agensi kerajaan, beliau memberitahu, syarikatnya telah mendapat bantuan daripada pihak FAMA untuk memasarkan produk jus berkenaan. Selain itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga ada memberi bantuan dari segi khidmat nasihat dalam mekanisme pembuatan jus.

Syarikat tersebut menyasarkan pengeluaran sebanyak 10,000 liter sehari pada akan datang apabila telah mempunyai kilang yang dilengkapi dengan mesin automatik. Untuk tujuan perluasan pengeluarannya, syarikat itu juga bakal membuka kawasan tanaman jagung baru di ladang sekitar Kelantan dan Johor.

"Harapan kita adalah untuk menjadikan jus ini sebagai minuman pilihan pengguna sebagaimana kejayaan produk minuman kacang soya,'' katanya.

THE WANNADIES [SKIN]

SELAMATKANLAH KAJIAN PERTANIAN RM16 JUTA

Seorang penyelidik yang pernah menghasilkan nangka madu terbesar di dunia merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelamatkan hasil kajian buah-buahan tropika yang dianggarkan bernilai RM16 juta daripada dimusnahkan.

Prof. Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz berkata, penyelidikan ke atas pelbagai jenis buah-buahan antaranya nangka, roselle, durian belanda dan pulasan itu dijalankan di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), seluas kira-kira 12 hektar di Kampung Paya Tok Akil di sini sejak 2003.

Katanya, bagaimanapun Perda telah meminta tanah itu dikosongkan dengan notis 14 hari daripada mahkamah yang berakhir hari ini dengan alasan untuk memajukan kawasan tersebut. Kawasan itu tambahnya, jika dimajukan hanya memberi manfaat kepada penduduk sekitar sedangkan benih baru buah-buahan itu boleh dinikmati oleh rakyat seluruh negara.

''Sudahlah selama ini saya tidak mendapat sebarang bantuan sewajarnya untuk menjalankan kajian yang hasilnya telah pun dimanfaatkan apabila ramai pengusaha tanaman nangka madu berjaya menjana pendapatan dan ada juga yang dieksport. Secara kebetulan pula, belum ada lagi saintis di negara ini yang berpengalaman seperti saya dalam mengendalikan kacukan buah-buahan tropika serta menghasilkan benih baru seperti yang mampu memberi faedah kepada industri buah-buahan baik untuk pasaran tempatan dan luar negara. Saya merayu kepada kerajaan dan Perda untuk membantu dalam hal ini dan fikirkan manfaat yang diperoleh daripada kajian ini dan saya juga tidak mahu mengaut apa-apa keuntungan, saya hanya mahu tempat ini dikekalkan. Jika Perda nak ambil hasilnya pun saya tidak kisah," katanya.

Bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah menghasilkan kultivar nangka madu Mastura CJ-USM 2000 yang boleh menghasilkan buah pertama dalam tempoh 18 bulan dengan berat boleh mencecah sehingga 25 kilogram dengan kerjasama syarikat swasta sebelum ini.

Nangka madu Mastura itu dihasilkan melalui proses kacukan dan ia boleh menghasilkan buah yang terbaik seperti saiz buah yang besar, warna isi kuning keemasan, keharuman aroma, rasa rangup, saiz ulas yang besar dan isi yang tebal.

Menurut Zainal Abidin, sepanjang tempoh berkenaan, lebih 20 jenis benih baru telah berjaya dihasilkan daripada buah-buahan tersebut dan kajian baru yang terkumpul itu tidak ternilai harganya dengan wang ringgit dari segi biodiversiti dan ia boleh dikelaskan sebagai harta negara. Jelasnya, usaha yang dijalankan di atas tanah dengan bayaran sewa bulanan itu bertujuan memajukan pertanian kerana negara mempunyai potensi besar dalam bidang tersebut sekali gus tidak perlu lagi mengimport benih dari negara luar.

Sementara itu, wakil Pusat Penasihat Undang-undang Majlis Peguam Pulau Pinang yang mewakili Zainal Abidin, Harryzan Yaakub berkata, pihaknya berjaya mendapatkan permohonan mengetepikan kehakiman ingkar dan penangguhan pelaksanaan kehakiman daripada Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

''Mahkamah Sesyen telah menetapkan 17 Mac ini untuk mendengar permohonan kami dan pada masa sama Mahkamah Tinggi juga telah menerima permohonan writ saman dan injunksi pihak kami dan mereka memberi tempoh lapan hari kepada Perda untuk memfailkan notis kehakiman," ujarnya.

THE LODGER [WATCHING]

OTOSIL MARDI HASILKAN MAKANAN TERNAKAN

Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.
Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import. Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit. Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini. Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj. Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian. Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.
Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap. Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

"Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual. Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos. Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,'' kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang. Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda. Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan. Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai. Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan. Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara. Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial. Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat. Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000. Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000. Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor. Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi. Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini. Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

"Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara. Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia. Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,'' katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik. Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis. Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my

THE CURE [FRIDAY I'M IN LOVE]

STADIUM BARU UNTUK BOLA SEPAK KELANTAN

Kerajaan negeri Kelantan telah bersetuju menyediakan tapak pembinaan bagi kompleks sukan termasuk sebuah stadium. Oleh itu, hasrat peminat bola sepak Kelantan menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di stadium baru mungkin akan menjadi kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood berkata, mesyuarat Perbadanan Stadium sebelum ini turut memutuskan untuk mengekalkan Stadium Sultan Muhammed IV yang berusia lebih 40 tahun itu.

Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju menyediakan tanah seluas 16 hektar di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu sebagai lokasi pembinaan kompleks sukan tersebut. Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri juga memohon sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membina kompleks sukan yang dicadangkan itu.

"Kita memilih untuk mendirikan stadium baru ini atas sebuah tapak baru kerana berpendapat stadium yang sedia ada mempunyai nilai sentimental serta sejarah yang tersendiri. Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa sebuah stadium baru sangat diperlukan untuk pelbagai program termasuk bola sepak, cuma ketika ini kita berdepan masalah kekangan kewangan," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon Kerajaan Pusat membina sebuah stadium bola sepak berharga RM100 juta di Kelantan bagi memberi keselesaan kepada penonton menyaksikan perlawanan bola sepak.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bola sepak baru yang dicadangkan itu dapat menampung kira-kira 30,000 penonton berbanding Stadium Sultan Muhammed IV yang hanya boleh menampung 15,000 penonton sahaja.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri begitu berbesar hati sekiranya pihak-pihak berkenaan bersedia untuk menyumbang dari segi dana bagi pembinaan stadium baru tersebut. Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini belum ada perbincangan khusus antara kerajaan negeri dan KAFA mengenai perancangan tersebut.

"Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan seketika isu-isu tertentu semata-mata untuk menumpukan perhatian terhadap pembangunan sukan serta bola sepak tempatan. Kerajaan negeri memandang serius dan positif mengenai perkara ini dan ia seharusnya mampu direalisasikan untuk kepentingan golongan belia di negeri ini," ujarnya.

Katanya, beliau bersama Timbalan Menteri Besar yang merupakan Pengerusi Perbadanan Stadium sebelum ini telah melakukan lawatan ke Korea Selatan untuk melihat sendiri stadium serta prasarana sukan yang dimiliki negara tersebut.

Abdul Fatah turut melahirkan harapan untuk menjadikan program pembangunan sukan di Kelantan setanding dengan negeri- negeri lain. Sukan hari ini bukan lagi sekadar hobi atau minat tetapi ia mampu dijadikan satu kerjaya yang baik dan mendatangkan pulangan lumayan kepada para atlet dan ahli sukan," tambahnya.

PASAR TANI SISWAZAH

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bekerjasama untuk menubuhkan sebuah program yang dikenali sebagai Pasar Tani Siswazah.

Bertujuan untuk melahirkan lebih ramai graduan menceburi bidang perniagaan pada masa hadapan, pasar tani ini telah memulakan operasinya yang pertama pada 31 Januari yang lalu di Taman Bullion Mewah, Batu Muda, Selayang.

Seramai 42 pelajar dan graduan daripada beberapa universiti tempatan seperti UniKL, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipilih untuk menyertai program itu dengan menjual pelbagai produk seperti makanan dan berasaskan industri kecil dan sederhana tempatan.

Pengarah Kanan (Pembangunan Usahawan) FAMA, Abd. Wahid Mat Radzi berkata, pelaksanaan Pasar Tani Siswazah yang julung-julung kali diadakan di negara ini bertujuan mengubah persepsi pelajar dan graduan dalam bidang perniagaan.

"Selama ini mungkin ramai yang menganggap berniaga di pasar tani sebagai pekerjaan kelas kedua, sedangkan hakikatnya ia mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan dan tidak terhad jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pada masa yang sama, mereka akan lebih berdikari dan mampu mencari pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada corak 'makan gaji' semata-mata selepas menamatkan pengajian. Dengan ilmu yang telah dipelajari, mereka boleh mempraktikkannya untuk menghasilkan produk-produk baru yang sesuai atau mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Tambah Abd. Wahid, konsep sedemikian akan diperluaskan di seluruh negara pada masa hadapan dengan tumpuannya di kawasan yang berdekatan dengan universiti atau kolej.

"Perniagaan ini tidak memerlukan modal yang tinggi kerana caj yang dikenakan hanyalah RM580 untuk peralatan seperti kanopi, alas meja, apron, topi dan baju T serta RM7 untuk caj tapak perniagaan. Konsep yang diperkenalkan di pasar tani ini ialah 50-50, iaitu gabungan antara golongan siswazah bersama-sama peniaga biasa yang mempunyai pengalaman berniaga di pasar-pasar tani lain sebelum ini," ujarnya.

Abd. Wahid menjelaskan, pelajar yang terpilih menyertai program itu perlu menjalani kursus sehari yang disediakan FAMA berhubung etika dan tatacara perniagaan yang betul.

"Jika mereka menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi, dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi kita akan hantar mereka menjalani kursus tahap kedua yang akan diadakan di Institut Latihan FAMA di Port Dickson. Mereka akan diberi mentor iaitu para usahawan pasar tani yang telah berjaya bagi mempelajari tip-tip dan panduan menguruskan perniagaan. Malah FAMA juga akan membantu mereka untuk mencari modal dan mengembangkan perniagaan sehingga ke tahap yang lebih tinggi seperti konsep karavan atau pasar mini pada masa hadapan," katanya.

Katanya, daripada 17,250 peserta pasar tani di seluruh negara, seramai 2,000 daripadanya merupakan graduan yang menjalankan perniagaan secara tetap dan sampingan.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan seramai 250 graduan dapat dilahirkan melalui konsep yang dilaksanakan," katanya.

PEWANGI SISA BUAH-BUAHAN

Sekumpulan pelajar Kolej Taylor's yang terlibat dalam demonstrasi membuat ekoenzim sempena minggu Go Green memberitahu, untuk menyediakan ekoenzim seseorang itu hanya memerlukan sisa buah-buahan atau sayuran, gula perang dan air.

Menurut Akmal Arif, 19, ekoenzim merupakan satu larutan kompleks yang dihasilkan melalui proses pemeraman antara campuran sisa dapur yang segar seperti buah-buahan dan sayuran, gula serta air.

"Enzim ini mudah dihasilkan dan boleh disediakan sendiri oleh setiap isi rumah. Apa yang perlu dilakukan ialah campurkan 10 bahagian air, satu bahagian gula dan tiga bahagian sisa dapur ke dalam bekas kedap udara. Bekas itu kemudian perlu ditutup ketat dan disimpan selama tiga bulan, tetapi penutupnya perlu dibuka atau dilonggarkan setiap hari untuk melepaskan gas. Selain dijadikan semburan penyegar udara, ekoenzim juga boleh digunakan untuk mencuci lantai, melembutkan fabrik, baja organik serta boleh digunakan untuk membasuh baju. Apa yang perlu dilakukan adalah mencampurkan satu penutup botol ekoenzim dengan air, kemudian ia boleh digunakan dalam cucian," jelasnya.

Sementara itu, rakan sekumpulannya, Nasrul Yusof, 19, menerangkan bahawa kaedah menjadikan ekoenzim berbau wangi adalah dengan menggunakan sisa buangan buah-buahan sitrus.

Projek ekoenzim sempena kempen hijau itu melibatkan empat pelajar yang lain iaitu Zi Chuen, Rebecca, Michele dan Mohd. Amin Md. Daud. Kumpulan pelajar tersebut tampil dengan idea itu bagi mendedahkan kepada masyarakat khususnya kepada rakan sekelas mereka mengenai kebaikan ekoenzim. Pada masa yang sama, mereka membawa mesej penjagaan alam sekitar.

GRADUAN JADI USAHAWAN BAJA CACING

Bergelar usahawan baja cacing tidak membuatkan mereka rendah diri. Sebaliknya ia memberi semangat baru kepada dua graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini apabila mereka menolak kerja makan gaji. Yakin bekerja sendiri memberikan lebih kepuasan walaupun sedar ada risiko menanti, Abdul Hadi Abu Osman dan rakannya, Sharifah Rabitah Sareh Hashim membulatkan tekad untuk menceburi bidang keusahawanan.

Sejak enam bulan lalu, mereka giat mempromosikan produk baja organik jenama Dr. Worm yang dilakukan melalui kerjasama Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat (PPSH) dan Sanggar Sains USM.

Abdul Hadi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, bertanggungjawab dalam aspek pemasaran dan pembungkusan manakala Sharifah, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi, bertindak sebagai pengawal produk. Menurut Abdul Hadi, produk baja organik daripada cacing tanah itu adalah hasil kajian para penyelidik yang juga pensyarah PPSH dan dipasarkan menerusi syarikat My Agrotech yang ditubuhkan pusat pengajian itu.

"Ia baja organik berkualiti tinggi yang dihasilkan dengan mengambil kira faktor kualiti, biologi dan alam sekitar hasil penyelidikan para pensyarah USM. Baja organik ini cuma berharga RM4 sekilogram berbanding produk sama di pasaran iaitu RM7 sekilogram. Bagaimanapun, kualiti Dr. Worm tetap terjamin.

"Dalam masa terdekat, baja Dr. Worm yang diproses secara organik di Pendang dan Padang Serai, Kedah ini akan dibekalkan ke beberapa syarikat pertanian selain dijual di pasaran terbuka. Ketika ini ia di peringkat akhir untuk pengeluaran dengan kapasiti kira-kira 20 tan metrik sebulan tetapi jumlah ini boleh ditingkatkan mengikut permintaan pasaran," ujarnya.

Abdul Hadi dan Sharifah Rabitah dilahirkan menerusi program Student Entrepreneurship Development Initiative Agenda atau SEDIA, iaitu program mencungkil bakat keusahawanan di kalangan graduan USM oleh universiti tersebut. Menerusi kerjasama itu, SEDIA mengetengahkan produk inovasi pensyarah (menerusi penghasilan baja cacing) manakala proses pemasaran dilakukan para graduan sekali gus menghasilkan satu penjenamaan produk yang baik. Program selama enam bulan itu bermula sejak Julai 2009 dan berakhir Disember tahun lalu meliputi program bimbingan usahawan dan kelas produk sebelum peserta memulakan projek perniagaan pilihan masing-masing.

Ia pendekatan kreatif USM bagi mewujudkan pekerjaan baru melalui bidang keusahawanan. Bagi projek My Agrotech itu, kedua-dua pelajar terbabit dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Hasnah Md. Jais yang terbabit sepenuhnya dalam penyelidikan baja Dr. Worm yang sesuai bagi semua kegunaan pertanian. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang penyediaan baja bio, penggunaan berkaitan cacing tanah dan penghasilan vermikas berkata, faktor kualiti tinggi membezakan baja Dr. Worm dengan produk seumpamanya di pasaran.

"Dr. Worm bukan bertujuan menyaingi produk lain, tetapi sebagai universiti penyelidikan berteraskan sains, kita bertanggungjawab memberikan sesuatu kepada masyarakat melalui hasil penyelidikan," katanya.

SILIBUS KELAS EKSPRES

Kementerian Pelajaran memperkenalkan silibus mampat bagi membolehkan murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terus melompat ke Tahun Tiga tanpa ketinggalan dalam pembelajaran sukatan Tahun Dua.

Menerusi silibus itu, murid Tahun Satu yang lulus ujian khas berdasarkan sukatan Tahun Dua pada pertengahan Ogos ini akan mempelajari 50 peratus sukatan pelajaran awal Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan terakhir pada Tahun Satu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada tahun depan murid terbabit akan terus ditempatkan di Tahun Tiga, tetapi akan mengikuti 50 peratus lagi sukatan pelajaran Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan pertama.

"Mereka akan mengikuti pelajaran Tahun Tiga pada April setelah lulus ujian penilaian kedua bagi sukatan Tahun Dua pada akhir Mac. Oleh itu, murid pintar ini dapat mengurangkan tempoh pembelajaran pada peringkat sekolah rendah setahun lebih awal, iaitu daripada enam tahun kepada lima tahun," katanya.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemilihan kumpulan pertama 20 SBT termasuk enam sekolah rendah yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan serta kakitangan.

Autonomi berkenaan antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Alimuddin berkata, pelaksanaan ini silibus mampat itu adalah antara cadangan yang dibincangkan secara terperinci dalam makmal bidang keberhasilan utama negara (NKRA) selaras langkah kerajaan memperkenalkan SBT.

Mengenai pemberian autonomi untuk memanjangkan waktu persekolahan, beliau berkata, SBT masih tertakluk kepada jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran harian yang ditetapkan kementerian. Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan mengenai perkara itu sedang disediakan untuk pelaksanaan SBT di mana pengetua dan guru besar diberi kuasa untuk menjalankan dan menyusun jadual anjal atau jadual waktu yang fleksibel.

LED OPTOMAS MULA DIKOMERSIAL

Optomas jenama lampu cahaya pancaran diod (LED) pertama keluaran Malaysia yang dibangunkan Avenion Greentech Sdn Bhd dengan kerjasama Sirim Bhd sudah sedia untuk dikomersialkan. Presiden dan Ketua Eksekutif Avenion Greentech, Dr Izmi Che Ismail, berkata pembangunan lampu mesra itu adalah antara inisiatif bagi meletakkan Malaysia sebagai hab LED serantau.

Beliau berkata pada peringkat awal, lampu itu disasarkan untuk pasaran penggunaan di bangunan dan infrastruktur awam, sebelum dikembangkan ke pasaran isi rumah."Optomas dimajukan hasil kerjasama Avenion dan Sirim. 'Opto' bermaksud cahaya dan 'mas' adalah singkatan bagi Malaysia. Penggunaan lampu LED ini akan dikembangkan menerusi projek khas yang dilaksanakan dengan Sirim.

Rangkaian produk Optomas terdiri daripada pelbagai lampu LED yang boleh dipasang di bangunan, sebagai lampu jalan, lampu isyarat dan sebagai. Ia adalah produk hijau, bersih dan selamat serta mampu menjimatkan kos tenaga sehingga 70 peratus," katanya.Izmi berkata, harga lampu LED ketika ini adalah 70 peratus lebih tinggi daripada lampu biasa, namun penggunaan secara meluas pada masa akan datang membolehkan harganya dikurangkan. Dari segi penjimatan dan keupayaan.

Kata Izmi, setiap lampu LED berkuasa lapan watt tidak hanya bersamaan dengan lampu biasa berkuasa 60 watt dan lampu jimat tenaga yang berkuasa 18 watt tetapi juga memiliki jangka hayat lebih lama. Bagi sesebuah bangunan yang beralih menggunakan lampu LED, beliau menganggarkan pemiliknya akan mendapat pulangan dari segi kos pemasangan dan penjimatan lampu itu dalam tempoh tiga hingga lima tahun.Izmi berkata, jenama Optomas sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan Piawaian Sirim dan akan melaksanakan penjenamaan bersama dengan Osram, syarikat pengeluar lampu kedua terbesar dunia yang berpangkalan di Jerman. "Proses itu sudah di peringkat akhir. Kami akan mengumumkannya dalam sedikit masa lagi," katanya.

Avenion Greentech dan dua syarikat sekutunya iaitu CS Opto Semiconductor Sdn Bhd, OptoGreen Technologies Sdn Bhd bukan nama baru dalam industri LED global kerana kumpulan itu berpengalaman lebih 10 tahun membekal komponen LED kepada beberapa syarikat multinasional antarabangsa. Menerusi kontrak pengilangan dan pembekalan komponen tulen (OEM) LED dengan Philip Lumileds, Avago Technologies dan Motorola, ia membekalkan komponen berkenaan kepada gergasi automotif global seperti Toyota, Mercedes dan BMW. Komponen itu dihasilkan menerusi dua kilangnya yang serba moden dan berteknologi tinggi di Kawasan Perindustrian Kamunting, Perak dan Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Pulau Pinang.

Selain itu, kumpulan itu juga mengeluarkan produk di bawah jenama OptoGreen yang dipasarkan secara eksklusif ke pasaran komersial Jepun. OptoGreen juga telah melantik Cosmo Techno sebagai pengedar eksklusifnya di Jepun dan ia akan menyertai ekspo LED tahunan, LED Next Stage 2010 yang bermula 9 hingga 12 Mac ini di Tokyo.

UEM BINA RUMAH HAMPIR RM1B DI BRUNEI

Kumpulan UEM melalui anak syarikatnya UEM Builders Bhd. (UEM Builders) berjaya mendapat kontrak terbuka asing untuk membina 4,000 rumah milik Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) bernilai RM970 juta.

Projek itu yang mendapat perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mewakili komitmen kerajaan negara kecil itu menyediakan rumah kediaman mampu milik kepada rakyatnya. BEDB dalam kenyataannya berkata, UEM Builders telah berjaya memperoleh kontrak terbesar untuk membina rumah kediaman yang dianugerahkan di bawah Skim Perumahan Kebangsaan Brunei.

''Tawaran yang diberikan kepada UEM Builders itu berdasarkan rekodnya dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar yang telah dilaksanakan di Malaysia, Qatar dan India,'' kata BEDB. Kumpulan UEM dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd. Perjanjian pelaksanaan kontrak itu telah dimeterai oleh Pengerusi Kumpulan UEM, Tan Sri Dr. Tajudin Ali dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Builders , Datuk Ridza Abdoh.

Pada awal tahun ini, BEDB telah menawarkan kontrak membina 2,000 buah rumah di bawah Skim Perumahan Kebangsaan Brunei. BEDB berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam tempoh 48 bulan di kawasan seluas 308 hektar berhampiran Kampung Mentiri, Mengkubau di Bandar Seri Begawan.

Projek ini dijangka mengurangkan jumlah menunggu bagi mereka yang ingin memiliki rumah kediaman mampu milik di Brunei serta meningkatkan ekonomi di kawasan sekelilingnya.

LIGA SUPER 2010 : KELANTAN 4-1 JOHOR FC

AKADEMI ETIQA DI UUM

Bukan mudah untuk menjadi seorang ejen sebuah syarikat insurans. Ejen tersebut bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dan penampilan yang meyakinkan bagi memasarkan jenama yang diwakili, pengetahuan mengenai produk dan juga syarikat perlu dikuasai. Peka dengan keadaan semasa dan memahami risiko dalam pasaran menjadi penambah nilai agar ejen mampu mencapai sasaran jualan.

Dengan kesedaran bahawa ejen-ejen harus mempunyai pengetahuan secara ilmiah dalam bidang itu, Etiqa Insurance dan Takaful memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans. Bagi melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran ejen-ejennya, Etiqa Insurance dan Takaful memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans dengan kerjasama UUM. Ia bagi meningkatkan daya saing syarikat di pasaran negara dan antarabangsa. Bukan sahaja itu ia juga bagi meletakkan ejen tersebut di satu tahap yang tersendiri yang bukan sahaja berpengalaman tetapi berpelajaran.

"Kami mewujudkan program ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan profesionalisme ejen-ejen kami. Bukan sahaja ia akan membantu ejen-ejen memberi perkhidmatan yang terbaik dengan kelulusan ini ia mampu meningkatkan perkembangan diri dan menambah baik taraf hidup mereka," kata ketua pengarah eksekutifnya, Datuk Aminuddin Md Desa. Program itu yang merupakan usaha sama Etiqa dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan program jarak jauh dengan kelas akan diadakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

UUM akan menyediakan silibus dan juga tenaga pengajar manakala Etiqa menyediakan para pelajar. Ejen-ejen akan berdaftar sebagai pelajar UUM dan perlu mematuhi undang-undang seperti pelajar lain. Sekiranya gagal dalam sesuatu subjek mereka harus mengulang semula bagi melengkapkan jam kredit. Dengan kelas diadakan di Kuala Lumpur pelajar ejen Etiqa akan didedahkan dengan pembelajaran menerusi Internet, makmal komputer dan juga praktikal. Ejen-ejen harus memenuhi syarat kelayakan akademi dan juga pencapaian dalam jualan masing-masing. Mereka yang berminat harus memohon dan pihak Etiqa dan UUM akan menentukan ejen yang mana layak untuk mengikuti program tersebut.

Menurut Ketua Akademi Etiqa, Mohd. Sani Ayob, syarikat sememangnya komited dalam meningkatkan tahap pengetahuan dan daya saing ejen-ejennya. "Pelbagai program dan kursus eksekutif diadakan bagi memastikan ejen-ejen di Etiqa berkualiti dan mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai produk dan juga pasaran. Ini adalah program ijazah yang pertama diadakan. Ia adalah bagi memastikan kerjaya mereka di Etiqa adalah kerjaya yang berterusan," katanya.

Pihak syarikat akan menanggung 75 peratus daripada yuran pengajian manakala ejen perlu membayar selebihnya. Pun begitu, sekiranya ejen tidak mendapat keputusan yang cemerlang keistimewaan itu akan ditarik balik. Subjek-subjek program itu merangkumi subjek wajib universiti iaitu Perhubungan Etnik dan Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Kenegaraan Malaysia. Subjek utama program termasuklah Insurans dan Risiko, Pengurusan Matematik, Akaun, Undang-Undang Perniagaan, Undang-Undang Insurans, Mikroekonomi, Makroekonomi, Pengurusan Kewangan, Pelaburan, Kajian Metadologi, Statistik dan Pengurusan, gabungan subjek Pemasaran, Tingkah Laku Pengguna dan banyak lagi.

Program itu bakal memakan masa selama empat tahun dan pengambilan pertama telah dilakukan seramai 25 orang pelajar dengan penuntut tertua dalam program itu berumur 62 tahun.

PESAWAT [EXCUSE ME]

KAFA MOHON STADIUM BARU

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon Kerajaan Pusat membina sebuah stadium bola sepak berharga RM100 juta di Kelantan bagi memberi keselesaan kepada penonton menyaksikan perlawanan bola sepak.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, stadium bola sepak baru yang dicadangkan itu dapat menampung kira-kira 30,000 penonton berbanding Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu hanya dapat menampung kira-kira 15,000 penonton sahaja.

"Sambutan luar biasa peminat setia pasukan Kelantan setiap kali perlawanan Liga Malaysia sebenarnya memberi isyarat tentang perlunya sebuah stadium bola sepak yang lebih besar dan dilengkapi dengan fasiliti terkini dibina di negeri ini. Saya telah menyampaikan saranan dan syor mewakili pihak pe- ngurusan KAFA serta rakyat Kelantan untuk memohon sebuah stadium bola sepak baru dibina di Kelantan melalui peruntukan Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Alhamdulillah, cadangan yang dikemukakan oleh KAFA itu mendapat perhatian positif," katanya.

Annuar memberitahu, beliau telah mengemukakan permohonan tersebut ketika bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Mohamed Nor Yaacob di Unit Perancangan Ekonomi, JPM, Putrajaya pada Khamis lalu.

Menurut Annuar, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak milik kerajaan persekutuan untuk pembinaan stadium bola sepak baru itu.

Dalam pada itu tambahnya, stadium baru itu juga dicadangkan diuruskan sendiri oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang tidak memiliki stadium serba canggih.