WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

USAHAWAN KOLEH KACANG DARI BACHOK

Khadijah Ibrahim, pemilik perusahaan koleh kacang yang berusia 62 tahun ini sudah puas merantau jauh dari kampung asalnya, Kampung Paya Teratai di Bachok. Wanita ini sudah banyak mencuba koleh kacang, tetapi selalunya beliau merasakan koleh kacang yang dijual tidak sesedap hasil buatan sendiri. Kerana itulah beliau sering membuat koleh kacang untuk dirinya, keluarga, jiran dan rakan-rakan.

"Tak sangka pula jiran dan kawan-kawan sukakan kuih itu biarpun ada yang tidak pernah merasainya sebelum ini. Dari situ mereka kemudian mula meminta saya membuat kuih itu untuk majlis kecil mereka, kemudian untuk juadah hari raya, bahkan pada hari-hari biasa juga ada yang menempah untuk dinikmati bersama keluarga," katanya.

Gembira melihat keenakan kuih kegemarannya disukai ramai, Khadijah kemudian berniaga koleh kacang secara kecil-kecilan dan mula menerima lebih banyak tempahan.

Tanpa menunggu waktu kelapangan atau cuti hujung minggu, Khadijah yang ketika itu menjadi pengurus sebuah syarikat komputer di Kuala Lumpur, mencari masa sendiri memenuhi permintaan rakan dan jiran yang menempah kuih berkenaan. Katanya, ketika itu masa dirasakan begitu berharga, selain melakukan pekerjaan tetap, saya seperti tidak menang tangan menerima tempahan daripada rakan rapat sehinggalah pelanggan yang tidak dikenali serata Kuala Lumpur.

Sungguhpun hampir 50 tahun menetap jauh dari negeri kelahiran Kelantan kerana menyambung pengajian dan mencari kehidupan sendiri, Khadijah tidak pernah lupa pulang menjenguk kampung. Asalkan memiliki waktu terluang beliau pasti pulang ke kampung biarpun sudah ketiadaan kedua ibu bapanya selain adik-beradiknya seramai tiga orang juga menetap di luar Kelantan.

Katanya setiap kali pulang ke kampungnya beliau merasakan ada sesuatu yang kurang di kampungnya. Tiada sebarang perubahan dalam rutin harian, iaitu penduduk lelaki melakukan kerja kampung dan kaum wanitanya duduk bersantai selepas menghabiskan kerja rumah.

"Setiap kali pulang ke kampung, saya melihat penduduk kampung ada banyak masa, suri rumah selepas melakukan tugas harian waktu petangnya akan duduk di bangku kayu berborak sesama jiran. Ketika itu saya terfikir jika ada peluang pekerjaan, mereka pasti tidak duduk-duduk sahaja kerana mereka juga perlukan pendapatan tambahan untuk membantu suami menyara keluarga," kata ibu kepada empat anak itu.

Beliau memikirkan untuk membantu memberi pendapatan sampingan kepada penduduk kampung yang kebanyakannya saudara-mara dan jirannya.

"Untuk mengubah kehidupan keseluruhan penduduk kampung mungkin saya tidak mampu, tetapi jika ada dua atau tiga orang yang dapat saya bantu itu sudah memadai buat permulaan," katanya sambil tersenyum.

Khadijah memulakan langkah baru dengan idea untuk mengembangkan resipi koleh kacangnya di kampung halaman sendiri. Menurutnya, idea itu dipersetujui saudara-mara dan jiran di kampungnya yang bersedia menyumbang tenaga.

"Sejak itu kuih koleh kacang mula dibuat di Kampung Paya Teratai dengan jiran tetangga dan penduduk kampung sebagai orang kuat di sebalik penghasilannya. Untuk tenaga yang mereka sumbangkan, saya hadiahkan mereka wang harian," kata Khadijah yang lebih selesa menggunakan perkataan hadiah daripada upah yang disifatkannya lebih lembut dan mesra.

Koleh kacang yang dihasilkan bukan sahaja dipasarkan di Kelantan, tetapi turut dibawa kepada pelanggan setianya ke Kuala Lumpur. Khadijah, yang memiliki dua diploma dan satu ijazah dalam bidang pertanian, pembangunan penyelidikan dan pendidikan kaunseling itu, tidak pernah lekang daripada idea untuk memajukan perniagaannya. Selepas beberapa lama mengusahakan koleh kacang, timbul inisiatif baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih mudah kepada pelanggan, sesuai dengan dunia moden kini yang memerlukan sesuatu yang ringkas dan mudah.

"Saya terfikir kalau sekadar jual kuih payah juga, koleh kacang bukannya dapat disimpan lama, bila terasa hendak makan, baru dibeli. Justeru itu saya merasakan perlu ada sesuatu yang lebih mudah untuk pelanggan simpan dan dibawa ke mana sahaja," katanya.

Dari situ timbul idea menghasilkan tepung koleh kacang untuk pelanggan yang ingin membuat sendiri kuih itu tetapi dengan cara yang mudah dan cepat. Tepung koleh kacang itu dibungkus dalam peket sederhana kecil dan sudah siap untuk diadun dengan ramuan khas yang hanya memerlukan masa di antara 7 sehingga 8 minit untuk dimasak menjadi kuih.

Menurut Khadijah, dengan bantuan Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (Iada) Kemasin Semerak, sebuah bengkel dibangunkan di kampungnya dan kini aktif beroperasi membuat kuih koleh kacang serta tepung koleh kacang. Produk itu kemudian dipasarkan di Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain.

Katanya dengan bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan yang membekalkan beberapa mesin, perusahaan beliau semakin berkembang dan lebih ramai penduduk kampung kini bekerja di situ. Khadijah yang sudah pun meletakkan jawatannya sebagai pengurus syarikat, kini mampu tersenyum bangga kerana hasratnya yang bukan sahaja mahu menjadi usahawan berjaya tetapi membantu penduduk kampungnya mencari pendapatan sampingan telah terlaksana.

Khadijah kini turut memiliki pusat pengumpulan dan pemasaran untuk menyimpan stok tepung koleh kacang di Danau Kota, Kuala Lumpur. Beliau kini merancang menghasilkan beberapa tepung khas lain untuk membuat pelbagai jenis kuih tradisional bagi memastikan kuih berkenaan tidak lapuk ditelan zaman.

"Hasrat saya hendak tambah beberapa jenis tepung membuat kuih lagi yang lebih ringkas dan mudah, antaranya apam dan kuih bakar," katanya.




KELANTAN TANDATANGANI MOU DENGAN SYARIKAT GERGASI CHINA

Enam syarikat gergasi dari China, Kazahstan, telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Kelantan.

Perjanjian persefahaman yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa bagi pihak kerajaan Kelantan meliputi beberapa bidang khususnya pendidikan.

Selain itu, ianya juga menyentuh soal pelancongan, kesihatan (perubatan tradisional), perdagangan, kebudayaan, sains dan teknologi termasuk kesukanan.

Enam syarikat atau pendidikan terbabit diwakili Universiti Antarabangsa Qinghai, yang diwakili Qi Fumin, Liu Chang Jiang mewakili Government of Zhangjiangchuan Muslim Autonomous Country Gansu Province.

Selain itu Presiden Association Dungan of Kazahstan, Zhu Yan yang mewakili China Council For The Promotion of Internantional Trade Qinghaiu Provincial Committee. Turut menjayakan perjanjian persefahaman, Ishaq Ma, Setiausaha Agung Persatuan China Muslim dan Presiden Counselor of Public Association Donggang, Junusov Abduljalil Majitovich.

Hasil perjanjian usahawama itu, rakyat Kelantan yang terpilih akan mengikuti pengajian dan kebudayaan China secara percuma di Taiwan. Ekoran perjanjian itu juga, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai hubungan terus dengan beberapa wilayah di negara China dan Asia Tengah.

Untuk itu, Kerajaan Kelantan akan meningkatkan prestasi dalam bidang ekonomi, kebudayaan Islam, pelancongan dan lain-lain lagi demi untuk kepentingan rakyatnya.

Husam pada sidang medianya juga seterusnya memberitahu, tahun hadapan kerajaan negeri akan menghantar pelajar yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian berkenaan dalam masa antara tiga minggu hingga tiga bulan.

Menurutnya lagi, Ekspo Cheng Ho yang berlangsung tidak hanya akan berakhir di situ sahaja, sebaliknya akan dilanjutkan kerjasama dalam bidang-bidang yang telah ditentukan demi untuk kepentingan rakyat Kelantan.




KELANTAN TUMPU PROGRAM EKONOMI 3 NEGARA

Kelantan akan menumpukan program ekonomi dengan tiga buah negara dunia yang kini sedang meningkat prestasi ekonominya, iaitu China, India dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pemegang ekonomi dunia sekarang bukan Amerika atau Jepun, sebaliknya tiga buah negara terbabit.

“Kelantan akan mewujudkan hubungan dua hala antara negara-negara terbabit khususnya sempena program Ekspo Cheng Ho 2010, yang akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan membina Cheng Ho City sebagai medan usahawan untuk para peniaga peringkat antarabangsa memasarkan produk halal mereka di situ.

Menurutnya, projek yang akan diadakan di Kampung Bukit Apam, Machang, menelan belanja jutaan ringgit di atas tanah seluas 500 ekar.

“Projek ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.





HPA MAHU LUASKAN LAGI EMPAYARNYA

HPA Industries Sdn Bhd (HPA), syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) milik Bumiputera terbesar di negara ini, menyasarkan mempunyai pasar raya besar berkonsep produk halal dan suci keluaran orang Islam sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Keyakinan itu bersandarkan HPA yang juga MLM berkonsep syariah bermula daripada jualan daripada rumah ke rumah sebelum dinaikkan taraf kepada cawangan, halal mart dan terbaru HPA Halal Mall yang di lancarkan pada 2 Oktober lalu.

Majlis pelancaran HPA Halal Mall itu bersamaan dengan perasmian mercu tanda HPA dikenali HPA International Center (HPAIC) yang bernilai hampir RM60 juta di Seksyen 13, Shah Alam Selangor pada hari yang sama, disempurnakan Pengarah Urusan 1 HPA, Ismail Ahmad bersama lebih 2,000 Pengarah Jati Setia (PJS) dan ahli syarikat itu dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Brunei.

Ismail berkata, pelancaran HPAIC bermakna ‘gelombang kedua’ yang harus dilalui semua warga syarikat itu selepas kejayaan yang diraih syarikat yang bermula dengan modal permulaan hanya RM3,000 pada 1998, tetapi kini mencatatkan jualan hampir RM20 juta sebulan di Malaysia dan RM3 juta di Indonesia.

“Permintaan produk halal di seluruh dunia tahun ini saja berjumlah RM7.1 trilion dan HPA melihat peluang yang cukup besar untuk HPA kerana perjuangan kita selama ini untuk membawa produk halal dan suci kepada ummah. HPA Mall adalah langkah awal untuk kita merealisasikan impian mempunyai emporium produk halal dan suci kita sendiri pada masa depan dengan sasaran kita pasar raya besar di atas jenama kita akan dibuka selewat-lewatnya lima tahun lagi,” katanya.

Menurutnya, HPA yakin pemasaran tidak menjadi masalah kerana selain mempunyai lebih 670,000 ahli yang komited di Malaysia dan 250,000 di Indonesia, Kemboja, Thailand dan Brunei, produk halal dan suci dicari semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Ismail berkata, masalah utama untuk HPA membuka pasar raya besar sekarang ialah faktor kekurangan produk.

“Perancangan HPA ialah selain produk yang kami keluarkan sendiri, syarikat ini juga menjadi pemasar bagi produk orang Islam yang dikenal pasti halal dan suci serta daripada bahan bermutu,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, HPA kini melaksanakan program khas untuk mencari usahawan Bumiputera menjadi rakan niaga kepada HPA.





BANK RAKYAT UNTUNG RM1.28 B SUKU KETIGA

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.28 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September lalu, meningkat 21.5 peratus daripada RM1.06 bilion pada tempoh sama tahun lalu. Ini diraihnya daripada pendapatan kasar sebanyak RM3.44 bilion, naik daripada RM2.89 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata keuntungan lebih tinggi itu disumbang terutama oleh kenaikan pendapatan pembiayaan, seiring pertumbuhan kukuh dalam keseimbangan pembiayaan dalam semua segmen perniagaan bank itu.

Dalam tempoh dikaji, katanya keuntungan bersih Bank Rakyat meningkat sebanyak RM257.6 juta kepada RM1.0 bilion daripada RM743.4 juta tahun sebelumnya.

“Pendapatan bersih selepas pengagihan keuntungan kepada penyimpan mengukuh RM717.4 juta kepada RM2.85 bilion daripada RM2.13 bilion sebelumnya, manakala pendapatan daripada pembiayaan menambah kepada RM2.99 bilion daripada RM2.47 bilion sebelumnya,” katanya.

Kamaruzaman berkata, pendapatan berasaskan yuran menokok RM13.8 juta kepada RM80.8 juta daripada RM67.0 juta sebelumnya, yang mana 85.3 peratus disumbangkan pendapatan wasiat, komisyen ke atas takaful dan yuran perkhidmatan mesin ATM. Beliau berkata, jumlah aset bank koperasi itu bertambah sebanyak RM9.32 bilion kepada RM58.57 bilion daripada RM49.25 bilion sebelumnya.

Bank Rakyat mengguna pakai kriteria lebih ketat di bawah FRS139 sepanjang tempoh dikaji yang mana pembiayaan tertunggak melebihi tiga bulan akan diklasifikasikan sebagai pembiayaan terjejas.

"Justeru, kami telah mencatatkan nisbah pembiayaan terjejas 3.91 peratus untuk tempoh dikaji berbanding nisbah tidak berbayar kasar 5.33 peratus di bawah Garis Panduan klasifikasi BNM pada tahun sebelumnya,” katanya.

Jumlah deposit Bank Rakyat, katanya meningkat 6.6 peratus atau RM2.82 bilion kepada RM45.47 bilion pada akhir September 2010, berbanding RM42.64 bilion tahun sebelumnya. Kedudukan kecairan pula kekal kukuh pada kadar 27.16 peratus berbanding 26.13 peratus pada bulan sama tahun lalu. Dana pemegang saham pada akhir September 2010 meningkat 16.8 peratus atau RM895.9 juta kepada RM6.23 bilion daripada RM5.33 bilion tahun lalu.






JAWATAN KOSONG : OSRAM OPTO SEMICONDUCTORS

Jika ada sahabat-sahabat yang memerlukan kerja, harap ini dapat membantu.

A. Production Operators

B. Production Supervisors, Assistant Engineers, Manufacturing Specialists, Senior Technicians, Technicians, Clerical positions

Bagi jawatan (A) Production Operators, sila hadir temuduga (walk-in interview). Sila hubungi dahulu HR untuk mengesahan kehadiran anda dari Ms Stephanie (04-613-5124).

Lain-lain jawatan (B) sila send resume lengkap anda ke alamat email (mohamed.yasir@osram-os.com) untuk di forward ke HR Recruitment team untuk arrange temuduga susulan setelah di pertimbangkan.

Quality Management Dept.
OSRAM Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn. Bhd.
Bayan Lepas Free Industrial Zone Phase 1,
11900 Bayan Lepas, Penang, Malaysia
H/P: 014-3496786





KERBAU UNTUK DI JUAL

suatu ketika dahulu, kerbau di ternak untuk di jadikan sebagai tenaga kerja membajak sawah atau kebun. haiwan itu digunakan kerana ia dikatakan gagah untuk melaksanakan tugas berat selain boleh diajar memahami arahan tertentu.

kini di negara kita haiwan itu tidak lagi di gunakan untuk bekerja berikutan penggunaan teknologi moden yang menyaksikan kemasukan jentera mengambil alih tugas berat berkenaan.

sejak era pemodenan sektor pertanian di ambil alih jentera, kerbau semakin terpinggir apabila tidak ramai lagi penduduk menternak haiwan itu, berbanding ternakan lain, termasuk lembu dan kambing yang sentiasa mendapat tempat, sama ada untuk daging atau susunya.

keadaan yang sama juga berlaku di negeri ini apabila kerbau yang suatu ketika dulu boleh diukur sebagai kekayaan seseorang, kini semakin pupus. haiwan itu semakin sukar ditemui termasuk di kawasan sawah di luar bandar.

bagaimanapun, kepupusan kerbau pada hari ini memberi rezeki kepada seorang penduduk kampung raja, kodiang, yang menjadikan kerbau sebagai ternakan komersial dan menjadikannya sumber pendapatan utama keluarganya.

saya yakin ternakan kerbau mampu memberi hasil pulangan yang lumayan jika di usahakan secara bersungguh-sungguh. saya sendiri mula menternak kerbau secara kecil-kecilan beberapa tahun lalu dan tidak pernah merasa jemu untuk meneruskan kegiatan itu kerana berpendapat ianya mampu menjamin masa depan jika di lakukan dengan betul dan bijak mengambil peluang yang ada. saya bermula dengan membeli seekor anak muda kerbau jantan dan saya membelinya daripada datuk saya sendiri dengan harga rm1800. saya mengupah datuk saya menjaganya kerana datuk saya mempunyai beberapa ekor kerbau lagi. jadi, senanglah kerbau saya berkawan dengan kumpulannya. ladang penternakan terletak di kg. jelor pasir puteh kelantan. kerbau yang di jaga oleh tiga orang secara bergilir itu sekarang telah mencecah sebanyak 30 ekor lebih.

menternak kerbau agak sukar sedikit berbanding lembu kerana haiwan itu biasanya garang dan memerlukan hubungan yang rapat antara haiwan itu dengan tuannya. jika kita tidak mahir berkomunikasi atau menjinakkannya, agak sukar untuk memerah susunya kerana ia liar dan akan bertindak agresif. kerbau tidak boleh di biarkan berkubang lebih daripada dua jam sehari kerana ia akan menjejaskan berat badannya.

tips untuk memerah susunya ialah sebelum mengambil susu semua kerbau itu perlu di mandikan terlebih dulu dan menggosok seluruh badan kerbau dan menyiramnya dengan air bersih supaya susu yang di perah bebas daripada pencemaran yang boleh menyebabkan ia cepat basi. apa yang uniknya ialah sebelum susu di perah, kita perlu memberi peluang kepada anaknya menyusu dulu dan selepas itu baru boleh diperah. jika tidak kerbau akan memberontak menyebabkan pengeluaran susu akan terjejas.

kerbau juga sesuai di jadikan korban untuk majlis-majlis yang besar tidak kiralah perkahwinan dan keraian. oleh itu, di minta supaya orang ramai yang ingin menempah daging atau membeli kerbau, bolehlah menghubungi saya di talian 0134138542.

ianya sesuai untuk majlis besar-besaran dan perlukan daging yang banyak. jadi, bermula dari sekarang, marilah kita sama-sama menukarkan menu hidangan daging lembu yang sebelum ini kita makan kepada memasak hidangan daging kerbau pula. tidak salah demi kebaikan kita bersama, ubah cita rasa dan seterusnya menjimatkan pelbagai perkara.

PETRONAS CATAT UNTUNG RM12.3B

Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi dalam suku pertama berakhir 30 Jun 2010 berjumlah RM12.3 bilion, meningkat 60 peratus berbanding RM7.7 bilion yang diraih pada tempoh sama tahun lalu (2009). Ia didorong peningkatan pendapatannya sebanyak 26.3 peratus kepada RM58.6 bilion daripada RM46.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata prestasi lebih baik dalam suku pertama itu disumbangkan daripada peningkatan harga minyak dan langkah penjimatan kos.
“Pendapatan Petronas bagi suku pertama tahun ini adalah setanding dengan pencapaian lain-lain syarikat minyak utama dunia, disokong oleh harga minyak yang lebih kukuh dan pemulihan sentimen pasaran,” katanya.

Shamsul Azhar berkata, bagi keseluruhan tahun ini pula, Petronas di jangka mencatatkan keputusan kewangan yang lebih baik daripada tahun kewangan lalu, Perbadanan minyak negara itu meraih keuntungan bersih RM40.3 bilion dalam tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac 2010, merosot 23.2 peratus daripada RM52.5 bilion dalam tahun kewangan sebelumnya. Petronas akan memberi lebih tumpuan kepada operasi di Malaysia pada masa depan berbanding tumpuan kepada penerokaan minyak di luar negara sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kumpulan itu akan membelanjakan kira-kira AS$2 bilion (RM6.2 bilion) bagi membangunkan antara 50 hingga 60 telaga minyak di Malaysia dan luar negara tiga tahun akan datang. Petronas juga akan terus menumpukan kepada projek cari gali di Iraq yang dibangunkannya secara bersama dengan syarikat minyak lain serta projek Carabobo di Venezuela.

Petronas juga tidak mempunyai rancangan membeli kepentingan dalam projek telaga minyak Iran, Azadegan daripada syarikat Jepun, Inpex Corp yang dikatakan mungkin akan menarik diri daripada projek itu kerana bimbangkan sekatan oleh Amerika Syarikat.

JANA PENDAPATAN MELALUI SAMPAH

Dari segunung sampah yang busuk, jika dimanfaatkan dengan bijak dan kreatif, ia akan bertukar menjadi sumber pendapatan yang lumayan. Kini sampah bukan lagi sekadar bahan buangan, sebaliknya ia boleh diproses menjadi sesuatu yang menguntungkan.

Di Malaysia, sampah belum dimanfaatkan dengan sepenuhnya berbanding di negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun. Mengambil contoh di Jepun, di negara matahari terbit itu sudah mempunyai lebih 2,000 insinerator (loji pelupusan sisa pepejal moden).

Namun, ia berbeza dengan negara ini yang belum mengadaptasikan penggunaan teknologi canggih tersebut. Malah, usaha kerajaan untuk membina insinerator di Malaysia bagi mengurus pelupusan sampah yang berkesan suatu masa dahulu dipandang serong dan dibantah oleh penduduk sekitar, seperti yang berlaku di Broga, Semenyih pada 2004.

Sehingga kini, teknologi pengurusan sisa pepejal yang digunapakai di Malaysia masih di peringkat 'bertatih' dan seolah-olah memerhatikan sahaja negara-negara maju terus memecut laju dalam industri berkenaan. Hampir kesemua sistem pengurusan sisa pepejal di negara ini masih menggunakan cara konvensional iaitu dengan menanam sisa berkenaan dan cara alternatif seperti kitar semula hanya seperti 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja.

Bagaimanapun, dalam kesuraman tersebut, muncul syarikat milik bumiputera yang menawarkan perkhidmatan dalam memulihara semula tapak-tapak sisa pepejal yang sudah 'mati' setelah beroperasi berpuluh tahun lamanya.

Syarikat berkenaan adalah Cypark Resource Bhd (CRB) yang mampu mengubah tapak 'beracun' tersebut menjadi tanah yang bernilai tinggi pada masa depan. Dengan teknologi dan kepakaran sendiri, syarikat-syarikat pengurusan sisa pepejal itu telah berjaya memulihkan sebuah tapak pembuangan sisa pepejal di Taman Beringin, Kepong, Kuala Lumpur pada tahun 2008 dan kini tapak berkenaan menjadi tempat rekreasi penduduk setempat.

Di sebalik kejayaan syarikat berkenaan terdapat beberapa perkara yang masih perlu diperbaiki iaitu dari segi pengurusan sisa gas metin yang dihasilkan semasa proses pereputan sisa buangan dan juga teknologi rawatan air licik.

Secara purata, 20 tahun diperlukan untuk memulihkan sepenuhnya tapak pelupusan sisa pepejal dan sepanjang tempoh tersebut tapak berkenaan melepaskan gas metin. Sayangnya gas bernilai tersebut dilepaskan begitu sahaja sedangkan negara maju menggunakannya untuk menjana tenaga elektrik dan juga untuk gas memasak di rumah.

CRB juga mampu merawat air licik sehingga menjadi jernih seperti air dan bebas daripada sisa toksik namun air berkenaan dilepaskan ke sungai tanpa sebarang usaha untuk dikomersialkan. Menurut syarikat berkenaan, kekangan teknologi dan logistik menjadi faktor utama sumber bernilai tersebut dilepaskan begitu sahaja. Namun begitu pujian harus diberikan kepada CRB kerana berani menerajui industri yang masih baharu di negara ini dan diharapkan menjadi perintis kepada syarikat lain untuk menghasilkan teknologi yang lebih canggih pada masa depan.

Di Korea, mereka memanfaatkan gas berkenaan yang dihasilkan oleh tapak pelupusan sisa pepejal Sudokwon dengan menjana 50 megawat tenaga elektrik, cukup untuk bekalan 180,000 rumah dalam tempoh sebulan dengan anggaran keuntungan AS$30 juta (RM94 juta) setahun.

Melalui pembentangan kertas kerja mengenai pengurusan sisa pepejal di Jepun, Dr. Chiaki Izumikawa dari Dowa Mining Co. Ltd. berpendapat, kitar semula sampah tertumpu kepada keberkesanan yang membawa maksud meminimakan pembuangan. Malah, katanya, kitar semula sampah memberi faedah yang baik daripada aspek persekitaran serta sumber semulajadi.

Sebagai contoh, Izumikawa mendedahkan kajiannya mendapati kertas yang dikitar semula berupaya menjimatkan 40 peratus tenaga, 130 peratus bahan pembuangan dan 90 peratus pencemaran udara berbanding kertas yang dihasilkan daripada sumber semulajadi.

Bagi kes penghasilan aluminium, jika dikitar semula akan menjimatkan 90 peratus tenaga, 95 peratus sisa pepejal dan 90 peratus pencemaran udara berbanding menghasilkannya melalui bahan mentah asli.

Sementara penghasilan besi, jika dikitar semula dapat menjimatkan 60 peratus tenaga, 90 peratus sisa pepejal dan 30 peratus pencemaran udara. Ketika ini negara-negara maju sudah bergerak ke arah teknologi hijau terutamanya aspek pengurusan sisa pepejal, oleh itu kerajaan perlu bangun untuk menyakinkan rakyat mengenai kepentingan teknologi ini.

Secara realitinya, insinerator amat perlu pada zaman ini kerana kawasan pembuangan sisa pepejal sedia ada menyebabkan pencemaran sukar dan semakin mengecil. Persepsi orang ramai mungkin sudah berubah setelah didedahkan dengan pelbagai bukti kejayaan sistem baharu yang canggih dan tidak mustahil dengan perancangan yang betul, projek insenarator bakal muncul kembali, setidak-tidaknya di Lembah Klang.

Dengan menukar sampah menjadi sumber tenaga, masalah pelupusan sisa buangan dapat diatasi, negara menemui sumber tenaga elektrik baharu dan yang lebih penting negara akan berada di landasan yang betul dalam mewujudkan persekitaran lebih bersih dan hijau.





HABIB JEWELS BUKA HOTEL DI KELANTAN

Habib Jewels Sdn. Bhd. (Habib Jewels) yang terkenal sebagai pengeluar, pemborong dan peruncit barang-barang kemas di negara ini mengembangkan sayap perniagaannya dengan menceburi sektor perhotelan. Hotel pertama syarikat yang terletak di Jalan Maju itu yang memiliki 32 bilik telah mula beroperasi di bandar Kota Bharu.

Habib Jewels memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk pelaburannya dalam bidang perhotelan kerana yakin dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negeri berkenaan.

Pengurus Besar Habib Jewels Holding, Abdul Razak Abdul Kader, berkata setelah setahun pihaknya membuat kajian berhubung perkara itu, akhirnya bulan Ogos lalu, hotel yang bercirikan ‘butik’ itu beroperasi di Kelantan.

Bagaimanapun, ianya akan dibuka secara rasmi pada 14 Oktober 2010 ini di mana satu majlis perasmian akan diadakan. Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi peluang ekonomi di Kelantan akan bertambah maju pada masa akan datang.

“Kerana itu kami sebagai orang bisnes sanggup melabur di negeri Kelantan dalam aset yang lain pula. Bangunan ini telah dibeli daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sejak tiga tahun lalu kerana kami yakin ia berpotensi. Kami telah membelanjakan sebanyak RM8 juta untuk membeli dan menaiktaraf bangunan tersebut untuk dijadikan hotel dan juga untuk cawangan baru Habib Jewels,” katanya.

Tambahnya, pada masa yang sama ianya juga bakal memberi peluang pekerjaan pada masyarakat Kelantan apabila sebahagian besar pekerja di hotel tersebut termasuk ‘show room’ Habib Jewels dan kilang terdiri dari masyarakat Kelantan.

Sambung Razak lagi, sambutan orang ramai terhadap hotelnya hampir memenuhi sasaran sebagaimana yang dijangkakan walaupun baru sebulan dibuka. Ini kerana, katanya lebih 50 peratus pengunjung telah mendiami hotel tersebut yang terdiri dari ahli perniagaan, kakitangan kerajaan Persekutuan dan pelancong tempatan.

Hotel Habib menawarkan dua pilihan kepada pelanggannya iaitu Superior dengan harga RM130 dan Deluxe RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 bilik. Kedudukannya yang begitu strategik di tengah bandar Kota Bharu di jangka akan mendapat sambutan yang lebih hebat pada masa akan datang.





INDUSTRI RUMPAI LAUT

Institut Penyelidikan Rumpai Laut Negara bakal ditubuhkan tahun depan (2011) bagi mengukuhkan pembangunan industri rumpai laut negara agar dapat bersaing di peringkat negara serantau.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, bagi tujuan itu kementerian akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi berkongsi kepakaran berkaitan industri itu.

''Penubuhan institut ini boleh memberi nilai tambah kepada penyelidikan yang sedang dijalankan di IPT yang telah pun mempunyai usahawan bersama mereka di samping kerjasama dengan pelabur luar. Dalam perancangan kajian ini, kita bukan setakat menanam rumpai laut malah membangunkan aktiviti-aktiviti hiliran dari pertanian ini yang memberi potensi besar dalam industri ini," katanya.

Empat buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih dalam kerjasama penyelidikan itu.

Sebanyak RM15.1 juta diperuntukkan kepada empat buah universiti tersebut dalam bentuk geran bagi membangunkan kajian dan penghasilan produk berasaskan rumpai laut. Noh berkata, program R&D itu juga akan mengenal pasti kawasan perairan lain di sepanjang rantaian nilai pengeluaran rumpai laut berbanding hanya tertumpu di Sabah.

"Kita akan mengenal pasti kawasan di Semenanjung seperti Langkawi, Pulau Pangkor dan Johor, selain di Sarawak untuk membangunkan industri ini. Perairan di Sabah pula akan dijadikan Zon Industri Akuakultur Rumpai Laut yang diterajui oleh syarikat swasta untuk menyelaras semua aktiviti berkaitan seperti pengeluaran benih berkualiti, pengkulturan dan pemprosesan produk nilai tambah," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, pembangunan pertanian itu telah dibangunkan di kawasan seluas 20,000 hektar di Sabah dan bercadang untuk membuka lebih banyak kawasan di samping menambah tenaga kerja berbanding 1,200 pekerja sedia ada.

''Kementerian akan menggalakkan pembangunan projek-projek berkelompok berkonsepkan estet mini dalam kawasan zon tersebut yang akan melibatkan seramai 50 peserta bagi setiap 100 hektar kawasan," katanya.

AGROBANK SEDIA RM1B UNTUK PKS

AgroBank memperuntukkan dana hampir RM1 bilion untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) khususnya yang terbabit dalam bidang pertanian, malah hampir 70 peratus pendapatan diperoleh bank itu datang daripada segmen berkenaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said berkata, AgroBank menawarkan pelbagai pinjaman yang kebanyakannya untuk segmen PKS dan mendapat pembiayaan antaranya dari kerajaan serta Kementerian Kewangan.

“Antara pinjaman ditawarkan adalah Fund For Food (3F) yang menjurus kepada pengusaha pertanian dengan penyediaan tawaran mencecah RM500 juta. Purata pinjaman diberikan untuk setiap pemohon RM20,000, namun pinjaman minimum ditawarkan serendah RM2,000,” katanya.

Menurutnya, AgroBank memberi lebih tumpuan kepada segmen pinjaman rendah, malah memfokuskan kepada industri pertanian.

“Penyumbang utama kepada pendapatan keseluruhan bank daripada segmen pinjaman rendah khususnya bidang pertanian kerana dianggap sebagai segmen penting untuk Agrobank,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, AgroBank juga menetapkan untuk bertukar status kepada perbankan Islam menjelang 2015.

“Bagaimanapun, sejak 14 tahun lalu, kami sudah menawarkan produk bercirikan perbankan Islam kerana secara tidak langsung memudahkan urusan pertukaran menjelang tempoh ditetapkan kelak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tempoh diberikan agak panjang, namun dirasakan sesuai kerana proses pertukaran membabitkan duti setem.

“Untuk menukar kepada status Perbankan Islam daripada konvensional, kita perlu membayar duti setem yang agak tinggi. Namun, disebabkan kami sudah memulakan produk Perbankan Islam sejak beberapa tahun lalu, maka proses pertukaran itu dijangka lebih mudah,” katanya.

REMAJA 16 TAHUN JADI JUTAWAN MUDA

Seorang remaja sekolah di Britain, Christian Owens mencipta sejarah apabila dia berjaya memperoleh kekayaan £1 juta (RM4.9 juta) dalam usia 16 tahun selepas memulakan perniagaannya dua tahun lalu.

Dia yang berasal dari Corby, Northamptonshire di sini mula menjalankan bisnes dengan duit poket sendiri pada usia 14 tahun apabila melancarkan laman web Mac Box Bundle yang menjana perolehan £700,000 (RM3.5 juta).

Owens kemudian menubuhkan syarikat iklan menerusi Internet, Branchr pada 2009 yang memperoleh £500,000 (RM2.5 juta) tahun lalu dan kini turut dilanggani firma bidaan ternama, William Hill serta laman sosial MySpace.

Walaupun sibuk, dia hanya aktif selepas waktu persekolahan dan hari hujung minggu namun Owens kini mampu menggaji lapan pekerja, semuanya orang dewasa serta merancang membuka dua cawangan tahun depan.

Dia yang kini tinggal bersama bapanya yang merupakan pekerja kilang, Julian, 50, dan ibunya, Alison, 43, setiausaha sebuah syarikat, mendapat idea menjadi jutawan muda daripada kisah kejayaan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs.

DULU MINAT HERBA, KINI JUAL POKOK KURMA

Menyedari potensi besar tanaman pokok kurma, seorang guru matematik, Mohd. Rahof Abdul, 48, di Kampung Tehel Bemban, Melaka nekad mengeluarkan benih anak pokok kurma untuk dijual secara komersial sejak tiga tahun lalu.

Berbekalkan sedikit modal, dia mula menanam 1,200 benih pokok kurma sebagai permulaan di tapak semaian yang terletak bersebelahan rumahnya dengan keluasan sekitar separuh gelanggang badminton. Ternyata, kegigihannya ternyata tidak sia-sia bahkan memberi pulangan lumayan apabila hasil jualan anak-anak pokoknya mendapat sambutan menggalakkan.

Ia dijual kepada orang ramai dengan harga sekitar RM250 sepokok bergantung kepada saiz dan usia. Mohd. Rahof memberitahu, permintaan tinggi terhadap pokok tersebut menyebabkan kini hanya tinggal kira-kira 300 anak pokok kurma yang masih boleh dijual.

‘‘Daripada 300 anak pokok itu, sebanyak 250 adalah jenis baka Tunisia manakala baki 50 lagi dari jenis Ajwa yang berusia antara enam bulan hingga dua tahun setengah,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau memilih untuk menjual anak pokok dalam polibeg kerana lebih mudah berbanding menjual pokok kurma dewasa yang harganya lebih mahal dan lebih sukar untuk dipindahkan. Dengan cara itu, pembeli boleh menjaga sendiri dan melihatnya membesar sehingga mencecah usia dewasa. Jika dijaga dengan baik mengikut kaedah pendebungaan yang betul maka ia mulai mengeluarkan buah ketika berusia antara lima hingga tujuh tahun.

Mengimbas semula bagimana timbul minat terhadap anak pokok kurma, Rahof berkata, beliau asalnya gemar menanam pokok herba. Bagaimanapun selepas menyaksikan sendiri sebuah syarikat kontraktor berjaya menjual sebatang pokok kurma dengan harga RM2,000 kepada sebuah resort di Melaka untuk dijadikan hiasan, minatnya mula timbul. Katanya, hasrat untuk membuka tapak semaian anak pokok kurma semakin membuak-buak apabila berkunjung ke Madinah dan Mekah.

‘‘Di Madinah kita boleh lihat hotel menjadikan pohon kurma sebagai hiasan, ia bertambah cantik bila disapu syalek. Selain itu, di sana juga kita boleh lihat pokok kurma sungguh cantik dijadikan hiasan di kaki lima jalan raya,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik Jasin.

Maka sekembali di tanah air, dia melihat terdapat ruang dan peluang yang luas untuk rakyat negara ini menceburi bidang penanaman pokok kurma secara komersial khususnya bagi masyarakat Islam yang amat dekat kehidupan mereka dengan kurma. Lebih-lebih lagi, katanya, pohon kurma bukan sahaja disebut beberapa kali dalam al-Quran tetapi juga terbukti terlalu mempunyai banyak khasiat.

Bagi tujuan hiasan, keindahan pokok kurma tidak dapat dinafikan lagi untuk dijadikan hiasan bagi menggantikan pokok palma atau kelapa sawit atau tanaman biasa lain. Ini kerana, katanya, ia akan lebih menampakkan imej Islam dan mempunyai nilai estetika yang tinggi dan menenangkan khususnya untuk lokasi seperti masjid, surau, pusat Islam, universiti, lokasi awam dan sebagainya.

Selain itu, debunga kurma juga boleh digunakan bagi meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki untuk pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata.

Allah s.w.t menjadikan buah kurma cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tiada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau.

Allah pelihara dan memuliakannya manakala pokok kurma mesti disenyawakan oleh tangan manusia. Di Madinah hanya orang Arab sahaja yang sanggup memanjat dan turun naik ke atas pokok kurma untuk melakukan pencantuman ini.

‘‘Pendebungaan secara manual oleh manusia dengan mengambil debunga jantan lalu diketuk ke mayang pokok betina,” kata Mohd. Rahof.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan anak pokok kurma boleh menghubungi beliau di 013-6476591 atau emel di rahofmra@yahoo.com.my.

ICMIC MAHU LATIH LEBIH RAMAI PAKAR TEMPATAN

Syarikat pengeluar cip antarabangsa, IC Microsystem Sdn. Bhd. (ICmic) mahu melatih lebih ramai pereka litar bersepadu (IC design) tempatan bagi mengembangkan industri pembuatan cip elektronik di negara ini.

Malah, pada waktu ini, kos untuk menggunakan seorang tenaga pakar dalam bidang berkenaan adalah RM2 juta seorang. Setakat ini, ICmic mempunyai 14 kakitangan mahir dalam mereka bentuk litar bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Munir berkata, di Malaysia, bilangan kakitangan yang pakar dalam litar bersepadu tidak ramai dan ia perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.

"Setakat ini, daripada 14 tenaga pakar kami, 70 peratus daripadanya merupakan tenaga tempatan. Jika boleh, kami mahu melatih lebih ramai pakar litar bersepadu di kalangan masyarakat tempatan bagi membuktikan keupayaan rakyat Malaysia dalam industri semikonduktor,'' katanya.

Di ICmic, menurut Abdul Rashid, menawarkan program perantis untuk golongan yang baru menamatkan pengajian. Setakat ini, katanya, syarikat mempunyai lebih 210 perantis dan tidak semua daripada mereka berkelayakan untuk mereka bentuk cip.

Menurut beliau, setiap perantis memerlukan masa hampir tiga tahun untuk mencapai status mahir dan pakar dalam industri.

"Hanya 20 peratus daripada 210 perantis kami boleh mereka bentuk pembuatan cip manakala yang lain dalam proses pembelajaran. Golongan graduan yang berkemahiran dari sudut praktikalnya kurang berbanding di Amerika Syarikat (AS). Di AS, syarikat-syarikat dalam industri semikonduktor banyak. Malah, mahasiswa kejuruteraan di negara itu bebas dan mudah menjalankan praktikal di syarikat-syarikat tersebut,'' ujarnya.

Tambah Abdul Rashid, sistem pendidikan tinggi di negara ini terutamanya dalam bidang kejuruteraan amat baik, namun terdapat sedikit kelemahan dari sudut praktikalnya.

Ketika ditanya mengenai profail dirinya, Abdul Rashid berkata, beliau memulakan kerjayanya di ICmic pada 2001 yang lalu. Namun, sebelum itu, beliau telah berkhidmat dan mendapatkan pengalaman di Motorola Malaysia selama 11 tahun dalam pelbagai jawatan kejuruteraan. Sewaktu berkhidmat di Motorola, beliau sudah beraspirasi untuk meneroka pasaran rekaan litar bersepadu tempatan dan mencipta 100 peratus harta intelek tempatan.

11,631 SYARIKAT DITUTUP DALAM TEMPOH 6 BULAN

Sebanyak 11,631 buah syarikat berdaftar di Malaysia 'gulung tikar' dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mengatasi jumlah keseluruhan tahun lepas sebanyak 11,409 buah syarikat.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 10,879 buah syarikat dinyah senarai di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965 yang melibatkan garis panduan syarikat tidak beroperasi, 737 buah ditutup secara sukarela dan 15 lagi melibatkan syarikat asing.

Jika angka ini diambil kira, dijangkakan jumlah keseluruhan syarikat yang ditutup pada tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan mungkin menghampiri rekod tertinggi sebanyak 27,913 buah yang dicatatkan pada tahun 2008.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rokiah Mohd. Noor berkata, pihaknya mengenalpasti tiga punca utama syarikat ditutup iaitu disabit kesalahan di bawah seksyen 308 Akta Syarikat 1965, secara sukarela dan arahan daripada mahkamah.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dilakukan SSM, kebanyakan syarikat terpaksa ditutup akibat melanggar peraturan seperti gagal menghantar penyata laporan tahunan dan tidak aktif selama beberapa tahun.

"Sebelum sesebuah syarikat ditamatkan, mereka akan diberikan notis dan gazet sebanyak dua kali sebagai amaran. Jika tiada sebarang maklum balas daripada syarikat yang berkenaan, SSM berkuasa menyah senarai syarikat mereka.”

Rokiah turut menafikan bahawa peningkatan jumlah penutupan syarikat pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlarutan sejak tahun lepas. Beliau berkata, jumlah tersebut adalah perkara biasa dan penutupan syarikat disebabkan faktor kegagalan syarikat baharu bertahan khususnya melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Setiap tahun syarikat yang berdaftar di bawah SSM sentiasa meningkat dan faktor inilah yang menyebabkan syarikat yang gagal juga meningkat. Mereka gagal bukan disebabkan faktor ekonomi semasa tetapi adalah disebabkan masalah dalaman individu atau syarikat tersebut,'' ujarnya.

Katanya, jumlah syarikat besar 'gulung tikar' adalah perkara biasa dan tidak wajar jika perkara tersebut dikaitkan dengan kegawatan ekonomi semata-mata. Tambahnya lagi, tindakan SSM mengemaskini laporan tahunan setiap syarikat juga menjadi faktor semakin banyak syarikat tidak aktif ditutup.

"Contohnya pada tahun 2008, sebanyak 27,913 buah syarikat disahkan ditutup setelah SSM menjalankan 'Ops Bersih' sejak akhir 2007. Sejak 2002, sebanyak 100,763 buah syarikat telah dinyah senarai,'' jelasnya.

Sehingga Jun 2010, sebanyak 905,539 syarikat berdaftar dengan SSM yang masih aktif dan 901,196 daripadanya adalah syarikat tempatan manakala 4,343 adalah syarikat asing. Daripada jumlah tersebut PKS menyumbang 99.2 peratus daripadanya dan hanya kira-kira 1,000 buah syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat senaraian awam.

MARDI CIPTA KIT KESAN BAKTERIA MAKANAN

Keracunan makanan biasanya berlaku akibat pencemaran bakteria berbahaya dan salah satunya adalah Salmonella. Salmonella merupakan salah satu genera patogenik yang penting dalam pencemaran makanan dan penyakit.

Pelbagai jenis produk makanan terutama unggas dan daging merupakan sumber penting dalam jangkitan Salmonella pada manusia. Di negara ini jangkitan Salmonella telah menjadi endemik dan penyumbang kepada penyakit yang disebabkan oleh pencemaran makanan.

Disebabkan makanan merupakan bahagian penting dalam kehidupan manusia maka keselamatannya perlu diberikan perhatian. Makanan merupakan pembawa kepada kebanyakan penyakit berjangkit.

Justeru, penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan kit pengesanan pantas atau diagnosis bagi mengesan Salmonella.

Pengawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Noor Azlina Masdor berjaya menghasilkan kit ujian pakai buang immuno dot-blot Salmonella berasaskan kepada tindakbalas antibodi-antigen.

"Ini merupakan alternatif kepada ujian plat ELISA dan didapati lebih sensitif berbanding kaedah pengkulturan konvensional dan plat ELISA," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Setiap ujian direka khusus bagi jalur kawalan positif (+) dan jalur kawalan negatif (-) dan tiga replikasi jalur ujian pada kertas nitroselulos.
Dalam kehadiran Salmonella, satu titik berwarna biru akan muncul pada jalur ujian (T) serta jalur kawalan positif (+).

Semua prosedur ujian dapat diselesaikan antara satu hingga satu setengah jam dan boleh mengesan Salmonella dengan bacaan paling rendah 1-5 CFU bagi 25 gram (g) sampel makanan.
Ujian berkenaan, jelas Noor Azlina, merupakan versi ELISA yang dimudahkan dan boleh digunakan tanpa peralatan khusus.

"Kit ini berdasarkan kepada gambaran visual tindakbalas antibodi-antigen Salmonella. Rekaan baru ini direka secara inovatif dan sesuai digunakan sebagai kit diagnosis pantas," katanya.

Kit ujian Salmonella berkenaan adalah ringkas, pantas dan mampu dibeli oleh usahawan memandangkan tiada pembaca ELISA diperlukan. Ia juga boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan dimusnahkan selepas digunakan. Kit berkenaan juga boleh digunakan secara 'in-situ' dan ujian lapangan serta tidak memerlukan pekerja yang berpengalaman untuk mengendalikannya.

Noor Azlina berkata, kit yang dihasilkan di MARDI lebih murah berbanding kaedah konvensional manakala ujian strip juga agak mahal memandangkan kos yuran dan pengangkutan.

"Kit ini berpotensi digunakan dalam industri unggas bagi penilaian pencemaran Salmonella bagi kawalan kualiti. Selain itu ia juga sesuai digunakan oleh pengguna untuk memilih makanan yang berkhasiat dan tidak tercemar," katanya.

Kit berkenaan menerima Pingat Emas dan Anugerah Paling Inovatif semasa Pameran Innobio 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JUS JAGUNG RAMUAN SENDIRI

Sebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (IKS), AgroGate Enterprise cuba menghasilkan produk jus jagung segar yang sedia untuk diminum. Menurut Pengurus Besarnya, Fuad Yunus, beliau mencipta minuman itu kerana ingin mencari kelainan dalam penghasilan produk hiliran berasaskan jagung.

"Pada tahun 2007, syarikat kami telah memulakan tanaman jagung manis Varieti 926 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan seluas 30 ekar. Sejak mula ditanam, kami telah membekalkan jagung-jagung ini kepada penduduk kampung dan syarikat-syarikat yang ingin membelinya secara kelompok,'' katanya.

Tambahan pula, pada setiap musim, ladangnya akan menghasilkan 20 hingga 30 peratus jagung yang tidak mengikut piawai pasaran sangat sesuai digunakan sebagai bahan mentah jus itu. Jus jagung di bawah penjenamaan Jagcorn itu disediakan di kilangnya yang terletak Kuala Langat, Selangor.

"Ketika ini, jus ini disediakan secara manual bermula dengan proses peleraian jagung, bancuhan ramuan, pembungkusan dan menampal pelekat dengan bantuan seramai 10 orang kakitangan. Menerusi cara itu, kapasiti pengeluarannya adalah sangat rendah di mana kita hanya mampu menghasilkan sebanyak 1,200 botol sehari dengan dengan harga borong RM1.30 sebotol,'' jelasnya.

Menarik mengenai jus ini, ramuannya telah dicipta sendiri menerusi perbincangan kalangan pengurusan syarikat. Selain itu, mesin-mesin yang digunakan melerai jagung, membancuh dan membungkus juga dicipta sendiri menggunakan idea daripada pihak pengurusan.

Pembuatannya pada peringkat awal melibatkan proses meleraikan jagung daripada tongkol untuk menghasilkan stok sebelum dikisar dan dimasak bersama ramuan campuran tanpa bahan pengawet. Jus jagung yang telah dibotolkan juga akan mengandungi serpihan kecil biji-biji jagung untuk memberi lebih kenikmatan ketika meminumnya. Menceritakan mengenai pasaran produk tersebut, beliau memberitahu, ketika ini, jus tersebut hanya diedarkan mengikut permintaan.

"Kita merancang untuk memperluaskan rangkaian pasaran produk ini sehingga memasuki pasar raya satu hari nanti. Buat masa ini, kita bakal memulakan penjualan di Pasar Tani terpilih sekitar Selangor,'' katanya.

Dari segi bantuan agensi kerajaan, beliau memberitahu, syarikatnya telah mendapat bantuan daripada pihak FAMA untuk memasarkan produk jus berkenaan. Selain itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga ada memberi bantuan dari segi khidmat nasihat dalam mekanisme pembuatan jus.

Syarikat tersebut menyasarkan pengeluaran sebanyak 10,000 liter sehari pada akan datang apabila telah mempunyai kilang yang dilengkapi dengan mesin automatik. Untuk tujuan perluasan pengeluarannya, syarikat itu juga bakal membuka kawasan tanaman jagung baru di ladang sekitar Kelantan dan Johor.

"Harapan kita adalah untuk menjadikan jus ini sebagai minuman pilihan pengguna sebagaimana kejayaan produk minuman kacang soya,'' katanya.

SELAMATKANLAH KAJIAN PERTANIAN RM16 JUTA

Seorang penyelidik yang pernah menghasilkan nangka madu terbesar di dunia merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelamatkan hasil kajian buah-buahan tropika yang dianggarkan bernilai RM16 juta daripada dimusnahkan.

Prof. Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz berkata, penyelidikan ke atas pelbagai jenis buah-buahan antaranya nangka, roselle, durian belanda dan pulasan itu dijalankan di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), seluas kira-kira 12 hektar di Kampung Paya Tok Akil di sini sejak 2003.

Katanya, bagaimanapun Perda telah meminta tanah itu dikosongkan dengan notis 14 hari daripada mahkamah yang berakhir hari ini dengan alasan untuk memajukan kawasan tersebut. Kawasan itu tambahnya, jika dimajukan hanya memberi manfaat kepada penduduk sekitar sedangkan benih baru buah-buahan itu boleh dinikmati oleh rakyat seluruh negara.

''Sudahlah selama ini saya tidak mendapat sebarang bantuan sewajarnya untuk menjalankan kajian yang hasilnya telah pun dimanfaatkan apabila ramai pengusaha tanaman nangka madu berjaya menjana pendapatan dan ada juga yang dieksport. Secara kebetulan pula, belum ada lagi saintis di negara ini yang berpengalaman seperti saya dalam mengendalikan kacukan buah-buahan tropika serta menghasilkan benih baru seperti yang mampu memberi faedah kepada industri buah-buahan baik untuk pasaran tempatan dan luar negara. Saya merayu kepada kerajaan dan Perda untuk membantu dalam hal ini dan fikirkan manfaat yang diperoleh daripada kajian ini dan saya juga tidak mahu mengaut apa-apa keuntungan, saya hanya mahu tempat ini dikekalkan. Jika Perda nak ambil hasilnya pun saya tidak kisah," katanya.

Bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah menghasilkan kultivar nangka madu Mastura CJ-USM 2000 yang boleh menghasilkan buah pertama dalam tempoh 18 bulan dengan berat boleh mencecah sehingga 25 kilogram dengan kerjasama syarikat swasta sebelum ini.

Nangka madu Mastura itu dihasilkan melalui proses kacukan dan ia boleh menghasilkan buah yang terbaik seperti saiz buah yang besar, warna isi kuning keemasan, keharuman aroma, rasa rangup, saiz ulas yang besar dan isi yang tebal.

Menurut Zainal Abidin, sepanjang tempoh berkenaan, lebih 20 jenis benih baru telah berjaya dihasilkan daripada buah-buahan tersebut dan kajian baru yang terkumpul itu tidak ternilai harganya dengan wang ringgit dari segi biodiversiti dan ia boleh dikelaskan sebagai harta negara. Jelasnya, usaha yang dijalankan di atas tanah dengan bayaran sewa bulanan itu bertujuan memajukan pertanian kerana negara mempunyai potensi besar dalam bidang tersebut sekali gus tidak perlu lagi mengimport benih dari negara luar.

Sementara itu, wakil Pusat Penasihat Undang-undang Majlis Peguam Pulau Pinang yang mewakili Zainal Abidin, Harryzan Yaakub berkata, pihaknya berjaya mendapatkan permohonan mengetepikan kehakiman ingkar dan penangguhan pelaksanaan kehakiman daripada Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

''Mahkamah Sesyen telah menetapkan 17 Mac ini untuk mendengar permohonan kami dan pada masa sama Mahkamah Tinggi juga telah menerima permohonan writ saman dan injunksi pihak kami dan mereka memberi tempoh lapan hari kepada Perda untuk memfailkan notis kehakiman," ujarnya.

OTOSIL MARDI HASILKAN MAKANAN TERNAKAN

Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.
Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import. Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit. Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini. Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj. Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian. Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.
Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap. Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

"Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual. Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos. Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,'' kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang. Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda. Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan. Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai. Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan. Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara. Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial. Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat. Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000. Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000. Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor. Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi. Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini. Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

"Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara. Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia. Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,'' katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik. Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis. Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my