WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

LIM GUAN ENG BERCERITA

"Tunggu ayah saya meninggal dunia dulu."

Baru-baru ini Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) turun dan bertemu rakyat. Dalam ucapannya, dia kata dia nak jadi macam Khalifah Umar Abdul Aziz.

Sepanjang ucapannya, beliau hanya bercerita kisah kehebatan Umar Abd Aziz. Umar tak ambil duit rakyat. Umar pulang balik peruntukan kerajaan kepada dia. Umar padam lampu kerajaan kerana anak dia datang nak tanya urusan peribadi dan banyak lagi.

Guan Eng kata, sejak sekian lama, Umar Abd Aziz menjadi idolanya. Dia berazam nak jadi pemimpin macam Umar. "Kini saya sudah jadi Ketua Menteri dan saya berazam akan mengotakan janji saya untuk menjadi Umar Abd Aziz."

Untuk pengetahuan, Guan Eng tak duduk rumah rasmi Ketua Menteri dan dia tak ada rumah sendiri. Dia menumpang di rumah bapanya. Bila Mohd Sabu tanya kenapa tak duduk di rumah rasmi, dia kata, untuk masuk rumah tu, ia perlu di renovate. Kosnya sekitar RM 300,000.00. Saya tak rela duit rakyat di bazirkan untuk kediaman seorang ketua menteri.

Dalam sesi soal jawab, ada seorang hadirin tanya: Mana tuan tahu kisah Umar Abd Aziz ini. Orang Islam pun ramai yang tak tahu. Guan Eng jawab, dulu semasa saya di penjara, antara orang yang kerap mengunjungi saya ialah Dato' Fadhil Noor (Al Marhum Presiden PAS). Beliaulah yang membekalkan kepada saya buku-buku berkaitan Islam, termasuk satu buku tentang Umar Abd Aziz. Bermula dari situ saya kenal tokoh yang hebat ini.

Bagaimana kita orang Islam?.

Dalam pertemuan yang lain, Mohd Sabu kata, "Awak boleh jadi macam Umar Abd Aziz, tapi awak ada satu kekurangan. Umar beragama Islam. Awak masih belum Islam."

Guan Eng jawab, "Tunggu ayah saya meninggal dunia dulu."





TIADA LAGI PMR 2016

Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam formatnya sekarang tetapi diubah menggunakan format baru melalui penilaian berasaskan sekolah.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan diteruskan tetapi dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan format baru bagi kedua-dua peperiksaan itu akan berkuat kuasa serentak pada peperiksaan 2016. Menurutnya, kitaran kepada perubahan dasar dalam dua peperiksaan itu akan mengambil masa enam tahun dan bermula serentak pada kohort sesi persekolahan 2011. Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan satu nama baru akan menggantikan PMR pada 2016 nanti.

"Maka pada ketika itu, kita akan adakan UPSR (format baru) dan mungkin PMR dalam bentuk baru yang tidak dipanggil PMR lagi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan. Menurutnya, masa diperlukan untuk perubahan dasar bagi memberi peluang pelajar yang masih berada dalam sistem pelajaran sekarang meneruskannya dengan ujian sedia ada. Sehubungan itu, beliau memberitahu, cara penyampaian mata pelajaran masih lagi terikat dengan apa yang sudah sedia ada.

Muhyiddin menjelaskan, UPSR akan berubah bentuk dan format, antaranya mengurangkan komposisi subjek teras kepada 60 peratus dan menambah pemberat komponen kokurikulum serta subjek yang dianggap penting seperti sivik kepada 40 peratus dalam pentaksiran keseluruhan.

Subjek teras di peringkat UPSR ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Bahasa Malaysia (Penulisan dan Kefahaman).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira input dan pendapat jawatankuasa meja bulat penambahbaikan yang telah bersidang sebanyak tiga kali.

Sejajar dengan transformasi PMR kepada format baru itu pula, Muhyiddin telah meminta Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) melihat aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah yang berkecenderungan untuk bersikap berat sebelah dalam pemberian markah kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Penilaian berasaskan sekolah bermakna pelajar akan diminta membuat folio daripada projek yang disediakan oleh guru sekolah. Contoh terdekat amalan format baru yang sedia ada adalah mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pengajian Asas Fardu Ain (Pafa).

Muhyiddin berkata, beliau bercadang membawa perkara itu ke Kabinet kerana pastinya ada minat daripada masyarakat untuk mengetahui tujuan dan langkah penambahbaikan serta inisiatif baru yang hendak dibuat supaya sistem pendidikan di Malaysia tidak cenderung kepada peperiksaan semata-mata. Bagaimanapun, katanya, perkara pokok dan penting ialah setiap peringkat kemajuan murid akan dapat nilai.

"Sesiapa pun perlu mengetahui kemajuan anak-anak mereka di sekolah," katanya.

Beliau berkata, secara umumnya masyarakat bersetuju UPSR perlu dikekalkan tetapi mereka juga berpendapat mesti ada penambahbaikan. Di atas premis inilah, katanya, maka Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah penambahbaikan antaranya mengubah suai komposisi subjek teras, mungkin daripada keseluruhan 100 peratus, maka 60 peratus sahaja komposisi adalah berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih yang akan diumumkan kelak.

"Baki 40 peratus adalah atas dasar kokurikulum, bidang sivik serta bidang-bidang yang dianggap penting dan perlu, tetapi pada waktu sekarang tidak dinilai secara saksama. Jadi ini dikira perimbangan yang sesuai. Yang ini pun perinciannya akan kita umumkan kemudian," katanya.

Bagi PMR pula, Muhyiddin berkata, umum bersetuju peperiksaan tingkatan tiga itu tidak perlu diteruskan. Katanya, dalam dialog meja bulat yang terakhir juga, jawatankuasa bersetuju dengan cadangan kementerian supaya PMR diubah bentuknya kepada penilaian yang dibuat di sekolah. Bagaimanapun, untuk mengelakkan tanggapan penilaian berbeza-beza, jelas beliau, adalah menjadi peranan LPM untuk menyelaras bentuk-bentuk ujian yang akan dilakukan.

"Ini untuk mengelakkan berat sebelah atau kecenderungan sekolah memberi markah yang lebih baik untuk sekolah mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan secara muktamad dalam seminggu dua ini apabila laporan lengkap sampai ke tangannya. Beliau juga memberitahu, kementerian tidak melakukan persidangan meja bulat tersebut secara serta-merta tetapi setelah melakukan ujian rintis di banyak sekolah.

Ujian rintis melibatkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi pada 2009.





KELANTAN PERINTIS PROGRAM KESEJAHTERAAN UMMAH

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau mahu menjadikan Kelantan sebagai negeri yang mempelopori pelbagai program berkaitan kesejahteraan ummah di negara ini.

Nik Abdul Aziz berkata, untuk itu Kerajaan Negeri menganjurkan program sambutan Hari Suami Isteri peringkat negeri Kelantan yang akan dijadikan acara tahunan di negeri ini bagi melahirkan rumah tangga yang bahagia.

“Kita rasmikan Hari Suami Isteri. Satu produk baru di Kelantan. Kerana masalah suami isteri ini biasanya kita sebut di atas surau sahaja kita tidak buat satu acara tertentu yang dipimpin oleh kerajaan. Memandang kepada dunia ini Allah Taala buat untuk manusia. Bukan untuk malaikat dan bukan untuk iblis. Malaikat dan iblis ini diguna khusus untuk jaga manusia. Jadi manusialah yang menjadi raja kepada makhluk di atas dunia. Di letak taraf manusia ini lebih daripada malaikat dah di atas dunia ini tapi tak kena gaya manusia lebih jahanam atau lebih terhina daripada makhluk lain.

"Satu daripadanya kita tak ambil tahu sangat kepada masalah ibu bapa. Kita ada Hari Ibu, Hari Kanak-kanak, Hari Perajurit tapi kita tak ada lagi Hari Suami Isteri. Sedangkan Islam hari ini bukan nak jaga negara, manusia yang dibuat bukan untuk jaga negara dan negeri. Allah Taala buat manusia ini untuk jaga agama. Dan Quran turun dari langit untuk jaga manusia,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan besar program itu akan menjadi program tahunan bagi menyedarkan peranan suami isteri dalam meneruskan kerukunan rumah tangga.

“Insya-Allah program ini akan jadi program tahunan dan kita akan adakan pelbagai program untuk menyedarkan suami perlu jaga isteri dan isteri perlu jaga suami. Kita juga akan buka peluang kepada golongan bukan Islam. Kalau mereka nak Alhamdulillah tetapi kalau mereka tak nak apa boleh buat.

“Tapi kita tunjuk ‘role model’ kita orang Islam suami isteri untuk dijadikan panduan kepada mereka. Ini cara kita untuk sebarkan Islam. Kita tak sebarkan secara kekerasan...kita sebar melalui cara ilmiah. Baik politik, mahupun masalah apa kita guna cara ilmiah untuk berdakwah kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Wan Ubaidah berkata, program berkenaan bertujuan mewujudkan institusi keluarga mawaddah (yang saling sayang menyayangi) selaras dengan dasar membangun bersama Islam yang diperkenalkan kerajaan Negeri sejak tahun 1990 lagi.





TUANKU MUHAMMAD FARIS PETRA IBNI SULTAN ISMAIL PETRA [SULTAN MUHAMMAD KE LIMA]

Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-V untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran baginda sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010 yang lalu.

"Baginda telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ia akan menjadi nama rasmi bagi sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media untuk mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya.

Firman Allah, mafhumnya: Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah: Ayat 42)

Firman Allah lagi, mafhumnya: Dan katakanlah, “Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik), sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”. (Surah Al-Israk: Ayat 81)

InsyaAllah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V akan berusaha sedaya-upaya Baginda untuk melaksanakan amanah memerintah negeri Kelantan Darul Naim sebaik mungkin di antara lainnya dengan berdasarkan kepada panduan-panduan berikut:

1. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad: Ayat 7)

2. Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan munkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya. (Surah An-Nahli: Ayat 90)

3. Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al-Hujurat: Ayat 9)

4. Ya Allah, barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan umatku kemudian ia membuat kesengsaraan kepada mereka maka berilah kesengsaraan kepada orang itu sendiri, sedang barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan umatku kemudian ia menunjukkan kasih sayang kepada mereka, baik ucapan ataupun perbuatannya, maka kasih sayangilah orang itu. (Riwayat Muslim)

5. Pemimpin-pemimpin pilihan di antara kamu ialah orang-orang yang kamu mencintai mereka dan mereka pun mencintai kamu, juga yang kamu mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci kamu, juga yang kamu melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu. (Riwayat Muslim)

6. Barangsiapa yang diserahi oleh Allah akan sesuatu kekuasaan dari beberapa urusan pemerintahan kaum Muslimin, kemudian orang itu menutup diri (tidak memerhatikan) perihal hajat, kepentingan atau kefakiran orang-orang yang di bawah kekuasaannya maka Allah juga akan menutup diri (yakni tidak memerhatikan) perihal hajat, kepentingan atau kefakirannya sendiri pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)





FITNAH AKHBAR TEMPATAN TERHADAP INSTITUSI DIRAJA KELANTAN

Sepertimana yang telah diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Aiseri Alias, di dalam sidang media beliau di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada 15 September 2010, satu laporan polis telah dibuat oleh Dato’ Sukri Mohamed ke atas akhbar Kosmo! di atas laporan (tentang sidang akhbar Dato’ Sukri Mohamed di Pejabat Sultan Kelantan pada 14 September 2010) bertajuk “Gelaran Ayah Bonda Di Tarik” yang disiarkan oleh akhbar itu pada 15 September 2010.

Kandungan laporan akhbar Kosmo! yang dipertikaikan adalah:

1. “Sehari selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam bertindak menarik balik gelaran ‘Tuanku’ daripada ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra.”

2. “Turut ditarik balik ialah gelaran ‘Tengku’ yang diberikan kepada bondanya, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.”

3. “Anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd. Shukri Mohamed berkata, penarikan kedua-dua gelaran itu dibuat kerana ia hanya diberikan kepada Sultan dan Raja Perempuan.”

Tujuan laporan polis ini dibuat adalah kerana laporan akhbar Kosmo! ini menggambarkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, telah bertindak zalim ke atas ayahanda dan bonda Baginda dengan menarik balik gelaran ‘Tuanku’ dan gelaran ‘Tengku’ daripada ayahanda dan bonda Baginda hanya sehari selepas Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan sedangkan pada hakikat sebenarnya Baginda tidak pernah berbuat demikian manakala Dato’ Sukri Mohamed pula tidak pernah mengucapkan perkataan-perkataan demikian atau perkataan-perkataan yang membawa maksud demikian di dalam sidang akhbar tersebut.

Laporan akhbar Kosmo! ini telah membuat satu tuduhan yang amat berat kepada kedua-dua Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan dan Dato’ Sukri Mohamed serta merupakan satu fitnah yang sengaja diada-adakan di mana perbuatan memfitnah adalah merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Siasatan ke atas laporan ini sedang dibuat oleh pihak polis.

Selain membuat laporan polis ini, Dato’ Sukri Mohamed juga telah membuat satu permintaan bertulis kepada akhbar Kosmo! supaya mengemukakan permohonan maaf dan pembetulan secara bertulis di atas laporannya itu. Permohonan maaf dan pembetulan secara bertulis ini diminta dibuat di dalam akhbar itu di dalam masa 24 jam dari tempoh penghantaran notis itu.

Permintaan bertulis yang sama telah turut dibuat ke atas akhbar Sinar Harian di atas laporan bertajuk “Gelaran ‘Tuanku’ ditarik balik” yang disiarkan oleh akhbar itu pada 15 September 2010 di mana kandungan laporan akhbar Sinar Harian yang dipertikaikan adalah:

1. “Gelaran ‘Tuanku’ dan ‘Tengku’ yang dikurniakan kepada Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid akan ditarik balik berikutan pemasyhuran anakandanya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan kelmarin.”

2. “Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamed berkata, penarikan balik gelaran itu dilakukan kerana gelaran tersebut hanya diberikan kepada Sultan dan Raja Perempuan.”

Permintaan bertulis yang sama juga telah dibuat ke atas akhbar Utusan Malaysia di atas laporan bertajuk “Gelaran ‘Tuanku’ Sultan Ismail dan ‘Tengku’ pada Raja Perempuan Kelantan gugur” yang disiarkan oleh akhbar itu pada 15 September 2010 di mana kandungan laporan akhbar Utusan Malaysia yang dipertikaikan adalah:

1. “Gelaran ‘Tuanku’ yang dipakai bekas Sultan Kelantan dan ‘Tengku’ pada Raja Perempuan Kelantan sebelum ini gugur secara automatik berikutan pemasyhuran anakanda sulung baginda berdua, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar kelmarin.”

2. “Ketika menjelaskan perkara tersebut, jurucakap Istana Kelantan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamed berkata, gelaran ‘Tuanku’ dan ‘Tengku’ hanya diberikan kepada Sultan yang memerintah serta permaisuri baginda sahaja.”

Salah satu dari tiga akhbar ini, iaitu akhbar Sinar Harian, telah mengemukakan permohonan maaf dan pembetulan secara bertulis di atas laporannya itu pada 16 September 2010.

Akhbar-akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia pula telah gagal mengemukakan permohonan maaf dan pembetulan secara bertulis di atas laporannya itu dan kini bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada Dato’ Sukri Mohamed.

SELAMAT HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke tarikh yang lain iaitu 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ianya disambut bersama-sama dengan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Sebelum ini ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia tetapi mulai tahun 2010, Hari Malaysia telah diishytiharkan sebagai cuti umum untuk semua negeri di Malaysia.

Rakyat digesa menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai wadah untuk mengukuh dan meningkatkan rasa cinta kepada negara bertuah ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bukan sahaja akan menjamin kesatuan dan penyatuan sedia ada di negara ini, tetapi membolehkan kejayaan yang dibina sejak 47 tahun lalu dipertahankan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Dengan ini kita akan dapat memastikan apa yang bersambung tidak akan putus dan tidak akan membiarkan fahaman ekstremis dan fanatik untuk merungkai segala yang telah dikecapi hari ini. Jika 31 Ogos tarikh merdeka, 16 September adalah tarikh penyatuan dan kesatuan kita untuk menjadi sebuah negara lebih besar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Hari Malaysia yang disambut hari ini tidak seharusnya menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat apabila negara ini mempunyai dua tarikh keramat. Beliau menjelaskan, kedua-dua tarikh keramat itu iaitu pada 31 Ogos dan 16 September membawa makna yang amat besar, mendalam dan amat signifikan kepada negara ini.

Najib berkata, sejak disatukan di bawah Malaysia, Sabah, Sarawak dan Semenanjung telah melalui pelbagai cabaran getir termasuk tuntutan Filipina terhadap Sabah dan Ganyang Malaysia yang dilancarkan Indonesia. Katanya, semua cabaran itu berjaya dilalui dan pada hari ini kerajaan sedang berusaha untuk memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak mengecapi nikmat pembangunan seperti di Semenanjung.

Beliau menjelaskan, kerajaan serius dalam menjayakan agenda itu seperti disaksikan dalam pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menyaksikan Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.1 bilion sehingga 2012 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan.

‘‘Agenda itu akan jadi kenyataan tidak lama lagi jika rakyat Sabah dan Sarawak terus memilih Kerajaan Pusat dan negeri yang komited kepada membela nasib rakyat,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia diharap dapat mempercepatkan proses integrasi sosial dan psikologi rakyat berbilang kaum dan wilayah di negara ini demi mencapai cita-cita menjadi sebuah negara maju yang stabil, aman dan bersatu-padu menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, rakyat yang cintakan negara tidak sepatutnya membenarkan sentimen kewilayahan membantutkan usaha meningkatkan integrasi nasional dan melonjakkan kemajuan negara.

Menurutnya, pembangunan dan kemajuan yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan dan kerjasama yang dijalin sebagai warga Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum dan sempadan wilayah sejak sekian lama.

''Hindarilah jerat permusuhan yang sengaja dipasang oleh pihak-pihak tertentu dengan mengapi-apikan sentimen perkauman dan kewilayahan yang melampau semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka. Dengan semangat jitu 1Malaysia, ayuh kita bina sebuah negara Malaysia yang bersatu, aman dan makmur secara bersama. Marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang bersejarah ini untuk memperbaharui tekad mewujudkan sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu-padu dengan mengeratkan silaturahim di antara kita. Berlandaskan prinsip Negara Persekutuan, negeri-negeri yang membentuk Malaysia mendapat jaminan hak untuk mengecap nikmat pembangunan dan kemakmuran secara adil dan pada masa sama memikul tanggungjawab serta amanah untuk sentiasa memelihara keutuhan negara dan kesepaduan warganya,'' katanya.

Tambah Muhyiddin, para pemimpin negara menubuhkan Malaysia 47 tahun yang lalu dengan satu hasrat dan tekad untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan wilayah serta memajukan negara secara bersama.

Menurutnya, masyarakat di negara ini harus bersyukur kerana sepanjang lebih empat dekad Malaysia muncul sebagai negara membangun yang paling berjaya di dunia.

''Berkat kerjasama erat seluruh rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama dan wilayah, Malaysia telah mengorak langkah sebagai negara yang bersatu, aman dan makmur. Negeri-negeri yang dahulunya mundur dan terpinggir daripada arus kemajuan telah mendapat limpahan nikmat pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi yang bukan sedikit. Tidak dinafikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama telah banyak mengharumkan nama negara di serata dunia, namun banyak lagi yang boleh dilakukan untuk terus memacu kejayaan Malaysia,'' ujarnya.

Beliau seterusnya mengajak rakyat merenung semula pengorbanan pemimpin terdahulu menyatukan seluruh warga Malaysia dan memajukan negara sebagai pembakar semangat untuk lebih maju ke hadapan.

TENGKU MUHAMMAD FARIS DI MASYHURKAN SULTAN KELANTAN YANG BARU

Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini (13 September 2010).

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini.

“Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Sementara itu, tiada Persidangan Dewan Undangan Khas Negeri Kelantan diadakan hari ini yang dipercayai berkaitan dengan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Halim Hamad ketika dihubungi berkata, majlis yang diadakan di Kota Darulnaim, pejabat pentadbiran negeri hari ini adalah majlis jamuan raya dan bukannya sidang dewan.

Dalam pada itu, kesemua wartawan tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di Kota Darulnaim kerana mempercayai adanya sidang dewan khas bermula pada 10 pagi.

Wartawan-wartawan hanya dibenarkan menunggu di balai pengawal pada pintu masuk Kota Darulnaim.

Mereka ditunjukkan sekeping surat oleh pengawal dari Unit Protokol Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak membenarkan sebarang liputan dibuat.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Pemangku Raja Kelantan akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan hari ini setelah lebih setahun menjadi Pemangku Raja.

SILIBUS KELAS EKSPRES

Kementerian Pelajaran memperkenalkan silibus mampat bagi membolehkan murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terus melompat ke Tahun Tiga tanpa ketinggalan dalam pembelajaran sukatan Tahun Dua.

Menerusi silibus itu, murid Tahun Satu yang lulus ujian khas berdasarkan sukatan Tahun Dua pada pertengahan Ogos ini akan mempelajari 50 peratus sukatan pelajaran awal Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan terakhir pada Tahun Satu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada tahun depan murid terbabit akan terus ditempatkan di Tahun Tiga, tetapi akan mengikuti 50 peratus lagi sukatan pelajaran Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan pertama.

"Mereka akan mengikuti pelajaran Tahun Tiga pada April setelah lulus ujian penilaian kedua bagi sukatan Tahun Dua pada akhir Mac. Oleh itu, murid pintar ini dapat mengurangkan tempoh pembelajaran pada peringkat sekolah rendah setahun lebih awal, iaitu daripada enam tahun kepada lima tahun," katanya.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemilihan kumpulan pertama 20 SBT termasuk enam sekolah rendah yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan serta kakitangan.

Autonomi berkenaan antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Alimuddin berkata, pelaksanaan ini silibus mampat itu adalah antara cadangan yang dibincangkan secara terperinci dalam makmal bidang keberhasilan utama negara (NKRA) selaras langkah kerajaan memperkenalkan SBT.

Mengenai pemberian autonomi untuk memanjangkan waktu persekolahan, beliau berkata, SBT masih tertakluk kepada jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran harian yang ditetapkan kementerian. Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan mengenai perkara itu sedang disediakan untuk pelaksanaan SBT di mana pengetua dan guru besar diberi kuasa untuk menjalankan dan menyusun jadual anjal atau jadual waktu yang fleksibel.

KRISTIAN AKTIF DI PENEMPATAN ORANG ASLI

Kerajaan Kelantan menyedari kehadiran ramai mubaligh Kristian yang memasuki beberapa penempatan Orang Asli di negeri ini untuk menyebarkan fahaman mereka secara aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, usaha yang dilakukan itu semakin berleluasa ketika ini dan sukar dibendung.

Jelasnya, kerajaan negeri sejak sekian lama telah menjalankan beberapa dasar termasuk melatih kalangan Orang Asli sebagai ustaz dan diberi bayaran elaun untuk menyebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Bagaimanapun katanya, kekangan kewangan yang dihadapi menyebabkan tidak semua penempatan tersebut dapat dimasuki.

"Kita mengakui memang banyak usaha penganut agama lain menyebarkan fahaman mereka di beberapa pos Orang Asli di seluruh negeri. Malah ada beberapa kawasan yang sangat jauh dan memakan masa sehingga lima jam berjalan kaki pun mereka sudah sampai sedangkan kita sendiri belum pernah ke tempat itu," katanya.

Mohd. Amar berkata, mubaligh-mubaligh Kristian mempunyai sokongan dana yang kuat untuk melancarkan aktiviti mereka sehingga ke kawasan yang sukar dijejaki. Selain itu katanya, golongan itu mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dengan pasangan Orang Asli dan tinggal bersama bagi memudahkan penyebaran ajaran agama mereka.

Sehubungan itu Mohd. Amar berkata, kerajaan masih lagi meneruskan pemberian insentif sebanyak RM10,000 kepada mana-mana lelaki Islam di negeri ini yang sanggup berkahwin dan tinggal dengan masyarakat Orang Asli.

"Insentif ini masih ada sampai sekarang selain banyak lagi usaha kita seperti memilih golongan ini menjadi peserta ladang rakyat dan diberi bayaran elaun," tambahnya.

DEFISIT KELANTAN DIJANGKA MELEBAR RM29.50 JUTA TAHUN DEPAN

Kerajaan PAS Kelantan hari ini membentangkan Bajet 2010 dengan defisit dijangka melebar kepada RM29.50 juta berbanding RM20.29 juta pada tahun ini.

Dalam bajet yang bertemakan Bajet Memacu Dalam Hemat itu, perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM416.88 juta manakala perolehan hasil berjumlah RM387.38 juta.

Anggaran hasil tahun 2010 menunjukkan peningkatan 12.24 peratus berbanding anggaran hasil 2009 yang berjumlah RM339.98 juta, namun ia masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mengurus.

Bajet itu memberi tumpuan kepada tiga aspek iaitu penjanaan ekonomi untuk rakyat, pembinaan insan kamil melalui Islam dan perkongsian penderitaan melalui pembelaan nasib golongan daif, kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Datuk Husam Musa membentangkan bajet itu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Peningkatan hasil pada tahun depan berpunca daripada kenaikan beberapa sumber tertentu akibat penyemakan semula oleh jabatan-jabatan setelah mengambil kira pungutan sebenar hasil yang diperoleh tahun ini.

Hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM110.59 juta atau 28.55 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil namun ia menunjukkan penurunan sebanyak RM6.38 juta dibandingkan dengan Bajet 2009.

''Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan kesedaran kepada pemilik-pemilik tanah agar menjelaskan premium dan cukai tanah serta tunggakan menerusi kempen dan usaha bersepadu oleh semua Pejabat Tanah," ujar Husam.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap semua agensinya berusaha mempertingkatkan hasil dan mencari punca hasil baru melalui pendekatan kreatif dan proaktif.

Perhutanan pula menyumbangkan sejumlah RM107.48 juta atau 27.74 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil iaitu peningkatan sebanyak RM12.51 juta.

Daripada keseluruhan anggaran bajet, RM181.30 juta diperuntukkan untuk projek pembangunan termasuk RM95 juta daripada sumber pinjaman dengan penekanan kepada usaha meningkatkan prasarana bagi memajukan tahap sosio ekonomi.

Menurut Husam, selain mengharapkan royalti minyak bagi menambahkan lagi punca hasil, kerajaan negeri telah membuat tuntutan caj kawasan tadahan dan caj stratum Empangan Pergau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM91 juta bersama dengan bayaran ke belakang sejak 1923.

Di samping itu, kerajaan negeri bercadang memperkenalkan skim pelaburan berbentuk perkongsian melalui tawaran pembelian saham dalam industri perladangan kelapa sawit seluas 400 hektar yang dijangka dapat menjana hasil RM200 juta.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Mohd. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) ketika ditemui di luar dewan mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang tidak berusaha mencari sumber baru bagi menambahkan hasil negeri.

''Yang ada disebut pun soal tuntutan royalti minyak. Saya tidak mempersoalkan hak dan keistimewaan itu tetapi sepatutnya kita menggunakan akal fikiran untuk terus menjana pendapatan lebih besar bagi kesejahteraan rakyat.

''PAS sudah memerintah hampir 20 tahun dan mengapa cuma terus bergantung kepada sumber-sumber alam sedia ada. Kewangan yang terbatas tidak harus selamanya dijadikan alasan," ujarnya.

Beliau menarik perhatian perancangan mengatasi soal pengangguran dan peluang pekerjaan bagi lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak disentuh dalam bajet.

PAS KE INDONESIA BANTU PULIHKAN HUBUNGAN

Pemimpin PAS berkunjung ke kedutaan Indonesia hari ini (14 September) dalam usaha untuk membantu meredakan ketegangan antara rakyat kedua-dua negara. Kehadiran Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub telah disambut baik oleh Timbalan Duta Indonesia, Tatang Razak.

Pertemuan yang diatur oleh Alex Ong, Koordiantir Migrant Care, sebuah NGO yang menjaga hal ehwal pekerja Indonesia di sini itu turut disertai oleh Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat. Salahuddin dan rombongan memasuki kedutaan Indonesia kira-kira jam 12 tengahari sebentar tadi dan keluar dari bangunan tersebut jam 1.20 petang.

Menurut Salahuddin, pertemuan selama 40 minit itu membincangkan beberapa isu yang membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Jelasnya, PAS sangat prihatin terhadap isu antara kedua negara yang telah mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat dan pelajar Malaysia di Indonesia.

"Rakyat Malaysia di Indonesia sentiasa diselubungi perasaan ketakutan dan bimbang ancaman keselamatan mereka," kata Salahuddin. Beliau berkata, pihak Kedutaan Indonesia telah memberi jaminan keselamatan akan dikawal serta mengatakan bahawa undang-undang di Indonesia akan menjaminkan rakyat Malaysia akan dijaga.

Pertemuan itu juga digunakan kesempatan oleh kedua-dua pihak untuk membincangkan beberapa isu yang tertangguh selama ini.

PAS akan bertindak lebih agresif lagi selepas ini bagi mendesak kerajaan menyelesaikan isu terbabit.

Selain daripada itu, isu pembantu rumah juga telah dibincangkan terutamanya mengenai cuti dan juga hak memegang pasport. Sebelum ini timbul aduan mengenai majikan yang telah memegang pasport pembantu rumah.

Timbalan Duta Indonesia, Tantang Razak menjelaskan kepada Salahuddin, kata sepakat harus diselesaikan segera bagi menyegerakan sebarang tindakan. Menurutnya lagi, bukan semua pembantu rumah yang menimbulkan masalah, tetapi ada juga yang rajin dan taat kepada majikan mereka.

Salahuddin menjelaskan bahawa apa yang penting ialah isu kemanusiaan diutamakan demi untuk menjaga hubungan dua hala selama ini. PAS, katanya, akan terus mendesak kerajaan supaya menangani segera isu yang tertangguh di sidang Parlimen akan datang.

ROYALTI MINYAK: PERBINCANGAN DUA HALA KELANTAN DAN PUSAT

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan membuat perbincangan dua hala antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan berhubung dengan tuntutan royalti minyak Kelantan.

Perkara ini dinyatakan beliau dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara semalam yang turut dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan negeri. Husam berkata, PM berjanji akan mengadakan mesyuarat dua hala ini selepas beberapa perkara teknikal mengenai tuntutan ini selesai dikaji. "Saya berpuashati dengan jaminan PM ini dan menunggu hasilnya,"

Sebelum ini, semasa bercakap kepada media selepas melancarkan buku Tuan Guru Datuk Nik Nik Aziz di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Ahad lepas, Husam berkata, beliau akan membangkitkan isu tuntutan petroleum ini dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara. Husam, Exco kerajaan negeri Kelantan, telah mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam mesyuarat yang diadakan di sini semalam.

Sebelum ini, Nik Aziz telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan Petronas menuntut royalti minyak sebanyak RM1 bilion untuk kerajaan negeri Kelantan. Ini berdasarkan carigali minyak yang dibuat oleh Petronas di perairan Kelantan. Ekoran itu, bekas Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian dengan kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong tuntutan itu.

Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga defacto Menteri Undang-undang. Baru-baru ini, Husam telah menguruskan satu ekspedisi mengenalpasti kedudukan pelantar minyak itu. 60 peserta dari pelbagai pihak termasuk media menyertai ekspedisi ini. Hasilnya, mereka mengesahkan pelantar ini berada di perairan Kelantan iaitu kira-kira 153 km dari pantai Kelantan.

Semasa melawat Kelantan baru-baru ini, Najib berkata, tuntutan Kelantan ini sedang dikaji.

SEBAT KARTIKA KECOH

SUNGAI SIPUT: Keputusan mengejut Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menangguhkan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini menimbulkan kekecohan di rumah bapanya di sini semalam, selepas model sambilan itu berkeras mahu dibawa ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.

Kekecohan berlaku kerana Kartika Sari enggan keluar daripada van Jaip yang hanya bergerak sejauh 200 meter dari rumahnya di Kampung Jawang Utara, di sini, manakala bapanya, Shukarno Mutalib enggan menerimanya apabila pegawai Jaip menyerahkan semula anaknya.

Ketika pegawai Jaip berunding dengan bapanya, Kartika Sari duduk dalam van selama kira-kira sejam mulai jam 9.25 pagi sehingga jam 10.30 pagi sambil diperhatikan ramai penduduk kampung yang sebelum itu mengadakan solat hajat memohon wanita itu tabah menghadapi hukumannya.

Bagaimanapun, selepas perbincangan, Shukarno bersetuju menerima anaknya apabila Pegawai Penguatkuasa Jaip, Sharafuddin Zainal Abidin mengeluarkan surat pengesahan menyatakan Kartika Sari diserahkan semula kepada keluarganya berikutan penangguhan hukuman itu.

Kartika Sari, 32, yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu kemudian bersetuju selepas bapanya berbincang dengan pegawai Jaip selama kira-kira sejam.

Sebelum itu, tiga pegawai penguat kuasa Jaip pergi ke rumahnya untuk membawa Kartika Sari ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat, tetapi van Jaip yang dinaikinya berpatah balik ke rumahnya selepas menerima arahan penangguhan hukuman.

Keputusan penangguhan dikeluarkan di Kuantan, Pahang oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz, berkata sebaik menerima arahan itu, tiga pegawai Jaip yang ditugaskan menjemput Kartika Sari membebaskannya dan diserahkan semula kepada bapanya.

"Kartika Sari dibebaskan, tetapi untuk sementara waktu saja atas nasihat Ketua Hakim Syarie negeri. Hukuman sebatan tetap kekal. Namun, bagi menghormati Ramadan, hukuman ditangguh dan akan dilaksanakan selepas puasa.

"Tarikh bila Kartika Sari akan dibawa semula belum ditetapkan. Jaip akan merujuk semula kepada pejabat Ketua Hakim Syarie, tetapi yang pastinya ia selepas Aidilfitri," katanya.

Kartika Sari yang kecewa dengan keputusan itu, berkata beliau sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalani hukuman sebat dan tidak faham tujuan Jaip menangguhkan hukuman berkenaan.

"Saya tetap dengan pendirian saya. Saya tak tahu di mana kedudukan saya sekarang. Macam mana? Hati saya masih di situ. Saya sudah nekad (untuk disebat). Tiada hitam-putih apa kedudukan saya sekarang. Saya tetap dengan keputusan untuk disebat.

Saya tertanya-tanya. Apa yang berlaku. Mengapa buat saya macam permainan bola sepak. Itu yang saya sedih," katanya sambil menangis selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar polis bahawa beliau tidak melarikan diri selepas waran tangkap dikeluarkan.

Beliau dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.

Pada 18 Ogos, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan dia ditahan berkuat kuasa semalam bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu. Kartika Sari adalah wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Syarie Jaip, Datuk Abdul Rahim Jaafar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut pembebasan Kartika Sari, sebaliknya berkata lebih elok perkara itu didiamkan saja tanpa perlu diheboh-hebohkan.

"Penjelasan tidak perlu diberikan sekarang...lebih baik diamkan dulu. Tiba masanya nanti kita akan maklumkan," katanya.

SUMBER

KEADAAN SULTAN KELANTAN SEMAKIN PULIH

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra yang kini menerima rawatan di Singapura, semakin pulih daripada trauma saraf otak akibat serangan jantung pada Mei lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Sultan Kelantan semalam, pasukan perubatan Hospital Mount Elizabeth, Singapura amat berpuas hati dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh Tuanku.

"Penyakit jantung Tuanku telah pulih dan dalam keadaan stabil. Buat masa sekarang, Tuanku boleh mengambil sedikit minuman dan santapan.

"Tuanku buat masa ini sedang menjalani rawatan fisioterapi yang intensif. Pasukan Perubatan Hospital Mount Elizabeth menjangkakan yang Tuanku akan mencapai pemulihan dalam percakapan dan peringatan," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan kemajuan Tuanku adalah hasil kerjasama rapat antara pasukan perubatan daripada HUSM, Hospital Raja Perempuan Zainab II dan kumpulan pakar dari Hospital Mount Elizabeth yang diketuai oleh Datuk Dr. Richard Ng.

Baginda dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak 14 Mei lalu akibat masalah jantung dan menerima rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth sejak 24 Mei lalu.

Berikutan kegeringan Baginda, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja sehingga Sultan Kelantan sembuh. - Bernama.