WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

UNIVERSITI UTARA MALAYSIA MENANG EMAS

Dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Norshuhada Shiratuddin dan Prof. Madya Fadzilah Siraj merangkul pingat emas dalam penyelidikan masing-masing bagi kategori sains sosial dan kemanusiaan yang bertemakan Driving Research Innovation Towards Value Creation, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan seperti Main Gallery, Biosciences & Biotechology, Health & Allied Sciences, Information & Communication Technology, Physical Sciences & Engineering dan Social Sciences & Humanities.

Penyelidikan Norshuhada yang bertajuk, 1Malaysia Through Local Content merupakan produk yang menawarkan perkhidmatan mobile game. Ia boleh mendidik pengguna dalam dua aspek iaitu teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.

Penyelidikan Fadzilah yang bertajuk, Integrating Behavioural Academic Self Esteem Using Hybrid Intelligent Approach pula mengetengahkan sistem gabungan psikologi dan teknologi maklumat bagi mengukur tahap keyakinan pelajar sama ada rendah mahupun tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Dahlan Ismail berkata, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dalam usahanya menggalakkan penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi telah mengambil inisiatif menaja dan menganjur ekspo penyelidikan yang diadakan dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam yang diadakan setiap dua tahun.

Katanya, ekspo yang bertujuan mempamerkan hasil, ciptaan dan inovasi penyelidikan institusi pengajian menggabungkan persidangan dan pameran ciptaan hasil penyelidikan yang diberi nama baru iaitu PECIPTA (Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa).

PECIPTA 2009 bertujuan mempamerkan hasil, ciptaan dan inovasi yang dihasilkan oleh semua IPT di Malaysia dan juga luar negara, sambil membuka peluang kepada peserta menjalinkan silaturahim dan usahasama bagi membangunkan prototaip dan pengkomersialannya.

"Ini merupakan kali kelima UUM menyertai PECIPTA. Pada tahun 2005, UUM menghantar 20 produk penyelidikan diikuti pada 2007 dengan penyertaan 22 produk penyelidikan. Pada tahun 2009, UUM menyertai IPTA-IPTA lain pada pameran yang sama dengan 12 produk penyelidikan," katanya lagi.

Dr. Dahlan berkata, PECIPTA 2009 juga menyokong hasrat kerajaan memacu pembangunan negara melalui penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan serta mempamer hasil, ciptaan dan inovasi penyelidikan dan pembangunan dari IPT.

Selain itu katanya, ia mempamerkan produk dan reka cipta IPT yang telah berjaya dikomersialkan dan memasarkan kepakaran penyelidikan berdaya saing setempat dan antarabangsa, meningkat keyakinan sektor industri dan pihak luar terhadap kepakaran dan kebolehan penyelidikan tempatan dengan harapan menyepadankan peluang kerjasama (business matching) antara kedua-dua pihak.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.