WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

UDA JADI AGEN PERUBAHAN MELAYU

Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang ditubuhkan pada 12 November 1971 tidak pernah lari dari misinya untuk membantu orang Melayu di negara ini namun itu bukan bermakna kaum lain dianaktirikan, kata Pengarah Urusannya, Datuk Jaafar Abu Hassan.

Beliau berkata, seiring dengan objektif penubuhannya, UDA dilihat sebagai agen perubahan kepada orang Melayu dan misi serta visi itu tetap selari sehingga kini. Berdepan dengan pelbagai perubahan serta keputusan kerajaan meletakkan UDA Holdings Bhd. di bawah Kementerian Kewangan merupakan satu langkah yang dilihat wajar bagi menjadikan entiti perniagaan itu sebagai agen perubahan kepada orang Melayu.

Tegasnya, kewujudan UDA bukan semata-mata untuk menjadi pemaju perumahan atau pemilik kepada kompleks komersial serta menjaga kepentingan orang Melayu tetapi kaum lain juga turut diberi peluang.

"Mungkin disebabkan nama UDA yang menyebabkan kaum lain merasakan dipinggirkan namun pada hakikatnya kita turut memberi peluang kepada mereka juga," katanya. Menurut Jaafar, kemampuan dan hak milik orang Melayu masih menjadi keutamaan UDA khususnya jika pada projek-projek perumahan mampu milik dan mewah serta lot-lot perniagaan di kawasan-kawasan strategik.

Beliau berkata, isu kemampuan dan hak milik menjadi perkara amat sensitif ketika ini khususnya bagi bumiputera namun itu tidak menghalang UDA untuk menjadi agen perubahan bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Jaafar menolak tanggapan bahawa UDA hanya mementingkan orang Melayu kerana dasar syarikat itu juga memberi penekanan kepada bangsa lain lebih-lebih lagi dalam pemilikan dan hak milik.

Beliau memberi contoh ketika ini, usahawan bumiputera hanya menguasai kira-kira 19.7 peratus ruang niaga di kompleks-kompleks membeli belah manakala selebihnya kaum lain. Oleh sebab itu tidak timbul pertikaian peranan UDA untuk memberi 'keistimewaan' syarikat itu bagi membolehkan kaum bumiputera turut sama menikmati dan berkongsi kekayaan di negara ini.

"Untuk menjadi agen perubahan, kami perlu mengambil pendekatan menang-menang agar semua kaum dapat merasa dan menikmati perubahan yang akan dilakukan terutamanya di dalam landskap perniagaan," katanya.

Dalam aspek komersial ujarnya, UDA amat mementingkan kepada peningkatan dan kemajuan serta kejayaan usahawan apabila mereka menyewa lot-lot kedai yang dimiliki UDA. Sebagai contoh, Exit Policy yang diperkenalkan oleh UDA kepada penyewa di BB Plaza hanya untuk tempoh 10 tahun sahaja dan dalam tempoh itu mereka perlu berusaha untuk berjaya dan membina jenama serta produk yang dijual.

Apabila cukup tempoh tersebut penyewa harus memberi laluan kepada orang lain bagi menyewa lot-lot kedai mereka dan perlu mencari tempat atau tapak baru bagi meneruskan kesinambungan perniagaan.

"Polisi ini bukan untuk menyekat pintu rezeki penyewa tapi kita nak bagi peluang sama rata kepada orang lain untuk merasa persekitaran perniagaan di BB Plaza dan kita tahu jika UDA tidak berbuat begitu, peniaga bumiputera tidak akan merasa, lagipun dalam tempoh 10 tahun kita merasakan seseorang peniaga sudah mampu untuk berdikari dan survive untuk perniagaan mereka," katanya.

Selain itu, UDA juga merancang untuk mengambil alih mana-mana kompleks membeli belah bagi diuruskan serta memberi kadar sewa yang berpatutan - kadar sewa yang mungkin tidak dinikmati oleh mana-mana penyewa jika menyewa di kawasan-kawasan strategik. Ia boleh dilakukan menerusi dua cara iaitu UDA mengambilalih kompleks-kompleks membeli belah besar dan memberi subsidi kepada penyewa bumiputera atau menerusi pertumbuhan dalaman.

Sementara itu, dalam pemilikan hartanah pula, Jaafar berkata, fungsi dan peranan UDA masih tidak berubah sebagaimana di awal penubuhannya.

Dalam aspek pemilikan hartanah misalnya, UDA Holdings memberi peluang kepada orang Melayu memiliki unit-unit rumah dan bangunan komersial menerusi projek pembangunan hartanah di seluruh negara antaranya di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu, jelas beliau.

Dengan memiliki 12 kompleks perniagaan antaranya Kompleks Pertama dan BB Plaza di Kuala Lumpur, Plaza Angsana (Johor Bahru) serta Greentown Mall (Ipoh) telah memberi peluang kepada usahawan bumiputera memasarkan produk keluaran mereka di premis dan lot kedai yang ditawarkan.

Usaha itu juga diteruskan dengan melibatkan usahawan Melayu dalam sektor perniagaan apabila UDA Holdings kini giat membuka bandar-bandar baru seperti Bandar UDA Utama, Bandar Baru UDA dan Pusat Bandar Tampoi di Johor, Bandar Tun Hussein Onn (Kuala Lumpur) dan Taman Pauh Jaya di Pulau Pinang.

Tambah Jaafar, menerusi projek pembangunan perumahan, UDA Holdings memberi peluang kepada bumiputera memiliki unit-unit rumah pelbagai jenis mengikut kemampuan di kawasan strategik pada harga yang berpatutan. Katanya, UDA kini mempunyai kira-kira 340 hektar bank tanah di mana beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk tujuan pembangunan.

Jaafar berkata, tugas untuk memajukan ekonomi bumiputera hanya dapat dilakukan apabila pihaknya dapat menyediakan ruang dan tempat berniaga, khususnya di kawasan bandar kepada orang Melayu selain menyediakan pemilikan hartanah yang mampu dimiliki.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.