WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

HAMPER EKSKLUSIF DELINUR

Keindahan seni bungkusan hamper dengan kepelbagaian reka bentuk dan corak pasti menambat hati semua pelanggan yang melihatnya. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang gemar memberi buah tangan kepada teman-teman dan keluarga tersayang.

Bagi yang tidak mempunyai banyak masa mahupun kreativiti untuk menghasilkan cenderamata sendiri, anda tidak perlu khuatir kerana di pasaran terdapat banyak pilihan. Biskut raya bukan sahaja dibungkus cantik, malah bentuk dan rasanya juga sedap serta menyelerakan. Hari ini, terdapat ramai pembuat hamper berlumba-lumba menghasilkan hamper Hari Raya Aidilfitri.

Norma Abdullah, 47, juga tidak terkecuali. Menariknya, hamper beliau diisi dengan biskut raya yang dihasilkannya sendiri.

Keindahan seni hamper dan rasa biskut buatan sendiri yang lazat menjadikan hamper wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu mendapat tempahan daripada golongan kenamaan termasuklah kerabat diraja dan tokoh-tokoh korporat.

"Setiap tahun, jumlah pembeli hamper saya bertambah. Malah sebelum Ramadan lagi, saya dan beberapa pekerja sudah mula sibuk membuat persiapan awal," kata pemilik syarikat Delinur Gift & Hamper itu di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Menurut Norma, beliau sentiasa memerah idea untuk memastikan setiap rekaan pada tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Norma juga sentiasa menghasilkan lakaran sendiri, selain turut mengambil kira cita rasa para pelanggannya.

Bermula dengan menjual biskut raya sejak tujuh tahun lalu, Norma akhirnya mengambil keputusan untuk membuat hamper secara sepenuh masa. Apatah lagi, pulangan yang diperolehnya berlipat kali ganda berbanding menjual biskut raya."Kira-kira tiga tahun lalu, saya mula membuat hamper. Di dalamnya, saya isi dengan biskut raya buatan sendiri. Kini, selain menjual biskut raya, saya turut menerima tempahan hamper,'' katanya.

Tidak cukup dengan itu, Norma juga tidak kisah mengelilingi dunia untuk mencari acuan biskut raya dan bekas-bekas hamper yang menarik. Norma pernah mendapatkan hamper kulit dan kayu dari China, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Menurutnya, selain bekas dan hiasan yang menarik, penghasilan biskut raya yang enak juga tidak harus diketepikan.

Katanya, biskut coklat seperti hazeline square, havana dan snow almond sering menjadi pilihan pelanggan kerana bentuk dan rasanya yang enak. Biskut tradisional pula terdiri daripada tart nanas, popiah pedas dan pelbagai pilihan kerepek.

Bagaimana dengan harga? Harga setiap hamper bergantung pada isi kandungan, bekas, saiz dan kesukaran menggubahnya. Ia boleh didapati pada harga antara RM80 hingga RM500 bagi satu hamper.

Kepada yang berminat untuk membuat tempahan hamper, sila hubungi Norma di talian 012-337 5375 atau 012-213 3077 atau layari laman web www.giftdelinur.com

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.