WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

MAVERIC SYSTEMS LABUR RM3.5 J OPERASI SULUNG

MAVERIC Systems, syarikat pengujian perisian bebas ketiga terbesar India, akan melabur AS$1 juta (RM3.5 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk melancarkan operasi sulungnya di Malaysia, mulai bulan depan.

Selepas meneroka pelbagai pasaran di rantau Asia Pasifik, Maveric memilih Malaysia sebagai pasaran luar negara seterusnya untuk mengembangkan operasi syarikat itu. Pengarahnya, P Venkatesh, berkata tumpuan pelaburannya adalah membabitkan aktiviti perisian dalam sektor perbankan, insurans dan sektor awam.

"Pengalaman kami terbabit dalam perbankan Islam di Asia Barat, akan membantu kami untuk meneroka sektor berkenaan di Malaysia yang sedang mengalami pertumbuhan pesat pada kadar 35 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Selepas kejayaan meneroka pasaran Arab Saudi sejak enam bulan lalu, kami berharap pengembangan pasaran ke Malaysia akan membantu kami mencapai sasaran pertumbuhan 30 peratus bagi tahun kewangan semasa," katanya dalam kenyataan menerusi laman webnya. Katanya, beliau yakin dengan perkhidmatan ujian Protokol Internet (IP) yang unik dimiliki kumpulan itu, akan membolehkan ia menarik pelanggan di Malaysia.

Syarikat itu menetapkan sasaran pendapatan sederhana AS$2 juta (RM7 juta) daripada operasinya di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Venkatesh berkata, secara keseluruhan pihaknya mensasarkan keuntungan AS$2.75 juta (RM9.6 juta) daripada operasinya di rantau Asia Pasifik.

Susulan pelaburannya dalam pengujian perisian di negara ini, Maveric menjalin kerjasama dengan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) untuk melatih bakat tempatan sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan sumber manusia jangka panjangnya. Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Naib Presiden Jabatan Industri dan Kajian Akademik MUST, Dr Ahmad Ibrahim berkata, menerusi langkah itu, Maveric dan MUST akan merangka program pengajian jangka pendek dan bengkel latihan pengujian perisian dalam sektor perbankan Islam dan takaful.

Selain itu, Maveric bercadang untuk mengadakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama MUST secara berperingkat.

Katanya, menerusi program pengajian jangka pendek dan bengkel, MUST mensasar untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pengujian perisian, khususnya dalam industri perbankan dan insurans.

"MUST kini sedang meneroka kemungkinan untuk menawarkan program sarjana dalam bidang pengujian perisian khusus dengan pengkhususan dalam sektor perbankan Islam," kata Ahmad.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.