WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

YOUTUBE IN POWERPOINT


UMAT ISLAM ENGLAND DI GANGGU

LONDON - Polis antirusuhan menahan 10 orang semalam ketika menyuraikan ketegangan yang timbul akibat tunjuk perasaan anti-Islam di luar sebuah masjid di London pada hari ulang tahun serangan 11 September.

Demonstrasi anti-Islam itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London yang menyaksikan seorang ditahan kerana melanggar keamanan dan sembilan lagi kerana memiliki senjata seperti botol peluntur, tukul dan pahat.

Polis dikerahkan selepas sekumpulan pemuda Islam yang memakai topeng muka, melontar kayu dan batu ke arah kumpulan kecil penunjuk perasaan anti-Islam berkenaan.

Suasana kecoh yang berlaku memaksa polis mengelilingi kumpulan tunjuk perasaan kulit putih itu kira-kira 500 meter dari masjid.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE) yang kononnya berjalan dengan aman dengan seorang anggotanya, Stephen Gash menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan.

Pengunjung masjid menyatakan bahawa tindakan mereka adalah semata-mata melindungi rumah Allah.

“Semua orang boleh menjalankan demonstrasi tetapi sekiranya anda melakukan hasutan kebencian ke atas manusia lain, ia tidak dibenarkan. Undang-undang Inggeris juga tidak membenarkannya,” kata Abdullah Al-Andalusi, 30.

Kebimbangan mengenai keganasan sedemikian kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England yang menyaksikan lebih 30 ditangkap di Birmingham.

YOKUK AGIH RM 52,000 RINGANKAN BEBAN OKU

KOTA BHARU - Sejumlah RM52,000 diperuntukkan oleh Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) kepada klien Yokuk.

Pengasasnya, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, agihan zakat berkenaan diberikan bagi mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan. Menurutnya, penyampaian zakat itu adalah sebagai persediaan kepada klien-klien Yokuk untuk menyambut Syawal nanti.

“Setiap tahun kita tidak pernah melupakan klien-klien kita dan kali ini kita juga turut mengagihkan sumbangan kepada mereka supaya semua ahli dapat merasakan kegembiraan ketika menyambut hari raya nanti. Bagaimana pun saya menasihatkan supaya sumbangan yang yayasan sampaikan ini dapat digunakan sebaik mungkin demi kepentingan anak-anak dan pengurusan diri tanpa melakukan pembaziran,” katanya.

Beliau juga berharap pada tahun ini semua ahli-ahli Yokuk dapat meraikan hari raya dalam keadaan yang serba sederhana dan berjimat-cermat. Pada program yang sama, seramai 10 orang kurang upaya (OKU) juga turut menerima kerusi roda.

Mohd Zaid juga menyeru kepada mereka yang sebelum ini pernah menerima bantuan kerusi roda dan kini ia tidak digunakan boleh mengembalikan kepada yayasan.

“Kerusi roda ini kita boleh serahkan kepada mereka yang betuk-betul memerlukan dan saya mengharapkan kerjasama daripada mereka yang terlibat. Sekiranya ada dalam kalangan klien kita yang sudah tidak menggunakannya sama ada sudah meninggal dunia atau sebagainya ia boleh dikembalikan dan kita akan menyalurkan kepada pihak lain bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

KELANTAN BERTEMU THAILAND

KOTA BHARU - Setelah pulang dari Manchester, pasukan bola sepak Kelantan kini giat berusaha dengan mengadakan sesi latihan yang lebih tersusun mengikut jadual yang diaturkan.

Latihan tersebut diadakan untuk memperkuatkan lagi pasukan Kijang yang bakal berubah wajah dalam siri kempen merebut Piala Malaysia, dengan beberapa kejutan yang tentunya memberi satu impak yang kuat kepada pasukan ini sendiri.

Kenyataan ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Mohd Noor Yaacob.

“Selepas kembali daripada England, pengalaman mengadakan latihan bersama pasukan Manchester City dan Birmingham City memberikan pengalaman baru yang dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi buat pasukan Red Warrior’s. Pasukan ini akan mencapai tujuan dan im-pian membawa pulang Piala Malaysia, dan ia bukannya mustahil agar dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan seperti dulu,” ka-tanya.

Sebagai persediaan selain latihan awal, pengurusan Kafa turut mengaturkan dua perlawanan persahabatan dengan dua pasukan daripada negara jiran iaitu Thailand.

“Hari ini, pasukan Kelantan bertemu dengan pasukan bola sepak Narathiwat yang mengungguli Liga Divisyen Dua di Thailand. Manakala perlawanan kedua pula akan diadakan pada 14 September. Kelantan bakal bertemu Pasukan Pattani United. Kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad-IV pada jam 10.30 malam. Kesemua peminat bola sepak Kelantan dijemput hadir memberikan sokongan selepas menunaikan solat Terawih,” katanya.

Melihat sokongan peminat akhir-akhir ini, pasukan Kelantan dijangka bakal mempamerkan aksi yang lebih menarik dan mendebarkan.

“Peminat bola sepak bakal terhibur dengan persembahan daripada pasukan Kelantan malah pasukan lawan turut akan memberikan cabaran dan saingan yang sengit dan sekiranya Kijang menang mestilah lebih menggembirakan,” katanya.

Kafa dilihat berjaya hari ini, walaupun soal gaji yang tertunggak terdengar lebih terbuka dan ia bagaikan mencabar kewibawaan ekoran beberapa pihak yang membuat tuntutan gaji tertunggak.

“Semua tuntutan ini hasil daripada kejayaan pihak pengurusan yang berjaya membina dan memulihkan imej dan kekuatan Kafa, malah kami cuba untuk berusaha untuk memenuhi segala tuntutan. Tetapi segala tuntutan mestilah berasas kerana kadang kala, adanya pihak yang mengambil kesempatan dengan harapan mendapat ganjaran tanpa sebarang usaha. Kafa kini menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji tuntutan yang dibuat individu sama ada secara jujur, mengambil kesempatan atau hanya ingin memburukkan nama Kafa,” katanya.

Kafa akan bertang-gungjawab untuk memenuhi segala tuntutan jika individu tersebut boleh mengemukakan dokumen atau kontrak yang sah barulah tuntutan tersebut boleh dipenuhi. Kafa turut merasakan ketidakadilan untuk mereka menanggung hutang piutang 10 hingga 20 tahun dahulu, sedangkan Kafa hari ini yang diterajui Tan Sri Annuar Musa baru berusia hampir dua tahun.

“Bola sepak di Kelantan tidak akan maju jika terpaksa menanggung hutang lapuk dan dibebani dengan tanggungjawab seperti ini. Jika Kafa ada dana sekali pun, lebih baik ia digunakan untuk membiayai kepentingan untuk membangunkan pasukan bola sepak hari ini,” katanya.

BOLA SEPAK CINA KELANTAN BERMULA

KOTA BHARU - Sebanyak enam buah pasukan yang terdiri daripada pemain bola sepak berbangsa Cina menyertai Kejohanan Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan.

Kejohanan kali ketujuh ini yang bermula awal bulan September, memasuki pusingan kedua dan melibatkan dua zon iaitu Kota Bharu dan Tanah Merah, dan pasukan yang mengambil bahagian ialah Jelantuk, Chekok, Tema-ngan, Wira Boy, KB FC dan YMM KB. Pada sesi pertama zon Tanah Merah, pasukan Jelantuk menjuarai zon tersebut setelah menewaskan Temangan, 3-0, manakala keputusan untuk zon Kota Bharu akan diumumkan lusa.

Presiden Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan, Chang Song Yee, 48, berkata, tujuan mengadakan kejohanan ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru remaja Cina di negeri ini.

“Setelah bakat-bakat baru ini dikenal pasti, pemain tersebut akan dipilih untuk mewakili sebuah pasukan yang bakal menyertai Liga Bola Sepak Cina Malaysia. Sebelum ini, pasukan bola sepak Cina Kelantan pernah berjaya sehingga pusingan kedua liga. Bagaimanapun, pasukan ini tewas kepada pasukan Melaka, 2-1, dan berjaya menewaskan Perak, 1-0,” katanya.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan, Lim Guan Seng berkata, kebanyakan pemain yang mengambil bahagian pernah mewakili negeri ini.

“Kita akan berusaha, agar dapat mengembalikan kejayaan seperti mana yang pernah dilakar pemain Cina Kelantan pada tahun 2006 apabila berjaya melangkah sehingga ke perlawanan akhir. Masa itu, kami tewas kepada nasib kerana bertemu dengan sebuah pasukan yang kuat iaitu pasukan Pulau Pinang, 5-2. Pulau Pinang merupakan di antara pasukan yang terbaik sepanjang liga tersebut diadakan,” katanya.

Kejohanan ini turut diadakan sebagai menyambung tradisi yang diadakan setiap tahun di negeri Cik Siti Wan Kembang.

“Hasrat Presiden Persa-tuan Bola Sepak Cina Kelantan adalah untuk menyerapkan pemain-pemain muda bawah 20 tahun, untuk menubuhkan sebuah pasukan yang bakal menyertai pelbagai acara dan kejohanan akan datang sebagai pasukan pelapis yang bakal mewakili negeri ini. Tahun lepas, sebanyak 10 buah pasukan mengambil bahagian. Tahun ini pula, banyak pasukan tidak bersedia untuk menyertai kejohanan ini kerana terlewat mengadakan persiapan,” katanya.

Pasukan yang berjaya menjadi johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM,1000, Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan, dan medal manakala naib johan bakal membawa hadiah wang tunai RM600. Di tempat ketiga pula bakal memenangi hadiah bernilai RM300 dan hadiah tempat keempat pula bernilai RM200.

WANITA TERTUA DI DUNIA MENINGGAL DUNIA

LOS ANGELES 12 September - Wanita tertua di dunia dilaporkan meninggal dunia hari ini pada usia 115 tahun.

Dr. Cherles Witt berkata, Gertrude Baines meninggal dunia di hospital dipercayai akibat serangan jantung, tetapi autopsi akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematiannya.

Baines yang dilahirkan pada 1894 di Shellman, Georgia dan menjadi satu-satunya wanita tertua di dunia selepas Maria de Jesus, 115, meninggal dunia di Portugal pada Januari lalu.

Menurut Dr. L. Stephen Coles dari Kumpulan Penyelidik Gerontologi, Universiti California Los Angeles Medical Center, wanita tertua di dunia kini menjadi milik Kama Chinen yang berusia 114 tahun dan tinggal di Jepun

WAIZ KASHIFI PUAS CEBURI PERTANIAN

Mempunyai pendapatan tetap sebagai juruteknik di bahagian pembangunan dan kajian Power Train, Proton selama 17 tahun belum dapat memberi kepuasan kepada Waiz Kashifi Abdul Rauf, 34 tahun. Jiwa lelaki ini nampaknya lebih cenderung ke arah pertanian, mendorongnya berhenti kerja.

Namun demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang automotif tidak dipersia-siakan apabila dia membawa ilmu tersebut ke dalam bidang pertanian.

''Dengan penggunaan teknologi seperti yang terdapat dalam sistem automotif, bdang pertanian dapat dipertingkatkan,'' katanya bersemangat semasa ditemui di kebun kajiannya di Tabika Kemas, Seksyen 17, Shah Alam yang dijadikannya tempat latihan para belia dalam bidang pertanian.

Waiz Kashifi yang mengakui mempunyai sedikit pengetahuan dalam asas pertanian ketika itu sanggup mencuri masa mempelajari tentang pertanian ketika dihantar berkursus di luar negara oleh syarikatnya bekerja waktu itu.

''Apabila dihantar bertugas di luar negara seperti Australia, Sweden dan sebagainya, saya akan mengambil cuti untuk melawat ladang-ladang pertanian di sana. Saya tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan dan ingin mempelajari agar disesuaikan dengan negara kita,'' katanya yang pernah ke Jepun pada 2004 untuk mempelajari bidang biologi.

Di kebun, kajian ini yang hanya sebesar sekangkang kera atau pun sebesar kawasan tepi rumah teres biasa, Waiz Kashifi dilihat sibuk mengajar seramai kira-kira 20 orang belia daripada seluruh negara mengenai kaedah penanaman yang dapat memberikan hasil yang di luar jangkaan. Lebih menarik ialah melihat sepohon pokok cili merah yang setinggi 12 kaki dan menjulang tingginya. Pokok cili yang lebat berbuah ini menjadi tarikan sesiapa sahaja yang ke situ. Jika ingin memetik buahnya, terpaksalah anda berdiri di atas kerusi.

Selain cili tinggi itu, terdapat banyak lagi tanaman seperti cili api, rock melon, tomato, kobis, peria, limau nipis, limau kasturi, mangga, cili benggala dan pokok sayur kambas yang telah berusia lapan bulan namun masih berbuah lebat.

Menurutnya lagi, di kebun itu, belia yang datang belajar di situ akan diajar cara membuat baja, penggunaan enzim, penguraian mikro, kaedah tanaman cara sihat dan sebagainya.

''Pada masa ini terdapat seramai 60 orang pelajar daripada sekitar Selangor yang belajar di sini. Selain belia, ramai juga warga emas yang belajar di sini. Di sini kami mengamalkan sikap hak bersama yang mana masalah akan dikongsi bersama. Contohnya ladang adalah milik belia sementara saya mengajar mereka daripada segi teknikal.

''Selain itu adalah penting mempelajari keperluan pokok dan kita yang menanam boleh menentukan atau merancang hasil yang diingini seperti sebatang pokok cili boleh berbuah sehingga empat kilogram. Sebab itu di sini ada pokok paling tinggi dan paling rendah kerana kita boleh menentukannya. Di sini juga saya merawat pokok-pokok sakit yang dihantar oleh pelanggan seperti pokok anggur, cili dan sebagainya. Setelah pokok-pokok itu subur, pemiliknya akan datang mengambilnya semula,'' katanya yang banyak mendapat jemputan mengajar di seluruh negara termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk membantu belia dalam bidang pertanian agar mereka memperoleh pendapatan lumayan. Cuma apa yang diharapkan agar usaha mereka ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan.

NFC : HAB INDUSTRI TERNAKAN

Permintaan daging lembu dan kambing yang semakin bertambah sementelah dengan musim perayaan yang semakin hampir.

Selama ini negara amat bergantung dengan bekalan daging daripada luar negara seperti Australia, New Zealand, Brazil, China serta India. Industri ternakan daging bernilai RM1.6 bilion dan negara mengimport sejumlah RM1.1 bilion bagi memenuhi keperluan penduduk. Biasanya hotel-hotel memerlukan daging premier sebagai hidangan terutama bagi masakan Barat. Kini impian kerajaan menjadi sebuah negara yang boleh membekalkan makanan sendiri terutama daging bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Sebuah syarikat tempatan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd (NFC) sedang mengorak langkah ke arah mengeluarkan produk berasaskan daging bermula dari ladang hingga ke hidangan tanpa mengeluarkan bahan buangan sampingan.

Pengarah Eksekutifnya, Izzana Salleh berkata, NFC telah memulakan operasinya pada 2008.

Operasi bermula di ladang NFC dengan keluasan 1,500 ekar di Gemas, Negeri Sembilan dengan pengambilan pertama lembu jenis Brahman dari Australia.

"Di sini kami menjalankan dua jenis aktiviti ternakan iaitu fidlot untuk penggemukkan dan pembiakbakaan bagi mendapatkan baka yang terbaik. Bagi fidlot, buat masa ini bagi fasa pertama ladang di sini boleh menempatkan 6,000 ekor lembu pada satu-satu masa. Apabila siap nanti semua empat fasa, ladang NFC boleh menempatkan 24,000 lembu pada satu-satu masa dalam fidlot," katanya semasa sesi lawatan MEGA ke ladang NFC di Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Bagi fasa pertama kawasan lembu fidlot terdapat 48 kandang dengan setiap satu boleh menempatkan 125 ekor.

"Setiap kandang menempatkan saiz dan berat lembu yang berbeza bagi mengurangkan risiko stres dan kematian akibat berhimpit-himpit," katanya.

Cabaran paling besar bagi NFC adalah mengekalkan kos pemakanan yang rendah serta formulasi pemakanan lembu bagi tujuan penggemukkan di fidlot.

"Kekuatan kami adalah kebolehan menformulasikan makanan ternakan secara efektif agar kos pemakanan ternakan sentiasa rendah," katanya.

Bagi memberikan makanan yang bernutrisi, sesuai bagi peringkat usia pihak NFC menjalinkan kerjasama dengan pakar nutrisi dari Australia yang akan melawat ladang dan menganalisis makanan setiap dua bulan. Izzana berkata, bagi mendapatkan formulasi terbaik bagi ternakan, NFC sentiasa menjalankan analisis penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi makanan ternakan.

"Kami sentiasa mencari jalan yang terbaik mengurangkan kos tanpa berkompromi dengan nutrisi. Jalan terbaik adalah menghasilkan makanan sendiri dengan menanam rumput Napier serta tanaman lain seperti jagung," katanya.

Bagi menjamin makanan ternakan secara berterusan, NFC mempunyai gudang makanan ternakannya sendiri bagi menyimpan stok seperti Vitamin, molases dan hampas isirung kelapa sawit atau palm kernel cake (PKC).

"Boleh dikatakan ini merupakan gudang makanan ternakan paling besar bagi industri ternakan di negara ini. Bagi memastikan makanan yang diberikan berkualiti tinggi, kami membancuh dengan formula sendiri," katanya.

Lembu fidlot biasanya dibawa masuk ketika berat badan 300 kilogram (kg) dan dipelihara sehingga beratnya mencapai antara 450 hingga 500 kg. Biasanya dengan makanan yang sesuai, berat badan lembu akan bertambah antara 1.5 hingga 1.7 kg sehari. Kebiasaannya lembu fidlot di sini disembelih apabila mencapai berat 450 hingga 510 kg dengan bantuan nutrisi yang sesuai.

"Biasanya ia mengambil masa 100 hingga 120 hari bermula daripada lembu masuk ke ladang sehingga disembelih," katanya.

Bagaimanapun terdapat lembu fidlot yang mencapai berat sehingga 800 kg bagi pasaran khusus seperti bagi restoran MeatWorks. Bagi menjaga kebersihan dan kesihatan lembu, kandang akan dibersihkan setiap hari dan sisa buangan lembu akan dikumpulkan dan diproses bagi merawat tanah di ladang. Hasilnya tanah yang dirawat telah menghasilkan kawasan yang subur dan sesuai untuk tanaman jagung dan sayuran seperti cili, tomato, kacang panjang dan bayam.

Izzana menambah, semua hasil buangan ternakan tidak dibuang tetapi disimpan di dalam dua buah kolam satu untuk sisa pepejal dan satu lagi untuk sisa cecair. Sisa pepejal digunakan selepas membajak tanah manakala sisa cecair pula semasa pengairan dan siraman. Bagaimanapun NFC sedang merancang mengeluarkan biogas sendiri bagi menjana elektrik di ladangnya.

"Selepas semua fasa siap nanti, kami akan mempunyai sumber sisa buangan dari ladang dan rumah sembelihan yang mencukupi bagi menjana biogas," katanya.

Bagaimanapun tidak lengkap sebuah industri ternakan tanpa pembiakbakaan dan NFC juga terlibat dalam pembiakbakaan. Biarpun masih di peringkat awal, NFC telah membawa baka-baka terbaik dari Australia untuk tujuan pembiakbakaan. Bagi tujuan pembiakbakaan lembu dibiarkan lepas bebas di dalam tiga paddock berpagar dengan setiap satu boleh menempatkan 30 hingga 50 ekor lembu pada satu-satu masa.

"Buat masa ini terdapat 175 ekor lembu betina dan empat ekor lembu jantan dengan 100 ekor anak lembu dilahirkan di Gemas," katanya.

Kini NFC bukan hanya mempunyai lembu Brahman tetapi juga Shorthorn, Draughtmaster dan Wagyu yang bermutu tinggi. NFC boleh dikatakan ladang ternakan pertama di negara ini yang mempunyai 21 ekor baka Wagyu dengan 20 betina dan seekor jantan serta lapan ekor anak.

"Di masa akan datang apabila bilangan lembu mencukupi, kami akan menjalankan kajian mengenai permanian beradas bagi tujuan pembiakbakaan," katanya.

Ladang NFC boleh dikatakan serba lengkap dengan rumah sembelihan sehingga kepada pemprosesan produk akhir. Malah lembu yang dibawa ke tempat penyembelihan akan dijaga supaya tidak stres agar dagingnya lebih lembut dan tidak liat.

"Perjalanan ke rumah sembelih direka khas sehingga lembu tidak melihat lembu lain disembelih atau boleh menghidu bau darah. Jika ini berlaku, lembu akan menjadi stres dan menyebabkan dagingnya liat dan tidak sedap untuk dimakan," katanya.

Apa yang menarik rumah sembelihan NFC telah menerima pengiktirafan Halal dan dilengkapi dengan segala kemudahan canggih bagi memudahkan tugas sembelihan. Bagi satu-satu masa 200 ekor lembu boleh disembelih di sini selang sehari tetapi menjelang musim perayaan NFC boleh menyembelih 200 ekor lembu sehari. Bagaimanapun proses di dalam rumah sembelih seperti potongan daging, NFC mendapat sentuhan Pengurus Abattoir, Glenn Storer, seorang warga Australia yang berpengalaman lebih 40 tahun.

Lembu yang telah disembelih akan terus dilapah kulit dan kemudia disimpan di dalam chiller (sejuk tanpa beku) sebelum proses mengeluarkan tulang. Selepas itu potongan primer dan sub primer akan dilakukan seperti bahagian tenderloin, blade dan knuckle. Setiap potongan, penyimpanan dan pembungkusan akan mengambil kira sasaran pelanggan seperti di mana ia akan dipasarkan. Biasanya daging yang telah disiap dibungkus secara hampagas akan dicelup di dalam air panas pada suhu 80 darjah Celsius bagi mengekalkan kesegaran daging. Misalnya pelanggan seperti Cold Storage dan Jaya Jusco mahukan 'fresh or aged meat' sementara pelanggan biasa berminat dengan daging sejuk beku.

Mengggunakan jenama Gemas Gold, NFC memasarkan produknya di pasar basah di mana pelanggan boleh mendapatkan produk daging yang berkualiti tinggi dan mampu dibeli oleh semua golongan masyarakat. Bagaimanapun tidak lengkap industri ternakan tanpa produk tambah nilai dan NFC sedang merancang mengeluarkan produk hiliran daging penghujung tahun ini.

"Sekarang kilang memproses makanan berasaskan daging telah siap dan dijangka memasuki pasaran akhir tahun ini. Dijangka NFC akan memenuhi 20 peratus permintaan daging lembu apabila beroperasi penuh menjelang 2015," katanya.

Buat masa ini, NFC sedang memproses daging bagi acara Mantai Perdana menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada 17 dan 18 September ini.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai NFC boleh melayari WEB atau menghantar e-mel ke sales@nfc.com.my atau telefon ke 03-620 40398 atau faks ke 03-6204 3099.

KELANTAN MULAKAN LANGKAH AWAL REBUT PIALA MALAYSIA

Jaringan pasukan Kijang yang disempurnakan Mohd Faizol Che Noh dan Mohd Nizad Ayub membuktikan The Red Warrior’s mampu untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan antarabangsa.

Perlawanan persahabatan dengan Manchester City di pusat latihan mereka di Carrington, Manchester pada 18 Ogos lalu berkesudahan dengan keputusan di luar jangkaan apabila The Red Warrior’s berjaya menyempurnakan dua gol.

Walau tewas, 2-5, Ke-lantan telah membuktikan yang mereka turut berke-bolehan dan mampu memberi saingan kepada pasukan lawan.

Manakala pada 20 Ogos, pasukan Kelantan bertemu pula dengan pasukan Birmingham City. Pasukan tersebut menurunkan pasukan simpanan mereka berserta dengan beberapa pemain senior, termasuk Lee Bowyer.

Kijang ditewaskan lima gol tanpa balas ketika perlawanan yang diadakan di pusat latihan Birmingham City, Wast Hill Training Center, di pinggir bandar Birmingham.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, walaupun tewas dalam kedua-dua perlawanan tersebut, pemain Pahlawan Merah mendapat satu pengalaman yang amat berharga.

“Pendedahan seperti ini amat berguna dan jarang sekali diperolehi oleh pasukan dari Malaysia. Pasukan simpanan Manchester City dan Birmingham City mempamerkan satu permainan yang amat baik dan teratur sekali.

“Untuk makluman, pasukan kita berhadapan dengan sebuah pasukan yang dikenali malah Manchester City merupakan juara bertahan bagi Liga Simpanan England untuk musim yg lalu,” katanya.

Kini pasukan Kelantan telah memulakan sesi latihan bermula pada 1 September lalu sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 Sep-tember 2009.

“Dua orang pemain iaitu Nazrulerwan Makmur daripada Felda United dan Norhisyam Hassan daripada T-Team juga telah bersama-sama menjalani latihan. Mereka berdua telah dipinjam untuk pertandingan Piala Malaysia.

“Beberapa perlawanan persahabatan telah diatur untuk memantapkan lagi persediaan pasukan. Selepas ini, Kelantan akan menjalani latihan setiap hari di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V sehingga 18 September kecuali hari Ahad sebe-lum bercuti sempena sam-butan hari raya selama tiga hari,” katanya.

Menurutnya, latihan akan disambung semula bermula pada 22 September kerana Kelantan akan berhadapan dengan Pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 26 September akan datang.

Selepas itu, katanya, Kijang bakal bertemu dengan pasukan Kedah di tempat sendiri Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 29 September.

“Saya berharap agar peminat setia pasukan Kelantan akan hadir bagi memberikan sokongan yang sepenuhnya untuk memastikan pasukan kita mara ke pusingan yang seterusnya nanti,” katanya.

WANITA KANADA PROMOSI KOSMETIK HALAL

DUBAI - Seorang artis solek dari Kanada, Layla Mandi mempromosikan jenama kosmetik OnePure khusus untuk wanita Islam yang bimbang mengenai masalah alkohol dan sisa babi dalam peralatan persolekan.

Layla yang telah memeluk Islam itu memasarkan barangan kosmetik yang dihasilkannya untuk kegunaan wanita Islam. Menurut Layla, kosmetik halal itu setanding dengan kualiti bahan solek daripada jenama terkenal tetapi ia tidak mengandungi bahan-bahan yang ditegah oleh Islam.

"Terdapat bahan-bahan daripada babi dan alkohol dalam kebanyakan produk kosmetik menyebabkan umat Islam perlu mencari alternatif," kata Layla.

Bilangan produk kosmetik halal masih kecil di negara-negara Asia dan jarang terdapat di dunia Arab.

Menurut Layla, asid lemak dan gelatin yang digunakan dalam pelembap, syampu, topeng maskar dan gincu kebanyakannya diekstrak daripada babi.

OnePure dijamin tidak mempunyai barang-barang yang ditegah oleh Islam.

Sehingga kini, Layla menjualnya menerusi Internet manakala syarikat penerbangan Saudi Airlines menjadi pelanggan pertamanya sejak Julai lalu.

LIKU HIDUP KARTUNIS PETAI

Bekalan 25 sen ke Jepun bakar semangat kartunis, Roslan Kasim.

Baru saja bertapak sebagai kartunis pada awal 1990-an, personaliti ini terpilih mewakili negara ke Pameran Kartun Asean di Tokyo, Jepun. Selain merasa diri bertuah, kunjungan ke Jepun meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan hingga hari ini.

"Bagi budak kampung seperti saya, semuanya menjadi pengalaman pertama. Itulah pertama kali menaiki kapal terbang dan pertama kali jugalah berkunjung ke negara orang. Apa yang agak menyedihkan, ketika itu, wang yang ada pada saya cuma 25 sen saja. Saya beritahu masalah saya hadapi. Ujang berjanji akan datang dan menghantar wang kepada saya. Jadi, saya pun tunggulah di bilik VIP. Namun, malangnya, apabila Ujang sampai, beliau tidak dibenarkan masuk. Akhirnya, saya berlepas ke Jepun dengan berbekalkan wang saku 25 sen," kata kartunis Roslan Kasim yang cukup popular dengan nama penanya, Petai.

Terus bercerita, Roslan berkata, mujur sebelum berangkat ke Jepun, beliau menulis surat kepada peminat yang sedang menuntut di negara matahari terbit itu bagi memaklumkan kedatangannya.

"Merekalah yang membantu sebelum saya menerima wang saku dari pihak penganjur. Nasib baik, jika tidak, terkandaslah saya di Jepun," cerita kartunis yang popular dengan siri kartun Loose seperti Dukun Petai, Jerky Jokes dan De Putet ini. Kartun berbentuk Loose yang dihasilkannya mudah menarik minat penggemar pelbagai kaum. Ini kerana penceritaannya lebih banyak disampaikan melalui lukisan berbanding dialog.

Ditanya bagaimana beliau meningkatkan tahap kerjaya dan bertahan hingga hari ini, Roslan berkata :

"Satu prinsip yang saya pegang sejak dulu ialah semangat yang ada dalam diri. Jika kita betul-betul rajin, betul-betul berusaha, kita akan dapat apa yang kita hendak. Ini kerana bidang kreatif ada banyak cabang. Semuanya berbalik kepada diri kita untuk memilih cabang yang mana untuk kita manfaatkan bakat yang ada," ujar beliau.

Bagaimana anda boleh terbabit dalam bidang ini?

Dulu saya tidak perasan bahawa saya mempunyai bakat melukis kartun. Pertama kali mengikut rakan kelas melukis di atas batu, terus datang minat dalam diri untuk melukis.

Sejak itu, setiap hari saya berlatih melukis kartun. Ada antara lakaran yang dihasilkan, saya cuba menghantarnya ke majalah Gelihati dan Gila-Gila. Tapi banyak kali juga ditolak. Tapi akhirnya mereka terima juga.

Selepas beberapa lama menghantar karya secara sambilan iaitu sekitar 1994 dan 1995, saya diterima sebagai kartunis di majalah Ujang. Antara karya saya yang popular ketika itu ialah Pendekar Gunung Terkelendat; Dukun Petai dan Tour of Japan. Siri Tour of Japan saya hasilkan selepas pulang dari menghadiri pameran kartun Asean di Jepun.

Apakah anda menyimpan cita-cita menjadi kartunis sejak dulu lagi?

Boleh dikatakan begitulah. Saya memang berazam menjadi kartunis sejak belajar di sekolah lagi. Pelajaran pun agak terabai disebabkan terlalu leka melukis kartun.

Agaknya, ketika itu, minat sedang membuak-buak hingga kebanyakan masa diisi dengan melukis kartun. Apabila saya menghantar kartun yang dihasilkan ke syarikat penerbitan dan melihat kartunis ketika itu hidup mewah, makin bertambah keinginan saya menjadi kartunis.

Bagaimana anda memperoleh idea untuk mencipta watak dalam siri kartun anda?

Bagi kartun pendekar, ia datang dari insan yang saya gelar sifu, iaitu kartunis Ujang. Beliaulah yang mengambil saya bekerja dan mendidik saya dalam bidang ini.

Cerita siri ini ditulis Ujang manakala saya bertanggungjawab melukis kartunnya. Bagi Siri Tour of Japan, Dukun Petai dan beberapa yang lain, saya hasilkan sendiri secara keseluruhan. Watak seperti dukun dan penghulu dalam karya yang dihasilkan lebih sinonim dengan diri saya yang membesar dalam suasana kampung. Jadi, idea lebih mudah untuk diperoleh. Bagi siri De Putet yang berkisar mengenai lanun angkasa, ia datang daripada imaginasi sendiri.

Selain kartun di majalah humor, apa lagi karya yang pernah anda hasilkan?

Beberapa tahun lalu, saya terbabit dalam penerbitan buku mengenai tarikan pelancongan di Melaka yang disampaikan dalam bentuk kartun. Pengalaman menghasilkan penerbitan seperti ini agak berlainan dengan kerja saya sebelum ini. Ini kerana saya perlu melawat ke kawasan tarikan pelancong, melihat apa yang menarik, menemubual mereka yang ada di situ serta mencatat fakta sejarahnya. Ini semua dilakukan sebelum diterjemahkan dalam bentuk kartun. Ini nyata berbeza dengan karya kartun yang lebih bebas untuk dihasilkan.

Apakah subjek yang anda gemar paparkan dalam karya kartun anda?

Macam-macam. Apa yang lahir di fikiran, itulah yang saya sampaikan dalam kartun. Saya cuba mengelak menyentuh isu serius seperti politik dan agama. Tidak semua kartunis boleh memainkan isu seumpama itu dengan baik.

Apakah anda pernah menghadapi mental-blocked dalam berkarya? Bagaimana anda mengatasinya?

Ada juga. Kadang-kadang apabila sampai ke tahap itu, begitu sukar untuk kita mengeluarkan idea. Bagi saya, ia perkara normal. Jika ia berlaku, saya akan mengambil masa untuk berehat di rumah dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Dalam tempoh ini, saya akan lupakan sebentar soal kerja. Ini bergantung kepada situasi kartunis itu sendiri. Saya pernah mendengar ada kartunin sebulan 'bercuti' daripada melukis kartun. Maklumlah, hari-hari perlu memerah idea untuk melukis kartun hingga kita kekeringan idea.

Adakah anda perlu berada dalam persekitaran tertentu ketika berkarya? Adakah anda menganggap deadline mempengaruhi tahap kreativiti anda?

Saya lebih suka melukis kartun di rumah. Waktu malam, saya akan duduk di meja kerja dan menyiapkan kartun. Mengenai deadline pula, bagi saya, ia tidak akan membataskan kreativiti kartunis. Ini kerana kebiasaannya, mereka sudah diberikan tugasan kerja seminggu atau dua minggu lebih awal. Jadi, ia terpulang kepada perancangan masing-masing.

Dalam menerbitkan majalah humor, apakah topik karya ditetapkan oleh pengarah penerbitan?

Selalunya, kartunis bebas menghantar karya mengikut idea mereka. Bagi kartunis baru, selalunya saya akan beri sedikit panduan kepada mereka manakala kartunis yang berpengalaman, mereka sudah tahu apa yang diperlukan. Karya ditolak dan perlu dibaiki adalah proses biasa dalam penerbitan kartun. Ada juga karya yang dihantar dan ditolak terus.

Apa peluang yang ada dalam kerjaya kartunis dan industri kartun itu sendiri?

Persaingan makin bertambah dalam industri ini. Jadi, kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Namun, kita tidak boleh membuat keputusan terburu-buru kerana takut tersalah langkah.

Bagi kartunis pula, peluang untuk mereka memajukan diri memang banyak. Cuma mereka yang perlu peka dengan peluang yang ada dan memanfaatkannya sebaik mungkin. Ramai kartunis sekarang berada pada tahap yang baik dalam karier mereka.

Pernah terfikir untuk bersara?

Setakat ini belum lagi. Memang industri ini ada turun naiknya. Tapi bagi saya, mengapa perlu berputus asa, sedangkan bakat dan kebolehan yang dimiliki masih boleh mendatangkan sumber kepada kita. Banyak cabang kreatif yang boleh kita curahkan bakat kita selain kartun. Apa yang penting ialah mencari peluang dan lakukan yang terbaik.

PROFIL : Petai

* Nama : Roslan Kasim
* Tarikh lahir : 30 Oktober 1971
* Asal : Melaka
* Laman web : www.petainetwork.blogspot.com