WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

TANAMAN KOKO TAMBAH PENDAPATAN

Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi Lembaga Koko Malaysia (LKM), Sapiyah Subali berkata, harga komoditi koko di pasaran pada masa sekarang berjumlah RM10 sekilogram.
Pekebun kecil digalakkan menanam koko kerana ia mampu memberikan pendapatan sampingan yang lumayan. Menurutnya, pekebun boleh menanam koko sebagai tanaman selingan samaada di bawah pokok kelapa selain hasilnya boleh dituai selepas tiga tahun.

“Pada masa kini, bantuan turut diberi kepada pekebun yang berminat mengusahakan tanaman ini terutama dari segi input pertanian. LKM sentiasa menggalakkan pekebun yang berminat bagi tujuan tanaman koko, memproses dan memasarkannya,”katanya. Sapiyah berkata, kursus kemahiran turut disediakan bagi mengalakkan penanaman itu.

“Kursus wajib itu merupakan persediaan kepada pekebun supaya mereka memperoleh ilmu dan maklumat dalam mengusahakan tanaman ini. Kebiasaannya kursus yang dijalankan membabitkan kelompok yang terdiri daripada 20 peserta,”katanya. Beliau berkata, minat menanam koko kini semakin meningkat terutama dalam kalangan golongan muda di Sabah dan Sarawak.

“Diharapkan minat mereka ini akan terus subur supaya permintaan terhadap komoditi ini dapat penuhi,”katanya.

GAJI PEGAWAI ATM DIPOTONG 10 %

Semua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula daripada pangkat Leftenan Muda dan ke atas serta berkeluarga dikenakan potongan gaji 10 peratus berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gaji yang dipotong menerusi Peruntukan Paksa ATM itu yang dikreditkan ke dalam akaun isteri bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga pegawai berkenaan. Beliau berkata, cadangan melaksanakan pemotongan gaji terhadap pegawai ATM itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera sebelum ini.

“Ini adalah satu bentuk jaminan dan keprihatinan kita kepada keluarga anggota dan pegawai kerana kita terima banyak laporan ada anggota dan pegawai yang buat pinjaman sehingga tidak mampu menanggung ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Pertahanan sempena Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan di sini hari ini. Katanya, potongan gaji tersebut dibuat daripada gaji pokok semasa setiap pegawai. Ahmad Zahid berkata, potongan gaji tersebut yang dikenali sebagai Peruntukan Paksa telah diperkenalkan oleh ATM pada 1975 ke atas anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai ganti kepada elaun perkahwinan.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab tuduhan akhbar tabloid sebuah parti politik dan blog mengenai adanya kecacatan dalam persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal baru-baru ini.

Menurut beliau, ia bukan isu besar memandangkan persaraan Abdul Aziz mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada mesyuarat MAT ke-484 Ogos lalu. Beliau berkata, majlis perpisahan bekas Panglima Angkatan Tentera itu juga telah diatur tanpa masalah malah Abdul Aziz sendiri menyatakan hanya mahukan majlis perpisahan sederhana.

“Memandangkan tarikh persaraan beliau jatuh pada bulan Ramadan, beliau mahu majlis perpisahan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu tuduhan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu itu semata-mata untuk menjadikannya isu besar adalah tidak benar sekali,” katanya.

Ditanya adakah beliau kecewa terdapat segelintir pihak terutama dari parti pembangkang yang memanipulasi isu-isu dalam ATM, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak merasa kecewa.

TOKOH ILMUWAN 2010

Selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi.

"Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita," katanya pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi majlis bertema "Bahasa Jiwa Bangsa" itu kerana terdapat pelbagai kaum yang hidup penuh harmoni dan dapat menjadi ikon konsep 1Malaysia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang bulan ini memberikan kesempatan kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan.

"Kerajaan juga akan memperkenalkan Anugerah Tokoh Ilmuwan Negara mulai tahun depan sebagai satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi," kata Muhyiddin.

Katanya anugerah tersebut akan disampaikan kepada penerima yang layak sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Beliau berkata, keyakinan terhadap keupayaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan adalah berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan sedia ada yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara selama ini.

"Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset," katanya sambil merujuk kepada pelaksanaan dasar baru dalam sistem pendidikan bagi memartabatkan bahasa Malaysia di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan akhirnya akan pupus," katanya.

Muhyiddin meminta institusi pengajian tinggi, agensi pelaksanaan dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan ilmuwan berkerjasama menghasilkan lebih banyak karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi dan bermutu tinggi.

Di samping itu, katanya, usahasama strategik dengan masyarakat penutur bahasa Melayu di Indonesia, Brunei dan Singapura boleh diwujudkan untuk menyemarakkan lagi penggunaannya sebagai bahasa ilmu.

Beliau berkata, ada peluang yang baik untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam lingkungan yang lebih luas berikutan kedudukan bahasa Melayu pada tempat kelima sebagai bahasa utama dunia dengan bilangan penutur seramai 300 juta orang pada masa kini.

MICROSOFT SEKAT AKSES KE HOTMAIL

Microsoft menyekat akses kepada beribu-ribu akaun Hotmail sebagai tindak balas terhadap penggodam komputer yang mencuri maklumat kata laluan dan menyiarkannya di Internet.

Penyangak siber dipercayai menggunakan taktik phishing untuk memperdayakan pengguna perkhidmatan e-mel percuma Microsoft itu supaya mendedahkan maklumat tentang akaun dan kata laluan mereka, menurut syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu semalam.

"Kami menyedari maklumat peribadi sebilangan pelanggan Windows Live Hotmail diperoleh secara haram menerusi skim phishing dan didedahkan di sebuah laman web. Kami telah mengambil langkah untuk menyekat akses kepada semua akaun yang terdedah dan menyediakan sumber bagi membantu pengguna terlibat mendapat balik akaun mereka," menurut Microsoft.

Syarikat tersebut mendapat tahu tentang masalah itu pada hujung minggu selepas maklumat akaun Hotmail 'beberapa ribu' pengguna, ramai antaranya dilaporkan di Eropah, dipaparkan di sebuah laman web.

Phishing adalah masalah yang membelenggu pengguna Internet dan melibatkan penggunaan apa yang disebut oleh penggodam sebagai 'kejuruteraan sosial' untuk memperdayakan pengguna supaya mendedahkan maklumat di Internet atau memuat turun virus perosak ke dalam komputer.

Taktik phishing termasuk mengirim lampiran e-mel tercemar yang menawarkan isi kandungan menarik seperti gambar seksi selebriti dan menarik pengguna supaya membuka laman web palsu yang kelihatan tidak ubah seperti laman web sah.

"Insiden ini tidak melibatkan kecurian data dalaman Microsoft," jelas firma teknologi berpangkalan di Redmond, Washington itu.

Microsoft juga menasihatkan pengguna Hotmail supaya mengubah kata laluan akaun mereka setiap 90 hari.

SYEIKH AL-AZHAR HARAMKAN PURDAH

Syeikh Al-Azhar, Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pelajar perempuan yang memakai purdah daripada memasuki institusi-institusi pendidikan di bawah Universiti al-Azhar.

Seorang pegawai keselamatan semalam berkata, polis telah menerima arahan secara lisan supaya menghalang pelajar perempuan yang berkelubung daripada memasuki institusi-institusi al-Azhar termasuk sekolah menengah dan tinggi, serta asrama beberapa universiti di Kaherah. Pegawai itu berkata, pengharaman tersebut adalah atas sebab keselamatan.

Langkah itu dipercayai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membendung manifestasi Islam yang dianggap ultrakonservatif di Mesir. Sungguhpun majoriti wanita Mesir memakai tudung, hanya segelintir yang memakai purdah atau dikenali di sini sebagai niqab yang menutup muka dan lebih kerap ditemui di Arab Saudi yang mengamalkan ajaran Wahhabi.

Kebanyakan ulama berpendapat purdah tidak wajib tetapi hanyalah adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi sebelum kedatangan Islam. Rancangan Tantawi itu diumumkan semasa beliau menyuruh seorang pelajar sekolah menengah di sebuah kelas yang dikunjunginya awal minggu ini, supaya menanggalkan niqabnya.

Syeikh itu melawat sekolah-sekolah al-Azhar pada permulaan tahun akademik untuk memeriksa langkah yang diambil bagi membendung wabak selesema babi, menurut butir-butir lawatan yang disiarkan semalam oleh akhbar bebas, Al-Masry Al-Youm. Tantawi dengan tegas memberitahu gadis berkenaan bahawa niqab 'tidak ada kena-mengena dengan Islam dan hanya satu adat resam' dan memaksanya menanggalkan niqabnya. Beliau kemudian mengumumkan akan mengeluarkan arahan tidak lama lagi bagi mengharamkan pelajar perempuan yang memakai niqab daripada memasuki sekolah-sekolah al-Azhar.

"Niqab tidak ada kaitan dengan Islam. Saya lebih arif tentang agama daripada kamu dan ibu bapa kamu," kata Tantawi kepada pelajar berkenaan.

Seorang sarjana di sebuah pusat penyelidikan al-Azhar, Abdel Moati Bayoumi berkata, para sarjana al-Azhar akan menyokong Tantawi jika beliau mengeluarkan arahan tersebut. Bagaimanapun pengkritik langkah itu berkata, pengharaman niqab tidak akan dilaksanakan.

Arahan sebelum ini oleh Kementerian Wakaf untuk mengharamkan penceramah wanita yang memakai niqab daripada memasuki masjid dibantah keras. Seorang penyelidik yang dihalang daripada memasuki perpustakaan Universiti Amerika di sini pada 2001 kerana memakai niqab membawa kesnya ke Mahkamah Agung Mesir dan akhirnya menang. Mahkamah memutuskan pengharaman menyeluruh ke atas niqab menyalahi perlembagaan.

ARAB SAUDI BERSEDIA SAMBUT JEMAAH HAJI

Arab Saudi sudah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan kira-kira tiga juta jemaah haji ke kota suci pada Disember ini, sekalipun langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema babi dipertingkatkan.

Pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Ziad Ahmed Memish hari ini berkata, meskipun langkah berjaga-jaga terhadap virus influenza A (H1N1) pada tahap enam, 'Arab Saudi mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan besar di Mekah dan Madinah'. Beliau berkata demikian di luar jadual utama mesyuarat jawatankuasa serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Mediterranean Timur yang berlangsung di sini sehingga Khamis ini. Langkah untuk menangani ancaman selesema babi semasa ibadat haji adalah antara topik utama pada persidangan yang dihadiri oleh 22 menteri kesihatan dan ketua WHO, Margaret Chan.

"Kami buat masa ini mempunyai lebih empat juta dos vaksin dan hospital-hospital kami dilengkapi peralatan yang secukupnya untuk menangani selesema babi," kata Ziad. Beliau berkata, Arab Saudi telah melepasi ujian selesema babi semasa jemaah melakukan umrah pada bulan Ramadan yang lalu.

"Kami hanya menemui 26 kes jangkitan di kalangan dua juta jemaah," katanya.

Kira-kira dua juta jemaah asing dan kemungkinan seramai itu jemaah Saudi dijangka membanjiri Mekah dan Madinah semasa haji, yang berlangsung di tengah-tengah musim selesema di hemisfera utara. Pihak berkuasa Saudi menggesa jemaah haji mendapatkan suntikan selesema biasa dan jika vaksin selesema babi sempat disediakan, mendapatkan suntikan berkenaan juga.

Pegawai kesihatan di dunia Arab pada mesyuarat di Kaherah pada Julai lalu menasihatkan mereka yang berusia 65 tahun ke atas, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun serta pesakit kronik supaya tidak mengerjakan haji pada tahun ini. Arab Saudi sehingga kini melaporkan 9,000 kes selesema babi dan 35 kematian akibat penyakit itu, antara paras jangkitan tertinggi di dunia Arab.

MUZIUM WAU DI KELANTAN

Persatuan Pelayang Negeri Kelantan menyarankan kerajaan negeri supaya mewujudkan sebuah muzium wau bagi memelihara khazanah tradisi yang menjadi kebanggaan negeri dan negara.

Yang Dipertuanya, Nik Ariff Datuk Nik Hassan berkata, kerajaan negeri tidak harus melihat langkah seumpama itu sebagai suatu yang sia-sia sebelum negeri-negeri lain memulakannya.

‘‘Ia boleh membantu menambahkan lagi produk tarikan pelancongan di samping melengkapkan gelaran kota budaya di samping menyuburkan lagi permainan warisan di samping meningkatkan ekonomi penggiatnya melalui hasil jualan cenderamata. Sejak berkurun wau amat rapat dengan masyarakat Kelantan malah diangkat menjadi salah satu khazanah tradisi negeri selain mak yong, dikir barat, kertuk dan gasing,” katanya.

Katanya, kebanyakan wau tradisional dikaitkan dengan asalnya dari Kelantan iaitu wau bulan, wau kekek, wau puyuh, wau kucing, wau kebayak dan jala budi yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan buatannya. Wau kucing juga turut dipilih sebagai lambang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) manakala para pembuat wau yang mahir kebanyakannya dari Pantai Timur. Ironi, muzium seumpama itu sudah wujud di Johor iaitu Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, sedangkan hanya wau merak dikaitkan dengan tradisi negeri itu, namun ia cukup aktif dalam pelbagai bentuk penganjuran berkaitan dengan wau,” ujarnya.

Katanya, sebuah muzium wau bertaraf dunia boleh diwujudkan sekiranya kerajaan negeri mengambil pendekatan kreatif dalam menjayakan usaha itu. Beliau menarik perhatian, pihak persatuan sendiri telah lama merancang mewujudkan muzium tersebut namun kekangan kewangan menjadi halangannya.

‘‘Persatuan berharap pihak kerajaan mampu merealisasikan usaha itu dan muzium boleh dijadikan aset untuk menjana ekonomi sekiranya ditadbirkan dengan berkesan,” ujarnya.

Katanya, dari segi pengisiannya, pihak persatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk menggerakkan aktiviti setempat, antaranya mengadakan bengkel asas membuat wau untuk mendidik generasi muda mengenal sejarah dan pembuatannya.

‘‘Bilik pameran pula akan diisi dengan hasil rekaan seni dan kreativiti wau tempatan oleh pembuat tersohor di samping himpunan layang-layang daripada seluruh dunia. Berdasarkan lawatan saya ke beberapa buah negara untuk memperkenalkan wau tempatan melalui pameran dan pertandingan, rata-rata penggiat bertanya kenapa di negeri ini masih belum wujud muzium wau.

‘‘Sekiranya muzium tersebut dibina, penggiat di negara-negara tersebut berjanji akan menyumbang layang-layang mereka untuk dipamerkan,” katanya.

Katanya, hasil lawatan ke London beberapa tahun lalu juga telah menemukannya dengan beberapa peminat wau yang memberitahunya wau rekaan negara ini telah diketahui kewujudannya lebih 400 tahun lalu.

SEJARAH TAMAN SERENDAH SEKEBUN BUNGA

Tidak ramai yang menyedari kewujudan Taman Serendah Sekebun Bunga, peninggalan Cik Siti Wan Kembang - wanita yang menerajui pemerintahan Kelantan pada masa silam. Taman ini mungkin boleh mengimbau bayangan terhadap Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong yang kisah mereka disaluti mitos dan legenda itu.

Terletak di kawasan agak berbukit dan terdapat sebuah kolam, di kelilingi pohon menghijau dan udara yang nyaman, baginda dan Puteri Saadong dikatakan menghabiskan waktu terluang di sini. Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong yang menjadi tempat permainan dan bersukaria baginda dan anak angkatnya Puteri Saadong merupakan sebahagian daripada kota yang dibina raja keenam Kelantan itu di satu kawasan hutan yang dipenuhi pokok tegayong.

Cik Siti Wan Kembang membina Kota Tegayong sebagai pusat pentadbiran baru baginda selepas Gunung Chintawangsa di kawasan pedalaman Kelantan. Baginda yang memerintah negeri dari 1610 sehingga 1677 membuka Kota Tegayong setelah mudik ke hilir Sungai Kelantan apabila bersahabat dengan Raja Jembal.

Pakar sejarah mengatakan baginda kembali semula ke Gunung Chintawangsa di hujung pemerintahannya dan kisah mengenai Cik Siti Wan Kembang lenyap di situ. Peninggalannya hanyalah tapak sebuah taman purba yang wujud pada abad ke-17, selain keindahan nama timangan bagi sebuah negeri dan pemerintah wanita tersohor.

Tapaknya berdekatan Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, 25 kilometer dari bandar Kota Bharu dan kira-kira 500 meter dari jalan utama, namun tiada petunjuk untuk ke situ. Cuma terdapat sebuah pasar mini yang memakai nama Sekebun Bunga boleh mengingatkan bahawa anda sudah semakin hampir untuk ke tempat yang dituju.

Taman itu dimasukkan dalam senarai tempat menarik untuk dikunjungi dalam laman web Majlis Daerah Ketereh namun anda tidak harus mudah terpengaruh kerana pihak berkuasa tempatan itu sendiri seolah-olah tidak menjengah ke situ.

Jika anda membayangkan suatu yang indah dengan beraneka bunga dan kehijauan yang mententeramkan, lupakan sahaja buat masa ini, apa yang wujud hanyalah suatu yang menyakitkan pandangan. Tinjauan yang dilakukan ke tapak khusus seluas 700 meter persegi kawasan yang dianggap kini terbiar dan tidak lagi menggambarkan ia sebagai sebuah taman.

Selain binaan Jong Suluk Petalawati di jalan masuk sebagai tanda ada sesuatu yang istimewa di sebalik hutan pokok tegayong itu, terdapat sebuah wakaf di taman itu. Ketika seakan ditelan hutan yang mengelilinginya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menjadikan kawasan persekitaran sebagai tempat yang selayaknya untuk membuang sampah.

Mujur masih ada segelintir yang prihatin cuba menyelamatkan warisan Cik Siti Wan Kembang daripada terus lenyap begitu sahaja termasuk Mohd. Sidek Mat Husin, 40, seorang peniaga yang mengawasi taman itu sejak 2007. Dia diminta oleh arwah sepupunya Hashim Isa, penjaga asal lokasi bersejarah tersebut.

"Baru-baru ini ada kontraktor pembinaan yang tidak bertanggungjawab masuk dengan lori membuang sampah di tanah lapang di jalan masuk ke taman ini. Jadi pada bulan puasa lepas saya dan beberapa rakan mengumpul duit dan pasang besi penghalang bagi mengelak lori besar dari masuk," katanya.

Menurut Mohd. Sidek, sepupunya yang pernah menjadi tok dalang muda wayang kulit di bawah naungan 'Dollah Baju Merah' mula menjaga kawasan itu sepuluh tahun lalu sebelum meninggal dunia dua tahun lepas.

"Abang Hashim tahu sejarah taman ini. Jadi selepas pencen kerja dengan Jabatan Kerja Raya, atas rasa tanggungjawab, dia sepenuh masa menjaganya kerana tidak mahu anak cucu hilang sejarah negeri," katanya.

Mohd. Sidek menceritakan, semasa hayatnya, Hashim akan mengadakan jamuan pada setiap Hari Keputeraan Sultan Kelantan dan Hari Kemerdekaan bersama-sama peminat sejarah Cik Siti Wan Kembang di situ.

"Hashim yang juga pengamal perubatan tradisional menjaga kebersihan taman dan mengawasi pengunjung daripada melakukan perkara tidak senonoh di situ," ujar beliau. Tambahnya, semasa sepupunya masih hidup, arwah menjaga tempat itu sepenuh masa tetapi tugas yang diwarisi tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kerana urusan perniagaan.

"Ada masa saya datang untuk membersihkan kawasan seperti membuang semak samun di kawasan taman. Tapi kudrat saya tidaklah sekuat mana. Kalau ada bantuan daripada majlis daerah mengurus tempat ini adalah lebih baik. Bimbang lama-lama nanti kalau saya tidak sempat, makin terbiar pula. Alhamdulillah walaupun kawasan ini tersembunyi, belum ada kes lagi orang melakukan kerja tak senonoh seperti menagih dadah atau maksiat," ujarnya.

Walaupun demikian, Mohd. Sidek berkata setiap minggu ada saja pengunjung yang datang ke situ untuk mandi di kolam taman tersebut kononnya dapat mengubati pelbagai penyakit seperti buatan orang atau untuk mudah mendapat jodoh. Mohd Sidek. mendakwa harta karun juga pernah dijumpai di situ namun, katanya, ia mungkin mempunyai kaitan orang kampung menyembunyikan barangan berharga mereka semasa Jepun menyerang Tanah Melayu.

Seorang penduduk di kampung berdekatan, Noorafiza Mohd. Azmi, 22, berkata, dia tidak hairan masih ada orang mengunjungi taman tersebut walaupun agak terbiar kerana suasananya yang nyaman.

"Kawasannya sejuk sahaja. Tapi ada juga orang datang ambil air kolam untuk mengubat penyakit gatal kulit," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suri Mohd. Noor, 22, pula berkata, dia sekurang-kurangnya sebulan sekali ke kawasan cerang itu.

"Saya akan pergi bersama kawan mengambil angin. Ada macam-macam cerita mengenai kolam itu. Khabarnya ada 'buaya putih' yang memunculkan diri kepada orang tertentu sahaja," katanya.

PETRONAS MITCO TERIMA TEMPAHAN RM 18 JUTA

Petronas Mitco, anak syarikat Petronas yang terbabit dalam pemerolehan, pemasaran dan perdagangan produk dari loji petrokimia syarikat minyak nasional itu, menerima tempahan RM18 juta untuk membekalkan Etilina Diklorida.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, yang berada di Doha sejak Ahad di dalam rangka lawatan seminggu ke Qatar, Egypt dan Arab Saudi, berkata Petronas Mitco juga berpotensi menjual lagi produk itu pada nilai RM35 juta. Dua pegawai kanan Petronas Mitco turut menyertai sesi temu niaga sempena lawatan itu. Mustapa tidak menjelas lanjut mengenai urus niaga itu, tetapi beliau berkata, potensi perniagaan yang ditawarkan kepada usahawan Malaysia di rantau itu cukup luas.

Ini adalah rombongan perdagangan dan pelaburan keempat yang beliau ketuai dalam tempoh lima bulan, dan disertai sembilan syarikat termasuk Muhibbah Engineering yang terbabit dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha yang baru dan Scomi Engineering yang berhasrat mempromosi teknologi monorelnya. Mustapa turut mengadakan dialog dengan 120 daripada 1,300 orang profesional rakyat Malaysia yang bekerja seperti sebagai peguam, jurutera dan perunding di negara Arab ini.

“Kita berbangga kerana rakyat Malaysia di sini memang mendapat tempat di Qatar dan beberapa orang daripada mereka bekerja dengan Qatar Holdings,” katanya.

Qatar Holdings adalah cabang pelaburan strategik dan langsung kerajaan Qatar dan adalah sebuah anak syarikat milik penuh Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar.

"Ini menunjukkan bahawa modal insan Malaysia amat berkualiti sehingga mendapat sanjungan dari kerajaan dan rakyat Qatar. Mereka juga memainkan peranan penting dan harus menjadi duta kecil, membantu kedutaan kita di sini untuk mempromosikan Malaysia dan memberi laluan kepada syarikat Malaysia," katanya. Mustapa berkata, prospek untuk meningkatkan hubungan antara Qatar dan Malaysia akan dapat dipermudahkan lagi dengan dengan hubungan rapat yang telah terjalin, dan hubungan peribadi yang sedang dipupuk diharap akan dapat meningkatkan pelaburan negara itu di negara ini.

Setakat ini, pelaburan Qatar yang terbesar di Malaysia adalah menerusi 70 peratus ekuiti dalam Asian Finance Bank dan 49 peratus dalam Pavilion Mall di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Mustapa mengakui sementara ahli profesional rakyat Malaysia mendapat pekerjaan yang baik dan berjaya di Qatar, ada syarikat Malaysia yang kurang berjaya kerana persekitarannya yang amat kompetitif dan risiko dalam perniagaan tetap ada.

"Ini lumrah perniagaan dan ini bukan sesuatu yang membimbangkan kita. Kita tidak boleh mengharapkan laluan mudah belaka,” katanya.

FAJR CAPITAL : FIRMA PELABURAN ISLAM

Fajr Capital Ltd, firma pelaburan Islam yang turut dimiliki Khazanah Nasional Bhd dilancarkan semalam dengan tumpuan pelaburannya dalam bidang perkhidmatan kewa-ngan di negara Islam serta bidang pertumbuhan baru yang berkaitan. Khazanah melabur AS$150 juta (RM525 juta) bagi 25 peratus ekuiti dalam firma pelaburan yang mempunyai modal awal AS$600 juta (RM2.058 bilion) itu.

Pemegang saham lain dalam firma pelaburan berkenaan ialah Agensi Pelaburan Brunei, Majlis Pelaburan Abu Dhabi dan sebuah syarikat persendirian dari Arab Saudi, Masic yang dimiliki Al Subeaei Group.

Fajr Capital dalam kenyataannya berkata, firma pelaburan itu yang beribu pejabat di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai dan mempunyai pejabat di Kuala Lumpur serta London akan bertindak sebagai pelabur yang bertanggungjawab dan komited dalam aspek pembangunan masyarakat tempat di mana ia melabur.

“Bagi tujuan itu, Fajr Capital telah melantik penyelia syariah bebas bagi memastikan ia beroperasi sejajar prinsip undang-undang serta etika Islam,” katanya.

Mengulas pembabitan Khazanah dalam Fajr Capital, Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar dalam kenyataannya berkata, ia bermatlamat menyediakan hubungan lebih erat antara Malaysia dengan negara Islam utama, menyediakan asas bagi kerjasama ekonomi lebih kukuh dan menyokong aspirasi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). Katanya, ia juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap perkhidmatan kewangan Islam.

“Perkongsian ini melambangkan hubungan semakin erat antara Malaysia dan Asia Barat serta dunia Islam secara keseluruhannya yang menjadi sumber modal penting dan suatu pasaran yang menarik di mana kita mungkin melabur,” katanya yang juga seorang pengarah Fajr Capital.

Fajr dalam kenyataannya berkata, Pengerusi Organisasi Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), Sheikh Ebrahim Khalifa Al-Khalifa yang juga berpengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan Islam dilantik sebagai pengerusinya.

Katanya, beliau akan dibantu kumpulan pengurusan yang juga terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang perkhidmatan kewangan Islam diketuai bekas pengasas dan Ketua Eksekutif HSBC Amanah, Iqbal Khan, sebagai ketua eksekutif.

Eksekutif kanannya yang lain termasuk beberapa pakar bidang perkhidmatan kewangan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu dan pernah bekerja di bank terkemuka dunia seperti di HSBC, Citigroup, Bank Islam Malaysia Bhd dan institusi terkemuka lain. Firma pelaburan itu turut menegaskan bahawa profil pemegang sahamnya yang terdiri daripada institusi pelaburan terkemuka serantau akan memberikan kelebihan kepadanya untuk bersaing.

BANK RAKYAT YAKIN KUASAI PAJAK GADAI ISLAM

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) yakin penguasaan pasarannya dalam industri pajak gadai Islam bakal meningkat sehingga 50 peratus tidak lama lagi menerusi pelaksanaan program francais cawangan pajak gadai Islam miliknya, Ar-Rahnu X’Change, secara agresif bermula tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata program yang diuruskan anak syarikat milik penuhnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS) itu, turut dilihat sebagai cara berkesan bank itu mengembangkan perniagaan pajak gadai Islamnya di seluruh negara. Ketika ini, katanya, perniagaan pajak gadai Bank Rakyat menerusi rangkaian Ar-Rahnu X’Change hanya menguasai kira-kira 25 peratus keseluruhan pasaran pajak gadai Islam di Malaysia yang dianggarkan bernilai RM2 bilion.

“Justeru, pelaksanaan program francais yang baru diperkenalkan dengan kerjasama badan koperasi ini dilihat landasan terbaik bagi kami mengembangkan perniagaan ini secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian rangkaian terbaru francais Ar-Rahnu X’Change milik Koperasi Pekerja Jabatan Perdana Menteri Malaysia Bhd (KPJPMB) di Semenyih, oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, semalam. Hadir sama Pengerusi KPJPMB, Datuk Mohd Zahir Osman.

Bagi mencapai penguasaan pasaran itu, Kamaruzaman berkata, RMS mensasar membuka lima rangkaian francais Ar-Rahnu X’Change yang akan dimiliki dan diuruskan oleh koperasi, setiap tahun. Dalam masa terdekat ini saja, katanya, RMS akan membuka empat lagi unit rangkaian Ar-Rahnu X’Change yang mana dua dibuka tahun ini manakala baki dua lagi seawal tahun depan.

“Empat lokasi berkenaan adalah di Taman Sri Muda, Shah Alam; Kota Kinabalu, Sabah; Kota Bahru, Kelantan; dan Cheras,” katanya.

Sehingga kini, RMS menguruskan 15 rangkaian Ar-Rahnu X’Change yang mana tujuh daripadanya milik Bank Rakyat manakala lapan dikendali secara francais. Dalam pada itu, Mohd Zahir berkata, Ar-Rahnu X’Change Semenyih mensasar merekodkan purata pengeluaran pinjaman sebanyak RM500,000 sebulan dengan sasaran pinjaman RM3 juta pada hujung tahun pertama beroperasi.