WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

USAHAWAN KOLEH KACANG DARI BACHOK

Khadijah Ibrahim, pemilik perusahaan koleh kacang yang berusia 62 tahun ini sudah puas merantau jauh dari kampung asalnya, Kampung Paya Teratai di Bachok. Wanita ini sudah banyak mencuba koleh kacang, tetapi selalunya beliau merasakan koleh kacang yang dijual tidak sesedap hasil buatan sendiri. Kerana itulah beliau sering membuat koleh kacang untuk dirinya, keluarga, jiran dan rakan-rakan.

"Tak sangka pula jiran dan kawan-kawan sukakan kuih itu biarpun ada yang tidak pernah merasainya sebelum ini. Dari situ mereka kemudian mula meminta saya membuat kuih itu untuk majlis kecil mereka, kemudian untuk juadah hari raya, bahkan pada hari-hari biasa juga ada yang menempah untuk dinikmati bersama keluarga," katanya.

Gembira melihat keenakan kuih kegemarannya disukai ramai, Khadijah kemudian berniaga koleh kacang secara kecil-kecilan dan mula menerima lebih banyak tempahan.

Tanpa menunggu waktu kelapangan atau cuti hujung minggu, Khadijah yang ketika itu menjadi pengurus sebuah syarikat komputer di Kuala Lumpur, mencari masa sendiri memenuhi permintaan rakan dan jiran yang menempah kuih berkenaan. Katanya, ketika itu masa dirasakan begitu berharga, selain melakukan pekerjaan tetap, saya seperti tidak menang tangan menerima tempahan daripada rakan rapat sehinggalah pelanggan yang tidak dikenali serata Kuala Lumpur.

Sungguhpun hampir 50 tahun menetap jauh dari negeri kelahiran Kelantan kerana menyambung pengajian dan mencari kehidupan sendiri, Khadijah tidak pernah lupa pulang menjenguk kampung. Asalkan memiliki waktu terluang beliau pasti pulang ke kampung biarpun sudah ketiadaan kedua ibu bapanya selain adik-beradiknya seramai tiga orang juga menetap di luar Kelantan.

Katanya setiap kali pulang ke kampungnya beliau merasakan ada sesuatu yang kurang di kampungnya. Tiada sebarang perubahan dalam rutin harian, iaitu penduduk lelaki melakukan kerja kampung dan kaum wanitanya duduk bersantai selepas menghabiskan kerja rumah.

"Setiap kali pulang ke kampung, saya melihat penduduk kampung ada banyak masa, suri rumah selepas melakukan tugas harian waktu petangnya akan duduk di bangku kayu berborak sesama jiran. Ketika itu saya terfikir jika ada peluang pekerjaan, mereka pasti tidak duduk-duduk sahaja kerana mereka juga perlukan pendapatan tambahan untuk membantu suami menyara keluarga," kata ibu kepada empat anak itu.

Beliau memikirkan untuk membantu memberi pendapatan sampingan kepada penduduk kampung yang kebanyakannya saudara-mara dan jirannya.

"Untuk mengubah kehidupan keseluruhan penduduk kampung mungkin saya tidak mampu, tetapi jika ada dua atau tiga orang yang dapat saya bantu itu sudah memadai buat permulaan," katanya sambil tersenyum.

Khadijah memulakan langkah baru dengan idea untuk mengembangkan resipi koleh kacangnya di kampung halaman sendiri. Menurutnya, idea itu dipersetujui saudara-mara dan jiran di kampungnya yang bersedia menyumbang tenaga.

"Sejak itu kuih koleh kacang mula dibuat di Kampung Paya Teratai dengan jiran tetangga dan penduduk kampung sebagai orang kuat di sebalik penghasilannya. Untuk tenaga yang mereka sumbangkan, saya hadiahkan mereka wang harian," kata Khadijah yang lebih selesa menggunakan perkataan hadiah daripada upah yang disifatkannya lebih lembut dan mesra.

Koleh kacang yang dihasilkan bukan sahaja dipasarkan di Kelantan, tetapi turut dibawa kepada pelanggan setianya ke Kuala Lumpur. Khadijah, yang memiliki dua diploma dan satu ijazah dalam bidang pertanian, pembangunan penyelidikan dan pendidikan kaunseling itu, tidak pernah lekang daripada idea untuk memajukan perniagaannya. Selepas beberapa lama mengusahakan koleh kacang, timbul inisiatif baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih mudah kepada pelanggan, sesuai dengan dunia moden kini yang memerlukan sesuatu yang ringkas dan mudah.

"Saya terfikir kalau sekadar jual kuih payah juga, koleh kacang bukannya dapat disimpan lama, bila terasa hendak makan, baru dibeli. Justeru itu saya merasakan perlu ada sesuatu yang lebih mudah untuk pelanggan simpan dan dibawa ke mana sahaja," katanya.

Dari situ timbul idea menghasilkan tepung koleh kacang untuk pelanggan yang ingin membuat sendiri kuih itu tetapi dengan cara yang mudah dan cepat. Tepung koleh kacang itu dibungkus dalam peket sederhana kecil dan sudah siap untuk diadun dengan ramuan khas yang hanya memerlukan masa di antara 7 sehingga 8 minit untuk dimasak menjadi kuih.

Menurut Khadijah, dengan bantuan Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (Iada) Kemasin Semerak, sebuah bengkel dibangunkan di kampungnya dan kini aktif beroperasi membuat kuih koleh kacang serta tepung koleh kacang. Produk itu kemudian dipasarkan di Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain.

Katanya dengan bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan yang membekalkan beberapa mesin, perusahaan beliau semakin berkembang dan lebih ramai penduduk kampung kini bekerja di situ. Khadijah yang sudah pun meletakkan jawatannya sebagai pengurus syarikat, kini mampu tersenyum bangga kerana hasratnya yang bukan sahaja mahu menjadi usahawan berjaya tetapi membantu penduduk kampungnya mencari pendapatan sampingan telah terlaksana.

Khadijah kini turut memiliki pusat pengumpulan dan pemasaran untuk menyimpan stok tepung koleh kacang di Danau Kota, Kuala Lumpur. Beliau kini merancang menghasilkan beberapa tepung khas lain untuk membuat pelbagai jenis kuih tradisional bagi memastikan kuih berkenaan tidak lapuk ditelan zaman.

"Hasrat saya hendak tambah beberapa jenis tepung membuat kuih lagi yang lebih ringkas dan mudah, antaranya apam dan kuih bakar," katanya.




AFF SUZUKI CUP 2010 [MALAYSIA 3-0 INDONESIA]

GOL PERTAMA


GOL KEDUA
Align Center
GOL KETIGA




SEMAKAN PANGGILAN TEMU DUGA KPLI JQAF 2011

Semakan Panggilan Temu Duga Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) dan KPLI j-QAF Ambilan Januari 2011 Anjuran Bahagian Pendidikan Guru





KESIMPULAN UNTUK SUKAN ASIA 2010

Jutaan ringgit sudah dibelanjakan dan banyak lagi bakal dibelanjakan. Sukan Asia 2010 Guangzhou mungkin pencapaian terbaik kontinjen negara tapi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak terbabit perlu menganalisis apakah pencapaian 9 emas, 18 perak, 14 gangsa setimpal dengan pelaburan yang dilakukan. Hakikatnya, kecuali hoki, skuasy, bola sepak, berbasikal, terjun, majoriti sukan Malaysia terlalu bergantung kepada mereka yang digelar kelompok senior.

BOLA SEPAK
Jika mengambil kira krisis kecederaan pemain melanda skuad bola sepak negara sebelum dan ketika bertanding di Sukan Asia, kejayaan melangkah ke pusingan kedua dalam tempoh 32 tahun wajar mendapat pujian.

Tanpa enam tonggak utama diketepikan sebelum ke Guangzhou, jurulatih kebangsaan, K Rajagobal bertambah pening apabila kapten Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani pula mengalami kecederaan ketika Malaysia mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan dalam perlawanan pertama kumpulan A.

Walaupun kekalahan Iran 1-3 pada pusingan kedua paling mengecewakan namun aksi menentang tuan rumah, China mungkin menjadi detik paling menarik untuk dikenang peminat negara apabila pengadil perlawanan Ben Williams dari Australia melayangkan tiga kad merah kepada pemain Malaysia.

Skuad negara yang dibarisi ramai pemain kurang berpengalaman termasuk tujuh pemain Harimau Muda tumpas 0-3 pada perlawanan itu dan kalah 0-2 kepada Jepun yang muncul juara kejohanan dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

Dengan aksi yang dipamerkan di Sukan Asia sememangnya tidak keterlaluan jika mengatakan skuad yang dibentuk K Rajagobal selepas memenangi Sukan Sea tahun lalu semakin menampakkan peningkatan namun mereka tidak boleh leka kerana pentas Piala AFF bulan depan menjadi ukuran sebenar kemampuan.

OLAHRAGA
Tanpa sasaran diletakkan, atlet olahraga negara pulang dari Guangzhou dengan tangan kosong. Harapan terbaik merangkul pingat disandarkan kepada jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei (gambar) namun dia hanya berupaya melakukan lompatan 2.15 meter di final untuk menduduki tempat kesembilan daripada 12 peserta. Ia pencapaian lebih buruk dicatat pemegang rekod kebangsaan 2.27m itu yang meraih tempat ketujuh di Doha pada 2006.

Satu lagi harapan musnah selepas ratu lompat bergalah, Roslinda Samsu gagal mengulangi pencapaian pingat perak empat tahun lalu apabila hanya menduduki tangga keempat dengan melepasi ketinggian 4m. sedangkan rekod kebangsaan miliknya 4.40m.

Sementara pelari senior, Noraseela Mohd Khalid yang menghabiskan hampir sepanjang masanya tahun ini untuk pulih daripada kecederaan nyata tidak berdaya dan berjaya ke peringkat akhir adalah yang terbaik boleh dilakukan.

Bagaimanapun pencapaian buruk atlet olahraga di Sukan Asia berbanding satu perak dan satu gangsa pada edisi sebelum ini bukanlah menghairankan memandangkan sukan ini lebih terkenal dengan kontroversi yang sering melanda Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

EKUESTRIAN
Penampilan Quzandria Nur Mahamad Fathil di Sukan Asia kali ini berjaya merangkul satu pingat perak acara ekuestrian dressage individu serta membantu pasukan dressage campuran meraih gangsa. Malah dia yang menunggang kuda diberi nama 'Handsome' berjaya mengatasi kehebatan abangnya, Qabil Ambak yang meraih gangsa dalam acara ekuestrian dressage individu.

Sekalipun skuad ekuestrian negara gagal meraih emas, pencapaian satu perak dan dua gangsa skuad sekurang-kurangnya dapat mengulangi rekod empat tahun lalu di Doha.

BOLA TAMPAR PANTAI
Gandingan Luk Teck Hua dan Beh Shun Thing tetap boleh berbangga apabila berjaya melakar sejarah menjadi pasangan pertama bola tampar pantai wanita mara ke separuh akhir buat julung kali di pentas Sukan Asia namun dihalang gandingan tuan rumah China, Huang Ying-Yue Yuan dengan keputusan 7-21, 13-21.

Aksi Teck Hua dan Shun Ting kemudian longlai dalam penentuan gangsa selepas tumpas kepada wakil Thailand namun sekurang-kurangnya keputusan yang mereka capai lebih bagus berbanding pasangan lelaki, Rafi Asruki Nordin dan Khoo Chong Long yang kecundang di pusingan suku akhir.

MEMANAH
Nasib skuad memanah kebangsaan di dalam Program Road To London 2012 kini bagaikan 'telur di hujung tanduk' selepas kegagalan meraih sebagai pingat dan mempamerkan persembahan membanggakan sama ada di dalam acara individu mahupun berpasukan.

Acara berpasukan yang disasarkan Persatuan Kebangsaan Memanah Malaysia (NAAM) untuk meraih sekurang-kurangnya satu kilauan pingat gagal direalisasikan apabila trio recurve yang dibarisi oleh Cheng Chu Sian, Izuddin Abd Rahim dan Arif Farhan Ibrahim Putra terkandas di suku akhir kepada China.

Kegagalan itu menyebabkan hanya memanah di kalangan empat sukan di dalam program yang bernilai jutaan ringgit itu gagal memberikan sebarang pingat ke kontinjen negara kerana tiga acara lain iaitu berbasikal, badminton dan terjun berjaya meraih pingat sekurang-kurangnya gangsa.

RAGBI
Selepas di aibkan pada Sukan Komanwel pada Oktober lalu, skuad ragbi kebangsaan berjaya mengubat sedikit kemaluan itu apabila mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum cabaran mereka ditamatkan oleh Korea Selatan. Namun mereka menebus kehampaan apabila menjadi pasukan kelima terbaik Asia selepas menewaskan Sri Lanka, 27-7 dan India, 38-5 dalam perebutan posisi kelima hingga kelapan.

Skuad ragbi kebangsaan yang dibarisi pemain berumur dari 18 hingga 21 tahun jelas mempunyai mempunyai masa depan cerah berdasarkan kejayaan menewaskan Thailand yang memenangi pingat emas di Sukan Sea di Korat pada 2007.

TINJU
Bak kata pepatah 'ukur baju di badan sendiri'. Perkara itulah dilakukan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang tidak meletakkan sebarang sasaran meraih pingat kerana sedar saingan bertaraf dunia yang terpaksa diharungi.

Barisan peninju muda negara diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA Laos, Mohd Farkhan Haron nyata memerlukan lebih banyak pendedahan dengan menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Kali terakhir skuad tinju memenangi pingat melalui Adnan Jusoh pada 2002 dngan meraih gangsa. dan pencapaian itu nampaknya sukar untuk diulangi jika langkah drastik tidak diambil oleh PTAM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara.

SEPAK TAKRAW
Seperti diramalkan Malaysia masih lagi pasukan kedua terbaik Asia di belakang musuh tradisi, Thailand apabila meraih dua pingat perak dalam acara berpasukan dan antara regu sekali gus mengesahkan kita masih setapak di belakang mereka.

Revolusi diharapkan dengan penubuhan skuad kebangsaan yang baru selepas kegagalan Sukan SEA nyata tidak menjadi malah Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail kini menanti detik sesuai mengotakan janji meletak jawatan selepas gagal meraih emas.

Corak permainan dan pendekatan yang berbeza perlu dikaji dengan mendalam bagi memastikan kita tidak kecewa pada Sukan SEA di Indonesia tahun depan berdepan Thailand, Vietnam dan Myanmar.

MENEMBAK
Selepas meraih dua emas di Sukan Komanwel pada Oktober lalu, skuad menembak hambar di Guangzhou apabila hanya meraih satu gangsa melalui Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 10 meter air raifal individu wanita dan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) perlu lebih gigih menggilap potensi dimiliki atlet mereka. Namun berdasarkan kepada aksi mereka pada dua temasya itu.

Mungkin sistem latihan, barisan jurulatih, pendedahan pertandingan, program pendedahan, peralatan dan pentadbiran memerlukan transformasi agar dapat melahirkan atlet yang benar-benar dapat bersaing di peringkat antarabangsa terutamanya menjelang Sukan Olimpik London.

BASIKAL
Taktik kotor digunakan oleh penganjur Sukan Asia Guangzhou merencatkan rencana skuad basikal negara untuk membawa pulang lebih banyak pingat.

Perubahan jadual saat akhir mengakibatkan pelumba harapan negara, Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri daripada menyertai acara pecut berpasukan kerana perlu memberi tumpuan kepada acara kegemarannya keirin dan pecut 200m.

Namun apa dilakarkan Azizul bersama Josiah Ng membuktikan pelaburan negara dengan menghantar atlet berbasikal berkampung di Melbourne bukan sia-sia selepas cemerlang di Sukan Komanwel.

Aksi profesional Azizul yang berjaya mengatasi kekecewaan kegagalan di Komanwel apabila merangkul emas dalam keirin disamping Josiah untuk perak. Azizul dan Josiah kini menjadi taruhan terbaik melakarkan sejarah meraih emas pertama di Sukan Olimpik yang berbaki kurang dua tahun.

TERJUN
Mungkin jika China tidak menjadi tuan rumah, skuad terjun negara berpeluang membawa pulang sekurang-kurang satu pingat emas. Skuad terjun beraksi cemerlang kali ini memperbaiki pencapaian di Doha dengan empat perak, lima gangsa berbanding satu perak tiga gangsa empat tahun lalu.

Justeru memang wajar sukan ini tersenarai ke dalam program 'Road to London' berdasarkan kemampuan atlet menghasilkan pingat di temasya utama termasuk Kejohanan Dunia yang berlangsung di Itali selain keupayaan Pandalela Rinong menghadiahkan emas pertama di Sukan Komanwel, bulan lalu.

Pencapaian barisan penerjun seperti Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Oii tze Liang, Ng Yan Kee, Yoeh Ken Nee dan Jun Hoong Cheong adalah yang terbaik pernah dilakar penerjun negara di Sukan Asia. Misi seterusnya barisan penerjun negara adalah di Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-14 di Shanghai, China, Julai tahun depan.

RENANG
Pasukan renang terdiri daripada 12 atlet negara pulang dengan tangan kosong tanpa ada sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.

Acara ini terus ketandusan perenang handalan selepas tamatnya era Alex Lim Keng Liat apabila hanya Danial Bego dan Chui Lai Kwan mampu mara ke saingan akhir sementara 10 lagi terkandas pada saingan awal. Kali terakhir acara renang membuahkan pingat ketika di Busan, Korea pada 2002 menerusi Keng Liat dalam acara 100m kuak lentang.

Justeru Majlis Sukan Negara (MSN) perlu merancang strategi lebih utuh jika ingin menghasilkan perenang lebih berwibawa di masa hadapan kerana sudah pasti kita tidak mahu bergelar juara rantau Asia Tenggara.

HOKI
Bukan tidak mahu menghamburkan pujian melangit kepada skuad hoki lelaki negara namun penamat yang mengecewakan pada pentas final mencacatkan segala cerita indah di Guangzhou. Jika semangat juang tinggi ditunjukkan seperti menewaskan India di separuh akhir, pasti aksi final anak buah Stephen Van Huizen akan diingati selama-lamanya walaupun meraih pingat perak.

Bagaimanapun, hajat mahu meraih kilauan emas selain tiket automatik ke Sukan Olimpik dimusnahkan dengan aksi mengecewakan pemain negara pada aksi final sedangkan kedua-dua 'hadiah' itu sudah hampir terhidang di depan mata. Apapun, dengan tidak diberi sebarang harapan untuk meraih pingat apatah lagi mara ke perlawanan akhir, Pencapaian anak buah Stephen itu sekurang-kurangnya dapat menebus aksi longlai pada Sukan Komanwel lalu.

Sementara untuk skuad wanita, ternyata mereka masih jauh ketinggalan dengan gergasi Asia lain seperti China dan Korea Selatan. Tewas empat kali berturut-turut menghancurkan sasaran untuk mara ke separuh akhir.

KARATE
Ketika kem negara resah kemungkinan besar tidak mampu mencapai sasaran meraih sembilan pingat emas, Ku Jin Keat dan R Puvaneswaran menyelamatkan keadaan apabila masing-masing meraih emas ketujuh dan kelapan negara menerusi acara kata serta kumite.

Jin keat pastinya paling mengejutkan kerana dia berjaya menamatkan dominasi Jepun sementara Puvansewaran menggunakan segala pengalamannya ketika menewaskan lawan pada aksi final sekali gus melakar cerita indah sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia karate.

Jamaliah Jamaluddin dan G Yamini pula ternyata sudah mempamerkan aksi terbaik sebelum tumbang di pentas final dan terpaksa berpuas hati dengan perak. Tidak lupa Lim Lee Lee yang menyumbang gangsa menerusi acara kata sementara mereka yang gagal meraih sebarang pingat sebenarnya cuma kurang daripada segi pengalaman saja.

Jika dihitung, dua emas, dua perak dan satu gangsa yang dikutip di Guangzhou adalah pencapaian terbaik skuad karate negara sepanjang menyertai Sukan Asia. Itu juga yang dirumuskan jurulatih negara, P Arivalagan.

WUSHU
Seperti diramal, wushu tidak pernah mengecewakan apabila sekali lagi berjaya menyumbang sebutir pingat emas menerusi Chai Fong Ying yang beraksi pada acara taijiquan-taijijian seterusnya menyemarakkan semangat barisan atlet lain pada awal-awal saingan di Guangzhou.

Sejak dari awal, jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong menyatakan Fong Ying adalah sandaran terbaik negara untuk meraih emas dan akhirnya atlet itu berjaya membuktikannya sekali gus mempertahankan pingat emas yang diraih empat tahun lalu di Doha.

Sementara Tai Cheau Xuen menyumbang gangsa menerusi acara nanquan-nandao. Bagaimanapun pencapaian di Guangzhou sebenarnya tidak dapat mengatasi kutipan pingat empat tahun lalu di Doha di mana ketika itu wushu menyumbang satu emas dan dua gangsa. Apapun, pencapaian sukan wushu masih boleh dibanggakan.

PERAHU LAYAR
Hadir dengan barisan pelayar lebih ramai berbanding empat tahun lalu di Doha selain tiba lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di perairan Shanwei belum cukup untuk skuad perahu layar menuai emas di Guangzhou.

Mereka hanya meraih dua perak sumbangan Ahmad Khan dalam acara layar dinghy optimist lelaki serta gandingan Khairunnisa Afendy dan Norashikin Sayed (layar double handed dinghy 420 wanita) sementara Ku Zamil dan Mohamad Mazelan meraih gangsa menerusi acara layar double handed dinghy 420-lelaki.

Walaupun gagal menjelmakan kilauan emas, sekurang-kurangnya dua perak dan satu gangsa adalah pungutan pingat terbanyak di Sukan Asia yang pernah diraih oleh mereka berbanding masing-masing satu emas serta gangsa ketika empat tahun lalu di Doha.

TAEKWANDO
Gagal mengutip sebarang pingat di Guangzhou apa lagi yang boleh diperkatakan mengenai skuad taekwando negara selain kegagalan mutlak.

Sandaran terbaik yang diletakkan dibahu atlit berpengalaman, Elaine Teo berkecai apabila dia kecundang dalam pertembungan suku akhir kepada Chanapa Sonkham dari Thailand dalam kategori 49 kilogram.

SKUASY
Sasaran sembilan emas di Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China diselamatkan skuad skuasy negara selepas pasukan wanita yang diketuai Datuk Nicol David meraih pingat emas ke-sembilan Khamis lalu.

Sukan Asia 2010 buat kali pertama menawarkan empat pingat emas dalam sukan Skuasy, menyaksikan pasukan negara menang tiga daripadanya sekali gus menepati sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM).

Paling cemerlang pastinya pemain wanita negara yang menepati ramalan dengan merangkul dua emas dalam acara perseorangan wanita menerusi pemain nombor satu dunia, Nicol dan acara berpasukan yang cemerlang mengatasi Hong Kong biarpun diberi tentangan sengit. Kecemerlangan Nicol yang diberi tentangan sengit oleh Annie Au, ditambah kegigihan Low Wee Wern pada perlawanan kedua berpasukan membolehkan skuad wanita membalas dendam ke atas Hong Kong yang menewaskan pemain negara di separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Chennai, India Mei lalu.

Begitupun, pemain lelaki hanya mampu meraih satu emas menerusi Azlan Iskandar dalam perseorangan lelaki selepas pemain nombor satu lelaki negara itu gagal mengatasi lawan sama, Aamir Atlas Khan di final berpasukan.

BOWLING
Umpama harapan kecundang, skuad bowling negara yang diharap menyumbang emas terbanyak di Sukan Asia 2010 berakhir dengan episod kegagalan. Biarpun hanya tiga emas disasarkan kepada skuad bowling negara iaitu menyamai pencapaian di Doha empat tahun lalu, mereka ternyata gagal terutamanya skuad wanita yang hanya menyumbang satu gangsa.

Skuad lelaki menebus kehampaan empat tahun lalu yang hanya menang satu emas, dengan membawa pulang dua pingat emas kali ini menerusi Alex Liew dalam All Events dan beregu bersama Adrian Ang.

BADMINTON
Tiada kekecewaan paling menghampakan apabila badminton gagal menyumbang sebarang emas di Sukan Asia ke-16, di Guangzhou, China.

Selepas satu emas di bawa pulang pada 2006 di Doha, badminton mula mendapat perhatian kerajaan dan disandarkan harapan membawa pulang pingat emas pertama Olimpik sejak 2008 lagi menerusi dua permata, Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki.

Namun satu emas yang disasarkan gagal direalisasi. Chong Wei yang dihimpit pelbagai masalah kecederaan menjelang temasya kedua terbesar dunia itu ternyata tidak mampu menyaingi musuh tradisi, Lin Dan yang kebal di tempat sendiri biarpun juara Olimpik itu tidak berada di tahap terbaik.

Kien Keat-Boon Heong pula gagal mengulangi pencapaian empat tahun lalu apa tewas kepada pemenang pingat perak Doha, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia. Namun lebih mengecewakan apabila skuad berpasukan lelaki tumpas awal kepada Thailand di peringkat suku akhir iaitu perlawanan pertama negara.

Jelas sekali kudrat Chong Wei yang dikatakan demam ketika itu ditagih, sambil pemain seperti Liew Darren dan Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong belum boleh diharapkan ketika berdepan pasukan tidak ternama seperti Thailand.

Mungkin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bertindak lebih agresif menaikkan nama pemain muda ketika 'Road to London 2012' hanya tinggal kurang dua tahun saja lagi.

GIMNASTIK
Sukar untuk menggambarkan kegembiraan walaupun gimnas senior negara, Elaine Koon dan Nur Hidayah Abdul Wahid berjaya meraih markah yang lebih baik berbanding peserta negara Asean yang lain dalam acara gimrama, dengan masing-masing berada di kedudukan ke-11 dan ke-12 saingan individu all-arounds pada penampilan pertama mereka di Sukan Asia.

Ini berikutan acara gimnastik artistik dilihat semakin tenggelam, apabila wakil tunggal lelaki dan wanita negara, Lum Wan Foong dan Tracie Ang hanya sekadar melangkah ke pusingan aparatus individu, berbanding pingat perak yang diraih bekas gimnas negara, Ng Shu Wai, di Doha empat tahun lalu. Wan Fong, bagaimanapun tidak dapat meneruskan saingan akibat kecederaan, manakala Tracie pula menduduki tempat ketujuh dalam acara aparatus titian imbangan.

Di Sukan Komanwel, gimnastik artistik turut gagal menyumbang sebarang pingat, sebaliknya gimrama membuat kejutan menerusi Elaine yang muncul sebagai atlet terbaik sukan itu. Prestasi skuad gimrama di Sukan Asia membuka laungan awal Elaine dan Hidayah untuk ke Sukan Sea, di Indonesia tahun depan.

BILIARD
Pemain veteran Ibrahim Amir muncul sebagai bintang apabila menyumbang pingat perak dalam acara individu 8 bola pool. Pencapaian Ibrahim dilabel sebagai yang terbaik disumbang kategori veteran memandangkan sukan ini tidak begitu didedahkan di kejohanan antarabangsa.

Empat tahun lalu, di Doha, Esther Kwan menyumbang satu perak dari acara individu 9 bola pool, tetapi di saingan kali ini dia gagal mengulang kejayaan sama. Susulan itu, Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), seharusnya memartabatkan lagi sukan ini dengan mengetengahkan lagi arena biliard dan snuker ke kejohanan peringkat dunia.

KRIKET
Skuad wanita dan lelaki seakan sekadar mengambil bahagian di Sukan Asia apabila masing-masing hanya mampu beraksi di dua saingan sebelum kecundang. Susulan itu, prestasi hambar mereka seakan menepati sasaran yang tidak mengintai sebarang pingat berikutan sedia maklum cabaran hebat di Sukan Asia.

Skuad wanita tersingkir selepas tewas di tangan China dan Thailand yang dikatakan berpunca daripada saingan pasukan lawan jauh lebih muda serta bertenaga.

Berita gembira kemudian dibawa dari skuad lelaki, yang berjaya melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan China. Namun, tuah lebih memihak kepada Bangladesh yang mendominasi saingan seterusnya.



PERASMIAN CHENG HO EXPO DI STADIUM SULTAN MOHD IV KOTA BHARU






CHENG HO EXPO : AKROBATIK DAN SHAOLIN SOCCER




UNIVERSITI ISLAM PERTAMA DI CALIFORNIA

Sebuah universiti Muslim pertama dibuka di California, Amerika Syarikat, bertujuan mengatasi kebencian dan ketidakpercayaan terhadap Islam dengan menonjolkan versi Islam Amerika lebih sederhana.

Walaupun kelas pertamanya hanya mempunyai 15 pelajar dan menyewa blok ruang pejabat daripada kampus Universiti California. Kolej Zaytuna berharap akan menjadi universiti Muslim AS pertama yang diiktiraf, setanding dengan gergasi akademik yang mempunyai kaitan agama seperti Universiti Columbia dan Rutgers.

Setiap kumpulan agama yang datang ke AS akhirnya akan sampai ke tahap di mana mereka perlu membentuk sebuah institusi bagi memastikan mereka terus kekal, dan masyarakat kami sudah tiba ke peringkat itu, kata Hamza Yusuf, pengasas bersama Kolej Zaytuna, yang juga sarjana terkemuka mengenai Islam klasik di Barat.

Lebih 30 peratus rakyat Amerika percaya Islam menggalakkan keganasan, dan ramai berpendapat agama berkenaan tiada tempatnya di negara Judeo-Kristian itu, menurut tinjauan pendapat terbaru Pusat Penyelidikan Pew.

Perdebatan masih lagi diadakan mengenai kesesuaian penempatan sebuah masjid berhampiran tapak serangan 11 September, 2001 di New York, yang dilihat oleh penganalisis sebagai petanda jelas mengenai syak wasangka AS terhadap Islam.

Pengasas Zaytuna menyatakan diskriminasi yang dihadapi Muslim di Amerika Syarikat tiada bezanya dengan pengalaman Katolik pada abad ke-19 atau Yahudi pada abad ke-20, dan hanya masa menjadi penentuan sama ada mereka diterima sepenuhnya.

Pendidikan secara umumnya adalah penyelesaian utama bagi menangani kejahilan, kata Hatem Bazian, pengerusi hal ehwal akademik Kolej Zaytuna, yang juga mengajar di Universiti California, Berkeley.

Program empat tahun itu menawarkan kursus dalam kesusasteraan Islam, perundangan, teologi dan sejarah dan terbuka kepada semua penganut agama, walaupun semua pelajar yang ada sekarang adalah Muslim, daripada pelbagai latar belakang.

Terdapat institusi pendidikan tinggi Muslim lain di Amerika, tetapi Zaytuna berharap akan menjadi yang pertama memperoleh akreditasi dalam kalangan universiti tertinggi.




PROJEK DPPT4 UNTUK PELAJAR ASEAN

Pelaksanaan Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi 4 (DPPT4) membabitkan kos anggaran RM889.2 juta atau 22 bilion yen dijadual bermula tahun depan, bakal menjadikan Malaysia sebagai hab pembelajaran teknikal dan kejuruteraan terkemuka rantau ini dengan membuka peluang kemasukan kepada pelajar dari negara ASEAN dan Jepun.

Projek kerjasama dalam bidang pendidikan antara Kerajaan Malaysia dan Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur akan memberikan peluang kepada 1,890 pelajar dari Malaysia, Jepun dan ASEAN meneruskan pengajian bidang pengkhususan dari peringkat sarjana muda hingga doktor falsafah (PhD).

Dana projek DPPT diperkenalkan sejak 1993, disumbangkan Kerajaan Malaysia dan Jepun pada nisbah 40:60, masing-masing menerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) di mana pelajar ditaja diwajibkan mengikuti pengajian empat tahun iaitu dua tahun di Malaysia dan selebihnya di Jepun.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata daripada jumlah itu 1,600 pelajar program peringkat ijazah membabitkan 800 penerima biasiswa dari Malaysia, 400 pelajar Jepun dan 400 pelajar dari negara ASEAN terpilih, selain 240 pelajar peringkat sarjana dan 50 pelajar PhD.

DPPT4 akan membantu membuka landasan baru bukan saja untuk pelajar Malaysia tetapi negara lain di rantau Asia.

Shafie berkata, JICA sebelum ini menyatakan kesediaannya meneruskan pembiayaan DPPT4 selama 10 tahun bermula tahun depan, yang turut memperkenalkan tiga program pengajian baru dalam bidang Pengurusan Industri, Bio-Teknologi dan Teknologi Maklumat.

Katanya, DPPT sebelum ini menawarkan biasiswa dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik melahirkan hampir 1,300 graduan Bumiputera dalam bidang pengkhususan sejak diperkenalkan 17 tahun lalu.

Shafie berkata, impak projek DPPT cukup besar apabila ia menjadi saluran terbaik memindahkan kepakaran dan teknologi tinggi Jepun, khususnya dalam bidang kejuruteraan ke negara ini.

Ternyata projek diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah retorik kerana keberkesanannya ternyata mampu memartabatkan ekonomi Malaysia pada kedudukan lebih kukuh, katanya.





PTD WAJIB IKUTI LATIHAN ASKAR WATANIAH

Semua Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) lantikan baru yang mengikuti Diploma Pengurusan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan diwajibkan menjalani latihan Askar Wataniah bermula pengambilan November 2010.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, latihan Askar Wataniah akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) yang menjadi kursus mandatori bagi setiap PTD lantikan baru.

"Pihak INTAN sudah bersedia dengan modul latihan Askar Wataniah dan akan dilaksanakan pada pengambilan November ini. Selain modul latihannya sendiri, INTAN akan turut menerapkan modul kursus perkhidmatan berpakaian seragam lain seperti Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia. Penekanan latihan Askar Wataniah berkait rapat dengan elemen patriotisme, ketahanan psikologi, keutuhan disiplin dan kecergasan jasmani selain mempunyai kekuatan membangunkan serta memantapkan modal insan penjawat awam dalam membantu transformasi negara," katanya.

Pelancaran Askar Wataniah di JPA adalah antara inisiatif yang diambil untuk memperkenalkan kegiatan sukarelawan kepada penjawat awam di JPA dan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Mengenai pelancaran Askar Wataniah di JPA itu, Abu Bakar berkata, satu unit khas Askar Wataniah akan ditubuhkan bagi menumpukan kepada pelaksanaan Askar Wataniah untuk kakitangannya yang berminat.

Beliau berkata, unit itu akan bekerjasama dengan Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat, Angkatan Tentera Malaysia serta bertanggungjawab memantau keahlian serta modul latihan di kalangan warga JPA.




KELANTAN TANDATANGANI MOU DENGAN SYARIKAT GERGASI CHINA

Enam syarikat gergasi dari China, Kazahstan, telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Kelantan.

Perjanjian persefahaman yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa bagi pihak kerajaan Kelantan meliputi beberapa bidang khususnya pendidikan.

Selain itu, ianya juga menyentuh soal pelancongan, kesihatan (perubatan tradisional), perdagangan, kebudayaan, sains dan teknologi termasuk kesukanan.

Enam syarikat atau pendidikan terbabit diwakili Universiti Antarabangsa Qinghai, yang diwakili Qi Fumin, Liu Chang Jiang mewakili Government of Zhangjiangchuan Muslim Autonomous Country Gansu Province.

Selain itu Presiden Association Dungan of Kazahstan, Zhu Yan yang mewakili China Council For The Promotion of Internantional Trade Qinghaiu Provincial Committee. Turut menjayakan perjanjian persefahaman, Ishaq Ma, Setiausaha Agung Persatuan China Muslim dan Presiden Counselor of Public Association Donggang, Junusov Abduljalil Majitovich.

Hasil perjanjian usahawama itu, rakyat Kelantan yang terpilih akan mengikuti pengajian dan kebudayaan China secara percuma di Taiwan. Ekoran perjanjian itu juga, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai hubungan terus dengan beberapa wilayah di negara China dan Asia Tengah.

Untuk itu, Kerajaan Kelantan akan meningkatkan prestasi dalam bidang ekonomi, kebudayaan Islam, pelancongan dan lain-lain lagi demi untuk kepentingan rakyatnya.

Husam pada sidang medianya juga seterusnya memberitahu, tahun hadapan kerajaan negeri akan menghantar pelajar yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian berkenaan dalam masa antara tiga minggu hingga tiga bulan.

Menurutnya lagi, Ekspo Cheng Ho yang berlangsung tidak hanya akan berakhir di situ sahaja, sebaliknya akan dilanjutkan kerjasama dalam bidang-bidang yang telah ditentukan demi untuk kepentingan rakyat Kelantan.




KELANTAN TUMPU PROGRAM EKONOMI 3 NEGARA

Kelantan akan menumpukan program ekonomi dengan tiga buah negara dunia yang kini sedang meningkat prestasi ekonominya, iaitu China, India dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pemegang ekonomi dunia sekarang bukan Amerika atau Jepun, sebaliknya tiga buah negara terbabit.

“Kelantan akan mewujudkan hubungan dua hala antara negara-negara terbabit khususnya sempena program Ekspo Cheng Ho 2010, yang akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan membina Cheng Ho City sebagai medan usahawan untuk para peniaga peringkat antarabangsa memasarkan produk halal mereka di situ.

Menurutnya, projek yang akan diadakan di Kampung Bukit Apam, Machang, menelan belanja jutaan ringgit di atas tanah seluas 500 ekar.

“Projek ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.