WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

JUALAN KENDERAAN DI JANGKA CECAH 590,000 BUAH

Jualan kenderaan motor Malaysia mungkin lebih tinggi daripada yang di jangkakan, mencecah sehingga 590,000 unit menjelang akhir tahun ini (2010), demikian menurut Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, momentum jualan sekarang mungkin membawa jumlah kuantiti kenderaan mengatasi unjuran Persatuan Automotif Malaysia pada 570,000 buah.

"Berdasarkan kepada aliran jualan (semasa), jumlah kuantiti industri dijangka melepasi sasaran 570,000 unit," katanya.

Beliau memberitahu bahawa jualan Perodua mungkin juga melepasi sasarannya pada 185,000 unit menjelang akhir tahun kerana jualan sembilan bulan pengeluar kereta nasional itu telahpun melebihi 141,100 unit.

Menurut Aminar Rashid, Perodua yakin dapat melepasi paras 185,000 kerana pelancaran varian ViVA baharu, edisi ViVA Executive, di jangka meningkatkan lagi jualan. Harga bagi varian tersebut, model ViVA yang diberi wajah baru dan dinaik taraf, dijangka naik sedikit kerana segmen pasaran itu sensitif harga.

Ditanya sama ada Perodua mempunyai rancangan mengeluarkan kereta hibrid untuk memanfaatkan insentif kerajaan bagi kenderaan hibrid, Aminar Rashid berkata, buat masa sekarang Perodua akan terus mengeluarkan kenderaan enjin pembakaran dalaman.

"Bagi kenderaan kompak, masih ada ruang bagi kami untuk menambah baik dan ini mungkin boleh jadi sebaik enjin hibrid," katanya.

Aminar Rashid berkata, Perodua akan menumpu membangunkan enjin dengan pelepasan karbon dioksida yang kurang dan cekap dari segi bahan api.

"Walaupun kami menyambut baik insentif yang diberikan kerajaan bagi kereta hibrid dalam bajet baru-baru ini, kami mahu mencadangkan insentif diberikan bagi kereta dengan pelepasan karbon dioksida yang kurang," katanya.

Beliau juga berkata, Perodua menyasar teknologi enjin masa depan dan kemungkinan mengusahakan teknologi tinggi dan bahagian-bahagian canggih dalam negara.





0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.