WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

MAYBANK CATAT KEUNTUNGAN RM881.8J

Di sebalik keraguan yang dilontarkan sebelumnya, Maybank hari ini membuktikan bahawa pembelian Bank Internasional Indonesia (BII) mampu berdaya maju dan mulai membuahkan hasil.

Maybank atau Malayan Banking Berhad hari ini mengumumkan keuntungan selepas cukai suku pertama berakhir 30 September lalu yang lebih baik sebanyak RM881.8 juta berbanding RM572.2 tempoh yang sama tahun lalu. Peningkatan sebanyak 54.1 peratus itu turut disumbangkan oleh BII sebanyak RM48.9 juta dan juga pelaburan asing lain seperti MCB Bank Ltd. di Pakistan dan AnBinh bank di Vietnam, masing-masing sebanyak RM22.9 juta dan RM2.6 juta.

Tiada sumbangan keuntungan BII sebelum ini kerana pengambilan alihnya hanya selesai pada 30 September 2008. Secara keseluruhan, keuntungan sebelum cukai kumpulan Maybank berjumlah RM1.16 bilion dalam suku berkenaan, meningkat 31.1 peratus berbanding RM881.77 juta tempoh sebelumnya.

Dengan persekitaran perniagaan yang lebih baik, perbendaharaan kumpulan, operasi antarabangsa dan perbankan pelaburan menjadi penjana utama prestasinya, masing-masing menyumbang 87 peratus, 50 peratus, 61 peratus dan 201 peratus kepada pertumbuhan keuntungan sebelum cukai. Pendapatan sesaham bagi suku yang baru berakhir meningkat 12.46 sen daripada 11.72 sen selepas diselaraskan bagi terbitan hak pada Mac 2009.

Maybank dalam kenyataannya di sini berkata, pencapaian kumpulan dijana oleh pertumbuhan keseluruhan sebanyak 54 peratus dengan pendapatan bersih pada tempoh tersebut meningkat kepada RM3.15 bilion daripada RM2.05 bilion sebelumnya. Pendapatan faedah bersih kumpulan berkembang sebanyak 28.7 peratus kepada RM1.63 bilion berbanding RM1.27 bilion sebelumnya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar optimis dengan prestasi semasa bank perdagangan terbesar di negara ini. Abdul Wahid berkata, pihaknya yakin mampu mengekalkan momentum pertumbuhan semasa dan mengekalkannya dalam pasaran utama di seluruh rantau ini.

‘‘Maybank gembira usaha transformasi BII telah membuahkan hasil lebih awal daripada jangkaan. Sumbangan yang menggalakkan kini datang dari BII merupakan pengiktirafan kepada kekukuhan kumpulan pengurusan yang ada dan keupayaan kami untuk meluaskan peluang dalam persekitaran kukuh ekonomi Indonesia,’’ katanya dalam kenyataan tersebut.

BII mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak 131 bilion Rupiah atau RM46.2 juta. berbanding 11 bilion Rupiah (RM3.8 juta) sebelumnya. Pendapatan operasi selepas peruntukan meningkat kepada 195 Rupiah (RM68.8 juta) berbanding kerugian 13 bilion Rupiah (RM4.59 juta) pada tahun lalu. Pinjaman di peringkat kumpulan bank asing itu berkembang sebanyak 12.6 peratus daripada Jun 2009 pada asas tahunan. Pencapaian BII juga digalakan oleh pencapaian lebih baik anak syarikatnya WOM Finance.

Mengulas mengenai prestasi perbankan Islam kumpulannya Maybank berkata, operasi perbankan itu telah mencatatkan peningkatan sebanyak 23.9 peratus dalam pendapatan kasar boleh agih kepada RM465.7 juta bagi suku tahun dalam kajian dengan disokong oleh pertumbuhan 26 peratus dalam pembiayaan.

Keuntungan sebelum cukai operasi berkenaan bagaimanapun lebih rendah sebanyak 35.2 peratus kepada RM63.1 juta disebabkan oleh kerugian pinjaman dan peruntukan yang tinggi sebanyak RM171 juta tetapi kualiti aset bertambah baik. Keuntungan sebelum cukai perbankan perniagaan dan korporat berjumlah RM50.3 juta dalam suku baru berakhir berbanding RM223.1 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya. Ini disebabkan oleh persekitaran operasi yang sukar bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Operasi perbendaharaan mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM393 juta daripada RM210 juta sebelumnya manakala keuntungan Kumpulan Perbankan Pelaburan bertambah kepada RM58.9 juta berbanding RM19.5 juta sebelumnya berikutan pendapatan yuran yang tinggi.

Pendapatan Perbankan Pelanggan turut menyaksikan kenaikan kepada RM1.06 bilion. Kumpulan itu kini menguasai pasaran sebanyak 13.8 peratus dalam gadai janji dan 17 peratus dalam pembiayaan kenderaan. Ia juga mengekalkan terajunya dalam kad kredit dan perbankan Internet.

Maybank2u kekal menjadi peneraju portal perbankan Internet dengan jumlah pengguna sebanyak 4.04 juta, dengan merekodkan lebih 50 juta sebulan dengan nilai sebanyak RM3.6 bilion.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.