WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

RAHSIA KEJAYAAN SALLEH DIDIK 10 ANAK

KUALA KRAI – Walaupun telah menerima kurniaan Insan Cemerlang Jajahan Kuala Krai 2009, tetapi bagi seorang bapa kepada 10 anak, Salleh Harun, 80, ia bukanlah sesuatu yang diharapkannya selama ini.

Menurutnya, selama ini apa yang dilakukannya dalam mendidik anak-anak dipikul sebagai suatu tanggungjawab yang perlu dilangsaikan untuk mendidik mereka sebagai insan terbaik.

Katanya, apabila menerima kurniaan Insan Cemerlang baru-baru ini, ia adalah suatu bonus untuk keluarganya, tetapi ia bukan keutamaan yang dihajatinya.

“Selama ini saya mendidik dan menjaga keluarga adalah untuk mereka menjadi insan yang terbaik pada agama, bangsa dan negara semata-mata dan jauh sekali penghargaan yang diharapkan.

“Tetapi kurniaan yang diberikan ini amat bermakna bagi saya sekeluarga kerana ia adalah suatu lambang kejayaan bagi saya dan anak-anak yang selama ini telah menjadikan saya seorang bapa yang berjaya,” katanya.

:Katanya, apa yang penting dalam mendidik anak-anak adalah sentiasa memastikan pergaulan mereka agar tidak terlibat dengan rakan-rakan yang tidak senonoh dan boleh terpengaruh dengan kegiatan tidak berfaedah.

Menurutnya, tiada sebarang peraturan atau paksaan dalam mendidik anak- anaknya, tetapi ia perlu didisiplinkan sejak dari kecil agar mereka tahu membezakan baik dan buruk sesuatu perkara ataupun tindakan.

Kini beliau mampu berbangga apabila semua anaknya kini berjaya dalam pelbagai lapangan termasuk anak sulungnya, Rogayah sebagai jururawat, anak ketiga, Rosmi seorang doktor pakar, anak kelima, Azani seorang warder penjara dan anak keenam, Rohana seorang pengurus. Manakala tiga anaknya adalah jurutera dan tiga anaknya yang lain juga bergelar guru.

Beliau berkata, dia dilahirkan di Kampung Kerawang, Pulai Chondong, Machang pada 1929. Dia telah berhijrah ke Kuala Krai sekitar 1970–an dan membeli tanah di kawasan Sungai Durian.

Dalam usia emasnya, Salleh masih bergiat aktif memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi Pasti Sungai Durian, ahli jawatankuasa Sekolah Kebangsaan Sungai Embak dan ahli jawatankuasa masjid Ar-Rahman Sungai Durian.

Salleh telah dinobatkan sebagai Insan Cemerlang Jajahan Kuala Krai 2009 yang dikurniakan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.