WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

CENDAWAN MAMPU DIKOMERSIAL

KAMPUNG JELATOK - Seorang usahawan cendawan Tiram Kelabu yang kini sudah mengusahakan tanaman cendawan berkenaan sejak dua tahun lalu, tekad mengusahakan tanaman ini di bawah bantuan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanah Merah.

Usahawan terbabit, Gan Joo Kai, 34, mula mengusahakan tanaman berkenaan setelah melihat potensi tanaman berkenaan mampu dikomersialkan dan kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, jika dulu dia hanya menceburi bidang ini secara separuh masa, kini dia melibatkan diri secara sepenuh masa setelah mula mendapat sokongan pihak Unit Peladang Belimbing di bawah PPK yang turut membantu memberikan galakan dan dorongan kepadanya.

Di samping itu, pihak PPK melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut memberi rangsangan bantuan kepada Joo Kai dengan bantuan sebanyak RM 25,000 dalam mengusahakan tanaman berkenaan yang dilihat mempunyai potensi yang baik.

“Bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu saya melebarkan perniagaan dalam mengusahakan tanaman ini.

“Dengan bantuan yang diberikan, dapatlah saya menambah benih serta tempat untuk menyimpan benih-benih cendawan bagi proses pembiakannya,’’ katanya.

Menurutnya, penjagaan cendawan berkenaan perlu diberi perhatian sewajarnya, kerana ia merupakan sejenis tanaman yang sensitif kepada faktor cuaca.

“Ia terpulang kepada suhu bilik, di mana tempat ia disimpan dan perlu mengekalkan antara 28 hingga 32 Celsius bagi mengekalkan kelembapan bilik berkenaan bersesuaian dengan suhu untuk pembiakan cendawan ini.

“Sehari hampir tiga kali saya menyiram lantai bilik ini, namun ia bergantung kepada cuaca, jika cuaca panas maka lebih kerap saya akan menyiram bilik simpanannya untuk mengekalkan suhu kelembapannya,’’ katanya.

Joo Kai berkata, bagi memasarkan jualan cendawan tidak sukar, dia akan menjualnya di Pasar Tanah Merah dan Pasar Borong di kawasan ini.

Sementara itu, Joo Kai turut menerima lawatan daripada Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Tanah Merah, Baharuddin Yusof serta Pengurus Pembangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanah Merah, Mokhtar Yusoff.

Kata Baharuddin, dengan sambutan yang diberikan, beliau yakin potensi tanaman cendawan boleh dibawa ke peringkat yang lebih jauh.

“Sebenarnya, pihak LPP memperuntukkan sebanyak RM95,000 untuk empat peserta yang terpilih termasuk Joo Kai yang mengusahakan tanaman cendawan.

“Antara tiga lagi peserta ada cenderung dalam bidang lain termasuk tanaman buah naga (dragon fruit), pemeliharaan kambing yang turut mendapat bantuan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2009 di bawah Konsep 1Malaysia,’’ katanya.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.