WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PTD WAJIB IKUTI LATIHAN ASKAR WATANIAH

Semua Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) lantikan baru yang mengikuti Diploma Pengurusan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan diwajibkan menjalani latihan Askar Wataniah bermula pengambilan November 2010.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, latihan Askar Wataniah akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) yang menjadi kursus mandatori bagi setiap PTD lantikan baru.

"Pihak INTAN sudah bersedia dengan modul latihan Askar Wataniah dan akan dilaksanakan pada pengambilan November ini. Selain modul latihannya sendiri, INTAN akan turut menerapkan modul kursus perkhidmatan berpakaian seragam lain seperti Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia. Penekanan latihan Askar Wataniah berkait rapat dengan elemen patriotisme, ketahanan psikologi, keutuhan disiplin dan kecergasan jasmani selain mempunyai kekuatan membangunkan serta memantapkan modal insan penjawat awam dalam membantu transformasi negara," katanya.

Pelancaran Askar Wataniah di JPA adalah antara inisiatif yang diambil untuk memperkenalkan kegiatan sukarelawan kepada penjawat awam di JPA dan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Mengenai pelancaran Askar Wataniah di JPA itu, Abu Bakar berkata, satu unit khas Askar Wataniah akan ditubuhkan bagi menumpukan kepada pelaksanaan Askar Wataniah untuk kakitangannya yang berminat.

Beliau berkata, unit itu akan bekerjasama dengan Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat, Angkatan Tentera Malaysia serta bertanggungjawab memantau keahlian serta modul latihan di kalangan warga JPA.




0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.