WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PROJEK DPPT4 UNTUK PELAJAR ASEAN

Pelaksanaan Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi 4 (DPPT4) membabitkan kos anggaran RM889.2 juta atau 22 bilion yen dijadual bermula tahun depan, bakal menjadikan Malaysia sebagai hab pembelajaran teknikal dan kejuruteraan terkemuka rantau ini dengan membuka peluang kemasukan kepada pelajar dari negara ASEAN dan Jepun.

Projek kerjasama dalam bidang pendidikan antara Kerajaan Malaysia dan Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur akan memberikan peluang kepada 1,890 pelajar dari Malaysia, Jepun dan ASEAN meneruskan pengajian bidang pengkhususan dari peringkat sarjana muda hingga doktor falsafah (PhD).

Dana projek DPPT diperkenalkan sejak 1993, disumbangkan Kerajaan Malaysia dan Jepun pada nisbah 40:60, masing-masing menerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) di mana pelajar ditaja diwajibkan mengikuti pengajian empat tahun iaitu dua tahun di Malaysia dan selebihnya di Jepun.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata daripada jumlah itu 1,600 pelajar program peringkat ijazah membabitkan 800 penerima biasiswa dari Malaysia, 400 pelajar Jepun dan 400 pelajar dari negara ASEAN terpilih, selain 240 pelajar peringkat sarjana dan 50 pelajar PhD.

DPPT4 akan membantu membuka landasan baru bukan saja untuk pelajar Malaysia tetapi negara lain di rantau Asia.

Shafie berkata, JICA sebelum ini menyatakan kesediaannya meneruskan pembiayaan DPPT4 selama 10 tahun bermula tahun depan, yang turut memperkenalkan tiga program pengajian baru dalam bidang Pengurusan Industri, Bio-Teknologi dan Teknologi Maklumat.

Katanya, DPPT sebelum ini menawarkan biasiswa dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik melahirkan hampir 1,300 graduan Bumiputera dalam bidang pengkhususan sejak diperkenalkan 17 tahun lalu.

Shafie berkata, impak projek DPPT cukup besar apabila ia menjadi saluran terbaik memindahkan kepakaran dan teknologi tinggi Jepun, khususnya dalam bidang kejuruteraan ke negara ini.

Ternyata projek diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah retorik kerana keberkesanannya ternyata mampu memartabatkan ekonomi Malaysia pada kedudukan lebih kukuh, katanya.





0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.