TV ALHIJRAH (TVAH) CETUS PERUBAHAN
Bagi memastikan penonton menyedari kemunculan TV Alhijrah (TVAH) di arena penyiaran tanah air, tempoh sebulan bermula 1 November ini dijadikan sesi perkenalan stesen baru itu bagi menarik perhatian penonton. Manakala penyiaran secara penuhnya pula berkuat kuasa pada 1 Disember depan.
Sehubungan itu, penonton berpeluang menyaksikan bagaimana rencah perjalanan program diketengahkan TVAH yang ditubuhkan atas inspirasi bercirikan Islam.
Apapun, pada peringkat awal, siaran bermula dari jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam, setiap Isnin hingga Khamis manakala hujung minggu pula iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad lebih awal dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Menjadi satu stesen TV percuma yang baru, penyiarannya berpusat dari Pusat Islam Kuala Lumpur. Malah, lima transmisi tersedia untuk memancarkan siaran kepada penonton di Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.
Siaran ini mencakupi 55 peratus daripada penonton televisyen tempatan. Bagaimanapun, siaran TVAH bersifat menyeluruh. Bagi golongan Islam, TVAH menjadi sumber ilmu serta maklumat manakala bukan penganut Islam dapat melihat keindahan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir berkata, TVAH mengutamakan kandungan yang memberi manfaat kepada penonton terutama golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja dan golongan muda dan sehubungan itu, program disiarkan pelbagai.
“Namun, ketetapan kandungan siarannya ialah 60 peratus terbitan tempatan manakala 40 peratus lagi dari luar negara. Biarpun masih baru, 30 peratus daripada keseluruhan kandungan program disiarkan adalah terbitan pihak TVAH sendiri. TVAH sebaik mungkin menyediakan program yang terbaik untuk masyarakat. Seiring dengan visi menjadi penyiar yang memainkan peranan mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah. Malah, penonton diajak berubah ke arah kebaikan.
“Penubuhan TVAH juga bukanlah untuk bersaing dengan stesen TV sedia ada. Tetapi, kemunculannya sekadar memberi ruang untuk penonton membuat pilihan. Mereka menonton dan menilai setiap program yang disiarkan mengikut cita rasa sendiri. Pihak TVAH hanya berusaha menyediakan paparannya. Berminat atau tidak, ia milik penonton. Apa yang pasti, kandungan siaran dimuatkan dengan program seperti drama, filem, ehwal semasa, dokumentari, berita, animasi dan hiburan,” katanya.
Menyentuh soal dana penubuhan TVAH, beliau berkata kerajaan menyalurkan sumber kewangannya. Memandangkan perancangan sudah dibuat dengan teliti dan mengambil kira pelbagai aspek, dana sebanyak RM60 juta dilaburkan untuk penubuhan TVAH.
TVAH di terajui Bukhari Che Muda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan beliau bukan nama asing dalam dunia penyiaran kerana pernah berkhidmat dengan TV9 sebagai ketua pegawai operasi. Bukhari berharap penonton tempatan dapat menerima kemunculan TVAH.
Katanya, setakat ini persediaan rapi dan mantap sudah dilakukan untuk menyertai stesen TV lain menyalurkan pelbagai maklumat serta program ilmiah kepada masyarakat.
“Bersandarkan ruang dan peluang yang ada, saya akan memastikan penonton mendapat apa yang mereka mahu. TVAH akan berusaha gigih memberikan yang terbaik dan memenuhi kehendak penonton. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada karyawan dan penggiat seni tanah air yang sudi bekerjasama dengan TVAH bagi menyemarakkan industri penyiaran tanah air. TVAH sentiasa membuka peluang kepada karyawan tempatan menghasilkan produk mereka untuk disiarkan,” katanya.
Untuk permulaan ini antara filem terbaik di sediakan TVAH seperti Last Queen of The Earth (Iran), Bila Cinta Bertasbih (Indonesia), The Memories of Tomorrow (Jepun), Half of Confession (Jepun), Leaps & Bounds (Turki) serta Winky Horse (Belanda).
Semua filem itu pernah mendapat rating tertinggi termasuk memenangi pelbagai anugerah. Apapun, antara program tempatan disediakan ialah siri Alauddin yang pertama kali menggabungkan unsur sejarah Kesultanan Melayu serta penyebaran Islam. Ia dipersembahkan dalam bentuk imej penjanaan komputer (CGI), kesan khas dan serat kostum.
Drama antarabangsa seperti King Farouq dan Saifullah Khaled Ibn Waleed pula adalah dua siri drama Arab terbaik yang pastinya memancing perhatian penonton. Tidak ketinggalan, TVAH juga menyiarkan berita konprehensif, dokumentari dalam dan luar negara. Bagi memenuhi kehendak penonton kanak-kanak pula TVAH akan menayangkan animasi terbaik, Pada Zaman Dahulu yang di hasilkan produksi Les Copaque.
0 KOMEN:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.