WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

TABUNG HAJI SEDIA MAKANAN KEPADA JEMAAH HAJI

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyediakan makanan kepada 26,000 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji tahun ini dalam usaha menentukan mereka mendapat makanan yang bersih dan berkhasiat sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

Jurucakap Tabung Haji berkata, untuk tujuan itu pihaknya menyediakan hampir 190,000 kilogram bahan mentah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya di mana proses penyediaan makanan dikendalikan dua anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Global Services Sdn Bhd dan Tabung Haji Travel.

Menurut jurucakap itu, makanan yang disediakan ialah bagi makan tengah hari dan makan malam dan diedarkan secara terus kepada semua jemaah haji di tempat penginapan masing-masing.

Tinjauan petugas media Tabung Haji di salah sebuah dapur di Burj Abbas yang dikendalikan TH Global mendapati penyediaan makanan dikawal ketat dari segi mutu penyediaan serta pembungkusan dan setiap bungkusan makanan ditentukan sampai kepada jemaah haji dalam tempoh tidak lebih dua jam dari masa disediakan.

Ketua Pegawai Operasi TH Global, Datuk Yasmin Mohd Yazid berkata, proses memasak makanan dilakukan tiga tukang masak dengan diawasi seorang ketua tukang masak di mana mereka dipilih dari kalangan tukang masak dari hotel bertaraf lima bintang di tanah air.

“Proses penyediaan bahan mentah mengambil masa dua jam, manakala masing-masing dua jam lagi bagi proses memasak dan pembungkusan sebelum ianya diedarkan ke 10 tempatan penginapan jemaah haji atau Maktab Tabung Haji di Makkah,” katanya.

Beliau berkata, makanan siap dibungkus menggunakan bekas 'aluminium foil' yang boleh mengekalkan tahap kepanasan makanan sehingga dua jam dan setiap hidangan ditentukan mempunyai khasiat dari segi karbohidrat, protein, vitamin dan serat.

Sementara itu, Ketua Tukang Masak, Basir Hamid berkata, cabaran utama dalam penyediaan makanan bagi jemaah haji ialah bagi memenuhi cita rasa setiap jemaah haji kerana mereka berasal dari negeri dan latar belakang berbeza.

“Kami menyediakan menu yang berbeza setiap hari dan pertukaran menu dilakukan setiap dua minggu sekali,” katanya.

Mengenai bahan mentah serta rempah ratus pula, beliau berkata, ia tidak menjadi masalah kerana boleh didapati di Arab Saudi.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.