WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

KENALI 10 CIRI AJARAN SESAT

Ajaran sesat sudah muncul di negara ini sejak abad ke-17 lagi dan tidak menghairankan apabila ramai dalang mengaku rasul dan malaikat.

Buktinya, baru-baru ini, pembawa dan penyebar ajaran sesat, Abdul Kahar Ahmad Jalal, berumur 59 tahun yang mengaku dirinya Rasul Melayu disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun selain denda juga sebatan.

Hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sehingga 2008, 55 jenis ajaran sesat sudah diwartakan haram di Malaysia tetapi selepas pelbagai operasi bersepadu dijalankan, hanya 12 yang tinggal.

Persoalan besar yang timbul ialah mengapa umat Islam masih keliru dengan ajaran Islam dan ajaran sesat itu? Tidak lain ialah kerana mereka berasa terkongkong dengan pantang larang Allah dan terlalu mengikut kehendak hawa nafsu supaya segala hajatnya diperoleh melalui jalan mudah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah ayat 7: “Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat,”.

Berdasarkan ayat itu, Allah menjelaskan ciri orang sesat iaitu mereka yang tidak betul kepercayaan, amal ibadat dan rosak akhlaknya. Ini bermakna, sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang didakwanya adalah ajaran Islam tetapi berlawanan dengan akidah dan syariah Islam dihukumkan sesat.

Ajaran itu dikatakan sesat apabila memenuhi satu daripada 10 ciri. Namun, ciri berkenaan hanya boleh diputuskan oleh pakar agama atau jawatan kuasa fatwa.

Ciri terbabit ialah mengingkari rukun iman dan rukun Islam, meyakini atau mengikuti akidah yang tidak sesuai dengan syarak, meyakini turunnya wahyu selepas al-Quran, mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran, melakukan penafsiran al-Quran tanpa kaedah tepat dan mengingkari kedudukan hadis nabi Muhammad sebagai sumber ajaran Islam.

Ciri lain ialah memperlekeh atau merendahkan nabi dan rasul, mengingkari Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasul terakhir, mengubah asas ibadat yang sudah ditetapkan syarak dan terakhir mengkafirkan sesama Islam tanpa dalil syarie.

Berdasarkan 10 ciri itu, diingatkan bahawa ajaran sesat akan terus berkembang dengan adanya faktor pendukung iaitu:

Perbalahan terbuka di kalangan ahli agama:
Jangan kita bersikap mementingkan diri sehingga berpecah belah dalam mencapai matlamat. Pihak penguat kuasa dan undang-undang perlu tegas supaya tidak timbul alasan tidak tahu, tiada kuasa dan sebagainya dalam menangani ajaran sesat.

Wujud pembela ajaran sesat:
Kelompok liberal yang taklid membuta-tuli sering menggunakan isu kebebasan beragama dan mentafsirkan ajaran agama sesuka hati. Di sebalik kebijaksanaan akal, yang cetek iman, mereka menghina Islam.

Demi memelihara pegangan akidah, marilah kita bersama-sama memantapkan kefahaman agama Islam secara istiqamah dari sumber yang benar dan tepat, selain beramal syariat sahih.

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya,” (Ali Imran: 19).

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.