WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PIALA AGONG 2009 : JUARA BERSAMA

Kelantan dan Johor dinobatkan juara bersama dalam perlawanan akhir Piala Agong 2009 setelah terikat 1-1 selepas tamat masa perlawanan sebenar di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Gol jaringan Azlan Ismail pada minit ke-28 tidak mengcukupi buat tuan rumah mengenggam Piala Agong pada tahun ini setelah jaringan Kelantan dipadamkan pemain Johor yang menyudahkan jaringan melalui sepakan percuma menarik tiga minit selepas itu.

Babak pertama dimulakan dengan Kelantan mengatur serangan ke kubu Johor melalui pemain berbisa yang pernah mewakili Malaysia, Azlan Ismail tetapi hampa kerana kekebalan penjaga gol Johor.

Johor berpeluang menjaringkan gol tetapi sepakan penalti yang dihadiahkan kepada mereka disia-siakan kapten pasukan untuk melegakan hampir 1500 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-17, Azlan berjaya merampas bola sebelum mengumpan kepada Zool Ihsan yang keseorangan tetapi dia memilih untuk menyepak liar melepasi palang gol walau hanya berdepan dengan penjaga gol.

Setelah melakukan asakan demi asakan, Azlan Ismail berjaya mendapat bola sebelum melepaskan sepakan padu tetapi berjaya ditepis sebelum melantun kembali kepadanya dan tindakan susulan Azlan selepas itu berjaya meletakkan bola kedalam jaring untuk gol pertama Kelantan.

Tidak lama meraikan gol, kubu Kelantan akhirnya dibolosi setelah pemain mereka berjaya menyudahkan sepakan percuma langsung gagal ditepis keluar penjaga gol Kelantan untuk gol penyamaan pada minit ke-31.

Johor yang berjaya menyamakan kedudukan, mula mengatur gerak tetapi dihampakan ketangkasan Jenggo dan Mohd Aras di bahagian pertahanan Kelantan.

Pemain Johor yang kadang kala melakukan kekasaran akhirnya menerima padah apabila pemain tengah mereka dilayangkan kad merah setelah mengutip kad kuning kedua pada minit ke-40. Kad merah dilayangkan setelah pemain tersebut cuba menghalang sepakan percuma Kelantan menyebabkan berlakunya insiden sepak menyepak dengan Zool Ihsan.

Bersambung babak kedua, Kelantan mengandakan asakan untuk mencari gol pendahuluan tetapi semua percubaan gagal disudahkan seterusnya menghampakan penyokong yang setia berada di tempat duduk walau hujan mulai turun dengan lebatnya.

Zool Ihsan yang juga ketua pasukan Kelantan hampir menjaringkan gol tetapi percubaan cantiknya diselamatkan penjaga gawang Johor yang dilihat cemerlang menafikan percubaan demi percubaan pemain Kijang.

Kemasukan Khairul Zal dan Mohd Hanif tidak memberi sebarang makna apabila mereka gagal melakukan sebarang ancaman kepada pintu gol pelawat.

Wisel penamat dibunyikan untuk kedudukan terikat 1-1 dan perlawanan penentuan sepakan penalti tidak dapat dilakukan kerana hujan semakin lebat. Pengadil perlawanan mengambil keputusan yang padang tidak dapat digunakan kerana air semakin banyak menakungi padang perlawanan.

Pihak PBSMM yang bermesyuarat memutuskan perlawanan ditamatkan dengan kedua-dua pasukan dinobatkan juara bersama Piala Agong 2009.

SUMBER

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.