WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PENYELIDIKAN MEMAJUKAN TANAMAN ROSELLE

Penanaman roselle sebenarnya mula diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Terengganu pada 1993 dan kemudiannya usaha memperkenalkan tanaman tersebut dipergiatkan lagi dengan bantuan agensi lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pada masa sama, usahawan yang mula berjinak-jinak dengan tanaman ini juga membantu mempopularkan buah roselle sebagai industri baru. Pada masa ini terdapat dua varieti roselle yang popular ditanam iaitu varieti Terengganu dan juga Arab. Varieti Terengganu diperkenalkan oleh Universiti Malaya (UM) dan diberi nama UMKL-1. Pada 1990-an, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan UM mula menjalankan penyelidikan mengenai roselle khususnya dalam pembiakbakaan bagi mencari varieti baru yang lebih sesuai.

Usaha-usaha tersebut perlu dijalankan memandangkan banyak manfaat diperoleh daripada hasil kajian tersebut antaranya buah roselle mengandungi vitamin C dan pelbagai vitamin lain termasuk B juga antosianin iaitu sejenis antioksidan.

Kejayaan tersebut juga telah memberi sinar baru kepada pengusaha-pengusaha makanan dan minuman berasaskan roselle menerusi penghasilan jus, halwa dan pelbagai makanan lagi termasuk kek.

Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus sabdariffa L. yang dikatakan berasal dari Sudan, Afrika ini merupakan tumbuhan dalam keluarga bunga raya tetapi masih ramai yang belum benar-benar mengetahui khasiatnya.

Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohamad Osman dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menemui khasiat kandungan kimia dalam buah roselle yang dinamakan hydroxycitric acid (HCA), sejenis bahan yang boleh membantu mengurangkan berat badan.

Bahan pelangsing badan ini merupakan satu produk yang diidami oleh pengguna terutama wanita yang mementingkan penampilan diri. Kajian beliau sebelum ini yang bertujuan meningkatkan khasiat roselle sejak 1999 mendapati bahawa ia mempunyai khasiat antosianin dan juga vitamin C sahaja. Kajian tersebut dijalankan dengan teknik mutasi aruhan iaitu mengubah genetik roselle menggunakan sinaran gama akhirnya berjaya menghasilkan pelbagai varieti pokok roselle. Kajian pembiakbakaan itu penting bagi membolehkan pengusaha roselle mempunyai alternatif dan sumber lain untuk menghasilkan produk yang lebih bermutu.

"Roselle secara semula jadi melakukan pendebungaan sendiri semasa peringkat putik sebelum kelopak bunga muncul dan mengembang. Tabiat semula jadi itu menjadi halangan untuk memperoleh variasi genetik, sama ada melalui kacukan sendiri atau buatan. Justeru, kaedah yang boleh dijalankan ialah mutasi aruhan,'' katanya.

Menurut Mohamad, program pembiakbakaan melalui mutasi aruhan dijalankan sejak 2006 ke atas varieti Arab menggunakan kemudahan Gammacell di UKM. Menerusi pembiakan mutasi aruhan itu, bijih benih varieti Arab didedahkan sinar gama dengan kekuatan 80 Gy (ukuran ujian radiasi). Kajian pembiakbakaan itu berjaya menghasilkan tiga jenis roselle baru yang mempunyai keistimewaannya tersendiri dan mempunyai ciri-ciri morfo-agronomi dan fisiko kimia yang dikehendaki.

Ia dinamakan UKMR-1, UKMR-2 dan UKMR-3 yang kesemuanya menampilkan ciri-ciri saiz pokok sederhana besar, kutang tinggi, bentuk tegak dan matang lebih cepat. Ia menghasilkan warna daun hijau kecuali UKMR-2 yang mempunyai daun lebar dan berwarna kemerahan. Warna kaliks untuk ketiga-tiga jenis roselle itu masing-masing merah, merah hati dan hijau muda. Ketiga-tiga variasi roselle ini telah pun dilancarkan di UKM April lalu.

Penyelidikan yang turut dibantu oleh pelajar Noor Baiti Abd Aziz, Nurul Rahaimah Che Mustapha, Halimaton Saadiah Othman, Zainal Mohamad dan Nur Samahah Mohd. Zainual itu memberi harapan baru kepada pengusaha kerana ia boleh dimanfaatkan untuk penghasilan produk lain. Sebagai contoh,UKMR-1 boleh dijadikan produk uncang. Turut dihasilkan ialah kapsul, ekstrak sejuk kering dan semburan kering.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.