WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

CRADLE SEDIA DANA RM100 JUTA KOMERSIALKAN PRODUK TEKNOLOGI

Penyedia pembiayaan dana, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) menyasarkan 30 buah syarikat teknologi (technopreneur) mendapat pembiayaan dana CIP 500 untuk tujuan pengkomersialan produk teknologi sepanjang tahun depan.

Dana CIP500 itu dibuka kepada syarikat teknologi yang baru memulakan perniagaan dan permohonan boleh dilakukan bermula bulan depan dengan pembiayaan maksimum RM500,000. Dana tersebut merupakan sebahagian daripada program pelaburan Cradle dan syarikat itu merupakan agensi yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, jumlah keseluruhan dana yang diperuntukan untuk pembiayaan di bawah Program Pelaburan Cradle (CIP) adalah sebanyak RM100 juta. Beliau berkata, melalui dana CIP500, para pemohon yang layak boleh membuat permohonan pembiayaan maksimum sebanyak dua kali.

Katanya, dana tersebut dikhususkan untuk projek perkembangan pengkomersialan produk teknologi seperti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bioteknologi, sains hayat, semikondutor dan teknologi pembersihan.

"Cradle sudah mengeluarkan pembiayaan dana untuk 372 idea di bawah program CIP yang memperlihatkan 48 peratus daripada idea itu sudah dikomersialkan. Ini menunjukkan sebanyak 247 idea sudah dibiaya di bawah program CIP dengan setiap satu idea menerima pembiayaan sebanyak RM50,000. Baki daripada idea itu dianggarkan bernilai RM150,000,'' katanya.

Nazrin menambah, pihaknya menyasarkan untuk mengkomersialkan 50 peratus daripada idea yang dikeluarkan oleh pemohon pembiayaan pada suku pertama tahun depan. Katanya, sebelum ini, dana pembiayaan Cradle kebanyakannya diagihkan untuk syarikat teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Ujarnya, sebanyak 70 peratus pembiayaan dana adalah untuk syarikat berasaskan ICT. Selain itu, menurut Nazrin, pihaknya berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak kisah kejayaan syarikat-syarikat teknologi dalam mengkomersialkan produk masing-masing.

"Kami mahu lebih banyak cabang teknologi dikembangkan di negara ini. Kita mempunyai pengetahuan dalam teknologi tetapi sehingga kini ia kurang menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh itu, melalui dana pembiayaan CIP 500 ini, ia dijangka akan meningkatkan pembangunan dalam bidang berkenaan,'' ujarnya.

Pengerusi Cradle ialah Datuk Mohd. Sallehuddin Othman.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.