WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

ZULKIFLEE GANTI USTAZ ASRI RABBANI

Jelas tampak berlainan walaupun anggota kumpulan nasyid popular itu bersemangat memperjuangkan nasyid dan kumpulan Rabbani itu sendiri.

Tahun ini genap 18 tahun Rabbani bekerjasama dengan hotel itu untuk menghiburkan tetamu yang hadir berbuka puasa. Bermakna sudah 17 kali Asri menghiburkan tetamu di hotel itu sepanjang puasa.

Pengurus Komunikasi Korporat dan Acara Rabbani Production (M) Sdn Bhd, Azadan Abdul Aziz berkata walaupun tidak bersedia dengan pemergian Asri namun mereka akan tetap meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham dalam menyebarkan dakwah melalui lagu nasyid agar tidak ditelan zaman.

“Tahun pertama tanpa Asri, sukar saya menidakkan sememangnya suasana ini menyentuh emosi kami. “Namun saya sedar perjalanan Rabbani masih jauh dan kami akan tetap mengatur langkah kerana inilah cita-cita kami ketika hayat Asri ada iaitu untuk berdakwah melalui lagu nasyid,” katanya.

Pada malam itu turut dilancarkan Program Amal Iftar dan Tribute Khas bagi menghargai dan mengingati jasa dan semangat vokalis utama kumpulan Rabbani dalam memperjuangkan muzik nasyid.

Program usaha sama Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia (PIN), Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID), Rabbani Productions (M) Sdn Bhd, Hotel Singgahsana sendiri, IKIM.fm, Hijjaz Record, Inteam Record, Raihan Corporation, Nasheed Event, Nasyeed.com dan banyak lagi bagi mengumpul dana untuk membantu keluarga Allahyarham.

Dalam majlis berkenaan, Rabbani mengumumkan pengganti vokal utama mereka Zulkiflee Azman. Kehilangan ustaz Asri tidak boleh ditukar ganti, hakikat ini diperakui oleh Zulkiflee dengan menyifatkan pemilihannya hanyalah seketika demi kepentingan kumpulan itu.

“Buat masa ini, saya akan mengambil tempat ini namun pada masa akan datang, kami akan membahagikan vokal utama kepada ahli-ahli lain kerana masing-masing memang berbakat. “Walaupun tiga kali membuat persembahan pentas, tetapi perasaan berdebar-debar dan gementar masih terasa. Seperti rakan-rakan lain, kami tidak mempunyai rutin penjagaan suara yang khas namun saya sekarang dalam proses menghafal lagu, mengingati irama serta menjiwai lagu kami,” katanya. Sementara itu, Azadan juga penyanyi harmoni Rabbani berkata pemergian Asri memberi semangat kepada kumpulan itu untuk keluar dari zon selesa dengan memberi peluang anggota lain menyerlahkan bakat.

“Malah ikatan persahabatan di kalangan kami menjadi bertambah erat. Saya masih ingat pada tahun lepas, di pentas yang sama, arwah menasihati kami supaya menjadikan Ramadan sebagai gelanggang mengasah bakat. Tidak sangka tahun ini kami betul-betul mengasah bakat di sini dan saya harap ikatan persahabatan di kalangan kami bertambah erat selepas ini. Saya berharap peminat akan terus memberi sokongan kepada Rabbani walaupun ustaz Asri tiada dan meminta peminat supaya memberi maklum balas kepada mereka di laman sesawang rasmi kami,” katanya.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotel Singgahsana, Abdul Manaf Abdul Rahim berkata meskipun ketiadaan Asri, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Rabbani.

“Hotel ini dengan Rabbani sudah sinonim dan janggal rasanya jika kain rentang hotel mempromosikan majlis berbuka di hotel itu tertulis nama kumpulan nasyid lain. Samalah juga sekiranya tiba-tiba pada tahun itu, Rabbani mengadakan kerjasama dengan hotel lain. Mereka yang saban tahun berbuka di sini juga akan bertanya sama ada Rabbani akan membuat persembahan seperti tahun sebelumnya.


“Pada saat getir Rabbani kehilangan Asri, pihak hotel harus memberikan sokongan dan saya cukup terharu apabila saya antara yang mendapat panggilan daripada Azadan memberitahu Asri sudah tiada. Insya-Allah tanpa Asri pun, kami akan terus bekerjasama dengan Rabbani. Boleh dikatakan kejayaan mereka bermula di hotel ini dan setiap tahun meraih anugerah, kejayaan mereka akan kami raikan di sini. Saya yakin Rabbani akan terus subur dan meneruskan perjuangan ditinggalkan Asri,” katanya.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.