KOTA BHARU - Pasukan Kelantan memulakan latihan intensif sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2009 dengan menjalani latihan bermula petang tadi di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu.
Setelah berehat panjang hampir sebulan disusuli dengan lawatan sambil belajar ke London selama 10 hari, jelas Kelantan tidak boleh menunggu terlalu lama untuk memulakan persiapan bagi kempen Piala Malaysia musim ini.
Biarpun ketika ini suasana bulan Ramadhan baru sahaja memasuki fasa pertengahan, latihan insentif selama hampir dua minggu ini diharap mampu mengembalikan momentum para pemain Kelantan.
Perkhabaran menarik bahawa, kapten KL Felda United, Mohd Nazrul Erwan Makmur dan Norhisham Hassan ( T- Team ) kini telah turun menjalani latihan pertama kali bagi memperkuatkan cabaran pasukan Kelantan kali ini.
Nama Nazrul Erwan tentunya tidak asing lagi dikalangan peminat bola sepak tempatan kerana mempunyai pengalaman luas beraksi dengan beberapa negeri dan kelab serta pernah mengucup Piala Malaysia. Tonggak pertahanan ini pernah beraksi bersama dengan pasukan Sabah, Selangor, KL Plus FC dan musim ini dia bersama KL Felda United FC.
Manakala Norhisham Hassan, tonggak tengah kelab dari Liga Perdana musim ini, T-Team sebelum ini pernah beraksi bersama negeri kelahirannya - Terengganu sebelum memilih beraksi bersama PDRM pada pertengahan liga musim lepas.
Tentunya, kehadiran Nazrul Erwan dan Norhisham Hassan dijangka memperkuatkan posisi pertahanan dan tengah Kelantan yang mempamerkan aksi tidak konsisten sepanjang musim ini.
0 KOMEN:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.