WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

SEBAT KARTIKA KECOH

SUNGAI SIPUT: Keputusan mengejut Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menangguhkan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini menimbulkan kekecohan di rumah bapanya di sini semalam, selepas model sambilan itu berkeras mahu dibawa ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.

Kekecohan berlaku kerana Kartika Sari enggan keluar daripada van Jaip yang hanya bergerak sejauh 200 meter dari rumahnya di Kampung Jawang Utara, di sini, manakala bapanya, Shukarno Mutalib enggan menerimanya apabila pegawai Jaip menyerahkan semula anaknya.

Ketika pegawai Jaip berunding dengan bapanya, Kartika Sari duduk dalam van selama kira-kira sejam mulai jam 9.25 pagi sehingga jam 10.30 pagi sambil diperhatikan ramai penduduk kampung yang sebelum itu mengadakan solat hajat memohon wanita itu tabah menghadapi hukumannya.

Bagaimanapun, selepas perbincangan, Shukarno bersetuju menerima anaknya apabila Pegawai Penguatkuasa Jaip, Sharafuddin Zainal Abidin mengeluarkan surat pengesahan menyatakan Kartika Sari diserahkan semula kepada keluarganya berikutan penangguhan hukuman itu.

Kartika Sari, 32, yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu kemudian bersetuju selepas bapanya berbincang dengan pegawai Jaip selama kira-kira sejam.

Sebelum itu, tiga pegawai penguat kuasa Jaip pergi ke rumahnya untuk membawa Kartika Sari ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat, tetapi van Jaip yang dinaikinya berpatah balik ke rumahnya selepas menerima arahan penangguhan hukuman.

Keputusan penangguhan dikeluarkan di Kuantan, Pahang oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz, berkata sebaik menerima arahan itu, tiga pegawai Jaip yang ditugaskan menjemput Kartika Sari membebaskannya dan diserahkan semula kepada bapanya.

"Kartika Sari dibebaskan, tetapi untuk sementara waktu saja atas nasihat Ketua Hakim Syarie negeri. Hukuman sebatan tetap kekal. Namun, bagi menghormati Ramadan, hukuman ditangguh dan akan dilaksanakan selepas puasa.

"Tarikh bila Kartika Sari akan dibawa semula belum ditetapkan. Jaip akan merujuk semula kepada pejabat Ketua Hakim Syarie, tetapi yang pastinya ia selepas Aidilfitri," katanya.

Kartika Sari yang kecewa dengan keputusan itu, berkata beliau sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalani hukuman sebat dan tidak faham tujuan Jaip menangguhkan hukuman berkenaan.

"Saya tetap dengan pendirian saya. Saya tak tahu di mana kedudukan saya sekarang. Macam mana? Hati saya masih di situ. Saya sudah nekad (untuk disebat). Tiada hitam-putih apa kedudukan saya sekarang. Saya tetap dengan keputusan untuk disebat.

Saya tertanya-tanya. Apa yang berlaku. Mengapa buat saya macam permainan bola sepak. Itu yang saya sedih," katanya sambil menangis selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar polis bahawa beliau tidak melarikan diri selepas waran tangkap dikeluarkan.

Beliau dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.

Pada 18 Ogos, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan dia ditahan berkuat kuasa semalam bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu. Kartika Sari adalah wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Syarie Jaip, Datuk Abdul Rahim Jaafar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut pembebasan Kartika Sari, sebaliknya berkata lebih elok perkara itu didiamkan saja tanpa perlu diheboh-hebohkan.

"Penjelasan tidak perlu diberikan sekarang...lebih baik diamkan dulu. Tiba masanya nanti kita akan maklumkan," katanya.

SUMBER

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.