WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

PEWANGI SISA BUAH-BUAHAN

Sekumpulan pelajar Kolej Taylor's yang terlibat dalam demonstrasi membuat ekoenzim sempena minggu Go Green memberitahu, untuk menyediakan ekoenzim seseorang itu hanya memerlukan sisa buah-buahan atau sayuran, gula perang dan air.

Menurut Akmal Arif, 19, ekoenzim merupakan satu larutan kompleks yang dihasilkan melalui proses pemeraman antara campuran sisa dapur yang segar seperti buah-buahan dan sayuran, gula serta air.

"Enzim ini mudah dihasilkan dan boleh disediakan sendiri oleh setiap isi rumah. Apa yang perlu dilakukan ialah campurkan 10 bahagian air, satu bahagian gula dan tiga bahagian sisa dapur ke dalam bekas kedap udara. Bekas itu kemudian perlu ditutup ketat dan disimpan selama tiga bulan, tetapi penutupnya perlu dibuka atau dilonggarkan setiap hari untuk melepaskan gas. Selain dijadikan semburan penyegar udara, ekoenzim juga boleh digunakan untuk mencuci lantai, melembutkan fabrik, baja organik serta boleh digunakan untuk membasuh baju. Apa yang perlu dilakukan adalah mencampurkan satu penutup botol ekoenzim dengan air, kemudian ia boleh digunakan dalam cucian," jelasnya.

Sementara itu, rakan sekumpulannya, Nasrul Yusof, 19, menerangkan bahawa kaedah menjadikan ekoenzim berbau wangi adalah dengan menggunakan sisa buangan buah-buahan sitrus.

Projek ekoenzim sempena kempen hijau itu melibatkan empat pelajar yang lain iaitu Zi Chuen, Rebecca, Michele dan Mohd. Amin Md. Daud. Kumpulan pelajar tersebut tampil dengan idea itu bagi mendedahkan kepada masyarakat khususnya kepada rakan sekelas mereka mengenai kebaikan ekoenzim. Pada masa yang sama, mereka membawa mesej penjagaan alam sekitar.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.