AKADEMI ETIQA DI UUM
Bukan mudah untuk menjadi seorang ejen sebuah syarikat insurans. Ejen tersebut bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dan penampilan yang meyakinkan bagi memasarkan jenama yang diwakili, pengetahuan mengenai produk dan juga syarikat perlu dikuasai. Peka dengan keadaan semasa dan memahami risiko dalam pasaran menjadi penambah nilai agar ejen mampu mencapai sasaran jualan.
Dengan kesedaran bahawa ejen-ejen harus mempunyai pengetahuan secara ilmiah dalam bidang itu, Etiqa Insurance dan Takaful memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans. Bagi melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran ejen-ejennya, Etiqa Insurance dan Takaful memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans dengan kerjasama UUM. Ia bagi meningkatkan daya saing syarikat di pasaran negara dan antarabangsa. Bukan sahaja itu ia juga bagi meletakkan ejen tersebut di satu tahap yang tersendiri yang bukan sahaja berpengalaman tetapi berpelajaran.
"Kami mewujudkan program ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan profesionalisme ejen-ejen kami. Bukan sahaja ia akan membantu ejen-ejen memberi perkhidmatan yang terbaik dengan kelulusan ini ia mampu meningkatkan perkembangan diri dan menambah baik taraf hidup mereka," kata ketua pengarah eksekutifnya, Datuk Aminuddin Md Desa. Program itu yang merupakan usaha sama Etiqa dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan program jarak jauh dengan kelas akan diadakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
UUM akan menyediakan silibus dan juga tenaga pengajar manakala Etiqa menyediakan para pelajar. Ejen-ejen akan berdaftar sebagai pelajar UUM dan perlu mematuhi undang-undang seperti pelajar lain. Sekiranya gagal dalam sesuatu subjek mereka harus mengulang semula bagi melengkapkan jam kredit. Dengan kelas diadakan di Kuala Lumpur pelajar ejen Etiqa akan didedahkan dengan pembelajaran menerusi Internet, makmal komputer dan juga praktikal. Ejen-ejen harus memenuhi syarat kelayakan akademi dan juga pencapaian dalam jualan masing-masing. Mereka yang berminat harus memohon dan pihak Etiqa dan UUM akan menentukan ejen yang mana layak untuk mengikuti program tersebut.
Menurut Ketua Akademi Etiqa, Mohd. Sani Ayob, syarikat sememangnya komited dalam meningkatkan tahap pengetahuan dan daya saing ejen-ejennya. "Pelbagai program dan kursus eksekutif diadakan bagi memastikan ejen-ejen di Etiqa berkualiti dan mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai produk dan juga pasaran. Ini adalah program ijazah yang pertama diadakan. Ia adalah bagi memastikan kerjaya mereka di Etiqa adalah kerjaya yang berterusan," katanya.
Pihak syarikat akan menanggung 75 peratus daripada yuran pengajian manakala ejen perlu membayar selebihnya. Pun begitu, sekiranya ejen tidak mendapat keputusan yang cemerlang keistimewaan itu akan ditarik balik. Subjek-subjek program itu merangkumi subjek wajib universiti iaitu Perhubungan Etnik dan Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Kenegaraan Malaysia. Subjek utama program termasuklah Insurans dan Risiko, Pengurusan Matematik, Akaun, Undang-Undang Perniagaan, Undang-Undang Insurans, Mikroekonomi, Makroekonomi, Pengurusan Kewangan, Pelaburan, Kajian Metadologi, Statistik dan Pengurusan, gabungan subjek Pemasaran, Tingkah Laku Pengguna dan banyak lagi.
Program itu bakal memakan masa selama empat tahun dan pengambilan pertama telah dilakukan seramai 25 orang pelajar dengan penuntut tertua dalam program itu berumur 62 tahun.
0 KOMEN:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.