WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

KONTRAKTOR MALAYSIA DAPAT 16 PROJEK LUAR NEGARA RM3.7B

Kontraktor Malaysia yang memperoleh 155 projek di luar negara bernilai AS$15.57 bilion (RM53.5 bilion) sejak tiga tahun lepas, memperoleh 16 projek lagi bernilai AS$1.06 bilion (RM3.7 bilion) setakat tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Yap Yoke Keong berkata, rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menunjukkan 2006 merupakan tahun terbaik, dengan 59 projek bernilai AS$8.17 bilion (RM28.6 bilion). Tahun lepas, syarikat Malaysia mendapat 40 projek bernilai AS$2.43 bilion (RM8.5 bilion), katanya.

Yoke Keong berkata, sehingga suku kedua 2009, kontraktor Malaysia menyiapkan 467 projek luar negara bernilai AS$8.5 bilion (RM29.9 bilion) manakala 131 projek benilai AS$18 bilion (RM63.1 bilion) sedang dilaksanakan.

"Kesemua projek ini bagaimanapun melibatkan hanya 103 kontraktor, angka yang sangat kecil berbanding kira-kira 65,000 kontraktor berdaftar di negara ini," katanya semasa membentangkan laporan negara Malaysia pada mesyuarat Majlis Persekutuan Kontraktor ASEAN ke-29, di sini hari ini.

Hampir separuh kontrak luar negara yang diperoleh syarikat Malaysia sejak 1997 bertumpu di Timur Tengah, kata Yoke Keong yang menambah Arab Saudi menyediakan bahagian terbesar dengan RM20.73 bilion, diikuti India dengan RM14.1 bilion dan Emiriah Arab Bersatu bernilai RM10.5 bilion.

Di Malaysia, pembinaan merekodkan pertumbuhan positif 2.8 peratus pada suku kedua 2009, sebahagian besarnya projek berkaitan pakej rangsangan, terutama pembinaan projek bukan kediaman seperti sekolah, kolej dan hospital, kata Yoke Keong.

Beliau berkata, bagi dua pakej rangsangan benilai RM67 bilion, sejumlah 83,939 projek sudah agihkan. Meskipun sudah menampakkan kesan positf hasil pakej rangsangan, MBAM berpendapat ia mungkin tidak mencukupi untuk membolehkan ekonomi keluar daripada kelembapan pada asas yang lebih kukuh.

Yoke Keong berkata, persatuan itu menggesa kerajaan menyegerakan pengagihan baki projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan bagi memastikan kelestarian dan pertumbuhan industri pembinaan dan memenuhi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar domestik sebanyak tiga peratus pada 2009.

Persatuan itu katanya, menaruh harapan terhadap projek infrastruktur seperti projek pemindahan air mentah Pahang-Selangor bernilai RM2.6 bilion, sambungan projek pengangkutan transit aliran ringan sebanyak RM7 bilion, terminal syarikat penerbangan tambang murah (RM2 bilion), projek rel berkembar Johor Bahru (RM5 bilion) dan projek bekalan air Langat 2 (RM4.5 bilion). - BERNAMA

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.