WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

KENAPA PERTANIAN THAILAND BERJAYA?

Rakyat Malaysia kadangkala terlupa bahawa banyak produk pertanian yang dihasilkan anak tempatan sebenarnya berkualiti. Apa yang sering kali kedengaran ialah mereka teruja dengan produk pertanian dari negara jiran di sebelah utara iaitu Thailand.

Beras siam, mangga siam dan durian siam adalah antara produk pertanian keluaran negara itu yang kerap kali kita dengar. Mengapa demikian? Adakah kerana produk pertanian kita seperti durian dengan baka D24 dan sebagainya serta benih padi MR219 sebagai contoh, belum begitu berdaya saing.

Ada beberapa persoalan yang timbul dan ini dijawab jelas oleh seorang usahawan pertanian yang juga Konsul Kehormat Diraja Thailand yang berpejabat di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah. Pada pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2004 berkongsi beberapa persoalan untuk direnungi bersama.

Antaranya, kenapa buah dan sayur Thailand lebih baik dan kenapa sayur negara berkenaan mampu bersaing dalam pasaran eksport. Persoalannya yang tidak kurang pentingnya ialah kenapa keluaran padi negara berkenaan cukup berkualiti dan mampu memnuhi keperluan eksport?

Persoalan-persoalan tersebut berada dalam lingkungan sektor agro makanan dan selanjutnya beliau membawa kepada persoalan lain iaitu kenapa kita mampu berada dalam kedudukan pertama dalam industri kayu getah. Beliau yang berasal dari Kedah, menjelaskan terdapat beberapa perkara yang mendukung kejayaan Thailand dalam bidang pertanian.

Pertama, ia berkaitan dengan tenaga kerja yang mana mereka komited, tidak ortodoks dan menguasai teknologi baru. ''Kerajaan Thailand sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi pertanian serta asas tani kepada golongan petani mereka'' ujarnya.

Perkara kedua berkaitan dengan sistem atau pendekatan pertanian di negara berkenaan. Shazryl Eskay merujuk kepada sikap petani yang menganggap pertanian adalah satu industri. Katanya, oleh kerana sumber tanah adalah terhad, petani mengeksploitasi setiap inci tanah pertanian dan setiap pokok yang mereka tanam.

''Di Malaysia, kita memberi tumpuan kepada pokok sehektar demi sehektar berbanding tumpuan kepada sepokok demi sepokok.

Setiap petani juga, katanya, diajar bahawa untuk berjaya dalam pertanian, amalan secara holistik adalah penting kerana kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran bergantung kepada pokok yang sihat. Pokok yang sihat pula bergantung kepada tanah yang subur, manakala tanah yang subur bergantung kepada kandungan atau sistem biodiversiti tanah seperti mikrob, cacing dan hidupan lain dalam tanah.

Pada masa sama, kerajaan negara berkenaan juga meningkatkan infrastruktur pertanian dengan menyediakan pusat pungutan dan pemprosesan hasil setiap daerah dan sistem silo (simpanan bijirin).

Faktor ketiga yang beliau kongsi ialah penggunaan benih yang bermutu. Katanya, klon benih memainkan peranan penting kerana yang menentukan sama ada kualitinya baik seperti tahan lama, saiz sesuai, manis dan cantik. Keseragaman klon juga penting dalam industri buah khususnya untuk pengetinan, selain kualiti tahan penyakit.

Faktor keempat yang tidak kurang pentingnya ialah baja. Menurut beliau, baja yang baik mengandungi nutrien yang lengkap untuk keperluan tanaman dan tidak memudaratkan tanah serta mikroorganisme.

''(Kebanyakan) baja yang berada di pasaran kini tertumpu kepada keperluan tanaman sahaja," katanya. Beliau mempersoalkan kenapakah pokok yang yang telah diberi baja masih mengalami masalah seperti penyakit, tidak mengeluarkan getah dan buah tidak berkualiti. Apa yang berlaku dakwanya ialah masalah 'defiseinsi nutrin' kerana pokok tidak mendapat kuantiti dan baja yang diperlukan.

''Pokok perlu 16 jenis nutrien tapi yang dapat hanya baja N.P.K. sahaja sedangkan (nutrien) yang lain diabaikan," katanya. Katanya, negara berkenaan memanfaatkan baja untuk melakukan transformasi industri pertanian dan nama baja yang digunakan ialah Silicon 23 iaitu sejenis baja mineral dan natural dari negara berkenaan.

Faktor kelima ialah sistem pemasarannya yang mana ia melibatkan syarikat penerbangan Thai Airways, amalan menggunakan koperasi pengangkutan dan pembungkusan yang berkualiti. Oleh itu, katanya, faktor-faktor tersebut wajar diberi perhatian sekiranya industri pertanian negara hendak ditransformasikan bersungguh-sungguh.

Beliau bagaimanapun berkata, sektor pertanian tempatan telah memperkenalkan banyak klon benih dan baka untuk meningkatkan kualitinya. Bagaimanapun, tanaman tersebut perlu nutrien yang lengkap dan berkesan untuk mencapai sasaran pengeluarannya.

Shazryl Eskay menjelaskan, pembajaan penting kerana ia mampu menggantikan nutrien dan melengkapkan apa yang kurang. Katanya, kadangkala berlaku kes yang mana tanaman masih bermasalah meskipun telah diberi baja. Kelapa sawit sebagai contoh merupakan jenis monoecious yang mampu menghasilkan bunga betina atau jantan.

"Waktu pembentukan jantina adalah sangat penting bagi tanaman itu dan sekiranya berlaku stres, penghasilan bunga betina terbantut." Katanya, keadaan itu akan menyebabkan pembentukan bunga jantan yang antara lain disebabkan tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap.

Tanaman yang tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap mengalami masalah kekurangan zat. Ia disebabkan oleh dua faktor iaitu apabila tanaman tidak mendapat kuantiti nutrien yang diperlukan dan tanaman tidak mendapat jenis nutrien yang diperlukan. Kuantiti nutrien pula bergantung kepada jenis tanah sama ada berpasir tanah liat atau berasid.

Jika berpasir, baja akan hilang melalu proses larut resap dan jika tanah liat , baja akan hilang menerusi proses pemeruwapan dan hilang apabila dalam proses larian permukaan semasa hujan. Pembajaan di tanah berasid pula akan menyebabkan fosfat terikat dan tidak dapat digunakan oleh tanaman. Justeru, waktu menabur baja penting bagi mengelakkan masalah tersebut.

Bagi jenis nutrien pula, beliau menjelaskan. tanaman memerlukan 16 jenis nutrien untuk proses tumbesaran dan pengeluaran yang baik. Nutrien yang sentiasa digantikan melalui proses pembajaan adalah NPK dan magnesium sahaja.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.