TANAMAN RUMPUT NAPIER DI BACHOK
Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan sedang berusaha memperluaskan tanaman rumput Napier di kalangan penduduk negeri ini kerana tumbuhan itu berpotensi menjana pendapatan lumayan berikutan permintaan tinggi di kalangan penternak.
Rumput Napier yang berprotein tinggi hasil penyelidikan UiTM itu, mampu dituai untuk kali pertama selepas tiga bulan, sebelum tuaian seterusnya dilakukan setiap 45 hari. Projek tanaman rumput napier dimulakan UiTM Kelantan sejak enam bulan lalu dengan matlamat meringankan beban golongan petani yang mempunyai ternakan dan pada masa sama memberi pendapatan sampingan kepada mereka. Ketua Unit Jaringan Industri UiTM Kelantan, Prof Madya Mohd Zaki Zakaria, berkata berdasarkan kajian pihaknya, tanaman rumput Napier yang diperkenalkan UiTM itu mampu memberi pulangan sehingga RM1,000 sebulan bagi kawasan seluas 0.4 hektar.
Beliau berkata, projek tanaman rumput itu boleh dilakukan sesiapa saja sama ada penternak untuk memenuhi keperluan ternakan masing-masing atau pemilik tanah terbiar yang tidak mempunyai ternakan boleh menjual rumput yang ditanam itu kepada kilang memproses makanan ternakan. "Pengilang sedia membeli rumput napier segar pada harga 10 sen sekilogram kerana perlu memprosesnya menjadi kering untuk tempoh simpanan lebih lama sebelum dijual kepada penternak yang memerlukan makanan bagi ternakan masing-masing. Harga rumput napier kering hanya kira-kira 30 sen sekilogram, berbanding makanan ternakan sedia ada dalam pasaran yang mencapai lebih 50 sen sekilogram.
"Menerusi kaedah penjagaan dan pembajaan yang betul, penternak tidak lagi berdepan dengan kos makanan yang mahal. Kandungan protein dalam rumput ini lebih tinggi iaitu 18 peratus berbanding keperluan ternakan sekitar 12 peratus saja," katanya. Sejak mula diperkenalkan UiTM Kelantan kira-kira enam bulan lalu, ketika ini tujuh penduduk Kampung Permatang Pasir menyertai projek tanaman rumput itu dengan masing-masing mempunyai keluasan 0.4 hingga 0.8 hektar seorang, bagi memenuhi keperluan ternakan masing-masing. Mohd Zaki berkata, rumput sesuai ditanam atas semua jenis tanah dan mampu mencapai ketinggian tiga meter dalam tempoh tiga bulan, jika mendapat pembajaan dan jagaan yang sempurna. "Setiap benih akan mengeluarkan enam batang rumput. Apabila matang dan dipotong, setiap batang akan mengeluarkan dua tunas baru yang mampu membesar seperti induknya.
"Proses tuaian akan menyaksikan setiap rumpun rumput ini berkembang besar dan mampu mengeluarkan sehingga setahun sebelum ia dibuang untuk tanaman semula," katanya.
Mohd Zaki berkata, berdasarkan perkembangan dan potensi rumput terbabit, pihaknya berharap mampu menarik lebih ramai penduduk untuk menanamnya. "Kebetulan pula saya adalah pensyarah dalam bidang ekonomi pengkhususan yang menekankan mengenai ke arah memperbaiki taraf kehidupan masyarakat yang tergolong dalam kategori miskin tegar. "Saya perhatikan banyak bantuan yang kerajaan salurkan tetapi malangnya tidak dimanfaatkan golongan petani atau mungkin tidak sampai ke sasaran, jadi untuk itu saya mengambil inisiatif melalui UiTM dengan menjalankan beberapa kajian dan penyelidikan untuk memastikan apa yang diperlukan petani dapat dikecapi sebaik mungkin. "Khusus untuk projek ini, saya lakukan kerana rumput adalah sejenis tanaman yang paling senang diuruskan dari segi penjagaannya serta hasilnya sangat cepat," katanya.
Penternak lembu di Kampung Permatang Pasir, Johari Jaafar, 26, berkata beliau menyertai usaha menanam rumput itu sejak enam bulan lalu dengan harapan dapat mengurangkan kos makanan ternakannya yang suatu ketika mempunyai 30 ekor lembu.
"Dulu saya perlu berbelanja sehingga RM1,000 sebulan untuk membeli dedak sebagai makanan kepada lembu yang dipelihara. Kos yang tinggi, menyebabkan dari semasa ke semasa, saya terpaksa menjual sebahagian ternakan itu untuk menampung keperluan makanan.
"Menerusi tanaman rumput Napier ini, saya berazam meningkatkan jumlah ternakan yang dipelihara kerana sumber makanan segar kini boleh diperoleh dengan mudah," katanya yang menanam kira-kira 0.4 hektar rumput.
0 KOMEN:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.