WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

KERJASAMA ANTARA RISDA - FELCRA

Risda, Felda dan Felcra sudah mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh dilaksanakan secara bersepadu melalui sebuah konsortium yang bakal ditubuhkan dalam tempoh terdekat ini, kata Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Beliau yang mempengerusikan satu mesyuarat membabitkan tiga agensi itu pada 4 September lalu, berkata bidang kerjasama itu seperti melibatkan penggemblengan sumber, aktiviti hiliran berasaskan getah dan kelapa sawit, bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mengenai kerjasama bersepadu antara tiga agensi iaitu Risda, Felda dan Felcra, kita telah mengadakan mesyuarat yang pertama pada 4 September lalu bagi menentukan bahawa apa yang disebutkan Perdana Menteri itu boleh kita laksanakan dengan berkesan dengan seberapa segera yang boleh," katanya.

Abdul Rahim menyampaikan dividen 2008 RM2.437 juta kepada 512 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) Risda Melaka.

Pada 23 Ogos lalu, Najib mencadangkan supaya tiga agensi pertanian terbesar di negara ini bergabung mewujudkan satu konsortium bagi membolehkannya melaksanakan pelbagai projek industri hiliran berimpak tinggi.

Abdul Rahim berkata cadangan lain yang akan diterokai konsortium itu ialah pembinaan kilang baja yang bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pekebun kecil dan peserta tanah rancangan tetapi untuk pasaran domestik dan eksport.

Katanya berdasarkan keperluan tiga agensi itu, banyak kemudahan boleh disediakan oleh konsortium itu untuk manfaat bersama seperti membina kilang kelapa sawit dan menubuhkan syarikat pengangkutan, yang mungkin terbesar di Malaysia.

Beliau berkata banyak lagi aktiviti hiliran yang berasaskan getah dan kelapa sawit akan dikenalpasti untuk diterokai oleh konsortium berkenaan.

Mengenai penubuhan konsortium itu, Abdul Rahim berkata sebuah sekretariat telah ditubuhkan bagi merangka satu memorandum persefahaman berkaitan jalinan kerjasama bersepadu tiga agensi itu.

"Kita akan mencadangkan satu mekanisme tertentu bagi memastikan satu kerjasama yang erat dan bersepadu dapat dilaksanakan melalui penubuhan satu konsortium yang akan disertai dengan ekuiti yang sama oleh ketiga-tiga agensi ini," katanya.

Katanya draf memorandum persefahaman itu yang dijangka siap selepas Aidilfitri ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan sebaik mendapat "lampu hijau", mereka akan melaksanakan penubuhan konsortium dan aktiviti yang dirancangkan.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.