WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

IBU SENATOR MUMTAZ MENINGGAL DUNIA

TUMPAT, 30 JUN - Ibu kepada Senator Mumtaz Md Nawi, Siti Talhah Ismail, 55 meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengahari semalam selepas menderita penyakit barah sejak 11 tahun lalu.

Beliau meninggal dunia di rumahnya di Kampung Ana, dekat sini. Jenazahnya dikebumikan ketika azan Asar berkumandang di tanah perkuburan Islam di Kampung Jal Besar. Allahyarhamah meninggalkan suami, Md Nawi Said, 65, empat anak serta 11 cucu.

Mumtaz yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ketika ditemui berkata, beliau redha di atas kematian ibunya kerana Allah menjemput mengadap-Nya dalam keadaan tenang.

"Walaupun umi lumpuh sejak Sabtu lalu, namun Allahyarham seorang ibu dan isteri yang cekal itu sehingga saat-saat akhir hidupnya," kata beliau ketika ditemui di rumahnya. Menurutnya sehari sebelum ibunya meninggal dunia, beliau dan keluarga membawanya ke Bukit Baka, Machang bagi memenuhi hasrat Allahyarham yang ingin melihat air terjun.

"Pada kesempatan itu, Alhamdulillah kami sempat mengaji al-Quran bersamanya kira-kira hampir sejam sebelum beliau mengajak pulang," ujarnya. Ibunya dikenal pasti mengidap penyakit tersebut sejak 1998.

"Apa yang cukup mengharukan saya, umi membenarkan saya keluar berceramah dan menghadiri persidangan dewan walaupun keadaannya semakin tenat," katanya. Beliau juga mengucap terima kasih kepada semua pemimpin pihak yang menziarahi arwah ibunya sepanjang dia terlantar sakit.

Turut menziarahi jenazah ibunya anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.