WEBSITE INI DALAM EDISI PERCUBAAN

.

31 MELAYU DIKTIRAF PALING CEMERLANG

KUALA LUMPUR : Senator pertama orang kurang upaya (OKU), Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, (USM) Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak adalah antara 31 penerima Anugerah Melayu Cemerlang 2008 sempena sambutan ulang tahun Umno ke-62.

Kumpulan nasyid Rabbani dan Raihan turut menerima anugerah itu kerana jasa berdakwah menerusi irama nasyid di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Anugerah disampaikan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis sederhana meraikan penerima anugerah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Anugerah itu diberikan kepada orang Melayu berjaya, berjasa dan mengharumkan negara dalam lima bidang iaitu pendidikan; keusahawan; keagamaan, kesenian dan kebudayaan; kerja kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertanian serta asas tani.

Dalam bidang pendidikan, selain Prof Dzulkifli, turut menerima anugerah Melayu Cemerlang adalah Saintis Diagnostik serta penasihat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi Demam Kepialu, Prof Dr Asma Ismail dan Ketua Pengarah Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Hassan Said.

Turut menerima anugerah dalam kategori yang sama ialah Timbalan Pengarah (E-Pembelajaran), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamed Amin Embi dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Rujhan Mustafa.

Dalam bidang keusahawanan, anugerah diberikan kepada pengasas restoran Laksa Shack, Anita Ali; pemilik Zubir Food Sdn Bhd, Zubir Mohd Said dan Pengarah Urusan Iras Padu Sdn Bhd, Razali Dolhan.

Bagi kategori Pertanian dan Asas Tani, 11 pengusaha menerima anugerah berkenaan termasuk pengusaha Zuza Food, Zubir Zabidi dan pengusaha Madura Industries Sdn Bhd, Zakaria Jusoh.

Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang juga Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh 2000), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj menerima anugerah bagi kategori NGO.

Turut mendapat anugerah dalam kategori berkenaan, bekas Timbalan Menteri Pertanian yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Datuk Dr Tengku Mahmud Tengku Mansor dan Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Majid Ismail.

Penerima Anugerah Heart of Gold Kerajaan Johor, Mohd Amin Hussein yang melakukan kerja sukarela menguruskan jenazah yang tidak dituntut waris menerima anugerah bagi kategori agama manakala bagi kategori Kebudayaan, anugerah itu diberikan kepada aktivis tulisan Jawi, Mohamad Mokhtar Talib.

0 KOMEN:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.